22 March 2008

BENDAHARA KESULTANAN MELAKA

Bendahara Melaka merupakan satu jawatan pemeritahan zaman Kesultanan Melayu Melaka yang hampir sama taraf dengan Perdana Menteri kini. Bendahara merupakan ketua semua pembsar Melaka dan ketua kerajaan yang membuatkan jawatan ini kedua terpenting selepas raja Melaka. Bendahara diberikan kuasa untuk menjaga keselamatan Melaka secara keseluruhannya.

Selain itu, bendahara turut menjalankan undang-undang Melaka yang terdiri daripada Hukum Kanun Melaka dan Undang-undang Laut Melaka. Hal ini membuatkan bendahara turut berperanan sebagai hakim dan mempunyai mahkamah sendiri yang dinamakan Balai Bendahara. Kuasa kehakiman bendara meliputi semua kes jenayah kecuali hukuman bunuh yang hanya boleh dilaksanaan oleh raja.

Bendahara turut mempunyai pengaruh yang besar hinggakan perlantikan raja yang baru turut dijalankan oleh bendahara. Sebagai penasihat raja, bendahara bertanggungjawab untuk menjaga hubungan antara Melaka dan negara asing. Bendahara juga harus memasikan kesetiaan rakyat kepada raja Melaka adalah tidak berbelah bahagi dan mengelakkan dari sebarang penderhakaan dan pemberontakan.

Bendahara-Bendahara Melaka

1.Bendahara Seri Wak Raja I, Tun Perpatih Permuka Berjajar, Radin Bagus
2.Bendahara Seri Amar Di Raja, Radin Anum
3.Bendahara Seri Wak Raja II, Tun Perpatih Sedang Bin Tun Perpatih Permuka Berjajar
4.Bendahara Seri Nara Di Raja, Tun Ali Bin Raja Benua Kaling Mani Purindam
5.Bendahara Seri Paduka Raja, Tun Perak Bin Tun Perpatih Sedang
6.Tun Perpatih Putih Bin Tun Perpatih Sedang
7.Bendahara Seri Tun Mutahir Bin Tun Ali
8.Bendahara Seri Paduka Tuan, "Bendahara Tepok"

TUN ALI

Bendahara Seri Nara Di Raja bin Raja Benua Kaling Mani Purindam adalah Bendahara Melaka yang ke-4. Beliau merupakan anak kepada Baginda Mani Purindam, orang kaya dari India dan Tun Rana Sandari Tun Perpatih Besar. Beliau telah meninggal dunia pada pada tahun 1456 dan digantikan oleh Bendahara Tun Perak.

Sebelum menjadi bendahara, Tun Ali pernah menjadi Penghulu Bendahari kepada Sultan Muhammad Syah. Selepas isteri pertamanya meninggal, beliau telah berkahwin dengan Tun Kudu Tun Perpatih Sedang, yang sengajakan diceraikan untuknya oleh Sultan Muzaffar Syah (Raja Kassim). Salah seorang anaknya dengan Tun Kudu, Tun Mutahir turut dilantik sebagai bendahara.

TUN PERAK

Bendahara Seri Paduka Raja Tun Perak bin Tun Perpatih Sedang (Meninggal 1498) ialah Bendahara Melaka yang ke-5, adalah Bendahara yang termasyhur antara semua bendahara Melaka. Pangkat ini yang membawa gelaran "Bendahara Paduka Raja" dalam Kesultanan Melayu Melaka adalah setanding dengan Perdana Menteri moden. Tun Perak, bersama-sama dengan Aria Gajah Mada dari Majapahit, dan Raja Kenayan dari Pasai, telah dianggap sebagai tiga orang pentadbir yang teragung di alam Melayu pada abad ke-15.

Tun Perak ialah anak Bendahara Seri Wak Raja dan beliau telah menjadi Penghulu Kelang dari tahun 1445 ketika berlangsungnya permusuhan antara kerajaan Siam dan Melaka. Maka, Tun Perak diperintahkan untuk datang ke Melaka bersama-sama orang Kelang yang lain, lelaki mahupun perempuan. Tindakan Tun Perak membawa sekali golongan perempuan menimbulkan persoalan pada Sultan Muzaffar Syah kerana mereka dikehendaki berperang. Tun Perak memberi alasan bahawa kedatangan perempuan adalah supaya lelaki akan berperang lebih bersungguh-sungguh untuk melindungi anak dan isteri mereka.
Setelah menewaskan percubaan Siam untuk menakluk Melaka pada tahun 1446, beliau dilantik oleh baginda Sultan Muzaffar Syah sebagai Bentara.

BENDAHARA PEMBINA EMPAYAR

Setelah Tun Perak menjadi Bentara, beliau tidak digemari oleh Tun Ali, iaitu Bendahara ketika itu. Tun Ali yang berketurunan Tamil ketika itu sudahpun lanjut usianya. Perkara tersebut mengkhuatirkan sultan yang hendak melantik Tun Perak sebagai pengganti Tun Ali. Disebabkan risau dengan perbalahan antara pembesar yang memungkinkan kejatuhan pentadbiran negara, baginda mengahwinkan Tun Ali dengan Tun Kudu Tun Perpatih Sedang, iaitu kakak kepada Tun Perak dan isteri baginda sendiri. Baginda yang sanggup menceraikan Tun Kudu menerima keputusan yang dijangkakan bahawa Tun Ali sudahpun berbaik dengan Tun Perak.

Kemudian, baginda melantik Tun Perak sebagai Bendahara yang bergelar Paduka Raja pada tahun 1456 sementara Tun Ali, Bendahara keempat, diantik sebagai Penghulu Bendahari dengan gelaran Seri Nara Diraja.

Ketika Tun Perak menjawat jawatan Bendahara, beliau telah menakluk negeri-negeri di pantai Selat Melaka seperti Rokan, Siak, Kampar dan Inderagiri di pulau Sumatera serta Johor, Pahang, Kelantan, Terengganu dan Perak yang menjadikan semua negeri ini sebagai jajahan takluk Melaka manakala Kedah pula menjadi negeri naungan Melaka. Dengan ini, Melaka telah menjadi sebuah empayar yang besar. Tidak kurang juga bagi aspek lain apabila Melaka membangun sehingga mencapai kekuatan dari segi politik, sosial, dan ekonominya. Kepesatan pembangunan di Melaka telah menarik banyak pedagang asing dari China, India, Timur Tengah, serta negara-negara jiran yang lain.

PELANTIK RAJA

Sebagai Bendahara Melaka yang berpengaruh, Tun Perak mempunyai kuasa untuk melantik raja Melaka. Lazimnya, beliau akan memilih raja yang mempunyai perkaitan persaudaraan dengannya. Sebaga contoh, Sultan Alauddin Riayat Syah yang dilantik beliau merupakan anak saudara beliau.

Tun Perak juga telah meletakkan Raja Muhammad, putera sulung Sultan Perak menjadi Raja Pahang tetapi bukan sebagai Raja Melaka. Keputusan itu dibuat berikutan peristiwa Raja Muhammad membunuh Tun Besar, anak Tun Perak dalam satu permainan sepak raga.

Sultan Alaudin Riayat Syah pula mangkat pada 1488 dan lazimnya, putera sulung baginda, Raja Menawar akan dilantik sebagai raja tetap baginda hanya dilantik sebagai Raja Kampar manakala putera Sultan Alaudin yang lebih muda yang juga merupakan cucu Tun Perak iaitu Raja Mahmud, telah dilantik sebagai Sultan Mahmud.
Beliau meninggal dunia pada tahun 1498 ketika pemerintahan Sultan Mahmud Syah setelah bernaung di bawaah empat pemerintahan sultan iaitu Sultan Muzaffar Syah, Sultan Mansur Syah, Sultan Alauddin Riayat Syah dan Sultan Mahmud Syah. Setelah kematian beliau, baginda sultan melantik Tun Perpatih Putih, adik Tun Perak sebagai Bendahara Melaka yang ke-6.

TUN PERPATIH PUTIH

Tun Perpatih Putih bin Tun Perpatih Sedang ialah adik Tun Perak serta bendahara Melaka kepada Sultan Mahmud Shah (1488 - 1511).

Apabila Sultan Mansur Shah (1456 - 1477) hendak menjalin hubungan diplomatik dengan China, baginda menghantar Tun Perpatih Putih sebagai utusannya, dengan sepucuk surat untuk Maharaja Jingtai. Tun Perpatih berjaya menarik hati Maharaja China dengan kemasyhuran dan ketersergaman Kesultanan Melaka sehingga Maharaja tersebut menghadiahi puterinya, Hang Li Po, untuk dijadikan isteri Sultan.

Selepas Bendahara Paduka Tun Perak meninggal dunia pada tahun 1498, Sultan Mahmud Shah melantik Tun Perpatih Putih sebagai bendahara Melaka yang baru dan kemudiannya dikenali sebagai Bendahara Putih.

Apabila Bendahara Tun Perpatih Putih meninggal dunia, Sultan Mahmud melantik Tun Mutahir Temenggung Seri Maharaja, anak Tun Ali, sebagai bendahara Melaka.

TUN MUTAHIR

Bendahara Seri Tun Mutahir bin Tun Ali, atau terkenal dengan gelaran Temenggung Seri Maharaja, merupakan Bendahara Melaka ke-7. Beliau dilantik menjadi bendahara selepas kematian bapa saudaranya Tun Perpatih Putih. Bapanya ialah Tun Ali manakala ibunya Tun Kudu. Datuknya sebelah bapa, Baginda Mani Purindan adalah seorang India-Muslim.

Sebelum menjadi bendahara, Tun Mutahir merupakan Temenggung Melaka. Beliau kemudian dilantik menjadi Bendahara oleh Sultan Mahmud Syah, manakala anaknya Tun Hasan menggantikannya sebagai temenggung.

Perlantikan Tun Mutahir sebagai Bendahara Melaka menimbulkan semula persaingan antara orang Melayu dengan orang India-Muslim untuk mendapatkan pengaruh. Persaingan ini berpunca daripada amalan pilih kasih dalam pentadbirannya. Sebagai contoh, konflik perebutan pengaruh antara Laksamana Khoja Hassan dengan Tun Mutahir dan peristiwa Raja Mendeliar yang memfitnah Tun Mutahir cuba mengatasi kekayaan sultan. Ini menyebabkan sultan telah membunuh Tun Mutahir dan ahli keluarganya tanpa usul periksa. Kesannya rakyat berpecah belah dan rakyat tidak bersatu padu. Keadaan ini telah menjejaskan keutuhan kerajaan serta kegiatan perdagangan di Melaka. Susunan Bendahara Johor Sebelum Tun Habib Abdul Majid Tun Seri Lanang, atau nama sebenarnya Tun Muhammad, penyusun buku Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu berasal dari keturunan bendahara-bendahara Melaka dan Johor. Beliau adalah anak kepada Paduka Raja Tun Ahmad Temenggung Johor. Susur galur ke atas daripada Tun Seri Lanang tidak ada apa keraguan lagi dan sejarahwan-sejarahwan Melayu semuanya telah bersepakat tentang titir butir keturunannya. Pada masa pemerintahan Sultan Abdul Jalil II (1570-1597M), Tun Seri Lanang telah dilantik menjadi Bendahara bagi Kesultanan Johor Lama bergelar Bendahara Paduka Raja. Dalam tahun 1613M, iaitu semasa Johor dalam pemerintahan Sultan Alauddin Riayat Syah (1597-1613M), terjadi peristiwa Perang Batu Sawar yang mana Acheh telah menyerang Johor dan menawannya. Sultan Alaudin, adindanya Raja Abdullah, Tun Seri Lanang dan ramai lagi pembesar-pembesar serta rakyat Johor dibawa ke Acheh. Tun Seri Lanang kemudiannya menjadi penguasa atau Uleebalang Samalanga, iaitu sebuah wilayah otonom Acheh serta menjadi penasihat Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam (1607-36M), Sultan Iskandar Thani (1636-41M) dan Sultanah Seri Safiatuddin Tajul Alam Shah (1641-75M). Tun Seri Lanang yang dikenali juga dengan gelaran ‘Dato’ yang ke Acheh’ telah melahirkan keturunan bangsawan Acheh yang ramai, mangkat pada tahun 1659M dan disemadikan di situ. Mengikut adat Melayu lama, kesemua pangkat pembesar-pembesar negeri seperti Sultan, Bendahara dan Temenggung adalah hak warisan turun temurun. Oleh itu Sejarah Johor menyebut bahawaTun Anum, putera Tun Seri Lanang yang tertua telah diberi kedudukan Bendahara Johor berikutnya setelah peninggalan ayahndanya ke Acheh. Kemungkinan Tun Anum inilah Bendahara Johor yang dikatakan meninggal dunia beserta beberapa orang pembesar Johor lain akibat terkena wabak taun dalam tahun 1642M dan dimakamkan di Makam Tauhid (Makam Sayyid)[1], Kota Tinggi, iaitu dalam kampong yang sama dengan kompleks makam Tun Habib Abdul Majid dan kompleks makam Sultan Mahmud Shah II, atau Marhum Mangkat di Julangan. Selepas Tun Anum, adindanya Tun Jenal pula menjadi Bendahara bergelar Paduka Raja atau Bendahara Sekudai. Beliau amat berjasa dalam menerajui suatu angkatan hulubalang Johor menumpaskan cengkaman Portugis di Melaka pada tahun 1641M. Peristiwa tersebut tercatat dalam Hikayat Hang Tuah[2]. Kemangkatan Bendahara Paduka Raja Tun Jenal tidak dapat dipastikan tarikhnya. Selepas Tun Jenal, adindanya Tun Mat Ali pula menjadi Bendahara Paduka Maharaja. Kemudian anak Tun Mat Ali yang bernama Tun Rantau menggantikannya sebagai Bendahara Seri Maharaja[3].Bendahara inilah yang kemudiannya ditawan oleh Ratu Jambi dalam peperangan Johor-Jambi tahun 1673M, yang kemudiannya berubah menjadi ‘tahanan sukarela’ sehingga akhirnya dijemput tinggal di sana. Tun Rantau mangkat di Jambi dalam tahun 1675M[4]. Di bawah ini merupakan senarai bendahara-bendahara Johor Lama yang turun dari titisan bendahara-bendahara Melaka, iaitu sehingga kepada bendahara Tun Rantau yang mangkat di Jambi. 1. Bendahara Paduka Raja Tun Khoja Ahmad 2. Bendahara Seri Maharaja Tun Biajid (Dato’ Bendahara Johor) 3. Bendahara Tun Nara Wangsa Tun Mahmud 4. Bendahara Seri Maharaja Tun Isap Misai (Dato’ Bendahara yang tua) 5. Bendahara Paduka Raja Tun Muhammad (Tun Seri Lanang/Dato’ yang ke Acheh) 6. Bendahara Seri Maharaja Tun Anum (putera Tun Seri Lanang) 7. Bendahara Paduka Raja Tun Jenal (putera Tun Seri Lanang) 8. Bendahara Paduka Maharaja Tun Mat Ali (putera Tun Seri Lanang) 9. Bendahara Seri Maharaja Tun Rantau (putera Tun Mat Ali) Hikayat Melayu edisi Betawi mencatatkan seperti berikut ; “ …dan Bendahara yang Batulah matinya mangkat kerja Raja Johor kerana Bendahara keturunan Demang Lebar Daun dan keturunan anak cucu To’ Sekudai bertuah, sampailah kepada anak cucu dialah yang durhaka kepada Raja Johor [5]. Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu mengenalkan putera Tun Seri Lanang yang bernama Tun Jenal dengan gelaran Bendahara Paduka Raja DATO’ SEKUDAI. Kenyataan ‘…dialah yang durhaka kepada Raja Johor’ merujuk kepada peristiwa kemangkatan Sultan Mahmud Shah II dalam peristiwa ‘Marhum Mangkat di Julangan’ pada tahun 1699M. Dalam tragedi tersebut, Bendahara Paduka Raja Tun Habib Abdul Jalil(putera Bendahara Padang Saujana) beserta kepimpinan pembesar tertinggi Johor telah bersepakat untuk merestui tindakan Megat Seri Rama membunuh Sultan Mahmud Shah kerana telah melakukan jenayah besar membunuh isterinya yang sedang sarat mengandung selain perangai baginda yang tidak siuman. Dengan kemangkatan Sultan Mahmud Shah tanpa zuriat, maka Bendahara Tun Habib Abdul Jalil diangkat menjadi Raja Johor berikutnya, bergelar Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV. Bermakna kenyataan Hikayat Melayu edisi Betawi ini memberikan hubungan kekeluargaan diantara Bendahara Paduka Raja Tun Jenal (Dato’ Sekudai) bin Bendahara Paduka Raja Tun Muhammad (Tun Seri Lanang) dengan Sultan Abdul Jalil Shah IV ibni Bendahara Seri Maharaja Padang Saujana Tun Habib Abdul Majid. Ringkasnya, senarai salasilah bendahara-bendahara Johor dari Bendahara Paduka Raja Tun Seri Lanang ke atas tiada kemusykilan dan telah dipersepakati oleh ahli sejarah bahawa mereka semuanya adalah dari jurai satu keluarga dan kerabat yang sama (rujuk Sejarah Melayu), iaitu titisan bendahara-bendahara Melaka yang turun ke Johor selepas Melaka dijajah Portugis. Begitu juga dengan salasilah Bendahara Seri Maharaja Tun Habib ke bawah sehingga melahirkan beberapa jurai kesultanan seperti Kesultanan Johor,Pahang dan Terengganu, juga tiada kemusykilan lagi. Bagaimanapun, wujud kontraversi dan polemik tentang salasilah yang menghubungkan Tun Seri Lanang dengan zuriatnya Tun Habib Abdul Majid, sehingga mencetuskan versi-versi yang berlainan. Kerana hubungan kekeluargaan diantara Tun Habib Abdul Majid dengan Tun Seri Lanang bukanlah hubungan darah secara langsung. Hakikatnya, persoalan kepada hubungan ini akan dapat disingkap sepenuhnya melalui pengkajian daripada dua sumber yang berlainan, namun kedua-duanya sama penting kerana akan membawa kepada natijah, ataupun jawaban yang sama, iaitu tentang sejarah kemasukan titisan ahlul-bait Rasulullah SAW ke dalam jurai keluarga bendahara Johor Lama ini sehingga melahirkan bangsawan Melayu tersohor bernama Bendahara Seri Maharaja Padang Saujana Tun Habib Abdul Majid itu. Dalam hal ini melalui sumber Salasilah Muar, kita telahpun dimaklumkan tentang zuriat Sayyid Idrus yang bernama Sayyid Zainal Abidin, disebut sebagai berkahwin dengan kebangsi ataupun puteri Marhum Kota Tinggi, melahirkan Maharaja Seri Diraja yang kemudian beroleh tiga cahayamata iaitu Sayyid Jaafar, Bendahara Padang Saujana (Tun Habib Abdul Majid) dan Marhum Bakal. Maklumat tentang perkahwinan ahlul-bait Rasulullah SAW dengan keluarga bendahara Johor Lama sehingga melahirkan waris–waris Raja Temenggung Muar seperti yang dicatatkan pada sumber Salasilah Muar akan dapat diperkukuhkan dengan penyingkapan pula sumber sejarah daripada Negeri Sembilan, khususnya daripada riwayat-riwayat tradisi Sungai Ujong. Bermakna identiti sebenar Tun Habib Abdul Majid akan ‘diapit’ oleh waris-waris Temenggung Muar dan Sungai Ujong, sebagai keturunan yang masih hidup dan beranak pinak sehingga ke hari ini, malah masih terus memegang, memelihara serta melindungi salasilah leluhur yang dikongsi bersama sebagai kerabat daripada titisan keluarga Bendahara Johor serta ahlul-bait Rasulullah SAW! [1] Hj Buyong Adil, Sejarah Johor, 1980, hlm 80 [2] Menurut catatan yang disebut dalam Hikayat Hang Tuah, Bendahara Sekudai telah memerintahkan dipasang sigai pada kubu Famosa, lalu bersama-sama dengan hulubalang Johor memanjat sigai itu dan menyerbu ke dalam benteng, hanya dengan bercawat sahaja. Ramai pahlawan Melayu yang gugur kerana dibedil dengan penggada yang berduri seperti durian, dengan pahat dan beliung, namun hulubalang Johor naik juga dan naik terus, bertimbun mayat jatuh bergelimpangan namun yang lain terus naik sehingga sampai ke atas kubu. Bendahara sendiri dapat memimpin anak buahnya masuk ke dalam kubu, dan beramuk-amukan menyerang Portugis sehingga habislah mati dan jatuhlah benteng Portugis yang berdiri megah untuk lebih 130 tahun lamanya. [3] A Samad Ahmad, Sejarah Melayu, op. cit , hlm 196 [4] Dr. Muhammad Yusuff Hasyim & Dr. Aruna Gopinath, Pahang Darul Makmur, 1800-1930M, Lampiran I [5] R.O Winstedt, A History of Johore, op.cit, hlm 132 (nota kaki). Satu riwayat Sungai Ujung[1] mengketengahkan nama Bendahara Sekudai, disebut sebagai putera kepada Sultan Abdul Jalil yang memerintah Johor. Bendahara Sekudai telah datang ke Sungai Ujung, lalu berkahwin dengan puteri Batin Sibu atau Seribu Jaya yang bernama Dayang Mayang Mengurai sehingga lahirlah keturunannya yang menjadi para pembesar Sungai Ujung sehingga ke hari ini. Undang Luak Sg Ujung adalah waris daripada Bendahara Sekudai secara langsung. Dalam riwayat Sungai Ujung yang lain pula menyebut tentang putera Sultan Johor, iaitu Bendahara Sekudai yang mempunyai seorang puteri bergelar ‘Susu Ganda’, berkahwin dengan ‘seorang Sayid, Temenggung Muar’. Sementara satu lagi riwayat Sungai Ujung juga menyebut tentang wujudnya hubungan kekeluargaan diantara Bendahara Sekudai dengan Temenggung Muar. ‘Teromba yang ketiga’ darisejarah Rembau pula menyebut tentang Batin Sekudai yang menduduki Rembau, mempunyai tiga orang anak perempuan iaitu Tok Mudek yang menjadi leluhur kepada Kelana Putra dari Waris Sungai Ujong, Tok Bungkal yang menjadi leluhur kepada Waris Lela Maharaja Rembau dan Tok Mengkudu yang berkahwin dengan Syed dan keturunannya telah menjadi Bendahara di Pahang. Sementara riwayat yang lain pula menyebut Tok Mengkudu telah dibawa oleh Dato’ Sekudai ke Pahang, sementara puterinya Tok Bungkal telah ditinggalkannya di Rembau selepas berkahwin dengan Tok Lela Balang dari Minangkabau yang kemudiannya membuka daerah Kota. Nama Tok Mengkudu juga terdapat dalam riwayat-riwayat dari Sungai Ujung, yang membezakannya adalah pangkatnya sebagai cucu kepada Bendahara Sekudai. Sementara dari sumber Naning pula menyebut Tok Mengkudu sebagai puteri Bendahara Sekudai yang berkahwin dengan ‘’Tun Shahid Pahang’. Tentang Bendahara Sekudai, jumhur ahli sejarahwan Rembau, Sg Ujung dan Naning telah bersepakat tentang keberadaannya di beberapa kawasan Negeri Sembilan tradisional[2] sekitar pertengahan abad ke 17 Masihi, serta peristiwa keberangkatan Bendahara Sekudai ke Pahang, iaitu selepas beberapa lama menetap di kawasan Rembau dan Sg Ujung sehingga melahirkan beberapa orang zuriatnya di sana. Persoalannya, siapakah Dato’ atau Bendahara Sekudai yang dimaksudkan di dalam riwayat-riwayat ini? Apa yang pasti, Sultan Johor tidak pernah melahirkan seorang bendahara sehingga selepas bermulanya era kenaikan bendahara Johor ke taraf Sultan, iaitu Bendahara Tun Habib Abdul Jalil menjadi Sultan Abdul Jalil Shah IV (1699-1718). Namun sememangnya umum diketahui bahawa daerah Rembau, Sg Ujung dan Naning merupakan sebahagian daripada jajahan Kesultanan Melaka, selanjutnya Kesultanan Johor[3] sebelum dikuasai pula oleh orang-orang Minangkabau bermula akhir abad ke 18 Masihi, iaitu dengan pertabalan Yam Tuan Raja Melewar dalam tahun 1773 Masihi. Jika ditinjau sejarah Kesultanan Johor, Sultan Johor telah mewakilkan kepada bendahara Johor untuk menjaga daerah Rembau dan Sg Ujung sepertimana yang dinyatakan sendiri oleh Sultan Abdul Jalil Shah kepada wakil Belanda dalam tahun 1644 Masihi[4]. Kebetulan dalam senarai bendahara-bendahara Johor seperti yang telah disebutkan sebelum ini, sememangnya wujud seorang bendahara yang bergelar Dato’ Sekudai, iaitu putera kepada bendahara Paduka Raja Tun Seri Lanang. Nama sebenarnya adalah Tun Jenal, menjadi bendahara kepada Sultan Abdul Jalil Shah Johor (1625-1677). Maka sudah tentu beliaulah yang dimaksudkan oleh Sultan Abdul Jalil sebagai wakil baginda dalam menjaga daerah-daerah Negeri Sembilan yang tradisional dalam tahun 1644 Masihi. Dan Tun Jenal pula mempunyai seorang saudara yang bernama Tun Rembau[5], sementara bendahara Sekudai yang diriwayatkan dalam sejarah Rembau dikatakan pernah menetap di daerah Rembau. Jika kita susun semula sejarah Rembau, Sg Ujung dan Naning berdasarkan lagenda-lagenda tradisional dari terombo-terombo yang wujud, serta di buat kaji banding dengan sumber-sumber lain seperti sejarah Johor, Muar serta rekod-rekod Belanda, maka beberapa kesimpulan boleh dibuat, iaitu: 1. Identiti Dato’ Sekudai atau Bendahara Sekudai yang disebut dalam riwayat–riwayat tradisional Sg Ujung, Rembau dan Naning adalah hakikatnya seorang bendahara Johor, menjadi putera kepada Bendahara Paduka Raja Tun Seri Lanang, dan bukan putera kepada Sultan Abdul Jalil Johor. 2. Kaitan Dato Mengkudu, iaitu puteri Bendahara Sekudai yang berkahwin dengan seorang Sayyid, atau ahlul-bait Rasulullah SAW. 3. Hubungan Sayyid ini dengan Temenggung Muar, yang boleh ditahkikkan oleh manuskrip Salasilah Raja-raja Temenggung Muar sehingga melahirkan zuriat yang ramai sebagai bangsawan-bangsawan Muar sehingga pada hari ini 4. Keturunan daripada perkahwinan Dato’ Mengkudu dengan Sayyyid ini juga telah melahirkan zuriat ‘Tun’ dan bendahara-bendahara Pahang (yang dahulunya adalah sebahagian daripada jajahan empayar Johor). Perkara ini juga dapat ditahkikkan oleh Salasilah Raja-raja Temenggung Muar, iaitu kelahiran Bendahara Seri Maharaja Tun Habib Abdul Majid daripada jurai ini yang bukan sahaja melahirkan keturunan bendahara-bendahara Pahang, malahan melahirkan pemerintah-pemerintah dalam Kesultanan Johor dan Terengganu sehingga ke hari ini. [1] Terombo Luak Sungai Ujung [2] Dalam hal ini, walaupun sejarahwan Sungai Ujung telah bersepakat mentahkikkan kewujudan Bendahara Sekudai sehingga melahirkan zuriat yang ramai di daerah tersebut, namun sebahagian sejarahwan Rembau pula menyebut bahawa Dato’ Sekudai yang menjadi leluhur bangsawan Rembau adalah orang yang berbeza, iaitu seorang Tok Batin yang wujud kira-kira 100 tahun lebih awal daripada Bendahara Sekudai, iaitu dalam pertengahan abad ke 16 Masihi. [3]Semasa Sultan Muzaffar Shah memerintah Melaka (1445-1458) Sungai Ujung dibawah pegangan Bendahara Paduka Tun Perak dan Seri Nara Diraja Tun Ali. Dan semasa pemerintahan Sultan Mansur Shah Penghulu di Sungai Ujung bernama Tun Nakal. [4] Newbold, Politial & Statistical Account of the British Settlements in Straits of Malacca, Vol 1, hlm 199-212 [5] Tun Seri Lanang, Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu Dipetik daripada kertas kerja penulis bertajuk " Ahlul-Bait Rasulullah SAW & Salasilah Raja-raja temenggung Muar;Yang tersurat dan tersirat"

Translate