Showing posts with label Lipatan Sejarah. Show all posts
Showing posts with label Lipatan Sejarah. Show all posts

15 October 2020

RAJA SIR CHULAN - BAPA PERKHIDMATAN AWAM

 

BUKU RAJA SIR CHULAN - BAPA PERKHIDMATAN AWAM

Raja Sir Chulan merupakan satu nama besar di era pentadbiran British di Persekutuan Tanah Melayu @ Federated Malay States (F.M.S), namun dewasa kini ramai yang tidak mengetahui batang tubuh pemilik kepada identiti sebenar baginda iaitu D.Y.A.M Raja Sir Chulan ibni Almarhum Sultan Abdullah Muhammad Shah II, D.Y.A.M Raja Di-Hilir Perak. 

Baginda merupakan pegawai perintis dalam pembentukan Pegawai Melayu yang akan berkhidmat dalam Pentadbiran Kerajaan British yang pada ketika itu dikenali sebagai Malayan Civil Service (M.C.S) dan dikemudian dikenali sebagai Malay Administrative Service (M.A.S) dan dewasa ini dikenali sebagai skim perkhidmatan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD). 

Baginda telah menyandang beberapa jawatan penting ketika itu antaranya, Pegawai Penempatan, Pemangku Pemunggut Hasil Tanah, Pemangku Pegawai Daerah, Pegawai Daerah dan Majistret. Bersandarkan kreadibiliti yang dimiliki, baginda telah dilantik sebagai ahli Majlis Mesyuarat Negeri Perak (1906) dan juga ahli Majlis Persekutuan (1924). 

Ketokohan baginda amat disegani dan dihormati oleh pegawai British atas sumbangan signifikan baginda kepada negara wajar dinobatkan sebagai Bapa Pentadbiran Awam. Baginda orang pertama bukan dari kalangan Pemerintah menerima darjah kebesaran Knight Commander the Most Excellent Order of the British Empire (K.B.E) yang membawa gelaran Sir atas jasa dalam Perkhidmatan Awam. 

Baginda diklasifikasikan sebagai bijak pandai yang memiliki ilmu pengetahuan serta kepakaran dalam bidangnya serta di luar daripada bidangnya dan telah berperanan penting dalam membangunkan bangsa, negeri dan Persekutuan khususnya Perkhidmatan Awam.

PERINCIAN MENGENAI BUKU INI ADALAH SEPERTI BUTIRAN DI BAWAH :

HARGA: RM 100.00
*exc postage ✅POS RM 10.00 SM ✅POS RM 15.00 SS.

BERMINAT BOLEH WHATSAP DI NO 016-2851718

KARYA LAIN YANG DI JUAL



23 April 2018

RINGKASAN BIOGRAFI YANG AMAT MULIA TENGKU ARIS TEMENGGONG SELANGOR DARUL EHSAN

RINGKASAN BIOGRAFI
YANG AMAT MULIA TENGKU ARIS TEMENGGONG
SELANGOR DARUL EHSAN

Potret Yang Amat Mulia Tengku Dato’ Setia Muhammad Yusof Shah di Istana Alam Shah
sebagai Anak Raja Bergelar

1.        Pengenalan

Yang Amat Mulia Tengku Dato’ Setia Muhammad Yusof Shah merupakan Temenggong Pertama (I) dalam Institusi DiRaja Negeri Selangor semenjak terdirinya Kesultanan Negeri Selangor sekitar tahun 1743. Sebelum tahun 1937 belum pernah wujud gelaran Tengku Aris Temenggong. Yang Amat Mulia Tengku Dato’ Setia Muhammad Yusof Shah berpangkat Nenda kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj.
Yang Amat Mulia Tengku Dato’ Setia Muhammad Yusof Shah pernah diberikan kepercayaan dan amanah dibawah Jemaah Pemangku Raja Selangor ketika dibawah Pemerintahan Paduka Sri Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah apakala DTYM Raja Muda Selangor - Tengku Idris Shah telah memulakan pelayaran mengelilingi dunia menggunakan kapal layar. Jemaah Pemangku Raja Selangor itu terdiri daripada Y.A.M Tengku Bendahara Selangor – Tengku Azman Shah, Yang Amat Mulia Tengku Dato’ Setia Muhammad Yusof Shah, Y.D.M Engku Orang Kaya Maha Bijaya Sepang – Raja Redzwa, Y.D.H Orang Kaya To’ Engku Maha Bijaya Hulu Langat, dan Mufti Kerajaan Negeri Selangor bagi menjalankan tugas-tugas Sultan Selangor yang mendapatkan rawatan jantung di Orlando Amerika Syarikat.

Mengimbau kembali penglibatan Yang Amat Mulia Tengku Dato’ Setia Muhammad Yusof Shah dalam majlis yang melibatkan Institusi DiRaja Selangor bermula sekitar 1937 semasa Istiadat Menjunjung Duli Keberangkatan Pulang Paduka Ayahandanya; Paduka Sri Sultan Sir Ala’uddin Suleiman Shah Ibni Almarhum Raja Muda Musa dari England. Semasa Istiadat Kemahkotaan kekandanya; Paduka Sri Sultan Musa Ghiat’Uddin Riayat Shah, Yang Amat Mulia Tengku Dato’ Setia Muhammad Yusof Shah terlibat dalam membawa Mahkota bersama kekandanya; Y.A.M Tengku Seri Perdana. Demikian jua ketika Istiadat Pertabalan dan Kemahkotaan Anakanda saudaranya; Paduka Sri Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Yang Amat Mulia Tengku Dato’ Setia Muhammad Yusof Shah telah dipertanggungjawabkan sebagai Aide de camp [A.D.C.] @ Pengiring rapat yang mana pada ketika itu berkhidmat dalam Angkatan Udara Diraja Persekutuan.
Pada ketika istiadat pemasyhuran cucunda saudaranya; Paduka Sri Sultan Sharafuddin Idris Shah, Yang Amat Mulia Tengku Dato’ Setia Muhammad Yusof Shah telah memainkan peranan yang penting dalam menyembahkan Keris Panjang Beruk Berayun.
Penglibatan secara langsung Yang Amat Mulia Tengku Dato’ Setia Muhammad Yusof Shah dalam hal ehwal keistanaan, adalah ketika pemerintahan Anakanda saudaranya; Paduka Sri Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah sebagai D.Y.M.M. Sultan Selangor.

2.       Latarbelakang

Yang Amat Mulia Tengku Dato’ Setia Muhammad Yusof Shah telah diputerakan pada 28 April 1926. Hasil perkongsian hidup Paduka Ayahandanya; Paduka Sri Sultan Sir Ala’uddin Suleiman Shah Ibni Almarhum Raja Muda Musa bersama suri negeri baginda iaitu Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Fatimah binti Almarhum Sultan Sir Idris Murshid al-Azzam Rahmatu’llah Shah. Kekanda dan adinda seibu yang lain adalah;

Y.A.M. Tengku To’ Puan Nur Sa’adah – 7 November 1922
Y.A.M. Tengku Nur Anwar – 16 February 1924
Y.A.M. Tengku Nur Asikhin @ Khaladiah – 1925
Y.A.M. Tengku Abdul Rahman – 5 September 1927

Image may contain: 5 people
YAM Tengku Dato' Setia Muhamad Yusof Shah ibni Almarhum Sultan Sir Ala'eddin Suleiman Shah (YAM Tengku Aris Temenggong Selangor), YAM Tengku Nor Anuar, Almarhumah Tengku Puan Nor Sa'adah, Almarhumah Tengku Khaladiah, Almarhum Tengku Abdul Rahman

Yang Amat Mulia Tengku Dato’ Setia Muhammad Yusof Shah juga merupakan cucunda kepada Almarhum Paduka Seri Sultan Sir Idris Murshid al-Azzam Rahmatu’llah Shah Ibni Almarhum Raja Bendahara Alang Iskandar

3.       Pendidikan

Yang Amat Mulia Tengku Dato’ Setia Muhammad Yusof Shah telah mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Klang kemudian mendapat pendidikan di Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK) dan seterusnya melanjutkan pelajaran di Oxford, England. Rakan-rakan Yang Amat Mulia Tengku Dato’ Setia Muhammad Yusof Shah semasa di England adalah Almarhum Sultan Idris al-Mutawakkil Alallahi Shah II Ibni al-Marhum Sultan Alang Iskandar Shah Kaddasullah , Almarhum Tuanku Jaafar Ibni Almarhum Abdul Rahman, K.D.Y.M.M Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Riayatuddin Al-Muadzam Shah, Allahyarham Tun Abdul Razak bin Dato’ Hussein.

4.       Keperibadian

Yang Amat Mulia Tengku Dato’ Setia Muhammad Yusof Shah dibesarkan dalam perkarangan Istana Mahkota Puri, Klang dan apakala kemangkatan Paduka Ayahandanya, Yang Amat Mulia Tengku Dato’ Setia Muhammad Yusof Shah mengikuti bondanya Tengku Ampuan Fatimah pulang ke Istana Selangor, Kuala Kangsar, Perak. Namun pun begitu Yang Amat Mulia Tengku Dato’ Setia Muhammad Yusof Shah akan berangkat ke Klang seandainya ada majlis-majlis yang melibatkan hal ehwal keistanaan Selangor. Ketika kemangkatan Paduka Ayahandanya, Yang Amat Mulia Tengku Dato’ Setia Muhammad Yusof Shah berusia 12 tahun.
Yang Amat Mulia Tengku Dato’ Setia Muhammad Yusof Shah merupakan salah seorang yang mempunyai pengetahuan yang amat luas berhubung Adat Istiadat DiRaja Negeri Selangor dan mewarisi beberapa keperibadian serta kebolehan yang dimiliki oleh dari Almarhum Paduka Ayahandanya khususnya yang melibatkan kesenian.
Yang Amat Mulia Tengku Dato’ Setia Muhammad Yusof Shah ketika di zaman pendudukan Jepun di tanah Melayu telah menerima latihan ketenteraan yang ditaja oleh tentera Jepun dalam pasukan Giyutai.

5.       Pengurniaan Gelaran

Yang Amat Mulia Tengku Dato’ Setia Muhammad Yusof Shah telah dikurniakan gelaran Yang Amat Mulia Tengku Aris Temenggong Selangor pada tahun 1937 di usia 11 tahun oleh Paduka Ayahanda; Duli Yang Maha Mulia Paduka Sri Sultan Sir’ Alauddin Suleiman Shah Ibni Almarhum Raja Muda Musa dalam satu istiadat yang berlangsung di Istana Mahkota Puri, Klang dan Istiadat ini disertai dengan kekanda dan adindanya yang lain serta Dato’ Kehormat..
Mengimbau sejarah pengurniaan gelaran Tengku Aris Temenggong Selangor ini telah dipilih dan dicadangkan sendiri oleh kekandanya iaitu Yang Teramat Mulia Tengku Kelana Jaya Putra - Tengku Musa Uddin ( D.Y.M.M. Paduka Sri Sultan Musa Ghiat’Uddin Riayat Shah, 1942 – 1945 ) selaku Ketua Adat Istiadat Diraja Selangor pada ketika itu. Sebelum penganugerahan gelaran ini berikan, Paduka kekandanya telah mengadap kebawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Fatimah untuk memohon limpah perkenan bagi mengurniakan gelaran ini kepada Yang Amat Mulia Tengku Dato’ Setia Muhammad Yusof Shah.

6.       Jawatan

Yang Amat Mulia Tengku Dato’ Setia Muhammad Yusof Shah telah diberikan amanah dan tanggungjawab untuk menyandang beberapa jawatan penting di dalam dalam hal ehwal yang melibatkan keistanaan mahupun pentadbiran.

Penasihat Adat Istiadat DiRaja Selangor
Ahli Dewan DiRaja – Waris Lain
Anak Raja Bergelar

7.       Kerjaya

Yang Amat Mulia Tengku Dato’ Setia Muhammad Yusof Shah telah memulakan kerjaya pada tahun 1953 di Pejabat Setiausaha Negeri Selangor dan pada tahun 1957 telah menyandang jawatan Sergeant At Arms Di Dewan Mesyuarat Undangan Persekutuan sehingga Tanah Melayu mencapai Kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Kemudian dilantik menjadi Juruiring Pertama dan Setiausaha Sulit kepada Gabenor Negeri Pulau Pinang Y.B.M. Raja Sir Tun Uda bin Raja Muhammad. 

Image may contain: 1 person
Y.A.M Tengku Aris Temenggong Selangor - Tengku Muhammad Yusuf Shah Ibni Almarhum Sultan Sir' Ala'uddin Suleiman Shah ketika menjawatan Sergeant At Arms Di Dewan Mesyuarat Undangan Persekutuan

Minat yang mendalam dalam pasukan keselamatan telah membawa Yang Amat Mulia Tengku Dato’ Setia Muhammad Yusof Shah menyertai Pasukan Udara Sukarela Malaya di Pulau Pinang setelah lulus dalam Peperiksaan Kecekapan untuk latihan sebagai Juruterbang dan dilantik sebagai Pegawai interligence dalam pasukan tersebut. Kesungguhan yang mendalam membawa hasil apabila ditauliah sebagai salah seorang daripada 136 orang yang menerima Tauliah sebagai Juruterbang Angkatan Udara Diraja Persekutuan Tanah Melayu sekitar tahun 1958.
Mengimbau cita-cita untuk menjadi seorang Juruterbang Kapal Terbang Perang dalam tahun 1947 dan kemudian ingin pergi ke England untuk masuk berkhidmat dengan Angakatan Udara Diraja di sana. Namun tidak mendapat perkenan dari bonda. Namun cita-cita tersebut menjadi nyata apabila Angkatan Udara DiRaja Persekutuan Tanah Melayu membuka pemohonan pegawai baru. Maka peluang tersebut segera direbut dan memujuk bondanya dan menerangkan cita-citanya dan pujukan tersebut telah diperkenankan. Yang Amat Mulia Tengku Dato’ Setia Muhammad Yusof Shah telah meletakkan jawatan dari perkhidmatan sebagai Setiausaha Sulit kepada Gabenor Pulau Pinang dan masuk berkhidmat dalam Angkatan Udara Diraja Persekutuan Tanah Melayu. Semasa didalam perkhidmatan telah dilantik menjadi Juruiring kepada Pegawai Pemerintah Angkatan Udara Diraja Persekutuan Tanah Melayu, Air Commodore N C Hyde (30 May 1958: Air Force Member Armed Forces Council, Malaya).

8.       Perkahwinan

Yang Amat Mulia Tengku Dato’ Setia Muhammad Yusof Shah telah bersurikan Yang Mulia Tengku Puan Temenggong - Raja Datin Setia Saidatul-Ezam Binti Raja Kechil Besar Brigadier General [B] Raja Dato’ Seri Lope Nur Rashid pada tahun 1953 dengan diberikan geran sebanyak 1,000.00 dari Kerajaan Negeri sejajar dengan hak-hak sebagai putera Sultan.
No automatic alt text available.
Yang Amat Mulia Tengku Dato’ Setia Muhammad Yusof Shah bersama surinya Yang Mulia Tengku Puan Temenggong - Raja Datin Setia Saidatul-Ezam Binti Raja Kechil Besar Brigadier General [B] Raja Dato’ Seri Lope Nur Rashid

Majlis Perkahwinan Diraja telah berlangsung gilang-gemilang di Istana Negara dan dihadiri oleh para kenamaan dan diketuai sendiri oleh kekandanya iaitu Paduka Sri Sultan Sir Hisham’uddin Alam Shah Ibni Almarhum Sultan Sir Ala’uddin Suleiman Shah. Hasil perkongsian hidup Yang Amat Mulia Tengku Dato’ Setia Muhammad Yusof Shah bersama surinya dikurniakan 10 putera puteri iaitu 2 putera dan 8 puteri iaitu;

1.        Tengku Nariman
2.       Tengku Molfi
3.       Tengku Yasmin
4.       Tengku Soraya
5.       Tengku Zarinah
6.       Raja Molek Nazarian
7.       Tengku Zera
8.       Tengku Farah
9.       Tengku Mohd Sharifuddin
10.      Tengku Mohd Yaacob

Pada 16 Oktober 2014, suri Yang Amat Mulia Tengku Dato’ Setia Muhammad Yusof Shah iaitu Yang Mulia Tengku Puan Temenggong - Raja Datin Setia Saidatul-Ezam Binti Raja Kechil Besar Brigadier General [B] Raja Dato’ Seri Lope Nur Rashid telah kembali kerahmatullah pada usia 78 tahun dan telah di sempurnakan pemakaman di Makam DiRaja Selangor, Shah Alam.

Foto keluarga Yang Amat Mulia Tengku Dato’ Setia Muhammad Yusof Shah

9.       Darjah Kebesaran

Sepanjang menabur bakti dan taat setia pada Institusi DiRaja dan juga Negeri mahupun Negara, Yang Amat Mulia Tengku Dato’ Setia Muhammad Yusof Shah telah dikurniakan pingat dan darjah kebesaran Negeri seperti ;

  • Darjah Kerabat Selangor Kedua (D.K.II),
  • Darjah Seri Sultan Sharafudddin Idris Shah (S.S.I.S.),
  • Darjah Setia Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (S.S.A.),
  • Pingat Jasa Kebaktian (P.J.K.).

10.      Sumbangan

Ketokohan Yang Amat Mulia Tengku Dato’ Setia Muhammad Yusof Shah dalam hal ehwal keistanaan khususnya yang melibatkan adat istiadat dan sejarah negeri sering dijadikan tempat rujukan oleh pengamat sejarah dan pelajar-pelajar. Yang Amat Mulia Tengku Dato’ Setia Muhammad Yusof Shah amat menekankan bahawa sejarah itu perlu diceritakan tanpa perlu dipadam dan di manipulasi mahupun di tokok tambah. Sejarah tetap sejarah dan ianya perlu dibukukan tanpa rasa getar walaupun ianya sukar untuk ditelan mahupun diterima.

11.      Kesimpulan

Yang Amat Mulia Tengku Dato’ Setia Muhammad Yusof Shah telah mengalas gelaran selama 80 Tahun yang mana sepanjang tempoh tersebut telah banyak sumbangan yang diberikan baik kepada Negeri mahupun Institusi Diraja Selangor. Merupakan antara Anak Raja Bergelar yang paling lama memegang gelaran Temenggong di dalam Negara. Mengikut adat kedudukan Temenggong dalam adat Istiadat kerajaan Melayu Johor, Pahang, Riau, Lingga di bawah Seri Paduka Sultan Badrul Alam Shah memerintah, hanya Sultan, Yang Dipertuan Muda, Raja Muda, Bendahara dan Temenggong sahaja layak di palu Nobat. Ini mengambarkan bahawa kedudukan Temenggong adalah berada dalam hieraki yang tinggi.
Ketokohan Yang Amat Mulia Tengku Dato’ Setia Muhammad Yusof Shah dalam hal ehwal Adat Istiadat Selangor tidak dapat dinilai, bahkan tidak dapat diandaikan namun ianya semestinya terlalu luas sejak ianya memberikan khidmat dibawah dan menjaga kemuliaan Kebawah Duli-Duli Sultan, Yang di-Pertuan Negeri dan wilayah tanggungan Selangor di atas singgahsana takhta Kerajaan Negeri iaitu; Paduka Sri Sultan Sir Ala’uddin Suleiman Shah Ibni Almarhum Raja Muda Musa, Paduka Sri Sultan Musa Ghiat’Uddin Riayat Shah, Paduka Sri Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan Paduka Sri Sultan Sharafuddin Idris Shah.
          Keperibadian yang dimuliki oleh Yang Amat Mulia Tengku Dato’ Setia Muhammad Yusof Shah banyak mempunyai ciri-ciri dan jiwa almarhum paduka ayahandanya iaitu Paduka Sri Sultan Sir Ala’uddin Suleiman Shah Ibni Almarhum Raja Muda Musa khususnya yang melibatkan kesenian dan ketegasan dalam hal ehwal yang melibatkan adat istiadat.

13 December 2017

Kenyataan Taksiran Titah Wawacara Akhbar The Star Bersama D.Y.M.M. Tuanku Sultan Selangor Oleh Y.D.M Tengku Dato’ Prof. Dr. Jamaluddin Bin Tengku Mahmud Shah Al-Haj

KENYATAAN TAKSIRAN TITAH WAWACARA AKHBAR THE STAR BERSAMA D.Y.M.M.  TUANKU SULTAN SELANGOR OLEH Y.D.M TENGKU DATO’ PROF. DR. JAMALUDDIN BIN TENGKU MAHMUD SHAH AL-HAJ (TENGKU ORANG KAYA MAHA BIJAYA SEPANG MERANGKAP PENASIHAT PERSATUAN MELAYU BUGIS SELANGOR - DAERAH SEPANG). 

Dengan penuh kerendahan sifat dan bersandarkan yang pengetahuan cetek namun bersandarkan pengalaman yang ada maka dapatlah saya untuk menghuraikan mauduk Titah Wawacara Akhbar The Star Bersama DYMM Tuanku Sultan Selangor bersempena Ulang Tahun Keputeraan D.Y.M.M Tuanku Sultan pada 10 Disember 2017 yang lalu yang dikuatiri berpotensi mengundang impak negatif dan membawa pelbagai taksiran rakyat.

Pada hemat saya, sesungguhnya Kebawah Duli Tuanku menzahirkan dukacita melihat Y.A.Bhg. Tun Dr. Mahathir bin Mohamad menentang Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu/ United Malay National Organisation (UMNO), BUKAN ATAS FAKTOR MENYOKONG MANA-MANA PARTI POLITIK ATAUPUN MENCAMPURI URUSAN POLITIK, SESUNGGUHNYA BAGINDA AMAT MENGETAHUI RAJA BERPERANAN SEBAGAI TONGGAK KESTABILAN - SUMBER KEADILAN, TERAS PERPADUAN - PAYUNG PENYATUAN. 

Kebawah Duli Tuanku jua amat peka dalam dinamik politik yang sedang berlaku, maka bertambah penting bagi Raja Pemerintah untuk berada di atas segala yang sedang berlaku, BERSIFAT BERKECUALI SUPAYA DALAM KEADAAN BERLAKUNYA KRISIS, INSTITUSI RAJA BERUPAYA MEMBERIKAN NASIHAT, TEGURAN DAN PANDANGAN YANG MENCERMINKAN KEADILAN TANPA MEMIHAK. 
Sumber dari The Malaysian Insight 

Sejarah Penyatuan bangsa Melayu amat dekat dihati Kebawah Duli Tuanku dan menjadi kebimbangan polemik politik akan mengundang perpecahan bangsa kepada rakyat dibawah Payung Naungan Kebawah Duli Tuanku dan Duli-Duli Raja-Raja Melayu yang lain, kerna Nenda Kebawah Duli Tuanku iaitu ALMARHUM SULTAN HISHAMUDDIN ALAM SHAH IBNI ALMARHUM SULTAN ALAUDDIN SULEIMAN SHAH MEMPUNYAI SEJARAH SENTUHAN YANG AMAT PENTING DALAM MERINTIS SEMANGAT PERJUANGAN BANGSA APABILA TELAH MEMBERI LIMPAH PERKENAN DAN AMANAT SEMASA MERASMIKAN PERSIDANGAN PERSATUAN-PERSATUAN MELAYU YANG TELAH DIADAKAN PADA 1-4 MAC 1946 DI KELAB SULTAN SULAIMAN, KAMPUNG BARU, KUALA LUMPUR. 
Persidangan bersejarah tersebut dinamakan sebagai Kongres Melayu Se-Malaya yang telah dihadiri oleh 107 orang perwakilan dan 56 orang pemerhati rasmi dari 41 Pertubuhan Melayu di seluruh Tanah Melayu termasuk Singapura. Melalui perkenan dan sokongan Almarhum nenda baginda dalam Kongres tersebut telah membawa kepada sokongan Raja-Raja Melayu di Persekutuan Tanah Melayu bagi merealisasikan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (PEKEMBAR) dan secara tidak langsung memberikan tekanan kepada pihak British. Nenda Kebawah Duli Tuanku juga semasa merasmikan kongres telah MEMPERKENANKAN KURNIAAN SUMBANGAN PERIBADI SEBANYAK $ 5000.00 DAN TELAH BERTITAH (AMANAT) DUA PERKARA SEBAGAI ASAS PENYATUAN BANGSA MELAYU IAITU;

PERJUANGAN AGAMA ISLAM YANG AKAN MENGIKAT HATI NURANI BANGSA DAN; 
BERANI DAN TERUS MEMBELA DAN MEMPERJUANGKAN HAK ORANG MELAYU. 

Titah Kebawah Duli Tuanku sebenarnya merujuk kepada PENERIMAAN BANGSA MELAYU DAN RAKYAT KEPADA PERTUBUHAN KEBANGSAAN MELAYU BERSATU DALAM PENYATUAN BANGSA YANG AKHIRNYA MEMBAWA KEPADA PEMBENTUKAN NEGARA BANGSA YANG BERDAULAT, BERDIRI MEGAH ATAS NAMA MALAYSIA. Sememangnya semangat 41 Pertubuhan Melayu di seluruh Tanah Melayu termasuk Singapura pada ketika itu bermatlamat untuk membentuk sebuah Pertubuhan Melayu Bersatu dan penerimaan bangsa Melayu pada ketika itu terus di terima sehingga memungkinkan enam (6) Perdana Menteri mentadbir Negara. Sehinggalah berlakunya peristiwa tertentu yang berlaku di dalam negara sejak beberapa tahun kebelakangan yang lalu yang memisahkan semangat perpaduan bangsa dan membentuk puak-puak dalam satu bangsa. 

Suhu politik semakin membara, menyemarakkan api persengketaan, menanti masa untuk meluap dan dengan kehadiran unsur-unsur menghasut yang mampu mencetuskan huru-hara dan perbuatan seumpama itu bukan sahaja amat berbahaya tetapi juga boleh memusnahkan kerukunan rakyat dan negara. Kebawah Duli Tuanku sememangnya amat menyedari bahawa Institusi Raja dan takhta pada setiap masa wajib berada di atas politik kepartian, memisah dan menjauhkan diri dari terlibat secara langsung dalam urusan dan kegiatan politik kepartian. 

Dari masa ke semasa Kebawah Duli Tuanku senantiasa menzahirkan pelbagai subjek, atas hasrat untuk memastikan bahawa negara terus kukuh dan aman – warga terus sejahtera dan makmur. Perbuatan oleh pihak tertentu memanipulasi titah Kebawah Duli Tuanku memberi implikasi dan boleh menimbulkan salah faham di kalangan sebahagian rakyat; seolah-olah Kebawah Duli Tuanku secara langsung telah menzahirkan sokongan terbuka kepada kumpulan politik tertentu dan pada masa yang sama telah memperkecilkan kumpulan politik lain. Perbuatan tersebut sebenarnya boleh disifatkan telah mengheret istana ke dalam kancah politik kepartian serta boleh dianggap telah melanggar tatasusila serta kesopanan adab dan tertib berpolitik secara berhemah. 

Kebawah Duli Tuanku senantiasa menzahirkan peringatan kepada Orang Besar-Orang Besar di negeri Selangor supaya berwaspada dan berhati-hati dalam perkataan dan tindak tanduk supaya mencerminkan sifat berkecuali dan tidak terlibat secara langsung dalam program-program yang dianjurkan atas nama parti politik dan bermatlamatkan politik kepartian. Takhta pemerintahan senantiasa berpendirian berkecuali, berada di atas politik kepartian agar dapat berperanan secara saksama sebagai payung negeri serta dapat diterima tanpa ragu sebagai institusi penyatuan dalam kepelbagaian, terutama untuk menangani sebarang pertentangan dan pertelagahan yang berlaku di kalangan rakyat Kebawah Duli Tuanku. 

Sekian takrifan, 

Y.D.M TENGKU DATO’ PROF. DR. JAMALUDDIN BIN TENGKU MAHMUD SHAH AL-HAJ 
TENGKU ORANG KAYA MAHA BIJAYA SEPANG 
MERANGKAP PENASIHAT PERSATUAN MELAYU BUGIS SELANGOR - DAERAH SEPANG. 

13 Disember 2017

Sumber dari Page FB Persatuan Melayu Bugis Selangor - Daerah Sepang. 

27 November 2016

Dato Paduka Maharaja Lela Kepada D.Y.M.M Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong [1965-1967].

Istiadat Pertabalan D.Y.M.M Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong Pertama bagi Persekutuan Tanah Melayu

Y.A.M. Raja Kecil Besar Perak - Brigadier General Raja Dato’ Seri Lope Nur Rashid bin Raja Abdul Rahman Ibni Almarhum Sultan Abdullah Muhammad Shah II telah menerima tanggungjawab sebagai Dato Paduka Maharaja Lela Istana Negara mulai 21 September 1965 bagi mengantikan Dato' Seri Amar Diraja Nik Mustapha Fathil Bin Dato' Perdana Menteri Paduka Raja Nik Mahmud yang melepaskan jawatan tersebut selepas 7 tahun (28 May 1958,-21 Sept 1965) memberi khidmat kepada (3) tiga D.Y.M.M Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong. Sebelum itu, jawatan tersebut sebelum ini disandang oleh Dato Dr. Haji Mustapha Al-Bakri Bin Haji Hassan. 

Y.A.M ketika menjalankan tugas sebagai Dato Paduka Maharaja Lela

Setelah 2 tahun menjalankan amanah yang diberikan, jawatan tersebut telah diambil alih pula oleh Y.A.M. Tunku Kechil Muda - Tunku Dato’ Sri Mustapha bin Tunku Besar Burhanuddin pada 20 Oktober 1967. Pada ketika menjawat jawatan sebagai Dato' Paduka Maharaja Lela, Brigadier General Raja Dato’ Seri Lope Nur Rashid bergelar Y.A.M. Raja Kecil Besar Perak.

Sumber : Sembangkuala bagi carta hirarki Perlantikan Raja Pemerintah di Negeri Perak

Foto : Kiri sekali memperlihatkan Brigadier General Raja Dato’ Seri Lope Nur Rashid ketika dilantik sebagai Juruiring @ Aide De Coupe (ADC) Tentera kepada Yang Dipertuan Agong Pertama (1957-1961) manakala yang sedang mengadap D.Y.M.M Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong adalah Dato Paduka Maharaja Lela - Dato Dr. Haji Mustapha Al-Bakri Bin Haji Hassan. 

Senarai Pemegang Jawatan Datuk Paduka Maharaja Lela (Dahulu dikenali sebagai Dato' Maharaja Lela).
  1. Dato Dr. Haji Mustapha Al-Bakri Bin Haji Hassan merupakan Dato Paduka Maharaja Lela Pertama,
  2. Dato' Seri Amar Diraja Nik Mustapha Fathil Bin Dato' Perdana Menteri Paduka Raja Nik Mahmud merupakan Dato Paduka Maharaja Lela Kedua, 
  3. Y.A.M. Raja Kecil Besar Perak - Brigadier General Raja Dato’ Seri Lope Nur Rashid bin Raja Abdul Rahman merupakan Dato Paduka Maharaja Lela Ketiga, 
  4. Y.A.M. Tunku Kechil Muda - Tunku Dato’ Sri Mustapha bin Tunku Besar Burhanuddin merupakan Dato Paduka Maharaja Lela Keempat,

16 August 2016

Tugu Peringatan Perang Askar Melayu Diraja

Istiadat Pemeriksaan Pembarisan oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipetuan Agong
Tugu Peringatan Perang Askar Melayu Diraja telah dirasmikan oleh Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Hisham'uddin Alam Shah Ibni Almarhum Sultan Ala'uddin Suleiman Shah di Pusat Latihan Askar Melayu Port Dickson pada 2 Julai 1960.

Turut hadir di upacara perasmian tersebut ialah KDYMM Sultan Pahang, KDYMM Sultan Terengganu, KDYMM Sultan Kedah, DYMM Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, DYTM Raja Muda Selangor, DYMM Raja Perlis, DYTM Raja Bandahara Perak, TYT Gabenor Melaka, TYT Gabenor Pulau Pinang, YTM Undang Negeri Sembilan, YAB Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak merangkap Menteri Pertahanan, Ketua Turus Tentera, YDH Leftenan Jeneral Sir Rodney Moore, YAB Menteri-Menteri Besar dan perwakilan-perwakilan asing. 

Tugu seberat 14 tan ini dan berharga RM17,000 adalah diperbuat dari batu marmar yang bermutu tinggi. la dibina bagi mengenang jasa-jasa Rejimen Askar Melayu Diraja yang telah terkorban dalam Perang Dunia Kedua, 1942-1945 dan semasa Darurat, tahun 1948-1960. Sempena dengan upacara perasmian ini, satu perbarisan oleh 1000 orang tentera telah diadakan. 
Di samping itu juga 3 buah pingat Guard of Honour dan pingat Long Service telah dikurniakan kepada 3 orang pegawai dan 100 orang perajurit dari Batalion ke-7 oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Kemuncak perasmian ialah pelaburan bunga rampai dari udara oleh sebuah helikopter yang melambangkan kewangian jasa-jasa perajurit tanah air. 

Dengan penubuhan dan perasmian Tugu Pahlawan pada hari ini dalam tahun 1960, jasa-jasa perajurit tetap akan dikenang dan diabadikan. 

03 June 2016

TEKS SULALATUS SALATIN SEJARAH MELAYU - ADAT ISTIADAT DAN PANTANG LARANG DALAM

ADAT ISTIADAT KETINGGIAN RAJA-RAJA MELAYU 

Gambar sekadar hiasan Panca Persada

Adat mengadap raja di balairung,

Para pembesar akan disusun mengikut pangkat kebesaran masing-masing. Bendahara, Penghulu Bendahari dan Temenggung akan duduk di seri balai. Anak-anak raja akan duduk dibahagian serambi balai sebelah kiri dankanan. Sida-sida yang muda-muda akan duduk berselang seli  dengan Bentara dan hulubalang  yang berdiri di ketapakan balai.

Istiadat raja ke istana,

Gendang adi dipalu sebanyak tujuh ragam, nafiri dibunyikan.  Sampai kali ke tujuh, maka raja pun keluar bergajah di arak ke istana.   Mereka yang hadir akan duduk di tanah.

Adat menjunjung duli,

Empat lima orang kepala bentara yang terdiri daripada sida-sida akan duduk di Seri balai.  Segala perkakas diraja seperti ketur,kendi.kipas,dan barang sebagainya diselang selang kedudukannya. Sementara puan dan pedang berada dikelekan kiri dan kanan.  Pedang kerajaan akan dipikul oleh Laksamana atau Seri Bija DiRaja.

Adat menyambut kedatangan Utusan Kerajaan dari Iuar,

Sambutan terhadap kedalangan utusan adalah berbeza mengikut tahap kebesaran kerajaan tersebut. Apabila utusan dari kerajaan yang besar seperti Pasai dan Haru, sambutannya menggunakan selengkap alat kerajaan seperti gendang, serunai bcergajah dan lain-lain. Sekiranya utusan datang dari negeri yang kurang kebesarannya, alat kelengkapan keraiaan untuk sambutan akan dikurangkan, cukup sekadar gendang, serunai sahaja, atau berpayung kuning atau bergajah.  Walau bagaimanapun sepersalinan tetap akan diberikan.

Adat penganugerahan gelaran,

Adat ini dimulakan dengan menjemput mereka yang menerima gelaran ke istana. Jemputan penganugerahan adalah mengikut pangkat dan gelaran yang akan diterima. Jika "Perserian" orang besar-besar akan menjemputnya. 
Jika "Persangan",orang kecil menjemputnya. Jika "Pertuanan", orang sedang menjemputnya. Orang yang menerima anugerah akan dijemput dengan menggunakan gajah atau kuda. 
Di istana, riwayat mereka akan dibaca dan diberi persalinan mengikut gelaran yang diberikan. Untuk Bendahara diberi lima ceper persalinan, anak raja dan menteri empat ceper persalinan, dan ada yang tiada berceper sekadar diampu oleh hamba raja.

Adat istiadat perkahwinan di Raja,

Adat ini dimulakan dengan adat meminang dan adat berjaga-jaga selama empat puluh hari empat puluh malam. Setelah selesai adat berjaga-jaga itu barulah diadakan majlis akad nikah.  Misalnya perkahwinan antara Raja Omar dengan Raja Fatimah, bermula dengan menghantar sirih pinang dan emas belanja, perarakan dengan gajah dan akad nikah oleh kadi.

Adat menyambut malam tujuh likur atau malam dua puluh tujuh,

Pada waktu siangnya sejadah akan diarak ke masjid. Temenggung akan gajah, puan serta segala alat kerajaan dan gendang akan dibawa terlebih dulu kemasjid.  Keesokannya, laksamana akan mengarakkan serban. Raia-raja Melayu akan berangkat ke masjid bertengkolok dan berbaju sarung.

Adat Raja Berangkat pada hari raya secara berusungan,

Raja akan berangkat dengan usungan.  Kepala usungan kanan akan dipegang oleh Penghulu Bendahari dan sebelah kiri oleh Laksamana. Di sebelah belakang pula Menteri Kedua. Hulubalang berjalan di hadapan raja dengan membawa alat kerajaan di kiri dan kanan, sementara Bentara memikul pedang. Bendahara berjalan di belakang raja dengan kadi, pakeh segala orang besar dan segala menteri yang tua.

Adat menyambut hari raya.

Bendahara dan segala Orang Besar-besar akan duduk berkampung dan usungan akan diarak oleh Penghulu Bendahari. Apabila usungan tiba, segala orang yang duduk dibalai turun berdiri, beratur bersaf-saf gendang akan dipalu tujuh ragam, diiringi nafiri. selepas tujuh kali, raja berangkat menaiki gajah dan diarak ke masjid dan barulah ke istana.

PANTANG LARANG/ LARANGAN & HUKUMAN

Larangan memakai barangan berwarna kuning,

Orang-orang kebanyakan dilarang memakai sapu Langan, tepi tabir dan bantal besar yang berwarna kuning. Kain baju, destar yang berwarna kuning boleh dipakai sekiranya dianugerahkan oleh raja.

Larangan berbuat rumah bermanjungan bertiang gantung,

Rakyat dilarang membina rumah yang bertiang gantung dan tidak terletak ke tanah atau bertiang terus dari atap .

Larangan memakai penduk dan teterapan keris,

Orang kebanyakan dilarang bergelang kaki emas dan berkeroncong emas berkepala perak kecuali yang dianugerahkan oleh raja.

Larangan bertengkolok dan berbaju sarung,

Rakyat biasa tidak dibenarkan memakai baju sarung dan bertengkolok pada hari perkahwinan kecuali dikurniakan oleh raja. Sekiranya adat ini tidak dipatuhi, akandikenakan hukuman denda

Larangan berbaju keling,

Rakyat tidak dibenarkan memakai pakaian ini kecuali disediakan oleh orang-orang Besar.  Sekiranya adat ini tidak dipatuhi akan dikenakan hukuman denda.

Larangan berkelakuan biadap terhadap raja pembesar,

Rakyat mesti menghormati raja dan pembesar,  sekiranya engkar akan dijatuhkan hukuman bunuh. Contohnya Perpatih Hitam cuba dibunuh oleh Laksamana kerana menguis tikar di hadapan Bendahara.

Larangan menyebarkan fitnah,

Perbuatan menyebarkan fitnah adalah berdosa besar. Malah menyebabkan orang yang tidak bersalah teraniaya. Hukuman bunuh terhadap orang yang menyebar fitnah. Contohnya, Raja Mandaliar dan Kitul dijatuhkan hukuman bunuh kerana mereka yang bertanggungjawab menyebarkan fitnah.

Larangan tidak mengikut perintah raja,

Rakyat atau pembesar mesti mematuhi perintah kerana jika ingkar akan dikenakan hukuman bunuh. Contohnya,  Seri Bija Diraja diperintahkan bunuh oleh Sultan Mahmud Syah kerana tidak datang menghadap pada hari raya.

Larangan memakai sesuatu yang menjadi hak seperti isteri dan gundik raja,

Sesuatu yang menjadi hak raja tidak boleh diganggu kerana akan dijatuhkan hukuman bunuh. Contoh hukumah bunuh yang dijatuhkan kepada Hang Tuah yang dikatakan telah bermesra dengan salah seorang gundik raja.

Larangan menderhaka,

Rakyat tidak boleh sesekali menderhaka kepada raja.  Sekiranya menderhaka, mereka akan dikenakan hukuman bunuh. Contohnya hukuman bunuh ke atas Bendahara Seri Maharaja serta seluruh ahli keluarganya kecuali Tun Fatimah kerana dikatakan Bendahara sedang merancang untuk merampas kuasa atau cuba mencabar hak dan kedudukan raja.

Larangan menggunakan payung putih dan kuning,

Payung kuning untuk anak-anak raja dan orang-orang Besar. Manakala payung putih untuk raja. Sekiranya tidak dipatuhi akan dikenakan didenda pati, yakni sekati lima.

Larangan bersekedudukan dengan isteri orang atau merampas isteri orang,

Hukuman bunuh boleh dilakukan oleh si suami.  Contohnya Tun Biajid menimang-nimang lembingnya pada sultan kerana perbuatan Sultan Mahmud Syah berkendakdengan isterinya. Pengiring sultan cuba membunuh Tun Biajid kerana berkelakuan biadap depan sultan tetapi baginda melarang kerana tindakan Tun Biajid betul dari segi undang-undang.

Larangan mencuri dan mengambil harta orang atau barang orang yang tercicir,

Hukuman kepada pencuri ialah hukuman bunuh. Sesiapa yang terjumpa harta mesti dihantar ke balai yang disediakan.  Contohnya, semasa pemerintahan Sultan Alauddin Riayat Syah, baginda bertindak membunuh pencuri-­pencuri yang ditemuinya pada malam baginda menyamar keluar untuk membanteras kegiatan kecurian yang terlalu berleluasa.

Larangan menyembah pembesar sebelum menyembah raja atau di hadapan raja,

Perbuatan menyembah pembesar sebelum menyembah raja akan dihukum cerca.  Contohnya, Bendahara Seri Maharaja telah mencerca Raja Mandeliar kerana hendak menyembah Bendahara Seri Maharaja di balai raja.

Larangan mengambil tunangan atau anak dara orang,

Hukuman bunuh akan dikenakan. Contohnya, Sultan Abdul Jamal berusaha membunuh Hang Nadim kerana telah melarikan tunangannya Tun Teja. Tetapi gagal kerana Hang Nadim sempat berlepas menyelamatkan diri dengan kembali ke Melaka.

Larangan-larangan diraja mengenai perhiasan, pakaian dan peralatan diraja,

Larangan-larangan memakai kain kuning, membuat rumah dengan bentuk tertentu,  membuat perahu dengan kelengkapan tertentu, memakai perhiasan emas,  memakai keris tertentu dan lain-lain akan dikenakan hukuman sekati lima.

KEPENTINGAN ADAT ISTIADAT & PANTANG LARANG

1. Menggambarkan keagungan dan kebesaran raja

Kedudukan raja yang tinggi dalam struktur pemerintahan dapat dilihat melalui segala adat istiadat dan juga pantang larang yang menunjukkan perbezaan ketara dengan golngan rakyat.  Sebagai contoh, kedudukan raja semasa dalam balai penghadapan.  Begitu juga dari segi pemakaian emas adalah barangan yang amat berharga adalah khusus untuk untuk golongan raja sahaja.  Ini menunjukkan kedudukan dan ketinggian martabat raja di kalangan rakyat.

2. Menggambarkan Keagungan Kerajaan Melayu Melaka.

Adat istiadat yang disusun dan diperkenalkan oleh Sultan Muhammad Syah menunjukkan Kerajaan Melayu Melaka sebagai sebuah kerajaan yang agung, besar dan berdaulat.  Sistem pentadbiran yang tersusun di mana raja sebagai pemerintah dibantu oleh pembesar-pembesar yang berwibawa bagi melancarkan perjalanan pentadbiran negeri. 

3. Menggambarkan kesetiaan Rakyat.

Melalui adat istiadat dan pantang larang dapat menggambarkan masyarakat Melayu yang taat dan patuh serta sanggup menjunjung segala perintah dan peraturan yang dikenakan oleh golongan pemerintah.  Mereka beranggapan bahawa golongan raja adalah berdaulat dan wajib ditaati dengan berpegang teguh prinsip :Pantang Melayu Derhaka Kepada Raja”.

4.Mengukuhkan Institusi Istana dan Pembesar Melayu

Melalui adat istiadat dan pantang larang dapat menggambarkan institusi istana dan kuasa pembesar dilindungi daripada ancaman jahat yang cuba untuk menjatuhkan mereka kerana melalui adat dan pantang larang, rakyat seolah-olah dinafikan hak mereka.  Secara tidak langsung golongan istana dan pembesar akan dipandang tinggi dan mulia dan rakyat tidak berpeluang untuk mencabar institusi beraja.


30 December 2015

Tengku Aris Temenggong Selangor Ditauliah Sebagai Juruterbang Perjuang

Tengku Temenggong Selangor - Tok Temenggong.
Pakaian semasa berkhidmat sebagai Sergeant At Arms Di Dewan Mesyuarat Undangan Persekutuan

Yang Amat Mulia Tengku Dato’ Setia Muhammad Yusof Shah Ibni Almarhum Sultan Sir’ Alauddin Suleiman Shah jua bergelar sebagai Tengku Aris Temenggong Selangor mula membina kerjaya sehingga ditauliah sebagai salah seorang daripada 136 orang yang menerima Tauliah sebagai Juruterbang Angkatan Udara Diraja Persekutuan Tanah Melayu sekitar tahun 1958.

Mengimbau cita-cita untuk menjadi seorang Juruterbang Kapalterbang Penyerang dalam tahun 1947 dan kemudian ingin pergi ke England untuk masuk berkhidmat dengan Angakatan Udara Diraja di sana. Namun tidak mendapat perkenan dari bondanya iaitu Almarhumah Tengku Ampuan Fatimah Bin Almarhum Sultan Idris I. Namun cita-cita tersebut menjadi nyata.

Memulakan kerjaya pada tahun 1953 di Pejabat Setiausaha Negeri Selangor sekembalinya ke Tanah Melayu setelah berangkat untuk menuntut ilmu di England pada sekitar tahun 1948. Pada tahun 1957 telah menyandang jawatan Sergeant At Arms Di Dewan Mesyuarat Undangan Persekutuan sehingga Tanah Melayu mencapai Kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.

Dilantik menjadi Juruiring Pertama dan Setiausaha Sulit kepada Gabenor Pulau Pinang Y.B.M Raja Sir Tun Uda. Menghantar permohonan untuk masuk berkhidmat dengan Pasukan Udara Sukarela Malaya di Pulau Pinang setelah lulus dalam Peperiksaan Kecekapan untuk latihan sebagai Juruterbang. Dilantik sebagai Pegawai interligence dalam pasukan tersebut. Perkhidmatan tersebut jua adalah Sambilan.

Apakala Angkatan Udara Diraja Persekutuan Tanah Melayu membuka pemohonan pegawai baru sebagai Pegawai. Telah memujuk bondanya dan menerangkan cita-citanya setelah diperkenan. Telah meletakkan jawatan dari perkhidmatan sebagai Setiausaha Sulit kepada Gabenor Pulau Pinang dan masuk berkhidmat dalam Angkatan Udara Diraja Persekutuan Tanah Melayu. Semasa didalam perkhidmatan telah dilantik menjadi juruiring kepada Pegawai Pemerintah Angkatan Udara Diraja Persekutuan Tanah Melayu, Air Commodore N C Hyde (30 May 1958: Air Force Member Armed Forces Council, Malaya).

Sumber : Putera Diraja Berjiwa Perwira Tinggi Cita-Cita, Berita Harian, 3 June 1959,

Translate