15 October 2020

RAJA SIR CHULAN - BAPA PERKHIDMATAN AWAM

 

BUKU RAJA SIR CHULAN - BAPA PERKHIDMATAN AWAM

Raja Sir Chulan merupakan satu nama besar di era pentadbiran British di Persekutuan Tanah Melayu @ Federated Malay States (F.M.S), namun dewasa kini ramai yang tidak mengetahui batang tubuh pemilik kepada identiti sebenar baginda iaitu D.Y.A.M Raja Sir Chulan ibni Almarhum Sultan Abdullah Muhammad Shah II, D.Y.A.M Raja Di-Hilir Perak. 

Baginda merupakan pegawai perintis dalam pembentukan Pegawai Melayu yang akan berkhidmat dalam Pentadbiran Kerajaan British yang pada ketika itu dikenali sebagai Malayan Civil Service (M.C.S) dan dikemudian dikenali sebagai Malay Administrative Service (M.A.S) dan dewasa ini dikenali sebagai skim perkhidmatan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD). 

Baginda telah menyandang beberapa jawatan penting ketika itu antaranya, Pegawai Penempatan, Pemangku Pemunggut Hasil Tanah, Pemangku Pegawai Daerah, Pegawai Daerah dan Majistret. Bersandarkan kreadibiliti yang dimiliki, baginda telah dilantik sebagai ahli Majlis Mesyuarat Negeri Perak (1906) dan juga ahli Majlis Persekutuan (1924). 

Ketokohan baginda amat disegani dan dihormati oleh pegawai British atas sumbangan signifikan baginda kepada negara wajar dinobatkan sebagai Bapa Pentadbiran Awam. Baginda orang pertama bukan dari kalangan Pemerintah menerima darjah kebesaran Knight Commander the Most Excellent Order of the British Empire (K.B.E) yang membawa gelaran Sir atas jasa dalam Perkhidmatan Awam. 

Baginda diklasifikasikan sebagai bijak pandai yang memiliki ilmu pengetahuan serta kepakaran dalam bidangnya serta di luar daripada bidangnya dan telah berperanan penting dalam membangunkan bangsa, negeri dan Persekutuan khususnya Perkhidmatan Awam.

PERINCIAN MENGENAI BUKU INI ADALAH SEPERTI BUTIRAN DI BAWAH :

HARGA: RM 100.00
*exc postage ✅POS RM 10.00 SM ✅POS RM 15.00 SS.

BERMINAT BOLEH WHATSAP DI NO 016-2851718

KARYA LAIN YANG DI JUAL



20 February 2019

Ulasan Balas Kepada Dr. Zani - Blogger DestarMelayu.blogspot.com Berhubung Ulasan Semua Jenis Buku Destar, Tanjak, Tengkolok Yang ada Dipasaran.

Saya mengucapkan syabas atas keprihatinan Dr. Zani - Kangar, Perlis yang membangunkan sebuah blog DestarMelayu.blogspot.com dalam memberi Ulasan Semua Jenis Buku Destar, Tanjak, Tengkolok Yang ada Dipasaran. Ulasan balas saya adalah berhubung dengan ulasan yang telah Pengulas nyatakan dalam blog DestarMelayu.blogspot.com bertarikh 5 Feb 2019.

Jenis tulisan yang dipilih sangat susah untuk dibaca - SAYA TERIMA TEGURAN DAN MUNGKIN KERANA BUKU BERSIZE B5 DAN BUKANNYA A4. Apa yang saya faham buku ini hanya menceritakan mengenai adat istiadat dalam Istana Perak dan bukan adat Melayu - TAKSIRAN YANG SALAH OLEH PENGULAS, KERANA BUKU INI BERSIFAT BAHAN BACAAN UMUM DAN SEGALA ADAT BERMULA DI ISTANA KEMUDIAN TURUN KE BAWAH YANG KEMUDIANNYA DI JADIKAN SATU ATURAN DALAM NORMA-NORMA SOSIAL KEHIDUPAN MASYARAKAT.

Pengulas ada menyebut mengenai perbezaan Adat dan Istiadat seperti berikut;



Kesimpulannya segala adat (PERATURAN & PANDUAN) dalam sosial masyarakat bermula di Istana sebelum sampai ke bawah kerana punca kuasa datangnya dari Istana dan Paduka Seri Sultan adalah Ketua Adat Melayu.

Punca Kuasa dalam Hierarki 

Dalam buku ini hanya menerangkan jenis destar untuk kegunaan adat istiadat atau peraturan pemakaian destar dalam istana Perak dan bukan adat atau cara hidup orang Melayu -  Satu penelitian yang kabur kerana segala jenis tengkolok yang di nyatakan adalah yang terpakai di negeri Perak untuk Waris Negeri, Orang Besar dan pegawai Kerajaan (Orang kebanyakan). Pengulas tidak memahami pengertian asal usul adat melayu, pengulas perlu menyelami pengertian tersebut terlebih dahulu.

Pihak pengulas ada menyatakan “Kesimpulannya apa yang ada dalam buku ini tidak sesuai diikuti untuk pakaian harian atau untuk kegunaan luar istana - Untuk makluman dan pemahaman pengulas, segala adat bermula di Istana dan kemudian turun kepada setiap peringkat sehingga kepada pakaian harian masyarakat dengan syarat-syarat tertentu yang diperkenankan oleh Yang Di-Pertuan.

Bahagian pengenalan memang hebat sebab semua gunakan nama orang istana – Bukan guna nama tetapi merupakan Guru saya yang berstatus Waris Negeri dan Sejarawan Seri Saguntang yang berpengetahuan luas mengenai asal usul dan adat lembaga orang-orang Melayu Perak. Satu lagi Y.M Raja Kobat Salehuddin bukannya orang Istana, kena faham makna Waris Negeri dan Orang Istana.

Bentuk dalam gambar buku ini yang mengatakan sebagai tanjak Dendam Tak Sudah juga amat meragukan kerana tidak cukup bahagian untuk mencukupkan syarat sebagai tanjak Dendam Tak Sudah – Untuk makluman pengulas, Tengkolok bersolek Dendam Tak Sudah yang terdapat di dalam buku ini adalah versi Perak dan ianya diperkenalkan solek seakan Dendam Tak Sudah yang di ilhamkan oleh DYMM Paduka Seri Sultan Yusuf Izzuddin Rathiullah Ghafarullahulahu Shah ibni Almarhum Sultan Abdul Jalil Nasiruddin Muhtaram Shah sejak bergelar Bakal Raja. Perkara ini telah lama diketahui oleh Waris Negeri dan Kaum Kerabat yang berkecimpung dalam Hal Ehwal Kesenian dan kebudayaan Negeri Perak.

Solek Dendam Tak Sudah Versi Perak
Untuk makluman pengulas jua, Negeri Perak tiada falsafah mengenai Tengkolok, Negeri Perak menekankan kejelasan iaitu Pucuk Rebong sebagai simbol menggantikan Cap Halilintar dan Getang Pekasam pula mempunyai Simbol mercu Bukit Saguntang di hadapan hiasan hulu kepala.
Untuk pemahaman pengulas juga, di Perak sejak dahulu lagi orang besar ke bawah hanya memakai Getang Pekasam dan apakala rakyat berbusana melayu bertengkolok maka di letakkan syarat Garam Sebuku di Sebelah Kiri, sebagaimana yang pernah di Pakai oleh Governor Jepun pertama di Perak. Seperti mana yang di jelaskan kedudukan Garam Sebuku ini terpakai kepada Waris Negeri dan Kaum Kerabat, Pembesar dan Rakyat. Paduka Seri Sultan Perak dan Bakal Raja adalah tidak tertakluk.
 
D.Y.M.M Paduka Seri Sultan Abdul Aziz Al-Mutasim Billah Shah bersama Pegawai Jepun iaitu Governor of Perak - T. Kubota yang menggayakan busana Melayu lengkap bertengkolok berkedudukan GARAM SEBUKU DI SEBELAH KIRI.

Adakah ilustrasi bentuk tanjak pada bahagian luar buku menggunakan rujukan dari gambar tanjak Lang Menyonsong Angin Perak yang salah seperti satu gambar yang tersebar melalui internet seperti gambar ini? Ya, gambar ilustrasi muka hadapan buku adalah Helang Menyongsong Angin yang pernah diperagakan oleh Almarhum Paduka Seri Sultan Iskandar Shah Kadasallah.

Satu lagi isi kandungan yang mengelirukan ialah, dalam buku ini menyatakan bahawa simpul kiri untuk orang biasa dan hanya sultan sahaja memakai simpul di bahagian kanan. jika kita lihat gambar lama Sultan. Tetapi kalau dibandingkan dengan gambar sultan Perak yang lebih lama iaitu Sultan Yussuf Izzudin Shah ibni Almarhum Sultan Abdul Jalil (1948-1963) beliau memakai simpul belah kiri seperti gambar dibawah - (Teguran, Kata ganti nama bagi Paduka Seri Sultan adalah Baginda bukan BELIAU. Sultan adalah Ketua Adat dan yang terpakai di hulu kepala Baginda bukan Tengkolok tetapi Tanjak).

Pengulas ada menyatakan "Mengenai gambar tanjak Pucuk Pisang Patah yang dibuat dan dijadikan sebagai rujukan. Apabila dibandingkan dengan gambar lama kelihatan bahagian pucuknya tidak sama langsung. Bahagian pucuknya leper dan berbentuk Pucuk Rebung dan bukan Pucuk Pisang Patah. Pucuk Pisang Patah sepatutnya bentuk bulat dan bukan leper. Sila bandingkan bahagian pucuk antara dua gambar dibawah iaitu gambar dalam buku ini dengan koleksi gambar tanjak sultan lama dibawah".- Mengenai bentuk leper dan bentuk bulat itu bukan isu, kerana di Negeri Perak sebagaimana yang dinyatakan sebelum ini tiada istilah falsafah mengenai Tengkolok. Jarang kelihatan Pucuk Pisang Patah sebagaimana yang dinyatakan oleh pihak pengulas, dalam ratusan koleksi peribadi yang tersimpan oleh My Best Sifu In The World – Y.M Raja Kobat Salehuddin (Dengan Izin). Tengkolok Negeri Perak lebih khusus kepada Solek bukan Pucuk Rebong.

Dari kiri Y.M Raja Abdul Malek, Y.M Raja Azizul Khir, Y.M Raja Norman dan Y.M Raja Kobat Salehuddin ketika di Muzium Negara pada 15 - 18 Oktober 1996 dalam siri Bengkel Ikatan Tengkolok Negeri Perak. Foto Y.M Raja Kobat Salehuddin ibni Almarhum Raja Muda Musa.
Almarhum Sultan Abdul Aziz Al-Mu’tasim Billah Shah yang menggayakan Tengkolok Pucuk Pisang Patah yang Pucuk Rebong nya juga berbentuk leper

Pengulas menyatakan jua "Sedangkan dalam buku ini sendiri telah menerangkan bentuk Pucuk Rebung itu leper seperti gambar dibawah. Banyak lagi gambar tanjak dalam buku ini tidak sama dan amat lari dari seperti gambar lama-lama. Mungkin pengulas yang arif lagi bijaksana boleh memberi pandangan mengenai Tanjak yang terpakai oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong seperti di bawah (Tolak no. 1, no. 14 da. no. 16 masalah teknikal), adalah semuanya kelihatan sama, dan tiada satu pun yang berbeza dari pandangan mata. Soalan kepada Tuan yang mana satu huruf A, yang ini kah A ataupun yang ini kah A ataupun yang ini huruf A. Ataupun semua huruf tersebut adalah A.



KESIMPULANNYA, PENGULAS BANYAK TIDAK MENGETAHUI HAL EHWAL YANG TERKANDUNG DALAM NEGERI PERAK YANG MELIBATKAN KEBUDAYAAN DAN KESENIAN. BERKEMUNGKINAN JUA PENGULAS TIDAK MENGETAHUI KEWUJUDAN TOKOH SENI IKATAN TENGKOLOK PERAK IAITU  Y.A.M RAJA KECIL SULONG HARUN AL-RASHID AL-HAJ IBNI ALMARHUM SULTAN SIR IDRIS MURSHIDUL ADZAM SHAH. GAMBAR-GAMBAR LAMA YANG DI NYATAKAN OLEH PENGULAS PUN MERAGUKAN KERANA GAMBAR LAMA MERUJUK KEPADA TAHUN BERAPA. JIKA GAMBAR TAHUN SEBELUM MERDEKA MEMANG BOLEH DIKATAKAN GAMBAR LAMA, NAMUN KALAU GAMBAR SELEPAS MERDEKA TIDAK LAH BOLEH DIKATAKAN GAMBAR LAMA. GAMBAR YANG DILAMPIRKAN DI BAWAH SEMUANYA GAMBAR LAMA DAN LEBIH LAMA DARI YANG PENGULAS BANDINGKAN. SEKIAN UNTUK MAKLUMAN DAN PENCERAHAN KEPADA PIHAK-PIHAK YANG BERKENAAN. 

Tokoh Seni Ikatan Tengkolok Perak


D.Y.M.M Paduka Seri Sultan Iskandar Shah Kadasallah memakai TENGKOLOK TEBING RUNTUH 

D.Y.M.M Paduka Seri Sultan Abdullah Muhammad Shah II berbusana berkedudukan di tengah bergambar beramai-ramai bersama pembesar dan hulubalang di Kota Batak Rabit @ Istana Batak Rabit sekitar tahun 1870. Tidak kelihatan pun mana-mana pembesar mengenakan Tengkolok.

12 December 2018

BUKU SEJARAH DAN MARTABAT TENGKOLOK DALAM ETIKA PEMAKAIAN BUSANA KEBUDAYAAN INSTITUSI KEISTANAAN MELAYU PERAK




ALHAMDULILAH BUKU SEJARAH DAN MARTABAT TENGKOLOK DALAM ETIKA PEMAKAIAN BUSANA KEBUDAYAAN INSTITUSI KEISTANAAN MELAYU PERAK TELAH MENDAPAT SAMBUTAN YANG MENGGALAKKAN DAN MENDAPAT MAKLUM BALAS YANG BAIK DARI PEMBELI. 
TERIMA KASIH KEPADA PEMBELI...

==================== 
PERTANYAAN BOLEH WHATSAPP 016-2851718
 ====================

SIAPA MENONTON CERITA HANG TUAH (P. RAMLEE, 1955) AKAN MELIHAT BANYAK ETIKA BERTENGKOLOK YANG DI PAMERKAN DALAM CERITA TERSEBUT DAN JENIS TENGKOLOK GAJAH BERJUANG JUGA TURUT SERTA.

25 November 2018

Majlis Pelancaran Buku "Sejarah dan Martabat Tengkolok Dalam Etika Pemakaian Busana Kebudayaan Institusi Keistanaan Melayu Perak"

Warna warni "Kursus Sejarah dan Kebudayaan Institusi Beraja" kepada Ahli Majlis Perbandaran Sepang dan Ketua-Ketua Jabatan Majlis Perbandaran Sepang anjuran Majlis Perbandaran Sepang di Hotel Cyberview Resort dan Spa, Cyberjaya, Sepang pada 8 November 2018. 



 











 

    








Seterusnya Majlis Pelancaran Buku bertajuk "Sejarah dan Martabat Tengkolok Dalam Etika Pemakaian Busana Kebudayaan Institusi Keistanaan Melayu Perak" disempurnakan bersama oleh Yang DiMuliakan Tengku Orang Kaya Maha Bijaya Sepang - Tengku Dato' Prof. Dr. Jamaluddin bin Tengku Mahmud Shah Al-Haj dan Yang Mulia Raja Kapten (B) Kobat Salehuddin ibni Almarhum Raja Muda Musa. 

Yang Mulia Raja Kapten (B) Kobat Salehuddin ibni Almarhum Raja Muda Musa.
Yang DiMuliakan Tengku Orang Kaya Maha Bijaya Sepang - Tengku Dato' Prof. Dr. Jamaluddin bin Tengku Mahmud Shah Al-Haj

Buku ini yang sarat dengan isi kandungan seperti perincian di bawah ; 

1. Pengenalan, 
2. Sejarah Kepentingan Tengkolok, 
3. Perbezaan Antara Tanjak, Tengkolok Dan Destar, 
4. Taraf Dalam Pemakaian Tengkolok, 
5. Makna Pucuk Rebong, 
6. Makna Kedudukan Garam Sebuku, 
7. Jenis-Jenis Ikatan Tengkolok Yang Diperagakan Oleh Paduka Seri Sultan, Waris Negeri Dan Kerabat Diraja Perak, 
8. Jenis-Jenis Tengkolok Diraja Perak, 
9. Pengikat Tengkolok Negeri Perak, 
10. Tatacara Seni Ikatan Tengkolok, 
11. Etika Pemakaian Busana Dalam Majlis Keistanaan, 
12. Etika Penggunakan Darjah Kebesaran, Bintang Dan Pingat Dalam Busana Istiadat Keistanaan, 
13. Etika Pemakaian Busana Dalam Majlis Pemakaman Diraja, 
14. Penggayaan Pemakaian Baju Melayu Anak Raja Perak, 
15. Gaya Memakai Kain Samping, 
16. Tertib Mengangkat Sembah, 
17. Kesimpulan, 
18. Lampiran, 
19. Tokoh Seni Ikatan Tengkolok Diraja Perak. 

Dalam program ini kami iaitu saya, Y.M Raja Kobat Salehuddin ibni Almarhum Raja Muda Musa dan Y.M Raja Ahmad Akashah bin Raja Abdul Malek telah memberikan ceramah kepada peserta iaitu Kepentingan Hiasan Kepala (Perbezaan antara Tanjak, Tengkolok dan Destar), Adab Pertuturan diperkarangan Istana dan Seni Ikatan Tengkolok Diraja Perak.

====================
Bagi yang BERMINAT
BUKU SEJARAH DAN MARTABAT TENGKOLOK DALAM ETIKA PEMAKAIAN BUSANA KEBUDAYAAN INSTITUSI KEISTANAAN MELAYU PERAK butiran adalah seperti di bawah;

HARGA:
RM 70.00 (KULIT LEMBUT)
RM 90.00 (KULIT KERAS) - Mengikut stok.
*exc postage
POS RM10 SM
POS RM15 SS
Full Colour
Foto yang menarik

PERTANYAAN LANJUT BOLEH 

Whats App : +60162851718 ataupun ku_alam@yahoo.com

Y.M Raja Kobat Salehuddin ibni Almarhum Raja Muda Musa (Adab Pertuturan diperkarangan Istana)
Kepentingan Hiasan Kepala (Perbezaan antara Tanjak, Tengkolok dan Destar)
Y.M Raja Ahmad Akashah bin Raja Abdul Malek (Seni Ikatan Tengkolok Diraja Perak)

Foto : Ihsan Unit Media, MPSepang

23 April 2018

RINGKASAN BIOGRAFI YANG AMAT MULIA TENGKU ARIS TEMENGGONG SELANGOR DARUL EHSAN

RINGKASAN BIOGRAFI
YANG AMAT MULIA TENGKU ARIS TEMENGGONG
SELANGOR DARUL EHSAN

Potret Yang Amat Mulia Tengku Dato’ Setia Muhammad Yusof Shah di Istana Alam Shah
sebagai Anak Raja Bergelar

1.        Pengenalan

Yang Amat Mulia Tengku Dato’ Setia Muhammad Yusof Shah merupakan Temenggong Pertama (I) dalam Institusi DiRaja Negeri Selangor semenjak terdirinya Kesultanan Negeri Selangor sekitar tahun 1743. Sebelum tahun 1937 belum pernah wujud gelaran Tengku Aris Temenggong. Yang Amat Mulia Tengku Dato’ Setia Muhammad Yusof Shah berpangkat Nenda kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj.
Yang Amat Mulia Tengku Dato’ Setia Muhammad Yusof Shah pernah diberikan kepercayaan dan amanah dibawah Jemaah Pemangku Raja Selangor ketika dibawah Pemerintahan Paduka Sri Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah apakala DTYM Raja Muda Selangor - Tengku Idris Shah telah memulakan pelayaran mengelilingi dunia menggunakan kapal layar. Jemaah Pemangku Raja Selangor itu terdiri daripada Y.A.M Tengku Bendahara Selangor – Tengku Azman Shah, Yang Amat Mulia Tengku Dato’ Setia Muhammad Yusof Shah, Y.D.M Engku Orang Kaya Maha Bijaya Sepang – Raja Redzwa, Y.D.H Orang Kaya To’ Engku Maha Bijaya Hulu Langat, dan Mufti Kerajaan Negeri Selangor bagi menjalankan tugas-tugas Sultan Selangor yang mendapatkan rawatan jantung di Orlando Amerika Syarikat.

Mengimbau kembali penglibatan Yang Amat Mulia Tengku Dato’ Setia Muhammad Yusof Shah dalam majlis yang melibatkan Institusi DiRaja Selangor bermula sekitar 1937 semasa Istiadat Menjunjung Duli Keberangkatan Pulang Paduka Ayahandanya; Paduka Sri Sultan Sir Ala’uddin Suleiman Shah Ibni Almarhum Raja Muda Musa dari England. Semasa Istiadat Kemahkotaan kekandanya; Paduka Sri Sultan Musa Ghiat’Uddin Riayat Shah, Yang Amat Mulia Tengku Dato’ Setia Muhammad Yusof Shah terlibat dalam membawa Mahkota bersama kekandanya; Y.A.M Tengku Seri Perdana. Demikian jua ketika Istiadat Pertabalan dan Kemahkotaan Anakanda saudaranya; Paduka Sri Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Yang Amat Mulia Tengku Dato’ Setia Muhammad Yusof Shah telah dipertanggungjawabkan sebagai Aide de camp [A.D.C.] @ Pengiring rapat yang mana pada ketika itu berkhidmat dalam Angkatan Udara Diraja Persekutuan.
Pada ketika istiadat pemasyhuran cucunda saudaranya; Paduka Sri Sultan Sharafuddin Idris Shah, Yang Amat Mulia Tengku Dato’ Setia Muhammad Yusof Shah telah memainkan peranan yang penting dalam menyembahkan Keris Panjang Beruk Berayun.
Penglibatan secara langsung Yang Amat Mulia Tengku Dato’ Setia Muhammad Yusof Shah dalam hal ehwal keistanaan, adalah ketika pemerintahan Anakanda saudaranya; Paduka Sri Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah sebagai D.Y.M.M. Sultan Selangor.

2.       Latarbelakang

Yang Amat Mulia Tengku Dato’ Setia Muhammad Yusof Shah telah diputerakan pada 28 April 1926. Hasil perkongsian hidup Paduka Ayahandanya; Paduka Sri Sultan Sir Ala’uddin Suleiman Shah Ibni Almarhum Raja Muda Musa bersama suri negeri baginda iaitu Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Fatimah binti Almarhum Sultan Sir Idris Murshid al-Azzam Rahmatu’llah Shah. Kekanda dan adinda seibu yang lain adalah;

Y.A.M. Tengku To’ Puan Nur Sa’adah – 7 November 1922
Y.A.M. Tengku Nur Anwar – 16 February 1924
Y.A.M. Tengku Nur Asikhin @ Khaladiah – 1925
Y.A.M. Tengku Abdul Rahman – 5 September 1927

Image may contain: 5 people
YAM Tengku Dato' Setia Muhamad Yusof Shah ibni Almarhum Sultan Sir Ala'eddin Suleiman Shah (YAM Tengku Aris Temenggong Selangor), YAM Tengku Nor Anuar, Almarhumah Tengku Puan Nor Sa'adah, Almarhumah Tengku Khaladiah, Almarhum Tengku Abdul Rahman

Yang Amat Mulia Tengku Dato’ Setia Muhammad Yusof Shah juga merupakan cucunda kepada Almarhum Paduka Seri Sultan Sir Idris Murshid al-Azzam Rahmatu’llah Shah Ibni Almarhum Raja Bendahara Alang Iskandar

3.       Pendidikan

Yang Amat Mulia Tengku Dato’ Setia Muhammad Yusof Shah telah mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Klang kemudian mendapat pendidikan di Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK) dan seterusnya melanjutkan pelajaran di Oxford, England. Rakan-rakan Yang Amat Mulia Tengku Dato’ Setia Muhammad Yusof Shah semasa di England adalah Almarhum Sultan Idris al-Mutawakkil Alallahi Shah II Ibni al-Marhum Sultan Alang Iskandar Shah Kaddasullah , Almarhum Tuanku Jaafar Ibni Almarhum Abdul Rahman, K.D.Y.M.M Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Riayatuddin Al-Muadzam Shah, Allahyarham Tun Abdul Razak bin Dato’ Hussein.

4.       Keperibadian

Yang Amat Mulia Tengku Dato’ Setia Muhammad Yusof Shah dibesarkan dalam perkarangan Istana Mahkota Puri, Klang dan apakala kemangkatan Paduka Ayahandanya, Yang Amat Mulia Tengku Dato’ Setia Muhammad Yusof Shah mengikuti bondanya Tengku Ampuan Fatimah pulang ke Istana Selangor, Kuala Kangsar, Perak. Namun pun begitu Yang Amat Mulia Tengku Dato’ Setia Muhammad Yusof Shah akan berangkat ke Klang seandainya ada majlis-majlis yang melibatkan hal ehwal keistanaan Selangor. Ketika kemangkatan Paduka Ayahandanya, Yang Amat Mulia Tengku Dato’ Setia Muhammad Yusof Shah berusia 12 tahun.
Yang Amat Mulia Tengku Dato’ Setia Muhammad Yusof Shah merupakan salah seorang yang mempunyai pengetahuan yang amat luas berhubung Adat Istiadat DiRaja Negeri Selangor dan mewarisi beberapa keperibadian serta kebolehan yang dimiliki oleh dari Almarhum Paduka Ayahandanya khususnya yang melibatkan kesenian.
Yang Amat Mulia Tengku Dato’ Setia Muhammad Yusof Shah ketika di zaman pendudukan Jepun di tanah Melayu telah menerima latihan ketenteraan yang ditaja oleh tentera Jepun dalam pasukan Giyutai.

5.       Pengurniaan Gelaran

Yang Amat Mulia Tengku Dato’ Setia Muhammad Yusof Shah telah dikurniakan gelaran Yang Amat Mulia Tengku Aris Temenggong Selangor pada tahun 1937 di usia 11 tahun oleh Paduka Ayahanda; Duli Yang Maha Mulia Paduka Sri Sultan Sir’ Alauddin Suleiman Shah Ibni Almarhum Raja Muda Musa dalam satu istiadat yang berlangsung di Istana Mahkota Puri, Klang dan Istiadat ini disertai dengan kekanda dan adindanya yang lain serta Dato’ Kehormat..
Mengimbau sejarah pengurniaan gelaran Tengku Aris Temenggong Selangor ini telah dipilih dan dicadangkan sendiri oleh kekandanya iaitu Yang Teramat Mulia Tengku Kelana Jaya Putra - Tengku Musa Uddin ( D.Y.M.M. Paduka Sri Sultan Musa Ghiat’Uddin Riayat Shah, 1942 – 1945 ) selaku Ketua Adat Istiadat Diraja Selangor pada ketika itu. Sebelum penganugerahan gelaran ini berikan, Paduka kekandanya telah mengadap kebawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Fatimah untuk memohon limpah perkenan bagi mengurniakan gelaran ini kepada Yang Amat Mulia Tengku Dato’ Setia Muhammad Yusof Shah.

6.       Jawatan

Yang Amat Mulia Tengku Dato’ Setia Muhammad Yusof Shah telah diberikan amanah dan tanggungjawab untuk menyandang beberapa jawatan penting di dalam dalam hal ehwal yang melibatkan keistanaan mahupun pentadbiran.

Penasihat Adat Istiadat DiRaja Selangor
Ahli Dewan DiRaja – Waris Lain
Anak Raja Bergelar

7.       Kerjaya

Yang Amat Mulia Tengku Dato’ Setia Muhammad Yusof Shah telah memulakan kerjaya pada tahun 1953 di Pejabat Setiausaha Negeri Selangor dan pada tahun 1957 telah menyandang jawatan Sergeant At Arms Di Dewan Mesyuarat Undangan Persekutuan sehingga Tanah Melayu mencapai Kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Kemudian dilantik menjadi Juruiring Pertama dan Setiausaha Sulit kepada Gabenor Negeri Pulau Pinang Y.B.M. Raja Sir Tun Uda bin Raja Muhammad. 

Image may contain: 1 person
Y.A.M Tengku Aris Temenggong Selangor - Tengku Muhammad Yusuf Shah Ibni Almarhum Sultan Sir' Ala'uddin Suleiman Shah ketika menjawatan Sergeant At Arms Di Dewan Mesyuarat Undangan Persekutuan

Minat yang mendalam dalam pasukan keselamatan telah membawa Yang Amat Mulia Tengku Dato’ Setia Muhammad Yusof Shah menyertai Pasukan Udara Sukarela Malaya di Pulau Pinang setelah lulus dalam Peperiksaan Kecekapan untuk latihan sebagai Juruterbang dan dilantik sebagai Pegawai interligence dalam pasukan tersebut. Kesungguhan yang mendalam membawa hasil apabila ditauliah sebagai salah seorang daripada 136 orang yang menerima Tauliah sebagai Juruterbang Angkatan Udara Diraja Persekutuan Tanah Melayu sekitar tahun 1958.
Mengimbau cita-cita untuk menjadi seorang Juruterbang Kapal Terbang Perang dalam tahun 1947 dan kemudian ingin pergi ke England untuk masuk berkhidmat dengan Angakatan Udara Diraja di sana. Namun tidak mendapat perkenan dari bonda. Namun cita-cita tersebut menjadi nyata apabila Angkatan Udara DiRaja Persekutuan Tanah Melayu membuka pemohonan pegawai baru. Maka peluang tersebut segera direbut dan memujuk bondanya dan menerangkan cita-citanya dan pujukan tersebut telah diperkenankan. Yang Amat Mulia Tengku Dato’ Setia Muhammad Yusof Shah telah meletakkan jawatan dari perkhidmatan sebagai Setiausaha Sulit kepada Gabenor Pulau Pinang dan masuk berkhidmat dalam Angkatan Udara Diraja Persekutuan Tanah Melayu. Semasa didalam perkhidmatan telah dilantik menjadi Juruiring kepada Pegawai Pemerintah Angkatan Udara Diraja Persekutuan Tanah Melayu, Air Commodore N C Hyde (30 May 1958: Air Force Member Armed Forces Council, Malaya).

8.       Perkahwinan

Yang Amat Mulia Tengku Dato’ Setia Muhammad Yusof Shah telah bersurikan Yang Mulia Tengku Puan Temenggong - Raja Datin Setia Saidatul-Ezam Binti Raja Kechil Besar Brigadier General [B] Raja Dato’ Seri Lope Nur Rashid pada tahun 1953 dengan diberikan geran sebanyak 1,000.00 dari Kerajaan Negeri sejajar dengan hak-hak sebagai putera Sultan.
No automatic alt text available.
Yang Amat Mulia Tengku Dato’ Setia Muhammad Yusof Shah bersama surinya Yang Mulia Tengku Puan Temenggong - Raja Datin Setia Saidatul-Ezam Binti Raja Kechil Besar Brigadier General [B] Raja Dato’ Seri Lope Nur Rashid

Majlis Perkahwinan Diraja telah berlangsung gilang-gemilang di Istana Negara dan dihadiri oleh para kenamaan dan diketuai sendiri oleh kekandanya iaitu Paduka Sri Sultan Sir Hisham’uddin Alam Shah Ibni Almarhum Sultan Sir Ala’uddin Suleiman Shah. Hasil perkongsian hidup Yang Amat Mulia Tengku Dato’ Setia Muhammad Yusof Shah bersama surinya dikurniakan 10 putera puteri iaitu 2 putera dan 8 puteri iaitu;

1.        Tengku Nariman
2.       Tengku Molfi
3.       Tengku Yasmin
4.       Tengku Soraya
5.       Tengku Zarinah
6.       Raja Molek Nazarian
7.       Tengku Zera
8.       Tengku Farah
9.       Tengku Mohd Sharifuddin
10.      Tengku Mohd Yaacob

Pada 16 Oktober 2014, suri Yang Amat Mulia Tengku Dato’ Setia Muhammad Yusof Shah iaitu Yang Mulia Tengku Puan Temenggong - Raja Datin Setia Saidatul-Ezam Binti Raja Kechil Besar Brigadier General [B] Raja Dato’ Seri Lope Nur Rashid telah kembali kerahmatullah pada usia 78 tahun dan telah di sempurnakan pemakaman di Makam DiRaja Selangor, Shah Alam.

Foto keluarga Yang Amat Mulia Tengku Dato’ Setia Muhammad Yusof Shah

9.       Darjah Kebesaran

Sepanjang menabur bakti dan taat setia pada Institusi DiRaja dan juga Negeri mahupun Negara, Yang Amat Mulia Tengku Dato’ Setia Muhammad Yusof Shah telah dikurniakan pingat dan darjah kebesaran Negeri seperti ;

  • Darjah Kerabat Selangor Kedua (D.K.II),
  • Darjah Seri Sultan Sharafudddin Idris Shah (S.S.I.S.),
  • Darjah Setia Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (S.S.A.),
  • Pingat Jasa Kebaktian (P.J.K.).

10.      Sumbangan

Ketokohan Yang Amat Mulia Tengku Dato’ Setia Muhammad Yusof Shah dalam hal ehwal keistanaan khususnya yang melibatkan adat istiadat dan sejarah negeri sering dijadikan tempat rujukan oleh pengamat sejarah dan pelajar-pelajar. Yang Amat Mulia Tengku Dato’ Setia Muhammad Yusof Shah amat menekankan bahawa sejarah itu perlu diceritakan tanpa perlu dipadam dan di manipulasi mahupun di tokok tambah. Sejarah tetap sejarah dan ianya perlu dibukukan tanpa rasa getar walaupun ianya sukar untuk ditelan mahupun diterima.

11.      Kesimpulan

Yang Amat Mulia Tengku Dato’ Setia Muhammad Yusof Shah telah mengalas gelaran selama 80 Tahun yang mana sepanjang tempoh tersebut telah banyak sumbangan yang diberikan baik kepada Negeri mahupun Institusi Diraja Selangor. Merupakan antara Anak Raja Bergelar yang paling lama memegang gelaran Temenggong di dalam Negara. Mengikut adat kedudukan Temenggong dalam adat Istiadat kerajaan Melayu Johor, Pahang, Riau, Lingga di bawah Seri Paduka Sultan Badrul Alam Shah memerintah, hanya Sultan, Yang Dipertuan Muda, Raja Muda, Bendahara dan Temenggong sahaja layak di palu Nobat. Ini mengambarkan bahawa kedudukan Temenggong adalah berada dalam hieraki yang tinggi.
Ketokohan Yang Amat Mulia Tengku Dato’ Setia Muhammad Yusof Shah dalam hal ehwal Adat Istiadat Selangor tidak dapat dinilai, bahkan tidak dapat diandaikan namun ianya semestinya terlalu luas sejak ianya memberikan khidmat dibawah dan menjaga kemuliaan Kebawah Duli-Duli Sultan, Yang di-Pertuan Negeri dan wilayah tanggungan Selangor di atas singgahsana takhta Kerajaan Negeri iaitu; Paduka Sri Sultan Sir Ala’uddin Suleiman Shah Ibni Almarhum Raja Muda Musa, Paduka Sri Sultan Musa Ghiat’Uddin Riayat Shah, Paduka Sri Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan Paduka Sri Sultan Sharafuddin Idris Shah.
          Keperibadian yang dimuliki oleh Yang Amat Mulia Tengku Dato’ Setia Muhammad Yusof Shah banyak mempunyai ciri-ciri dan jiwa almarhum paduka ayahandanya iaitu Paduka Sri Sultan Sir Ala’uddin Suleiman Shah Ibni Almarhum Raja Muda Musa khususnya yang melibatkan kesenian dan ketegasan dalam hal ehwal yang melibatkan adat istiadat.

27 December 2017

Ahli Dewan DiRaja Selangor - 1 Dis 2016 hingga 30 November 2019.

Dewan Diraja Selangor bermula dari 1959 dan berfungsi sebagai majlis penasihat kepada kerajaan negeri Selangor iaitu D.Y.M.M Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj. Tarikh kuatkuasa mulai dari 1 Dis 2016 hingga 30 November 2019.[1]

Ahli Dewan DiRaja Selangor
Sumber : Google dan The Star
Ahli-ahli Dewan Diraja Selangor mengandungi 22 orang, yang terdiri daripada Kerabat DiRaja Selangor dan Ahli Kerajaan Negeri Selangor. Ahli Dewan DiRaja Selangor 2016-2019 Ahli Dewan Diraja Selangor. Sejarah Dewan Diraja Selangor boleh dirujuk di pautan :-  Sejarah Dewan Diraja Selangor

Pengerusi: 
D.Y.M.M Sultan Selangor 
Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj 

Ex-officio (Ahli Kerana Jawatan) : 
– D.Y.T.M Raja Muda Selangor – 
Tengku Dato’ Seri Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj, 
Y.A.M Tengku Laksamana Selangor – 
Tengku Dato’ Seri Sulaiman Shah Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, 
– Y.A.M Tengku Bendahara Selangor – 
Almarhum Tengku Dato’ Seri Azman Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Hishamuddin Alam Shah Al-Haj (Kosong atas Kemangkatan), 
– Y.A.B Dato’ Menteri Besar Selangor – 
Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, 
– Pengerusi MAIS – 
Dato’ Setia Mohammed Khusrin Munawi,
– Mufti Selangor – 
Sahibus Samahah Dato’ Setia Hj. Mohd. Tamyes b. Abd. Wahid. 

Ahli Waris Yang Lain : 
– Y.A.D. Tengku Aris Temenggong Selangor – 
Tengku Dato’ Setia Muhamad Yusof Shah Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Sir Ala’eddin Sulaiman Shah, 
– Y.A.D. Tengku Panglima Besar Selangor – 
Tengku Dato’ Seri Abdul Samad Shah Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al Haj, 
– Y.A.D. Tengku Indera Setia Selangor – 
Tengku Dato’ Seri Ahmad Shah Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al Haj, 
– Y.A.D. Tengku Indera Pahlawan Diraja Selangor – 
Tengku Dato’ Setia Putra Al-Haj Ibni Almarhum Tengku Bendahara Azman Shah Al-Haj. 

Orang-Orang Besar : 
Y.A.D. Tengku Seri Wangsa Diraja – Tengku Dato’ Setia Ramli bin Tengku Sri Andika Diraja Shaharuddin Shah, 
Y.A.D. Engku Setia Lela Bestari – Raja Tan Sri Arshad bin Raja Sir Tun Uda, 
Y.A.D. Dato’ Orang Kaya Maha Bijaya Gombak – Dato’ Paduka Raja Tan Sri Wan Mahmood bin Pa’wan Teh, 
Y.A.D. Dato’ Jugra Kurnia Diraja – Tan Sri Syed Mohd Yusof bin Tun Syed Nasir, 
Y.A.D. Dato’ Salehuddin Saidin. 

Orang Tua-Tua : 
Y.A.D. Dato’ Abdul Halim bin Datuk Abdul Rauf 
Y.A.D. Tan Sri Ambrin Buang 
Y.A.D. Jen (B) Tan Sri Mohd Hashim bin Mohd Ali 
Y.A.D. Tan Sri Ismail bin Adam 
Y.A.D. Dato’ Setia Ramli bin Mahmud 
Y.A.D. Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa, [2] 
Y.A.D. Dato’ Orang Kaya Maha Bijaya Klang – Dato’ Setia DiRaja Abdul Ghani bin Dato’ Kaya Haji Pateh Akhir 

Setiausaha Dewan : 
Hanafisah Jais

[1] TheStar- Advisory body to the state Ruler (Selangor) 
[2] Ahli Dewan Diraja Selangor berkuat kuasa 1 Jan 2018 hingga 30 Nov 2019. Sinar Harian bertarikh 14 Disember 2017

13 December 2017

Kenyataan Taksiran Titah Wawacara Akhbar The Star Bersama D.Y.M.M. Tuanku Sultan Selangor Oleh Y.D.M Tengku Dato’ Prof. Dr. Jamaluddin Bin Tengku Mahmud Shah Al-Haj

KENYATAAN TAKSIRAN TITAH WAWACARA AKHBAR THE STAR BERSAMA D.Y.M.M.  TUANKU SULTAN SELANGOR OLEH Y.D.M TENGKU DATO’ PROF. DR. JAMALUDDIN BIN TENGKU MAHMUD SHAH AL-HAJ (TENGKU ORANG KAYA MAHA BIJAYA SEPANG MERANGKAP PENASIHAT PERSATUAN MELAYU BUGIS SELANGOR - DAERAH SEPANG). 

Dengan penuh kerendahan sifat dan bersandarkan yang pengetahuan cetek namun bersandarkan pengalaman yang ada maka dapatlah saya untuk menghuraikan mauduk Titah Wawacara Akhbar The Star Bersama DYMM Tuanku Sultan Selangor bersempena Ulang Tahun Keputeraan D.Y.M.M Tuanku Sultan pada 10 Disember 2017 yang lalu yang dikuatiri berpotensi mengundang impak negatif dan membawa pelbagai taksiran rakyat.

Pada hemat saya, sesungguhnya Kebawah Duli Tuanku menzahirkan dukacita melihat Y.A.Bhg. Tun Dr. Mahathir bin Mohamad menentang Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu/ United Malay National Organisation (UMNO), BUKAN ATAS FAKTOR MENYOKONG MANA-MANA PARTI POLITIK ATAUPUN MENCAMPURI URUSAN POLITIK, SESUNGGUHNYA BAGINDA AMAT MENGETAHUI RAJA BERPERANAN SEBAGAI TONGGAK KESTABILAN - SUMBER KEADILAN, TERAS PERPADUAN - PAYUNG PENYATUAN. 

Kebawah Duli Tuanku jua amat peka dalam dinamik politik yang sedang berlaku, maka bertambah penting bagi Raja Pemerintah untuk berada di atas segala yang sedang berlaku, BERSIFAT BERKECUALI SUPAYA DALAM KEADAAN BERLAKUNYA KRISIS, INSTITUSI RAJA BERUPAYA MEMBERIKAN NASIHAT, TEGURAN DAN PANDANGAN YANG MENCERMINKAN KEADILAN TANPA MEMIHAK. 
Sumber dari The Malaysian Insight 

Sejarah Penyatuan bangsa Melayu amat dekat dihati Kebawah Duli Tuanku dan menjadi kebimbangan polemik politik akan mengundang perpecahan bangsa kepada rakyat dibawah Payung Naungan Kebawah Duli Tuanku dan Duli-Duli Raja-Raja Melayu yang lain, kerna Nenda Kebawah Duli Tuanku iaitu ALMARHUM SULTAN HISHAMUDDIN ALAM SHAH IBNI ALMARHUM SULTAN ALAUDDIN SULEIMAN SHAH MEMPUNYAI SEJARAH SENTUHAN YANG AMAT PENTING DALAM MERINTIS SEMANGAT PERJUANGAN BANGSA APABILA TELAH MEMBERI LIMPAH PERKENAN DAN AMANAT SEMASA MERASMIKAN PERSIDANGAN PERSATUAN-PERSATUAN MELAYU YANG TELAH DIADAKAN PADA 1-4 MAC 1946 DI KELAB SULTAN SULAIMAN, KAMPUNG BARU, KUALA LUMPUR. 
Persidangan bersejarah tersebut dinamakan sebagai Kongres Melayu Se-Malaya yang telah dihadiri oleh 107 orang perwakilan dan 56 orang pemerhati rasmi dari 41 Pertubuhan Melayu di seluruh Tanah Melayu termasuk Singapura. Melalui perkenan dan sokongan Almarhum nenda baginda dalam Kongres tersebut telah membawa kepada sokongan Raja-Raja Melayu di Persekutuan Tanah Melayu bagi merealisasikan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (PEKEMBAR) dan secara tidak langsung memberikan tekanan kepada pihak British. Nenda Kebawah Duli Tuanku juga semasa merasmikan kongres telah MEMPERKENANKAN KURNIAAN SUMBANGAN PERIBADI SEBANYAK $ 5000.00 DAN TELAH BERTITAH (AMANAT) DUA PERKARA SEBAGAI ASAS PENYATUAN BANGSA MELAYU IAITU;

PERJUANGAN AGAMA ISLAM YANG AKAN MENGIKAT HATI NURANI BANGSA DAN; 
BERANI DAN TERUS MEMBELA DAN MEMPERJUANGKAN HAK ORANG MELAYU. 

Titah Kebawah Duli Tuanku sebenarnya merujuk kepada PENERIMAAN BANGSA MELAYU DAN RAKYAT KEPADA PERTUBUHAN KEBANGSAAN MELAYU BERSATU DALAM PENYATUAN BANGSA YANG AKHIRNYA MEMBAWA KEPADA PEMBENTUKAN NEGARA BANGSA YANG BERDAULAT, BERDIRI MEGAH ATAS NAMA MALAYSIA. Sememangnya semangat 41 Pertubuhan Melayu di seluruh Tanah Melayu termasuk Singapura pada ketika itu bermatlamat untuk membentuk sebuah Pertubuhan Melayu Bersatu dan penerimaan bangsa Melayu pada ketika itu terus di terima sehingga memungkinkan enam (6) Perdana Menteri mentadbir Negara. Sehinggalah berlakunya peristiwa tertentu yang berlaku di dalam negara sejak beberapa tahun kebelakangan yang lalu yang memisahkan semangat perpaduan bangsa dan membentuk puak-puak dalam satu bangsa. 

Suhu politik semakin membara, menyemarakkan api persengketaan, menanti masa untuk meluap dan dengan kehadiran unsur-unsur menghasut yang mampu mencetuskan huru-hara dan perbuatan seumpama itu bukan sahaja amat berbahaya tetapi juga boleh memusnahkan kerukunan rakyat dan negara. Kebawah Duli Tuanku sememangnya amat menyedari bahawa Institusi Raja dan takhta pada setiap masa wajib berada di atas politik kepartian, memisah dan menjauhkan diri dari terlibat secara langsung dalam urusan dan kegiatan politik kepartian. 

Dari masa ke semasa Kebawah Duli Tuanku senantiasa menzahirkan pelbagai subjek, atas hasrat untuk memastikan bahawa negara terus kukuh dan aman – warga terus sejahtera dan makmur. Perbuatan oleh pihak tertentu memanipulasi titah Kebawah Duli Tuanku memberi implikasi dan boleh menimbulkan salah faham di kalangan sebahagian rakyat; seolah-olah Kebawah Duli Tuanku secara langsung telah menzahirkan sokongan terbuka kepada kumpulan politik tertentu dan pada masa yang sama telah memperkecilkan kumpulan politik lain. Perbuatan tersebut sebenarnya boleh disifatkan telah mengheret istana ke dalam kancah politik kepartian serta boleh dianggap telah melanggar tatasusila serta kesopanan adab dan tertib berpolitik secara berhemah. 

Kebawah Duli Tuanku senantiasa menzahirkan peringatan kepada Orang Besar-Orang Besar di negeri Selangor supaya berwaspada dan berhati-hati dalam perkataan dan tindak tanduk supaya mencerminkan sifat berkecuali dan tidak terlibat secara langsung dalam program-program yang dianjurkan atas nama parti politik dan bermatlamatkan politik kepartian. Takhta pemerintahan senantiasa berpendirian berkecuali, berada di atas politik kepartian agar dapat berperanan secara saksama sebagai payung negeri serta dapat diterima tanpa ragu sebagai institusi penyatuan dalam kepelbagaian, terutama untuk menangani sebarang pertentangan dan pertelagahan yang berlaku di kalangan rakyat Kebawah Duli Tuanku. 

Sekian takrifan, 

Y.D.M TENGKU DATO’ PROF. DR. JAMALUDDIN BIN TENGKU MAHMUD SHAH AL-HAJ 
TENGKU ORANG KAYA MAHA BIJAYA SEPANG 
MERANGKAP PENASIHAT PERSATUAN MELAYU BUGIS SELANGOR - DAERAH SEPANG. 

13 Disember 2017

Sumber dari Page FB Persatuan Melayu Bugis Selangor - Daerah Sepang. 

Translate