27 December 2017

Ahli Dewan DiRaja Selangor - 1 Dis 2016 hingga 30 November 2019.

Dewan Diraja Selangor bermula dari 1959 dan berfungsi sebagai majlis penasihat kepada kerajaan negeri Selangor iaitu D.Y.M.M Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj. Tarikh kuatkuasa mulai dari 1 Dis 2016 hingga 30 November 2019.[1]

Ahli Dewan DiRaja Selangor
Sumber : Google dan The Star
Ahli-ahli Dewan Diraja Selangor mengandungi 22 orang, yang terdiri daripada Kerabat DiRaja Selangor dan Ahli Kerajaan Negeri Selangor. Ahli Dewan DiRaja Selangor 2016-2019 Ahli Dewan Diraja Selangor. Sejarah Dewan Diraja Selangor boleh dirujuk di pautan :-  Sejarah Dewan Diraja Selangor

Pengerusi: 
D.Y.M.M Sultan Selangor 
Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj 

Ex-officio (Ahli Kerana Jawatan) : 
– D.Y.T.M Raja Muda Selangor – 
Tengku Dato’ Seri Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj, 
Y.A.M Tengku Laksamana Selangor – 
Tengku Dato’ Seri Sulaiman Shah Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, 
– Y.A.M Tengku Bendahara Selangor – 
Almarhum Tengku Dato’ Seri Azman Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Hishamuddin Alam Shah Al-Haj (Kosong atas Kemangkatan), 
– Y.A.B Dato’ Menteri Besar Selangor – 
Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, 
– Pengerusi MAIS – 
Dato’ Setia Mohammed Khusrin Munawi,
– Mufti Selangor – 
Sahibus Samahah Dato’ Setia Hj. Mohd. Tamyes b. Abd. Wahid. 

Ahli Waris Yang Lain : 
– Y.A.D. Tengku Aris Temenggong Selangor – 
Tengku Dato’ Setia Muhamad Yusof Shah Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Sir Ala’eddin Sulaiman Shah, 
– Y.A.D. Tengku Panglima Besar Selangor – 
Tengku Dato’ Seri Abdul Samad Shah Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al Haj, 
– Y.A.D. Tengku Indera Setia Selangor – 
Tengku Dato’ Seri Ahmad Shah Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al Haj, 
– Y.A.D. Tengku Indera Pahlawan Diraja Selangor – 
Tengku Dato’ Setia Putra Al-Haj Ibni Almarhum Tengku Bendahara Azman Shah Al-Haj. 

Orang-Orang Besar : 
Y.A.D. Tengku Seri Wangsa Diraja – Tengku Dato’ Setia Ramli bin Tengku Sri Andika Diraja Shaharuddin Shah, 
Y.A.D. Engku Setia Lela Bestari – Raja Tan Sri Arshad bin Raja Sir Tun Uda, 
Y.A.D. Dato’ Orang Kaya Maha Bijaya Gombak – Dato’ Paduka Raja Tan Sri Wan Mahmood bin Pa’wan Teh, 
Y.A.D. Dato’ Jugra Kurnia Diraja – Tan Sri Syed Mohd Yusof bin Tun Syed Nasir, 
Y.A.D. Dato’ Salehuddin Saidin. 

Orang Tua-Tua : 
Y.A.D. Dato’ Abdul Halim bin Datuk Abdul Rauf 
Y.A.D. Tan Sri Ambrin Buang 
Y.A.D. Jen (B) Tan Sri Mohd Hashim bin Mohd Ali 
Y.A.D. Tan Sri Ismail bin Adam 
Y.A.D. Dato’ Setia Ramli bin Mahmud 
Y.A.D. Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa, [2] 
Y.A.D. Dato’ Orang Kaya Maha Bijaya Klang – Dato’ Setia DiRaja Abdul Ghani bin Dato’ Kaya Haji Pateh Akhir 

Setiausaha Dewan : 
Hanafisah Jais

[1] TheStar- Advisory body to the state Ruler (Selangor) 
[2] Ahli Dewan Diraja Selangor berkuat kuasa 1 Jan 2018 hingga 30 Nov 2019. Sinar Harian bertarikh 14 Disember 2017

13 December 2017

Kenyataan Taksiran Titah Wawacara Akhbar The Star Bersama D.Y.M.M. Tuanku Sultan Selangor Oleh Y.D.M Tengku Dato’ Prof. Dr. Jamaluddin Bin Tengku Mahmud Shah Al-Haj

KENYATAAN TAKSIRAN TITAH WAWACARA AKHBAR THE STAR BERSAMA D.Y.M.M.  TUANKU SULTAN SELANGOR OLEH Y.D.M TENGKU DATO’ PROF. DR. JAMALUDDIN BIN TENGKU MAHMUD SHAH AL-HAJ (TENGKU ORANG KAYA MAHA BIJAYA SEPANG MERANGKAP PENASIHAT PERSATUAN MELAYU BUGIS SELANGOR - DAERAH SEPANG). 

Dengan penuh kerendahan sifat dan bersandarkan yang pengetahuan cetek namun bersandarkan pengalaman yang ada maka dapatlah saya untuk menghuraikan mauduk Titah Wawacara Akhbar The Star Bersama DYMM Tuanku Sultan Selangor bersempena Ulang Tahun Keputeraan D.Y.M.M Tuanku Sultan pada 10 Disember 2017 yang lalu yang dikuatiri berpotensi mengundang impak negatif dan membawa pelbagai taksiran rakyat.

Pada hemat saya, sesungguhnya Kebawah Duli Tuanku menzahirkan dukacita melihat Y.A.Bhg. Tun Dr. Mahathir bin Mohamad menentang Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu/ United Malay National Organisation (UMNO), BUKAN ATAS FAKTOR MENYOKONG MANA-MANA PARTI POLITIK ATAUPUN MENCAMPURI URUSAN POLITIK, SESUNGGUHNYA BAGINDA AMAT MENGETAHUI RAJA BERPERANAN SEBAGAI TONGGAK KESTABILAN - SUMBER KEADILAN, TERAS PERPADUAN - PAYUNG PENYATUAN. 

Kebawah Duli Tuanku jua amat peka dalam dinamik politik yang sedang berlaku, maka bertambah penting bagi Raja Pemerintah untuk berada di atas segala yang sedang berlaku, BERSIFAT BERKECUALI SUPAYA DALAM KEADAAN BERLAKUNYA KRISIS, INSTITUSI RAJA BERUPAYA MEMBERIKAN NASIHAT, TEGURAN DAN PANDANGAN YANG MENCERMINKAN KEADILAN TANPA MEMIHAK. 
Sumber dari The Malaysian Insight 

Sejarah Penyatuan bangsa Melayu amat dekat dihati Kebawah Duli Tuanku dan menjadi kebimbangan polemik politik akan mengundang perpecahan bangsa kepada rakyat dibawah Payung Naungan Kebawah Duli Tuanku dan Duli-Duli Raja-Raja Melayu yang lain, kerna Nenda Kebawah Duli Tuanku iaitu ALMARHUM SULTAN HISHAMUDDIN ALAM SHAH IBNI ALMARHUM SULTAN ALAUDDIN SULEIMAN SHAH MEMPUNYAI SEJARAH SENTUHAN YANG AMAT PENTING DALAM MERINTIS SEMANGAT PERJUANGAN BANGSA APABILA TELAH MEMBERI LIMPAH PERKENAN DAN AMANAT SEMASA MERASMIKAN PERSIDANGAN PERSATUAN-PERSATUAN MELAYU YANG TELAH DIADAKAN PADA 1-4 MAC 1946 DI KELAB SULTAN SULAIMAN, KAMPUNG BARU, KUALA LUMPUR. 
Persidangan bersejarah tersebut dinamakan sebagai Kongres Melayu Se-Malaya yang telah dihadiri oleh 107 orang perwakilan dan 56 orang pemerhati rasmi dari 41 Pertubuhan Melayu di seluruh Tanah Melayu termasuk Singapura. Melalui perkenan dan sokongan Almarhum nenda baginda dalam Kongres tersebut telah membawa kepada sokongan Raja-Raja Melayu di Persekutuan Tanah Melayu bagi merealisasikan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (PEKEMBAR) dan secara tidak langsung memberikan tekanan kepada pihak British. Nenda Kebawah Duli Tuanku juga semasa merasmikan kongres telah MEMPERKENANKAN KURNIAAN SUMBANGAN PERIBADI SEBANYAK $ 5000.00 DAN TELAH BERTITAH (AMANAT) DUA PERKARA SEBAGAI ASAS PENYATUAN BANGSA MELAYU IAITU;

PERJUANGAN AGAMA ISLAM YANG AKAN MENGIKAT HATI NURANI BANGSA DAN; 
BERANI DAN TERUS MEMBELA DAN MEMPERJUANGKAN HAK ORANG MELAYU. 

Titah Kebawah Duli Tuanku sebenarnya merujuk kepada PENERIMAAN BANGSA MELAYU DAN RAKYAT KEPADA PERTUBUHAN KEBANGSAAN MELAYU BERSATU DALAM PENYATUAN BANGSA YANG AKHIRNYA MEMBAWA KEPADA PEMBENTUKAN NEGARA BANGSA YANG BERDAULAT, BERDIRI MEGAH ATAS NAMA MALAYSIA. Sememangnya semangat 41 Pertubuhan Melayu di seluruh Tanah Melayu termasuk Singapura pada ketika itu bermatlamat untuk membentuk sebuah Pertubuhan Melayu Bersatu dan penerimaan bangsa Melayu pada ketika itu terus di terima sehingga memungkinkan enam (6) Perdana Menteri mentadbir Negara. Sehinggalah berlakunya peristiwa tertentu yang berlaku di dalam negara sejak beberapa tahun kebelakangan yang lalu yang memisahkan semangat perpaduan bangsa dan membentuk puak-puak dalam satu bangsa. 

Suhu politik semakin membara, menyemarakkan api persengketaan, menanti masa untuk meluap dan dengan kehadiran unsur-unsur menghasut yang mampu mencetuskan huru-hara dan perbuatan seumpama itu bukan sahaja amat berbahaya tetapi juga boleh memusnahkan kerukunan rakyat dan negara. Kebawah Duli Tuanku sememangnya amat menyedari bahawa Institusi Raja dan takhta pada setiap masa wajib berada di atas politik kepartian, memisah dan menjauhkan diri dari terlibat secara langsung dalam urusan dan kegiatan politik kepartian. 

Dari masa ke semasa Kebawah Duli Tuanku senantiasa menzahirkan pelbagai subjek, atas hasrat untuk memastikan bahawa negara terus kukuh dan aman – warga terus sejahtera dan makmur. Perbuatan oleh pihak tertentu memanipulasi titah Kebawah Duli Tuanku memberi implikasi dan boleh menimbulkan salah faham di kalangan sebahagian rakyat; seolah-olah Kebawah Duli Tuanku secara langsung telah menzahirkan sokongan terbuka kepada kumpulan politik tertentu dan pada masa yang sama telah memperkecilkan kumpulan politik lain. Perbuatan tersebut sebenarnya boleh disifatkan telah mengheret istana ke dalam kancah politik kepartian serta boleh dianggap telah melanggar tatasusila serta kesopanan adab dan tertib berpolitik secara berhemah. 

Kebawah Duli Tuanku senantiasa menzahirkan peringatan kepada Orang Besar-Orang Besar di negeri Selangor supaya berwaspada dan berhati-hati dalam perkataan dan tindak tanduk supaya mencerminkan sifat berkecuali dan tidak terlibat secara langsung dalam program-program yang dianjurkan atas nama parti politik dan bermatlamatkan politik kepartian. Takhta pemerintahan senantiasa berpendirian berkecuali, berada di atas politik kepartian agar dapat berperanan secara saksama sebagai payung negeri serta dapat diterima tanpa ragu sebagai institusi penyatuan dalam kepelbagaian, terutama untuk menangani sebarang pertentangan dan pertelagahan yang berlaku di kalangan rakyat Kebawah Duli Tuanku. 

Sekian takrifan, 

Y.D.M TENGKU DATO’ PROF. DR. JAMALUDDIN BIN TENGKU MAHMUD SHAH AL-HAJ 
TENGKU ORANG KAYA MAHA BIJAYA SEPANG 
MERANGKAP PENASIHAT PERSATUAN MELAYU BUGIS SELANGOR - DAERAH SEPANG. 

13 Disember 2017

Sumber dari Page FB Persatuan Melayu Bugis Selangor - Daerah Sepang. 

Translate