31 October 2014

Sejarah Penubuhan Pasukan Polis Negeri Selangor.

Y.T.M Tunku Kudin
Pada sekitar tahun 1870 Paduka Sri Sultan Abdul Samad Ibni Almarhum Tengku Panglima Besar Abdullah telah menyerahkan pentadbiran negeri kepada menantunya, iaitu D.Y.T.M Raja Muda Kedah - Tunku Dhiauddin ibni Almarhum Sultan Zainal Rashid I @ Tunku Kudin dari Negeri Kedah dengan gelaran Wakil Yamtuan.

Tunku Kudin kemudiannya menubuhkan sebuah Pasukan Polis dan didalam tahun 1871 telah merekrut dua orang pegawai Eropah - seorang Belanda bernama Van Hagen dan seorang Italy bernama Cavaleiri. Pasukan Polis tersebut mengandungi 30 orang Eropah dan Serani serta 80 orang sepoi India. Tunku Kudin adalah rakan sepakatan Yap Ah Loy, Kapitan Cina waktu itu.

Dalam tahun 1872, Tunku Kudin menempatkan sebahagian besar anggota Pasukan Polisnya di Kuala Lumpur bagi menghadapi ancaman Syed Masyhur yang juga menjadi musuh ketat Yap Ah Loy. Kuala Lumpur ditawan oleh Syed Masyhor dalam bulan Ogos tahun yang sama. Pasukan Tunku Kudin telah diserang hendap oleh satu lagi kumpulan penentang yang diketuai oleh Raja Mahadi bin Raja Sulaiman ibni Almarhum Sultan Muhammad Shah.

Cavaleiri dan 20 orang anggota pasukan Tunku Kudin terbunuh. Ah Loy terpaksa melarikan diri dari Kuala Lumpur. Sementara itu Van Hagen dan 40 anggotanya ditawan dan dihukum bunuh di Kuala Lumpur. Bila Davidson dilantik sebagai Residen British dalam tahun 1874, salah satu tindakan utamanya ialah menubuhkan Pasukan Polis. Pembentukan Pasukan Polis diserahkan kepada seorang pegawai muda yang bernama Harry Charles Syers (Kemudian menjadi Pesuruhjaya Polis FMS). Dalam bulan Julai 1875, Harry Charles Syers dilantik sebagai Penguasa Polis dan Penjara Selangor.

H.C Syers
Menjelang Oktober 1878 anggota Pasukan Polis Selangor meningkat ke angka 270 dan kesemuanya adalah orang Melayu. Balai-balai polis jua didirikan di Klang, Kuala Lumpur, Damansara, Kubu Lama, Sungai Pelong, Hulu Selangor, Sabak Bernam, Jugra, Kancing, Krian dan Hulu Langat. Pasukan Polis itu dikenali sebagai Pasukan Polis Tentera Selangor (Selangor Military Police Force). Mulai tahun 1882, Ibu Pejabat Polis Selangor dipindahkan dari Klang ke Kuala Lumpur yang sedang pesat membangun ketika itu. Balai Polis Central terletak di persimpangan Jalan Pudu dan Jalan Cross tetapi pusat pentadbiran polis Selangor yang diketuai oleh H.C. Syers, terletak di jalan Bluff, tempat terletaknya Ibu Pejabat Polis Bukit Aman sekarang.

Pasukan Polis Selangor pimpinan Syers terus berkembang pesat terutamanya pada akhir tahun 1880-an. Setelah membentuk sebuah pasukan polis yang cekap di Selangor. Syers diarahkan ke Pahang untuk membantu menubuhkan sebuah pasukan polis di negeri itu.

Sumber :

- Penelitian
 - Laman sesawang PDRM - rmp.gov.my

Translate