02 November 2010

YAM ALMARHUM TUNKU ABDUL RAHMAN PUTRA AL-HAJ IBNI ALMARHUM SULTAN ABDUL HAMID SHAH – BAPA KEMERDEKAAN





YAM Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Shah merupakan Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu dari 1955, dan Perdana Menteri pertama sejak kemerdekaan pada tahun 1957 sehingga 1970. Pembentukan Malaysia pada tahun 1963 merupakan salah satu daripada pencapaiannya yang teragung. lebih mesra dikenali sebagai "Tunku", almarhum juga dikenang sebagai "Bapa Kemerdekaan" dan "Bapa Malaysia".

Diputerakan di Istana Tiga Tingkat, Alor Setar, Kedah yang lebih dikenali sebagai Istana Pelamin, Tunku merupakan anak lelaki yang ketujuh dan anak yang kedua puluh kepada Sultan Abdul Hamid Halim Shah, Sultan Kedah yang ke-24. Bondanya Cik Menyelara, seorang isteri Sultan Abdul Hamid yang tidak berdarah gahara, ialah anak perempuan Luang Naraborirak (Kleb), seorang pegawai daerah Thailand. Kelahiran Tunku disambut secara biasa sahaja kerana beliau bukan bakal pengganti Sultan Kedah. Pengganti Sultan Kedah, Sultan Badlishah ibni Sultan Abdul Hamid, telah pun berumur 30 tahun ketika itu.

Semasa kecil, Tunku dipanggil Awang kerana rupa parasnya yang tidak sesegak adik-beradiknya yang lain. Beliau bebas bermain di luar istana dan pernah membentuk pasukan bola sepak kampung. Tunku biasa mengendap burung dan melastik, serta bermain lumpur sehingga menghidapi penyakit puru di kakinya.

Tunku bermula pendidikannya pada 1909 di sebuah sekolah rendah Melayu di Jalan Baharu, Alor Setar. Biasa berbahasa Siam di rumah, beliau belajar bahasa Melayu di sekolah itu. Seorang guru pula datang ke rumahnya untuk mengajar bahasa Inggeris. Tunku kemudian berpindah ke sebuah sekolah kerajaan bahasa Inggeris yang kini dinamakan Kolej Sultan Abdul Hamid. Di sini, beliau belajar di sekolah pada waktu siang dan membaca Al-Quran pada waktu petang.

Pada tahun 1913 sewaktu berumur 10 tahun, Tunku dihantar ke Bangkok untuk menetap bersama Tunku Yusuf ibni Sultan Abdul Hamid, abang sulungnya, dan belajar di Sekolah Thebsirintrawat (Debsirindir School). Pada tahun 1915, Tunku pulang dan meneruskan pendidikannya di Penang Free School. Antara gurunya ialah HR Cheeseman dan SM Zainal Abidin. Seorang yang aktif, beliau menyertai Pengakap dan Kor Kadet.

Pada tahun 1919 ketika berumur 16 tahun, Tunku menerima Biasiswa Negeri Kedah untuk melanjutkan pendidikannya di Kolej St Catharine di Universiti Cambridge. Beliau merupakan penuntut pertama untuk menerima pendidikan di United Kingdom dibawah tajaan Kerajaan Negeri Kedah. Ketika Tunku tidak dibenarkan tinggal di asrama St Catharine kerana dasar aparteid ('kulit berwarna') masih diamalkan, beliau membantah kepada William Peel, Penasihat British kepada Kedah. Akhirnya, pengetua sekolah itu terpaksa meminta maaf.

Dari segi berpakaian, Tunku agak kebaratan. Semasa beliau dihantar ke England, tiada sepasang pun baju Melayu yang dibawa. Tunku dan keluarganya hanya menempah pakaian Barat di kedai Pritchards di Pulau Pinang. Ketika di England, Tunku amat berlainan dengan Sultan Perak yang berbaju Melayu, siap dengan tengkolok.

Mula-mulanya, Tunku mengambil jurusan undang-undang bersama rakannya, Ivor Jenning (Sir), H.V. Davies dan George Brown, tetapi kemudian bertukar kepada jurusan sastera (Sejarah). Beliau suka bersiar-siar dengan motosikal Riley Sport dan kereta mewah, dan melakukan 28 kesalahan trafik jalan raya semasa berada di Cambridge. Tunku tidak dapat menduduki peperiksaan akhir Ijazah Sarjana Muda Sastera kerana terlupa jadual waktu peperiksaan. Dengan bantuan dan kerjasama daripada sahabatnya, Taib Andak, beliau memperolehi ijazahnya pada tahun 1925.

Pada tahun 1927, Tunku dihantar semula ke England untuk belajar undang-undang di Universiti Cambridge kerana keluarganya tidak berpuas hati dengan keputusannya yang lalu. Beliau lulus semester pertama dalam jurusan undang-undang di Inner Temple pada tahun 1930. Selepas pemulangannya, Tunku bertugas sebagai Pegawai Latihan di Pejabat Penasihat Undang-Undang Kedah pada tahun 1931, dan dilantik sebagai Pegawai Jajahan untuk Kuala Nerang pada tahun berikutnya. Beliau dipindahkan ke Pulau Langkawi pada tahun 1935 oleh Clayton, Penasihat British sewaktu itu. Pada tahun 1937, Tunku bertugas sebagai Pegawai Jajahan di Sungai Petani bersamping bertindak sebagai hakim daerah dan Pengerusi Lembaga Kebersihan Sungai Petani. Sebuah masjid di Sungai Petani telah dinamakan Masjid Rahmaniah sempena nama Tunku.

Pada tahun 1938, Tunku pergi semula ke England buat kali yang ketiga untuk menyambung pelajaran undang-undangnya. Antara temannya ialah Sardon Haji Jubir. Beliau kembali ke Kedah pada tahun 1939 kerana terdapatnya berita bahawa perang akan meletus di Eropah. Pada 1940, beliau dilantik sebagai Timbalan Pengarah Perkhidmatan Pasukan Kawalan Am Selatan Kedah.

Pada 9 Disember 1941, Tunku menyorokkan Sultan Abdul Hamid Halim Syah, ayahandanya yang ketika itu berumur 80 tahun, sewaktu pegawai British hendak membawanya ke India. Bagi beliau, tidak wajarlah seseorang sultan melarikan diri daripada tanah airnya sewaktu peperangan. Berpakaian Tentera Utara Australia, Tunku menculik ayahandanya yang ketika itu bersama dengan Syed Abu Bakar al Idrus, seorang Merinyu Kesihatan Kedah dan menyembunyikannya di Sedim, dekat dengan Kulim, di bawah jagaan Penghulu Wahab. Tunku Badlishah, Pemangku Raja Kedah, tidak berpuas hati dengan tindakan Tunku yang membelakangkannya sebagai bakal pengganti Sultan Kedah.

Pada 19 Disember 1941, Sultan Abdul Hamid dibawa semula ke Alor Star. Jepun mengiktiraf baginda sebagai Sultan Kedah tetapi pentadbirannya diletakkan di bawah Gabernor dan Tentera Jepun. Sultan Abdul Hamid meninggal pada tahun 1943. Semasa Jepun memerintah, Tunku kekal sebagai Pegawai Jajahan Kulim tetapi ditemani oleh Ohata, seorang pegawai Jepun yang pernah menjadi tukang gunting di pekan Alor Star.

Tunku menyambung semula pendidikannya di Inner Temple pada tahun 1947. Sewaktu tempoh itu, Tunku bertemu dengan Abdul Razak Hussein. Beliau dipilih sebagai presiden untuk Persatuan Pelajar Melayu Britain, dan Abdul Razak, yang berumur 26 ketika itu, dipilih sebagai setiausaha. Semasa itu, Tunku menyertai "Persatuan Pelajar India Islam" yang menuntut kemerdekaan India. Beliau juga berkempen untuk Lyold George Jurith, seorang calon Parti Liberal. Tunku akhirnya dilayakkan menjadi peguam pada tahun 1949.

Seorang yang bersemangat kesukanan, Tunku memulakan pertandingan bola sepak antarabangsa yang digelar "Pesta Bola Merdeka" pada tahun 1957. Pada tahun berikutnya, beliau dipilih sebagai presiden pertama untuk Konfederasi Sepak Bola Asia (AFC), sebuah jawatan yang beliau memegang sehingga 1976.

Pada tahun 1933, Tunku berkahwin dengan Mariam, seorang wanita kacukan Cina-Siam yang merupakan anak perempuan tauke lombong di Alor Star. Beliau dikurniakan dengan dua cahaya mata, iaitu Tunku Ahmad Nerang Putra dan Tunku Khadijah. Mariam meninggal dunia pada tahun 1934 kerana menghidapi penyakit malaria di Kuala Nerang, Kedah.

Selepas kematian Mariam, Tunku berkahwin dengan Violet Coulson, bekas tuan rumahnya di England. Antara saksi perkahwinannya di Geylang Serai, Singapura ialah Syed Ahmad al Sagoff. Sebenarnya, kerabat diraja Kedah dilarang berkahwin dengan wanita Inggeris kerana peristiwa penipuan Pulau Pinang oleh Kapten Francis Light, seorang Inggeris.

Tunku mengalami nasib yang sama seperti Tunku Yusuf ibni Sultan Abdul Hamid. Dititahkan untuk menceraikan Violet oleh Pemangku Raja Kedah, Tunku kemudian berkahwin dengan Sharifah Rodziah Syed Alwi Barakbah, seorang saudara jauh yang juga merupakan adik Syed Omar Barakbah, rakan sekuliahnya di England, pada tahun 1939. Perkahwinan ini direstui kerana berketurunan Arab yang ternama dan kaya di Kedah (Islam disamakan dengan Arab). Oleh sebab perkahwinan ini tidak mendapat seorang anak pun, mereka mengambil tiga anak angkat iaitu Faridah, Sulaiman dan Mariam. Tunku juga telah mengahwini seorang yang berbangsa Cina pada tahun 1963 dengan rahsia dan telah mendapat dua orang cahaya mata perempuan yang diberi nama Tunku Noor Hayati dan Tunku Mastura.

Selepas pemulangannya ke Malaya pada tahun 1949, Tunku ditugaskan untuk bekerja di sebuah pejabat Pegawai Undang-undang di Alor Star. Beliau kemudian meminta perpindahan ke Kuala Lumpur di mana beliau menjadi Timbalan Pendakwa Raya dan selepas itu, dilantik sebagai Yang Dipertua Mahkamah Sesyen.

Pada tempoh itu, semangat nasionalisme bertambah hebat di kalangan kaum Melayu di tengah-tengah pengisytiharan penubuhan Malayan Union oleh Britain. Datuk Onn Jaafar mengetuai Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) untuk menentangi Malayan Union (sila lihat: Sejarah Malaysia) dan Tunku menyertai partinya. Pada Ogos 1951, suatu krisis di dalam UMNO memaksakan Datuk Onn meletakkan jawatan sebagai presiden parti dan Tunku dilantik sebagai presiden yang baru. Beliau memegang jawatan itu selama 20 tahun.

Pada tahun 1954, Tunku mengetuai sekumpulan perwakilan ke London untuk memperolehi kemerdekaan Malaya. Bagaimanapun, percubaan sulung itu tidak berjaya. Pada tahun yang berikut, pilihan raya persekutan yang pertama diadakan. Parti Perikatan yang pada saat itu merupakan parti campuran UMNO dengan MCA memenangi 51 daripada 52 kerusi yang ditandingi. Tunku dilantik sebagai Ketua Menteri Malaya yang pertama. MIC yang mewakili kaum India kemudian menyertai Parti Perikatan pada tahun 1955.

Pada tahun 1955, Tunku membuat lagi satu perjalanan ke London untuk berunding tentang kemerdekaan Malaya. Pada kali ini, beliau berjaya, dan 31 Ogos 1957 diputuskan sebagai tarikh kemerdekaan. Sewaktu bendera British diturun di Kuala Lumpur pada hari kemerdekaan, Tunku mengetuai orang ramai untuk menyorak "Merdeka!". Gambar-gambar Tunku dengan tangan yang diangkat naik, dan perakaman-perakaman suaranya yang penuh emosi tetapi berazam mengetuai sorakan, kini merupakan lambang kemerdekaan Malaysia yang biasa.

Selepas kemerdekaan, Tunku mendominasikan politik Malaya dan memimpin Parti Perikatan ke kemenangan besar dalam pilihan raya umum pada tahun 1959 dan 1964. Pembentukan Malaysia pada tahun 1963 merupakan salah satu daripada pencapaian Tunku yang teragung.

Tunku pertama sekali mencadangkan sebuah persekutuan Malaya, Singapura, Sabah, Sarawak, dan Brunei dalam ucapannya kepada "Persatuan Wartawan Asing Asia Tenggara" pada tahun 1961 di Singapura. Pada 16 September 1963, dengan persekutuan negeri-negeri tersebut kecuali Brunei, beliau menjadi Perdana Menteri Malaysia yang pertama.

Bagaimanapun, faktor-faktor perkauman bertambah buruk dengan pemasukan Singapura yang menaikkan bahagian kaum Cina sehingga hampir-hampir 40%. Kedua-dua UMNO dan MCA berasa tegang terhadap daya tarikan Parti Tindakan Rakyat (PAP pada waktu itu, diperlihatkan sebagai sebuah parti sosialis yang radikal) Lee Kwan Yew kepada pengundi-pengundi di Malaya. Untuk mengatasi kebimbangan itu, Parti Perikatan mencuba membentukkan sebuah parti di Singapura untuk mencabar kedudukan Lee di sana. Sebagai gerak balas, Lee mengancam bahawa PAP akan menyertai Pilihan Raya Persekutuan 1964 di Malaya, walaupun terdapatnya perjanjian awal bahawa beliau tidak akan berbuat demikian (sila lihat Hubungan PAP-UMNO. Ini membangkitkan kemarahan Tunku yang mendesak supaya Singapura meninggalkan Malaysia.

Pada 7 Ogos 1965, Tunku mengumumkan kepada Parlimen Malaysia di Kuala Lumpur bahawa Parliamen haruslah mengundi untuk menyokong peninggalan Singapura daripada Persekutuan. Dalam perkataannya, Parliamen harus memilih untuk "memutuskan semua pertalian dengan sebuah Kerajaan Negeri yang tidak mempertunjukkan sebarang kesetiaan kepada Kerajaan Pusat" berbanding kaedah yang tidak diingini untuk menindas tindakan PAP. Pemisahan dan kemerdekaan Singapura menjadi rasmi pada 9 Ogos 1965.

Pada tahun 1961, Tunku menubuhkan Pertubuhan Asia Tenggara (ASA) yang memperkumpulkan Malaya, Thailand dan Filipina Perkumpulan ini kemudian digantikan dengan perkumpulan yang lebih besar, iaitu Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN), pada 8 Ogos 1967.

Dalam Pilihan Raya Umum 1969, majoriti Parti Perikatan dikurangkan dengan hebat. Perhimpunan-perhimpunan tunjuk perasaan yang mengikuti pilihan raya itu mencetuskan rusuhan kaum pada 13 Mei di Kuala Lumpur. Sebahagian pemimpin-pemimpin UMNO yang diketuai oleh Tun Abdul Razak kritis terhadap cara pengendalian krisis itu oleh Tunku, dan MAGERAN, sebuah jawatan kuasa darurat, mengambil alih kuasa dan mengisytiharkan keadaan darurat.

Kuasa Tunku sebagai Perdana Menteri dibatasi secara besar, dan pada 22 September 1970, beliau terpaksa meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri. Tunku kemudian meletakkan jawatannya sebagai Presiden UMNO pada Jun 1971 di tengah-tengah penentangan hebat oleh 'Turki Muda' yang terdiri daripada penentang-penentang parti seperti Dr Mahathir dan Musa Hitam. Pasangan itu kemudian masing-masing menjadi Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.

Pada 1977, setelah memperolehi sebahagian besar hak milik The Star, sebuah syarikat surat khabar yang berasaskan di Pulau Pinang, Tunku menjadi pengerusinya. Ruang-ruangnya, "Mengenang kembali" ("Looking Back") dan "Sebagaimana yang Saya Perlihatkan" ("As I See It") kritis kepada kerajaan, dan pada tahun 1987, Perdana Menteri Dr Mahathir mengharamkan surat khabar itu. Ini menyebabkan perpecahan di dalam UMNO, dengan Tunku dan bekas Perdana Menteri, Tun Hussein Onn menubuhkan sebuah parti baru yang digelar "UMNO Malaysia", tetapi pendaftarannya dibatalkan oleh Dr Mahathir yang menubuhkan UMNO Baru. Tunku kemudian menyokong Semangat 46 yang merupakan kumpulan serpihan UMNO yang diketuai oleh Tengku Razaleigh Hamzah. Beliau berkempen dengan cergas untuk Semangat 46 dalam Pilihan Raya Umum 1990, tetapi sewaktu itu, kesihatannya telah merosot.

Dalam tahun-tahun terakhirnya, Tunku tinggal di sebuah rumah di Pulau Pinang. Beliau meninggal dunia pada 6 Disember 1990 sewaktu berumur 87, dan disemadikan di Makam Diraja Langgar, Alor Star.

Al-Fatihah buat Almarhum semoga Ruh nya di cucuri rahmat Ilahi...

RAJA PEMERINTAHAN - MELAYU ISLAM BERAJA


Pendekatan 'Melayu Islam Beraja' yang menjadi tunggak dan asas pemerintah Kerajaan, secara umum, latar belakang sejarah sistem dan negara beraja, faktor-faktor kejatuhan dan kebangkitan, kekhilafan yang mungkin berlaku, kekuatan serta peranan, kesinambungan sistem beraja dalam menghadapi cabaran dunia global semasa.

Takhta kerajaan dan Raja Pemerintah adalah satu rangkaian institusi dan individu, melambangkan jawatan dan kuasa dan merupakan pengisian watak serta bertanggungjawab memberi nafas dan mengisi roh kepada institusi Raja Pemerintah.

Peranan utama Raja adalah memberi kepimpinan agar menjadi contoh dan teladan untuk dijadikan pedoman agar dapat memberikan panduan bersandarkan harapan untuk memberi naungan kepada sekalian rakyat jelata.

Raja dimuliakan, dinobatkan dan didaulatkan, kerana Raja diiktiraf memiliki segala kelebihan dari segi akal bicara, Kebijaksaan, hikmah, kegagahan, sahsiah, keberanian dan keupayaan mengatasi cabaran. Raja berperanan menyatukan warga serta membina sebuah negara bangsa berdaulat.

Kelemahan watak dan salah laku individu, salah ramalan dan silap percatuan dikalangan sebahagian mereka, turut menjadi faktor pemangkin membawa kepada kejatuhan sesebuah institusi Raja.

Raja yang berada di atas politik, diiktiraf sebaik hakim, memenuhi fungsi sumber keadilan, berupaya mendamaikan persengketaan di antara puak-puak yang bertelingkah, konsep ini menjadi perintis kepada doktrin pemisahan dan perkongsian kuasa antara Raja dan rakyat di era pasca Perang Dunia Pertama dan Perang Dunia Kedua.

Sistem Raja diwujudkan di kalangan negara Islam susulan kejatuhan Empayar Otoman. Sistem kesultanan adalah satu penerusan tradisi sistem yang diwarisi berakarkan sistem khalifah, sistem yang tidak asing dalam budaya umat Islam berkerajaan dan bernegara.

sistem beraja untuk memberi kesahihan kepada kerajaan karisma dan kebijaksanaan, berpengaruh menyesuaikan peranan Raja mengharungi konflik semasa, walaupun berulang kali pula gagal menentukan arah haluan secara konsisten.

Insitusi Raja sebenarnya melalui ujian, menghadapi cabaran berhadapan dengan tentangan namun berupaya merentasi rintangan. Ada yang lupus namun masih ada yang terus dipertahankan, ada yang diberikan tafsiran baru, ada yang diberikan nafas semula, ada yang bertambah kukuh.

Insitusi Raja tidak terlepas mengadapi momokkan dengan istilah-istilah negatif, dikaitkan dengan feudalisme dan autokrasi. Istilah-istilah sedemikian dipelopori oleh mereka yang bersifat anti-Raja.

Budaya feudalisme dan budaya autokrasi bukan budaya yang boleh dikaitkan dengan insitusi. Budaya feudalisme dan budaya autokrasi berlaku kerana perbuatan individu, apabila individu menjadi mabuk kuasa. Budaya tersebut subur apabila manusia menjadi takjud kepada individu melakukan pendewaan terhadap individu hingga berasa takut yang melampau kepada individu. Tidak dinafikan budaya feudalisme dan budaya autokrasi pernah berlaku dalam istana, pernah berlaku di kalangan Raja tetapi budaya feudalisme dan budaya autokrasi turut dilakukan di kalangan mereka yang tidak berketurunan Raja dari kalangan rakyat biasa dan berlaku dalam sistem republik dalam pemerintahan berpaksikan tentera malah dalam sistem atas nama agama.

Banyak Kisah-kisah yang boleh dihuraikan wajar dijadikan iktibar dalam usaha memertabatkan institusi Raja. Masyarakat dunia sedang dan akan terus melalui proses evolusi yang semakin rancak. Era teknologi maklumat, era komunikasi telah menenbus sempadan negara. Kekebalan Raja turut terjejas kerana proses perundangan bersifat sejagat di tambah pula dengan gaya hidup Raja dan kerabat Diraja yang tidak lagi terkurung dalam lingkungan tembok istana.

01 November 2010

ULANG TAHUN KEPUTERAAN BAGINDA TUANKU SULTAN PAHANG KE 80.

Daulat Tuanku...
Daulat Tuanku...
Daulat Tuanku...

Patik Merafak Sembah Tahniah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah Al Musta’in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al- Mu’adzam Shah Sempena Ulang Tahun Keputeraan Baginda Tuanku Ke 80 Ulang Tahun Keputeraan Baginda Tuanku Ke 80 pada 24 Oktober 2010 yang lalu..


Merafakkan sembah penuh taat penuh setia, bertekad memelihara kemuliaan pemerintahan Beraja, memperkukuhkan tradisi negeri bersultan rakyat beraja, tradisi diwarisi turun temurun, agar terus subur dan segar, kekal sepanjang zaman, merentas peredaran waktu merentas peralihan masa.

Semoga Tuanku dilanjutkan usia dalam keafiatan dan senantiasa berada dalam lindungan ILAHI, Hidup dengan penuh kebahagiaan dan kerukunan serta dianugerahkan segala taufik dan hidayah, kewibawaan dan kebesaran, kehormatan dan kemuliaan, darjat dan daulat, bersemayam di atas takhta singgahsana sebagai Amirulmukminin dengan penuh keberkatan fid-dunia wal-akhirat.

Sembah Takzim daripada:
Seluruh Warga Pendokong Payung Mahkota Dirgahayu Raja Melayu

KONTRAK SOSIAL: MAJLIS RAJA-RAJA PANDANG BERAT TREND POLITIK SEMASA



KUALA LUMPUR, 30 Okt — Raja-Raja Melayu menitahkan seluruh rakyat Malaysia untuk memahami dan menghayati sejarah pembentukan negara dan Perlembagaan Persekutuan yang diasaskan kepada kontrak sosial iaitu semangat permuafakatan dan persefahaman antara kaum dan persetujuan Raja-Raja Melayu.

“Raja-Raja Melayu berpegang bahawa kontrak sosial yang telah dipersetujui ini merupakan watikah yang menjadi asas kepada keadilan sosial di negara ini yang merangkumi cita-cita bagi mencapai hasrat pembahagian ekonomi secara adil.
“Sikap tolak ansur antara kaum menunjukkan kematangan rakyat pelbagai kaum di negara ini,” demikian menurut kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja di sini hari ini.

Menurut kenyataan itu, mesyuarat Majlis Raja-Raja kali ke-222 yang berlangsung di Istana Negara pada 13 dan 14 Oktober lepas memandang berat mengenai trend politik semasa yang dilihat sedang meniup angin perkauman dan mencabar kedaulatan Perlembagaan negara.

Mesyuarat Majlis Raja-Raja mengambil maklum akan perkembangan semasa serta kebimbangan yang disuarakan oleh individu-individu dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan berhubung perkara-perkara menyentuh agama Islam, kedudukan Raja-Raja Melayu, orang Melayu dan bahasa Melayu.

Majlis Raja-Raja, menurut kenyataan itu memandang serius kewujudan jumlah jenayah yang dikategorikan sebagai jenayah berat, yang boleh mengancam keselamatan, ketenteraman dan imej negara.

Raja-Raja Melayu bersama Yang Dipertua-Yang Dipertua negeri memahami serta menghargai usaha-usaha kerajaan persekutuan menyatupadukan rakyat berlandaskan semangat yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Menurut kenyataan itu, Raja-Raja Melayu menitahkan setiap rakyat tanpa mengira kaum dan agama supaya terus bersatu serta setia kepada negara demi memelihara kedaulatan dan kemakmuran negara kerana setiap rakyat mempunyai peranan dalam pembangunan negara.

Setiap rakyat hendaklah terus menghormati dan akur kepada Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang dan mengelakkan tindak-tanduk yang membawa pertelingkahan, perselisihan faham dan syak wasangka antara kaum yang menjejaskan kemakmuran dan keharmonian negara, titah Raja-raja Melayu.

“Demi kedaulatan dan keharmonian negara yang kita kasihi ini, Raja-Raja Melayu berharap rakyat tidak akan memberi peluang untuk penglibatan dan campur tangan pihak luar dalam urusan negara,” menurut kenyataan itu.

Raja-Raja Melayu turut menyeru orang Melayu supaya bersatu padu dan tidak bertelingkah sesama sendiri berlandaskan semangat persaudaraan Islam, agar kedudukan orang Melayu tidak terpinggir dan terhakis dalam arus pembangunan negara.
“Pemimpin-pemimpin pertubuhan Melayu wajib mencari persamaan, bermuafakat menggunakan hikmah dan kebijaksanaan, melindungi dan membela nasib orang Melayu,” menurut kenyataan itu.

Raja-Raja Melayu menegaskan bahawa keutuhan bangsa Melayu serta nasib orang Melayu tidak akan terpelihara jika para pemimpin pertubuhan Melayu lebih cenderung untuk bertelagah dan memilih untuk berselisih faham.

“Raja-Raja Melayu berdoa agar Malaysia yang dikasihi ini sentiasa berada dalam keadaan aman damai dan rakyatnya yang berbilang kaum terus bersatu serta kekal makmur dan sejahtera.

“Semoga Malaysia terus mendapat perlindungan dan rahmat Allah Subhanahu Wata”ala,” menurut kenyataan itu. — Bernama –

Translate