21 October 2012

PERLANTIKAN KDYMM BAGINDA SULTAN SIR' ABDUL HAMID HALIM SHAH SEBAGAI SULTAN KEDAH


Kebawah Duli Yang Maha Mulia Baginda Tuanku Sultan Sir' Abdul Hamid Halim Shah Ibni Almarhum Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah telah disahkan perlantikannya sebagai pemerintah Kedah oleh Raja Siam pada 23 Mac 1882.

Pengesahan ini adalah ekoran perbalahan yang timbul mengenai pewarisan takhta Kerajaan Kedah setelah kemangkatan Almarhum Sultan Zainal Rashid Muazzam Shah Ibni Almarhum Sultan Ahmad Tajuddin Mukaram Shah. Perbalahan bermula apabila Tunku Dhiauddin (Tunku Kudin) yang pada ketika itu bergelar Raja Muda mengepalai perwakilan Kedah ke Bangkok untuk memujuk Raja Siam bagi melantiknya sebagai Sultan Kedah.

Ianya telah ditentang dengan kerasnya oleh Tunku Yaakub, Wan Muhammad Saman dan Wan Hajar di mana berkehendakkan Tunku Abdul Hamid Halim Shah dilantik sebagai pemerintah Kedah. Oleh kerna peranan Tunku Dhiauddin semasa perang saudara di Selangor dan hubungan yang rapat dengan Inggeris, maka Raja Siam telah menolak permintaan Tunku Dhiauddin untuk menjadi Sultan Kedah.

Dengan kegagalan ini, Tunku Ziauddin cuba mencadangkan pula Tunku Kassim untuk tujuan perlantikan tersebut. Setelah perbincangan berjalan selama lima bulan, Rama IV iaitu pemerintah Negeri Siam pada masa itu, telah melantik Tunku Abdul Hamid Halim Shah sebagai waris takhta Kerajaan Negeri Kedah yang sah.

Dengan perlantikan Sultan Abdul Hamid Halim Shah Ibni Almarhum Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah, maka bermulalah satu era baru dalam sejarah pembangunan dan kemajuan negeri Kedah di mana baginda kemudiannya dikenali sebagai " PENGASAS KEDAH MODEN " dan " SULTAN BERDAULAT BERTARAF ULAMA ".

No comments:

Translate