Syahadan termasyhurlah pada segala negeri bahawa Demang Lebar Daun mendapat anak raja tiga bersaudara dari Bukit Si Guntang dan daripada anak cucu Raja Iskandar Zul-Karnain. Maka datanglah Patih Suatang, raja Minangkabau, ke Palembang dengan segala pegawai dan rakyat sekaliannya, minta seorang anak raja itu hendak dirajakannya di alam Minang-kabau. Maka oleh Demang Lebar Daun diberikannya yang bernama Sang Si Perba, serta dengan sekalian alatnya. Maka oIeh Patih Suatang dibawanya kembali ke alam Minangkabau, dirajakannya di sana.
Selama baginda kerajaan di alam Minangkabau itu, maka batang jelatang-ayam pun terlalu besar, diperbuatkan tiang balai baginda; lain daripada anak cucu baginda tiada siapa dapat duduk di sana kegatalan, dan batang saluguri akan baluhan tabuh, dan batang pulut-pulut baluhan gendang, dan ruyung-kayang dapat diperbuatkan tetaran lembing menjadi pagar istana baginda itu; sebab itulah alam Minangkabau itu dinamai “Pagar Ruyung”, yang tersebut datang sekarang. Syahadan Patih Suatanglah akan bendahara baginda, memerintahkan kerajaan baginda.
Bermula ke Tanjung Pura pun kedengaranlah. Rajanya pun telah hilang; maka patihnya datang ke Palembang, meminta anak raja itu kepada Demang Lebar Daun akan dirajakannya di Tanjung Pura. Maka diberikannya Krisyna Pandita dengan alatnya; tinggallah Nila Utama kerajaan di Palembang, dipangku Demang Lebar Daun. Setelah berapa lamanya baginda dalam kerajaan bergelar Seri Teri Buana, maka baginda pun hendak beristeri. Maka baginda menyuruh memanggil Demang Lebar Daun. Maka Demang Lebar Daun pun datang mengadap, duduk menyembah; sembahnya: “Apa kehendak duli tuanku memanggil patik?” Adapun Demang Lebar Daunlah memulai asal berbahasa kepada raja bertuanku berpatik itu; serta meletakkan adat Melayu setengahnya. Maka titah Seri Teri Buana, “Adalah kita memanggil paman ini, kita hendak beristeri, carikan kita, adakah paman?” Maka sembah Demang Lebar Daun, “Baiklah tuanku, yang mana titah duli tuanku Yang Maha Mulia, patik junjung;” seraya ia menyembah, lalu kembali menyuruh mengambil anak raja-raja, barang yang baik dipersembahkan kepada Seri Teri Buana. Setelah malam dibawalah baginda beradu; setelah siang hari maka dilihat baginda anak raja itu sekonyong-konyong kedal. Maka dikembalikan baginda kepada Demang Lebar Daun, minta carikan yang lain pula. Maka dipersembahkannya pula; serta dibawa baginda beradu, kedal pula. Maka habislah anak raja-raja dalam negeri Palembang itu, serta dibawa baginda beradu kedal pula semua tubuhnya. Maka dipersembahkan oleh Demang Lebar Daun mengatakan tiada lagi anak raja-raja dalam negeri Palembang ini yang baik.
Hatta maka terdengarlah kepada Seri Teri Buana akan baik paras anak Demang Lebar Daun; pada zaman itu seorang pun tiada sebagainya yang di bawah angin ini. Maka baginda pun berahilah akan anak Demang Lebar Daun itu. Hendak dipinta oleh baginda, kalau-kalau tidak diberi oleh Demang Lebar Daun. Dengan hal demikian jadi masyghullah baginda; beberapa hari baginda tiada keluar diadap oleh orang di balai. Setelah Demang Lebar Daun melihat yang demikian itu, lalu ia masuk ke penghadapan dalam, maka ia pun bertanya kepada dayang-dayang, “Apa mulanya duli Yang Dipertuan telah berapa hari tiada keluar semayam?” Maka oleh dayang-dayang itu semuanya hal kelakuan baginda itu dikhabarkannya kepada Demang Lebar Daun.
Setelah Demang Lebar Daun mendengar khabar dayangdayang itu, maka ia fikir dalam hatinya, “Ada juga sesuatu yang dikuyukan oleh anak raja ini, baik aku bertanya kepadanya.” Setelah ia berfikir, maka kata Demang Lebar Daun, “Pergi dayang persembahkan ke bawah duli Yang Dipertuan katakan manira hendak mengadap.” Demang Lebar Daun yang permulaan . berbahasa kepada raja Melayu “Yang Dipertuan” itu. Maka dayang-dayang itu pun masuklah mengadap baginda, persembahkan Demang Lebar Daun hendak mengadap baginda itu.
Maka Seri Teri Buana pun keluar semayam dihadap Demang Lebar Daun; dipandangnya muka baginda pucat-pucat berseri, selaku-laku ada menaruh berahi. Maka sembah Demang Lebar Daun, “Daulat tuanku patik berdatang sembah, apa sebab maka duli tuanku tiada keluar semayam seperti sediakala? Apa juga duli tuanku kehendaki tiada akan duli tuanku peroleh itu? Kerana negeri Palembang ini duli tuanku yang empunya dia. Patik sekalian ini hamba yang khas sekadar mengembalai sahaja. Jangankan setara yang lain, yang duli tuanku kehendaki tiada akan tuanku peroleh, jikalau atas nyawa patik sekalian duli tuanku kehendaki patik persembahkan. Jikalau tiada yang demikian sembah patik ini bukanlah patik sekalian hamba Melayu.”
Setelah Seri Teri Buana mendengar sembah Demang Lebar Daun itu, maka baginda fikir dalam hati, “jika demikian baik-lah aku katakan rahsiaku ini, mudah-mudahan kuperoleh, kerana tiada tertanggung berahiku ini. Maka titah baginda, “Adapun rahsia dalam hati Hamba ini terlalu besar, jikalau Hamba katakan pun tiada akan Hamba peroleh, maka demikianlah hal Hamba.”
Maka sembah Demang Lebar Daun, “Daulat tuanku, mengapa tuanku berlindung titah lagi? Kerana sembah patik ke bawah duli Yang Maha Mulia telah putus, tiada Hamba Melayu. itu dapat menyalahi kehendak tuannya. “Maka titah baginda, “Adalah Hamba mendengar khabar paman konon ada menaruh seorang anak perempuan, amat baik parasnya. Jikalau dengan ikhlas paman, inilah yang Hamba pohonkan kepada paman.”
No comments:
Post a Comment