12 June 2010

STRUKTUR SISTEM PEMBESAR

PENGENALAN

Sistem pembesar merupakan sebahagian daripada struktur pemerintahan Tanah Melayu pada abad ke-19. Seperti juga sistem beraja, sistem ini berasaskan kepada sistem pembesar Kesultanan Melayu Melaka. PEMBESAR EMPAT LIPATAN yang terdapat di KESULTANAN MELAYU MELAKA diamalkan di hampir semua negeri Melayu KECUALI NEGERI SEMBILAN, tetapi gelaran pembesarnya berbeza-beza di antara satu sama lain. Selepas kedatangan British, sistem pembesar ini mengalami penjejasan.

STRUKTUR SISTEM PEMBESAR


Pada dasarnya, struktur pembesar yang utama di Tanah Melayu ialah seperti berikut : Bendahara ® Laksamana ® Temanggung ® Penghulu Bendahari. Walau bagaimanapun, terdapat juga pembesar yang bertugas sebagai penguasa sesuatu kawasan jika kawasan pentadbiran sesebuah negeri itu luas.

Seseorang pembesar itu boleh jadi menguasai sesuatu kawasan yang luas yang mungkin terdiri daripada beberapa buah kampung atau lembah. Perlantikan beliau dilakukan olah Sultan melalui sepucuk surat tauliah dan sebilah pedang sebagai lambing jawatannya. Dan ketua-ketua kampung ini adalah bertanggungjawab kepada pembesar itu.

1.Kedah :-
Di negeri Kedah terdapat seorang pembesar Raja Bendahara yang lebih tinggi tarafnya daripada Menteri Berempat dan gelarannya ialah Seri Paduka Maharaja Sura. Menteri Berempat pula terdiri daripada Seri Paduka Raja Laksamana, Seri Maharaja Anggota Desa dan Seri Maharaja Putera Dewa. Selain itu, terdapat seorang Syahbandar yang tergolong dalam pembesar enam belas.

2.Pahang :-
Di Pahang, Orang Besar Berempat ialah Orang Kaya Maharaja Indera Perba, Orang Kaya Indera Segara, Orang Kaya Indera Pahlawan dan Orang Kaya Indera Syahbandar. Orang Besar Berempat ini diberikan kawasan tertentu untuk ditadbir. Pembesar pertama berkuasa di Tanjung Lindung, pembesar kedua di Temerloh, pembesar ketiga di Bera ke Kuala Luit dan pembesar keempat di Luit ke Bebar.

3.Perak :-
Orang Besar Berempat juga dikenal sebagai Orang Empat di Balai. Mereka ialah Bendahara, Orang Kaya Besar Penghulu Bendahari, Orang Kaya Temenggung Paduka Raja dan Orang Kaya Menteri Paduka Tuan. Orang Besar Delapan pula terdiri daripada Maharajalela, Syahbandar, Laksamana, Imam Paduka Tuan, Sri Amar Diraja, Sri Adika Raja, Panglima Kinta dan Panglima Bukit Gantang. Orang Besar Enambelas memakai gelaran Maharaja, Paduka dan Sri.

4.Negeri Sembilan :-
Ketua pemerintah memakai gelaran Yang Dipertuan Besar. Di bawahnya ialah 4 orang Undang yang merupakan ketua daerah yang dipanggil Luak. Terdapat 4 Luak utama iaitu Rembau, Sungai Ujong, Jelebu dan Johol. Di bawah Undang, Lembaga merupakan ketua bagi setiap suku anggota masyarakat. Di bawah Lembaga ialah Buapak, iaitu gabungan perkataan ibu dan bapak.

5.Kelantan:-
Terdapat 7 orang di peringkat pusat, iaitu Raja Bendahara Banggol, Raja Kampung Laut, Raja Bukit Panar, Tengku Kota, Tengku Aria Pahlawan, Dato’ Kaya Hulubalang Kaduk dan Dato’ Panglima Perang Londang.

PERANAN PEMBESAR

1. MENJAGA DAN MENGEKALKAN KEAMANAN KAWASAN PENTADBIRAN

Pada zaman ini, pembesar berempat akan diberi kawasan tadbiran. Pembesar ini bertanggungjawab menjaga kawasan yang diberi oleh sultan dan berusaha mengekalkan keamanan kawasan ini. Beliau juga bertanggungjawab menasihati anak buahnya supaya sentiasa taat setia terhadap sultan.

2. MEMASTIKAN JENTERA PENTADBIRAN NEGERI DIJALANKAN DENGAN BERKESAN


Tugas seseorang pembesar adalah untuk membantu raja dalam pemerintahan dan pentadbiran negeri. Keadaan ini dapat dibuktikan malalui Kelantan di mana Sultan Muhammad I telah melantik 7 orang pembesar untuk membantu baginda dalam pemerintahan dan pentadbiran negeri. Pembesar-pembesar ini akan membentuk satu Jemaah Menteri. Setiap pembesar bertanggungjawab terhadap sesuatu perkara. Secara tidak langsung, jentera pentadbiran negeri akan dapat dijalankan dengan berkesan kerana kerja pemerintahan telah dibahagikan kepada setiap pembesar dan bukan terkumpul dalam tangan seseorang raja atau sultan.

3. MENGERAH TENAGA TENTERA

Mengikut sistem serah dan kerah, rakyat jelata bekerja untuk raja atau kerajaan merupakan suatu kewajipan khasnya dalam menjaga keselamatan negeri, memperbaiki istana dan sebagainya tanpa menerima bayaran. Dari sini, pembesar akan menolong sultan untuk mengerah tenaga tentera ketika menghadapi ancaman dari luar atau dalam dan menyerahkannya kepada sultan. Sebahagian daripada tentera itu akan digunakan oleh para pembesar untuk menjaga kawasan pentadbirannya supaya keamanan dapat dikekalkan selalu.

4. MELAKSANAKAN ISTIADAT MENJUNJUNG DULI

Mengikut Kamus Dewan, menjunjung duli bermaksud memberi khidmat kepada raja. Ini bermaksud, seseorang pembesar haruslah sentiasa bersedia untuk memberikan perkhidmatan kepada raja. Contohnya, semasa sultan hendak berangkat daripada suatu tempat ke tempat lain, Temenggung akan duduk di hadapan gajah dan Laksamana pula akan duduk di belakang gajah. Ini merupakan sebahagian daripada istiadat menjunjung duli yang harus dilakukan oleh seseorang pembesar.

5. MENASIHATI SULTAN DALAM SEGALA HAL

Para pembesar telah membentuk Majlis Penasihat Sultan bagi membantu sultan dalam pentadbiran dan pemerintahan. Sebelum sesuatu keputusan dibuat, sultan akan mengemukakan pendapat baginda dan pembesar akan menasihati baginda sekiranya pendapat sultan mempunyai kelemahan. Cadangan juga akan dikemukakan oleh para pembesar terhadap sultan supaya suatu keputusan yang sempurna dapat dicapai dan diperolehi.

6. MENYELARASKAN SEMUA ISTIADAT DALAM ISTANA

Dalam istana, setiap pembesar mempunyai tugasan tertentu dalam menyelaraskan istiadat dalam istana. Contohnya, semasa Kerajaan Melayu Melaka, Bendahara akan menjadi ketua adat-istiadat serta penjaga alat kebesaran raja. Penghulu Bendahari pula bertanggungjawab menyediakan balai rong seri serta hidangan makanan dan memastikan segala upacara rasmi berjalan lancar. Selain itu, Temenggung akan bertugas dalam urusan jamuan di raja termasuk mengatur dan menentukan orang yang bertugas ketika upacara rasmi.

7. MEMUNGUT CUKAI

Setiap orang pembesar akan diberikan kawasan tertentu yang menjadi kawasan pentadbiran, misalnya di Kerajaan Pahang, Orang Kaya Maharaja Indera Perba bertanggungjawab mentadbir kawasan Tanjung Lindung. Pembesar ini akan memungut cukai daripada anak buahnya selain daripada menjaga keamanan kawasan tersebut. Pembesar ini akan melantik penghulu atau penggawa di setiap kampung. Penghulu inilah yang bertanggungjawab mengutip cukai dari kalangan anak buahnya. Penghulu ini tidak diberi gaji tetapi sebahagian daripada hasil cukai akan diberi kepadanya.

8. SERAH UFTI/CUKAI

Sudah diketahui bahawa pembesar utama akan diberi kawasan pentadbiran dan pembesar berhak memungut cukai daripada anak buahnya. Ini tidak bermaksud semua cukai yang dikutip merupakan kepunyaannya, tetapi disebaliknya, sebahagian daripada cukai yang dikutip ini akan diserah kepada sultan bagi menunjukkan kesetiaannya terhadap sultan yang memerintah.

9. MENYEDIAKAN TENAGA BURUH

Bagi masyarakat Melayu lama, adalah menjadi tanggungjawab bagi setiap rakyat untuk bekerja bagi pihak sultan untuk membina istana atau bangunan lain tanpa menerima apa-apa ganjaran. Di sini, pembesar akan mengerah tenaga buruh daripada kawasan pentadbirannya dan diserahkan kepada sultan. Sistem ini juga dipanggil sistem kerah dan serah. Tanpa pembesar, sultan tidak akan dapat memperolehi tenaga buruh untuk bekerja bagi pihaknya.

10. MENJAGA KEADILAN

Pembesar bertanggungjawab menjatuhkan hukuman terhadap orang yang melakukan kesalahan. Hukuman yang boleh diambil oleh beliau tidak termasuk hukuman mati. Hukuman mati hanya boleh dilaksanakan selepas mendapat keizinan daripada sultan. Dari sini, jelaslah kita lihat pembesar ini bertangguyngjawab menjaga keadilan sosial melalui undang-undang bertulis, undang-undang tidak bertulis, contohnya hokum syarak.

11. MENJADI PERANTARAAN ANTARA RAJA DENGAN RAKYAT

Pembesar mempunyai pengaruh yang kuat di kalangan rakyat jelata khasnya di kawasan pentadbirannya. Beliaulah yang menjadi perantaraan di antara raja dan rakyat dimana semua titah perintah sultan akan disampaikan oleh pembesar kepada rakyat jelata. Di sebaliknya, pembesar akan menyampaikan ketidakpuasan rakyat jelata terhadap sesuatu kepada sultan supaya langkah yang berkaitan dapat diambil.

PEMBESAR DAN PERANANNYA DI SABAH DAN SARAWAK

1. Pada abad ke-18 dan ke-19, Sarawak dan kawasan barat Sabah telah dikuasai oleh Kerajaan Brunei. Sultan Brunei telah melantik pembesar-pembesar tempatan untuk mentadbir Sarawak. Mereka ialah Datu Patinggi, Datu Temenggung dan Datu Bandar.

2. Setiap pembesar mempunyai tugasannya yang tertentu :
a. Datu Patinggi – mengutip dan menyerahkan hasil kepada Kerajaan Brunei sebagai ufti.
b. Datu Temenggung – mengawal keselamatan.
c. Datu Bandar – menyelenggarakan hal-ehwal perdagangan seluruh kawasan.

3. Di bawah Pemerintahan Brooke (1841-1941) :
a. Pembesar tempatan dilantik sebagai penasihat kanan dalam pentadbirannya digelar Pegawai Anak Negeri.
b. Berperanan membantu Residen Inggeris apabila Sarawak dibahagikan kepada 5 bahagian.
c. Pembesar ini bertugas untuk menasihati residen, mengutip cukai dan mengetuai ekspedisi ketenteraan
d. Di peringkat kempung, ketua penduduk tradisi mengekalkan peranturan, menyelesaikan pergaduhan dan memungut cukai.

4. Di Sabah, sehingga tahun 1881, bahagian utara dan timur Sabah dikuasai oleh Kesultanan Sulu dan ditadbir oleh pembesar Sulu yang digelar Datu.

5. Jawatan Ketua Anak Negeri diperkenalkan di peringkat Daerah untuk membantu Pegawai Daerah berbangsa Eropah, hasilnya :
a. Peranan pembesar diperluaskan dengan penubuhan Majlis Penasihat Ketua-ketua Anak Negeri pada tahun 1915.
b. Di peringkat kampung, ketua kampung yang bergelar Orang Tua dilantik untuk menjaga hal pentadbiran kampung.
c. Mahkamah Anak Negeri yang wujud secara tradisional di kalangan penduduk pribumi Sabah dikekalkan. Mahkamah ini diketuai oleh seorang Ketua Anak Negeri yang berfungsi sebagai hakim tempatan.

No comments:

Translate