12 June 2010

ZURIAT RAJA SURAN

Adapun Raja Aktabu’l-Ard ada beranak seorang perempuan, terlalu baik parasnya, bernama Tuan Puteri Mahtabu’l-Bahri. Maka oleh Raja Aktabu’l-Ard akan Raja Suran dikahwinkan dengan anaknya Tuan Puteri Mahtabu’l-Bahri itu; antara tiga tahun lamanya baginda duduk dengan Tuan Puteri Mahtabu’1­-Bahri itu, maka baginda pun beranaklah tiga orang lelaki. Setelah baginda melihat anakanda baginda ketiga itu, maka ba­ginda pun terlalu masyghul, fikir baginda, “Apa kesudahan anakku diam di bawah bumi ini, apa upayaku membawa dia keluar?”

Kata sahibu’l-hikayat, Telah baginda berfikir itu, dengan takdir Allah Yang Empunya Iradat, sekonyong-konyong da­tanglah raja jin Asmaghiah Peri mengadap baginda. Setelah Raja Suran melihat raja jin itu, lalu dikenal baginda; maka titah baginda, “Apakah kerja tuan hamba ke mari? “Maka sembahnya, “Sahaja hamba mengadap.” Maka titah Raja Suran, “Jika demikian hendaklah tuan Hamba perbuatkan hamba, mahkota tiga biji akan pakaian anak hamba, supaya ada tanda Raja Iskandar Zul-Karnain kepadanya.” Maka sahut raja jin Asmaghiah Peri, “Mahkota kudrat yang di dalam perbenda­haraan Paduka Mambanglah hamba ambil.” Maka sahut ba­ginda, “Sebenar-benar bicaralah kehendak tuan hamba itu.” Maka raja jin pun bermohonlah, lalu ghaib dari mata baginda. Maka diambilnya mahkota tiga buah dari dalam perbendaha­raan Raja Sulaiman ‘alaihi s-salam, dibawanya kepada Raja Suran. Maka diambil baginda dengan sukacitanya. Maka raja jin pun bermohon lalu kembali. Maka Raja Suran pun datang kepada Raja Aktabu’l-Ard membawa mahkota itu; maka kata Raja Suran, “Jikalau anak Hamba ketiga ini sudah besar, hen­daklah tuan Hamba hantar ia ke dalam dunia, supaya mahkota kerajaan Iskandar Zul-Karnain itu jangan berputusan; mahkota ini akan pakaiannya.” Maka sahut Raja Aktabu’l-Ard, “Baik­lah. “

Setelah itu maka Raja Suran pun bermohonlah kepada Raja Aktabu’l-Ard, dan bertangis-tangisan dengan isteri ba­ginda, memeluk mencium anakanda baginda ketiga. Maka Raja Aktabu’l-Ard memberi kuda semberani jantan, Farasu’l-Bahri namanya; maka Raja Suran pun naiklah ke atas kuda itu, maka oleh kuda itu dibawanya Raja Suran keluar dari dalam laut, lalu berjalan ia di Tengah laut itu.

Maka dilihat oleh rakyat baginda, yang di atas kuda itu Raja Suranlah; maka segera dibawanya seekor kuda betina yang baik ke pantai Baniras. Setelah kuda jantan itu melihat kuda betina itu, maka ia pun naiklah berjalan ke darat. Maka baginda pun turunlah semayam dihadap menteri, hulubalang, rakyat sekalian; maka kuda itu pun kembalilah ke dalam laut itu. Maka titah Raja Suran kepada menterinya. “Himpunkan­lah segala bala Tentera kita sekalian, kampungkan segala gajah kuda, jangan diberi berpecah-pecah, kerana hendak kembali; dan tafahus segala yang sakit dan yang kekurangan makanan; tetapi alat Senjata perbaiki barang yang tiada baik, dan pang­gil segala hakim dan utus. Maka segala mereka itu pun datang­lah mengadap baginda dengan alat pegawainya; maka titah baginda pada segala hakim dan utus itu, “Hendaklah kamu sekalian perbuatkan aku suatu alamat, tanda kita masuk ke dalam laut ini. Adalah kehendak hatiku, biarlah perbuatan­nya kekal hingga hari kiamat; dan kamu suratkan segala hi­kayat kita masuk ke dalam laut, supaya diketahui dan di­dengar oleh segala anak cucu kita yang kemudian.”

Setelah segala hakim dan utus mendengar titah Raja Suran itu, maka diambil oleh mereka itu suatu batu, maka di surat nyalah dengan bahasa Hindustan. Setelah sudah maka disuruh oleh Raja Suran masukkan beberapa harta daripada emas dan perak dan permata dan ratna mutu manikam dan segala mata benda yang ajaib-ajaib. Maka titah Raja Suran, “Pada akhir zaman kelak ada seorang daripada anak cucuku juga, ialah beroleh harta ini, dan raja itulah yang menaklukkan segala negeri yang di bawah angin ini.”

Setelah itu maka Raja Suran pun kembalilah ke benua Keling. Setelah sampai baginda ke negeri Keling, maka baginda pun berbuat sebuah negeri terlalu besar, kotanya daripada batu hitam tujuh lapis, serta dengan tebalnya, dan tingginya sembilan depa; daripada pandainya segala pandai dan utus berbuat dia itu, tiadalah kelihatan rapatannya lagi, rupanya seperti dituang, pintunya daripada besi melela bertatahkan emas ber­permata, Adapun peri luasnya kota itu, tujuh buah gunung di dalamnya; sama Tengah negeri itu ada sebuah tasik terlalu luas, seperti laut rupanya, jikalau gajah berdiri di seberang sana, tiada kelihatan dari sebelah sini, maka serba ikan dilepaskan di dalam tasik itu. Maka di Tengah tasik itu pula ada sebuah pulau terlalu tinggi, Sentiasa berasap seperti di saput embun rupanya; maka di atas pulau itu, ditanami pelbagai kayu-kayuan daripada serba jenis buah-buahan dan bunga-bungaan yang ada di dalam dunia ini semuanya ada di sana; apabila Raja Suran hendak bermain-main ke sanalah ia pergi. Maka di tepi tasik itu diperbuatnya pula suatu hutan terlalu besar; maka dilepaskannya segala binatang liar, dan apabila Raja Suran hendak berburu atau menjerat gajah, pada hutan itulah ia pergi. Setelah sudahlah negeri itu diperbuat, maka dinamai oleh Raja Suran “Bijaya Negara”, sekarang pun ada lagi negeri itu di benua Keling. Adapun kisah Raja Suran itu, jikalau dihikayatkan semuanya, seperti Hikayat Hamzahlah tebalnya.

Hatta berapa lamanya maka Raja Suran pun beranaklah dengan Tuan Puteri Onang Kiu anak Raja Chulan, seorang perempuan, terlalu baik parasnya, pada zaman itu tiadalah sebagainya seorang jua pun; maka dinamai oleh ayahanda baginda Tuan Puteri Cendani Wasis, dan beranak dengan Tuan Puteri Dara Segangga tiga orang lelaki, yang tua bernama Citram Syah, seorang bernama Paladu Tani, dan seorang ber-nama Nila Manam. Maka Puteri Cendani Wasis dipinang oleh raja China didudukkannya dengan anaknya yang bernama Raja Cu Lan. Maka oleh Raja Suran anakandanya Paladu Tani dirajakan di negeri Amdan Negara, dan Nila Manam di­rajakannya di Bijaya Negara akan menggantikan kerajaan baginda. Maka Citram Syah dirajakannya di negeri Candu Kani.

Maka kata Citram Syah, “Aku anak yang tua, dirajakan­nya pada negeri kecil; baiklah aku membuang diriku.” Maka Citram Syah pun pergilah membuang dirinya berkapal, dibawanya segala alat kerajaannya, dan dua puluh buah kapal lengkap dengan alat peperangan. Niat baginda hendak meng­alahkan segala negeri yang di tepi laut, supaya takluk kepada baginda. Setelah beberapa puluh buah negeri dialahkan ba­ginda, maka datanglah pada Laut Selbu; maka pada suatu malam, turun taufan terlalu besar, dengan hujan, ribut, guruh, petir, Maka segala kapal itu pun habislah pecah cerai-berai ke sana sini, setelah kembali ke negeri Candu Kani, setelah tiada ketahuan perginya. Adapun hikayatnya terlalu amat lanjut; jika kami hikayatkan semuanya, jemu orang yang mendengar dia; maka kami sirupankan juga, kerana per­kataan yang amat lanjut itu tiada gemar bagi orang yang ber­akal adanya.

No comments:

Translate