07 August 2010

SEKEPING TANAH MELAYU DI TENGAH BANDARAYA KUALA LUMPUR




Tanah Kampung Baru adalah milik dan anugerah Almarhum Moyang Nenda Sultan Alauddin Suleiman Shah Ibni Almarhum Raja Muda Musa kepada orang-orang Melayu di kuala Lumpur.

Kampung Baru sebuah perkampungan rizab Melayu tunggal di tengah-tengah metropolitan Kuala Lumpur adalah seluas 225.89 ekar dan dibentuk oleh tujuh buah kampung iaitu Kampung Periuk, Kampung Pindah, Kampung Hujung Pasir, Kampung Paya, Kampung Masjid, Kampung Atas A dan Kampung Atas B. Terdapat tiga kategori tanah milik Melayu wujud di Kampung Baru iaitu Tanah Simpanan Melayu, Tanah Simpanan Pertanian Melayu dan Tanah Melayu Diberi Milik. Kampung Baru mula dibuka pada tahun 1899 dan digazetkan setahun kemudian. Sebuah lembaga pentadbir khusus untuk Kampung Baru ditubuhkan serentak dengan pembukaannya sebagai Penempatan Tanah Pertanian Melayu atau Malay Agriculture Settlement (MAS) serta bertanggungjawab kepada Residen British ketika itu dalam menguruskan perkara mengenai pentadbiran kampung.

Kampung ini pada awalnya terbentuk apabila sekumpulan orang Melayu yang tinggal di kawasan Sungai Gombak dan Sungai Klang terpaksa berpindah untuk memberi ruang kepada pembangunan Kuala Lumpur. Bandar ini ketika itu sedang pesat membangun apabila beberapa projek yang kini menjadi ikon sejarah dan seni bina seperti Kelab Diraja Selangor, Bangunan Pejabat Pos Utama, Victoria Institution dan Bangunan Sultan Abdul Samad sedang dalam pembinaan. Oleh itu Sultan Selangor ketika itu, Sultan Sulaiman Shah @ Sultan Alauddin Sulaiman Shah Ibni Raja Muda Musa telah memperuntuk sebuah kawasan di tepi Sungai Kelang untuk orang Melayu berpindah dan MAS diwartakan pada 1 Jan 1900.

MAS diwujudkan untuk memindahkan orang Melayu yang menghuni pinggir Sungai Gombak dan Sungai Klang walaupun ketika itu mereka aktif dalam kegiatan perniagaan dan perlombongan. Ini kerana British berpendapat orang Melayu wajar bergiat dalam sektor pertanian dan dengan menempatkan orang Melayu di sebuah kampung khas akan memudahkan anak-anak Melayu menerima pendidikan dan mengambil bahagian dalam pentadbiran.
Ini sekali gus memberi peluang kepada penduduk Melayu untuk menikmati sebahagian daripada kemakmuran Kuala Lumpur ketika itu yang kaya dengan bijih timah.
MAS telah dipertanggungjawabkan untuk mentadbir kampung ini dengan kuasa yang luas antaranya melulus dan menetapkan perjanjian pemberian lot rumah dan pelan bangunan, menyimpan butiran pertukaran serta mengawalselia keselamatan dan kegiatan penduduk.
Selain itu MAS turut mempunyai kuasa untuk memberi kebenaran hanya kepada orang Melayu untuk tinggal di sini dengan luas kawasan kediaman tidak melebihi setengah ekar seorang.

MAS turut berkuasa mengusir penduduk yang tidak patuh dengan peraturan serta mereka yang mampu memberi ancaman dan dianggap berbahaya kepada penduduk.
Menurut Shamsuri, anggota lembaga MAS pada peringkat awal terdiri dari kalangan pegawai tinggi penjajah dan kerabat diraja (Raja Muda Selangor pada asalnya menjadi Yang Dipertua) sehinggalah selepas Perang Dunia Kedua.
Di bawah pemerintahan Jepun barulah beberapa orang penduduk Kampung Baru dilantik menganggotai lembaga itu.
Pada masa sekarang, tujuh orang wakil yang dipanggil ahli jemaah dari tujuh buah kampung di sini telah dilantik untuk menganggotai lembaga MAS. Ahli jemaah ini boleh dianggap sebagai penghulu di setiap kampung berkenaan.
Beberapa buah kampung kecil seperti Kampung Manggis dan Kampung Sungai Baru turut digabungkan ke dalam Kampung Baru selain beberapa kampung setinggan, iaitu Kampung Limau, Kampung Cendana dan Kampung Paya Baru.

Namun disebabkan semua urusan pentadbiran tanah adalah hak lembaga tadbir MAS, ia tidak dapat memenuhi harapan tuan tanah yang berhasrat membangunkan kawasan ini kerana mereka tidak memegang apa-apa surat hak milik yang boleh diurusniagakan hinggalah pada tahun 1960-an.
Bagaimanapun Menteri Besar Selangor ketika itu, Datuk Harun Idris yang menjadi pengerusi MAS telah berjaya mengusahakan geran hak milik tanah bagi penduduk kampung ini.
Sejarah Kampung Baru ini jika dihuraikan mungkin terlalu panjang apatah lagi pelbagai peristiwa dan cacatan yang amat bersejarah telah berlaku sejak dari awal penubuhannya.

Pada peringkat awal kebanyakan jalan-jalan yang terdapat di sini dinamakan dengan nama Inggeris dan pastinya ia dianggap sebagai pelik pada ketika itu apatah lagi Kampung Baru sendiri merupakan penempatan terbesar orang Melayu.
Sebagai contoh Jalan Raja Alang yang sangat terkenal dengan Bazar Ramadan sebelum ini dikenali sebagai Perkins Road. Hale Road yang dinamakan sempena seorang pentadbir British di zaman penjajah kini bernama Jalan Raja Abdullah, Jalan Raja Muda Abdul Aziz di tengah-tengah Kampung Baru dikenali sebagai Princess Road manakala Jalan Dewan Sultan Sulaiman pula pernah dikenali sebagai Stony Road.

Kelab Sultan Sulaiman yang terletak di Kampung Baru merupakan kelab orang Melayu tertua di Malaysia dan semenjak penubuhannya pada 1909, ia telah menyaksikan pelbagai catatan dan peristiwa penting negara. Pada peringkat awalnya penduduk Kampung Baru sering mengadakan perjumpaan di sebuah pondok di sini yang dibina secara gotong-royong.

3 comments:

Brader Burger said...

Alhamdulillah...akhirnya bertemu dengan Sang Pencinta Sejarah..

MD YAZID AMIRUL said...

syukur kampung Baru masih wujud sehingga sekarang. Pertahankan kampung warisan kita.

hak anak cucu cicit

kualam said...

Saudara Boheimian dan Saudara Md. Yazid...
Alhamdulilah... dan terima kasih atas kunjungan ke blog kite amat di hargai akan ianya...

Translate