03 May 2014

Adat Istiadat Menyambut & Mengarak Surat

Gambar sekadar hiasan
Ini adalah gambar gajah Paduka Seri Sultan Perak

Adat istiadat menyambut dan mengarak surat sering dipaparkan apabila ada perutusan dari luar ke Melaka. Kitab Sejarah Melayu menggambarkan jika ada utusan datang, yang menyambut surat di balai ialah kepala abintara di sebelah kanan, dan yang menyampaikan titah raja kepada para utusan ialah kepala abintara di sebelah kiri.
Hamba raja akan meletakkan kerikal dan ceper dari dalam balai untuk meletakkan perutusan. Tetampan dan ceper berikan kepada orang yang membawa surat.

Perutusan dan surat dari Pasai dijemput dengan segala adat dan alat kerajaan. Disediakan nagiri dan negara serta payung putih dua berapit, dan gajah disediakan di hujung balai.
Perutusan dari Pasai dimuliakan kerana kedudukan darjat dan martabat raja dan kerajaan sama taraf antara Pasai dengan Melaka.

Seandainya datang perutusan dan surat dari raja dan kerajaan yang lain dikurangkan penghormatan yang patut diberikan, sama ada sekadar gendang dan serunai serta payung kuning. Seandainya patut bergajah dan berkuda maka diturunkan dari pintu di luar.

Seandainya perutusan tersebut dari raja yang besar sikit, maka diberi nafiri dan berpayung satu putih dan satu kuning, gajah disediakan di luar pintu dari dalam kota. Setiap perutusan akan diberi persalinan oleh raja apabila mereka kembali ke negeri mereka. Jikalau perutusan dari Melaka membawa surat ke negeri lain juga diberikan persalinan. Persalinan turut dianugerahi kepada para raja dan sultan dari wilayah tetangga yang mengadap Sultan Melaka.

Selain darpada persalinan yang mulia-mulia, turut dianugerahkan juga segala harta, emas perak dengan terlalu banyak. (hal. 65)

Ketinggian Adat Istiadat Mengarak Surat dan Utusan diterima sebagai tanda persahabatan serta memperlihatkan tanda kemuliaan dan kebesaran.

Sultan Muzaffar Syan berhasrat mengutus surat ke Benua Siam. Setelah beberapa kali mereka berperang, ada hasrat perdamaian dari Baginda, seperti titahnya, "daripada banyak seteru baik banyak sahabat" (hal. 79). Raja Siam juga membalas perutusan. Di Melaka surat berkenaan di suruh jemput, dan diarak dengan menaiki gajah. Surat disambut oleh abintara, dibaca oleh khatib (hal. 82).

Begitu juga ada bingkisan dari Raja China yang datang dengan pilu yang sarat dengan jarum. Surat juga dibalas dan perutusan dikirim ke China dan palu berkenaan diisi sarat dengan sagu rendang.

Kedua-dua raja cuba membuktikan mereka adalah kerajaan yang besar lantaran rakyat yang ramai (hal. 103 -104).

Selain memuliakan surat perutusan kesultanan Melaka juga memuliakan kitab agama. Maulana Abu Bakar telah membawa kitab Durr Manzum, yang telah diarak ke balairung. Sultan Mansur Syah telah mempelajari dan memperoleh ilmu yang amat berguna dari kitab berkenaan, disamping menitahkan untuk "diertikan" (mungkin diterjemahkan atau dipermudahkan) ke Pasai.
Dititah juga membawa bingkisan ke Pasai dangan permasalahan "Segala isi syurga itu kekalkah ia dalam syurga dan bagi isi neraka itu kekalkah ia dalam neraka". Bingkisan tersebut diiringi dengan emas urai tujuh tahil dan dua perempuan sebagai persembahan, dan bingkisan juga dihias dengan kemala kuning dan kemala ungu berbunga (hal. 120). Sultan juga menitahkan sekiranya dapat dijawab oleh sesiapa pun, emas dan dua perempuan tersebut sebagai hadiah. Bingkisan juga diarak dengan istiadatnya dan sambut juga dengan istiadatnya di Pasai

No comments:

Translate