05 November 2014

Persidangan Raja-Raja Melayu (Durbar) Kedua di Kuala Lumpur

Potret Gambar beramai-ramai semasa Persidangan Raja-Raja Melayu
Persidangan Raja-raja Melayu atau Durbar kedua telah diadakan di Kuala Lumpur pada 20 Julai 1903. Persidangan ini telah dihadiri oleh Raja-Raja Melayu dan Pembesar-pembesar negeri.
Antaranya Sultan Perak, Paduka Seri Sultan Idris Murshidul Aadzam Shah Ibni Almarhum Raja Bendahara Alang Iskandar; Sultan Selangor, Paduka Sri Sultan Ala'uddin Suleiman Shah Ibni Almarhum Raja Muda Musa; Sultan Pahang, Baginda Sultan Ahmad Muazzam Shah ibni Almarhum Bendahara Sri Maharaja Tun Ali dan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Yam Tuan Tuanku Muhammad Shah ibni Almarhum Tuanku Antah, Residen-residen British pula terdiri dari J.P. Rodger (Perak), H. Conway Belfield (Selangor), D.G. Campbell (Pahang) dan W. Egerton (N. Sembilan). 

Persidangan kali kedua ini telah dirasmi dan dipengerusikan oleh Pesuruhjaya Tinggi bagi Negeri-negeri Melayu Bersekutu, Sir Frank Swettenham. Beliau dibantu oleh Residen Jeneral, W.H. Treacher. Peruntukan sebanyak RM80,000 telah diluluskan untuk perbelanjaan persidangan ini. 

  • Perkara-perkara yang dibincangkan antara lain berhubung dengan menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, 
  • Pengambilan orang-orang Melayu dalam perkhidmatan kerajaan, 
  • Peruntukan rumah-rumah dan balai-balai bagi Penghulu, perluasan dan penanaman padi dan kelapa di kalangan orang-orang Melayu, 
  • Pelaburan tabung Negeri-negeri Melayu Bersekutu dalam Pembinaan Jalan Keretapi Johor dan sebagainya. 
  • Persidangan Durbar kedua yang berlangsung selama empat hari ini di Kuala Lumpur telah memberi erti yang besar kepada Raja-raja Melayu. Ia bukan sahaja memberi kesempatan bersuara malah ia juaa telah membuka ruang kepada Raja-Raja Melayu untuk perjuangkan hak-hak demi kepentingan orang-orang Melayu. 


The High Commissioner, Sultan of Perak, Raja Muda Musa, Raja Di Hilir Abdul Jalil. Kuala Lumpur, Malaya – 1903
collection The National Archives.
Paduka Seri Sultan Idris Murshidul Aadzam Shah ibni Almarhum Raja Bendahara Alang Iskandar adalah yang paling banyak mengemukakan pendapat. Baginda menentang usul Inggeris bagi menyatukan Negeri-Negeri Melayu kerana ini akan mengakibatkan Raja-Raja Melayu kehilangan kuasa mutlak dan berharap negeri-negeri ini dikekalkan sebagai entiti yang berasingan bagi menjamin kuasa Raja-Raja Melayu. Persidangan ini juga telah membuka jalan ke arah Penubuhan Majlis Persekutuan. 

Raja-Raja Melayu Memperkenan Lambang @ Jata Persekutuan Tanah Melayu Yang Baru Diwartakan.


Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Negeri Melayu telah memperkenankan lambang Persekutuan Tanah Melayu yang baru diwartakan pada 30 Mei 1952. Hal ini telah dinyatakan oleh Pesuruhjaya Tinggi Persekutuan iaitu Jeneral Sir Gerald Templer di Kuala Lumpur. 


Reka bentuk lambang baru tersebut telah diusahakan oleh Jabatan Ukur bersama dengan Raja-raja Melayu dan Sir Henry Gurney. Ia menggunakan enam warna. Dalam lambang Persekutuan itu terdapat bintang pecah sebelas, yang mewakili 11 negeri dan bulan sabit melambangkan agama Islam sebagai agama rasmi. Lima bilah keris di bawahnya menandakan Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu. Di kirinya lambang Negeri Pulau Pinang – Prince Of Wales yang berlatarkan ombak laut. Di kanannya pula lambang Gerbang Kota Santiago yang mewakili Negeri Melaka. Kedua negeri dipisahkan oleh warna hitam, merah dan kuning yang merupakan warna-warna berasingan bagi Negeri-negeri Bersekutu. Lambang harimau merupakan lambang yang digunakan bagi Negeri-negeri Melayu sejak sebelum perang lagi. 

Lambang ataupun Jata Persekutuan yang baru ini telah menjadi lambang kemegahan dan menjadi tanda Persekutuan Tanah Melayu sehingga selepas kemerdekaan. 

Sumber :
Arkib Negara

31 October 2014

Sejarah Penubuhan Pasukan Polis Negeri Selangor.

Y.T.M Tunku Kudin
Pada sekitar tahun 1870 Paduka Sri Sultan Abdul Samad Ibni Almarhum Tengku Panglima Besar Abdullah telah menyerahkan pentadbiran negeri kepada menantunya, iaitu D.Y.T.M Raja Muda Kedah - Tunku Dhiauddin ibni Almarhum Sultan Zainal Rashid I @ Tunku Kudin dari Negeri Kedah dengan gelaran Wakil Yamtuan.

Tunku Kudin kemudiannya menubuhkan sebuah Pasukan Polis dan didalam tahun 1871 telah merekrut dua orang pegawai Eropah - seorang Belanda bernama Van Hagen dan seorang Italy bernama Cavaleiri. Pasukan Polis tersebut mengandungi 30 orang Eropah dan Serani serta 80 orang sepoi India. Tunku Kudin adalah rakan sepakatan Yap Ah Loy, Kapitan Cina waktu itu.

Dalam tahun 1872, Tunku Kudin menempatkan sebahagian besar anggota Pasukan Polisnya di Kuala Lumpur bagi menghadapi ancaman Syed Masyhur yang juga menjadi musuh ketat Yap Ah Loy. Kuala Lumpur ditawan oleh Syed Masyhor dalam bulan Ogos tahun yang sama. Pasukan Tunku Kudin telah diserang hendap oleh satu lagi kumpulan penentang yang diketuai oleh Raja Mahadi bin Raja Sulaiman ibni Almarhum Sultan Muhammad Shah.

Cavaleiri dan 20 orang anggota pasukan Tunku Kudin terbunuh. Ah Loy terpaksa melarikan diri dari Kuala Lumpur. Sementara itu Van Hagen dan 40 anggotanya ditawan dan dihukum bunuh di Kuala Lumpur. Bila Davidson dilantik sebagai Residen British dalam tahun 1874, salah satu tindakan utamanya ialah menubuhkan Pasukan Polis. Pembentukan Pasukan Polis diserahkan kepada seorang pegawai muda yang bernama Harry Charles Syers (Kemudian menjadi Pesuruhjaya Polis FMS). Dalam bulan Julai 1875, Harry Charles Syers dilantik sebagai Penguasa Polis dan Penjara Selangor.

H.C Syers
Menjelang Oktober 1878 anggota Pasukan Polis Selangor meningkat ke angka 270 dan kesemuanya adalah orang Melayu. Balai-balai polis jua didirikan di Klang, Kuala Lumpur, Damansara, Kubu Lama, Sungai Pelong, Hulu Selangor, Sabak Bernam, Jugra, Kancing, Krian dan Hulu Langat. Pasukan Polis itu dikenali sebagai Pasukan Polis Tentera Selangor (Selangor Military Police Force). Mulai tahun 1882, Ibu Pejabat Polis Selangor dipindahkan dari Klang ke Kuala Lumpur yang sedang pesat membangun ketika itu. Balai Polis Central terletak di persimpangan Jalan Pudu dan Jalan Cross tetapi pusat pentadbiran polis Selangor yang diketuai oleh H.C. Syers, terletak di jalan Bluff, tempat terletaknya Ibu Pejabat Polis Bukit Aman sekarang.

Pasukan Polis Selangor pimpinan Syers terus berkembang pesat terutamanya pada akhir tahun 1880-an. Setelah membentuk sebuah pasukan polis yang cekap di Selangor. Syers diarahkan ke Pahang untuk membantu menubuhkan sebuah pasukan polis di negeri itu.

Sumber :

- Penelitian
 - Laman sesawang PDRM - rmp.gov.my

29 September 2014

Komiti Quran Negeri Perak Darul Ridzuan

Paduka Seri Sultan Abdul Jalil bersama Tengku Permaisuri Yong Sapiah Bt Dato' Panglima Besar Muhammad Yunus
Semasa pemerintah Paduka Seri Sultan Abdul Jalil Ibni Almarhum Sultan Idris Ramatullah Shah telah tertubuhnya Komiti Quran Perak pada tahun 1917. Di mana penubuhannya bertujuan untuk mengawal dan memantau pengendalian pengajaran agama Islam di Negeri Perak.

Pengerusi pertama yang dilantik ialah Raja Bendahara Iskandar Shah Ibni Almarhum Sultan Idris Ramatullah Shah (1918-1938). Komiti Quran Perak bertindak sebagai Komiti Syariah Negeri Perak, yang bertanggungjawab dalam segala hal ehwal berkaitan dengan pentadbiran agama Islam secara umum pada masa itu termasuklah mengeluarkan kebenaran bagi penerbitan buku-buku agama, pentauliahan mengajar dan sebagainya.

Paduka Seri Sultan Abdul Jalil bersama menantunya iaitu Paduka Seri Sultan Alauddin Suleiman Shah 

01 August 2014

Gaya Pemakaian Baju Melayu Anak Raja Negeri Perak.

DYTM Raja Muda Ahmed Sifuddin Ibni Almarhum Sultan Alang Iskandar
Negeri Perak sememangnya terkenal sebagai pusat adat. Kerna sejarah Kesultanan Negeri Perak itu sendiri mempunyai kaitan langsung dari Empayar Kesultanan Melayu Melaka. Berikut adalah gaya pemakaian Baju Melayu Anak Raja Negeri Perak yang di praktikkan sejak tahun 1890an dan mungkin lebih awal. Cara pakaian baju melayu tidak sedondong diperlihatkan oleh Almarhum Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak yang terdahulu.

Almarhum Sultan Sir Idris Murshidulazam Shah
Paduka Seri yang pertama mengenakan adalah Almarhum Sultan Sir Idris Murshidul'Adzam Shah Ibni Almarhum Raja Bendahara Alang Iskandar kemudian di praktikkan oleh Almarhum Sultan Alang Iskandar Ibni Almarhum Sultan Sir Idris Murshidul'Adzam Shah Kemudian disusuri oleh Almarhum Raja Muda Ahmed Sifuddin Ibni Almarhum Sultan Alang Iskandar. Keluarga Diraja Johor mengunakan pemakaian ini dengan mengenakan Baju Melayu Teluk Belanga semasa Almarhum Sultan Iskandar bersama-sama YM Raja Kobat Salehuddin Ibni Almarhum Raja Muda Musa [Diceritakan sendiri oleh Y.M Raja Kobat] terlihat Potret Almarhum Sultan Alang Iskandar didalam Kelab Polo Ipoh yang mengenakan Baju Melayu Cekak Musang berseluar hitam kemudian memuji dan mempraktikkan cara pemakaian tersebut.

DYTM Raja Muda Musa Ibni Almarhum Sultan Abdul Aziz
Kesimpulannya Anak Raja Perak mengenakan cara pemakaian baju melayu dua warna dan tidak sedondon dan terdapat jua sebuah cerita yang diperceritakan bahawa anak raja perak mempunyai pantang larang yang diperkisahkan dari turun temurun Sultan Idris Idris Murshidul'Adzam Shah. Benar ataupun tidak berhubung pantang larang tersebut hanya Allah SWT jua yang Maha Mengetahui akan sesuatu.

Almarhum Sultan Alang Iskandar Shah
Sebagai contoh yang jelas. Panglima Istana Negeri Perak mengenakan Pakaian ini iaitu Baju Merah, Samping Merah dan Berseluar Hitam. Anak-Anak Raja Perak telah lama praktikkan pakaian ini. 

Panglima Istana Negeri Perak




28 July 2014

Adat Zaman Dahulukala Ketika Hari Raya.

Sekadar Gambar Hiasan

Adat Raja Berangkat pada Hari Raya secara berusungan 

Raja akan berangkat dengan usungan. Kepala usungan kanan akan dipegang oleh Penghulu Bendahari dan sebelah kiri oleh Laksamana. Di sebelah belakang pula Menteri Kedua. Hulubalang berjalan di hadapan raja dengan membawa alat kerajaan di kiri dan kanan sementara Bentara memikul pedang. Bendahara berjalan di belakang raja dengan kadi, pakeh segala orang besar dan segala menteri yang tua. 

Adat Menyambut Hari Raya. 

Bendahara dan segala Orang Besar-besar akan duduk berkampung dan usungan akan diarak oleh Penghulu Bendahari. Apabila usungan tiba, segala orang yang duduk dibalai turun berdiri, beratur bersaf-saf gendang akan dipalu tujuh ragam, diiringi nafiri. selepas tujuh kali, raja berangkat menaiki gajah dan diarak ke masjid dan barulah ke istana Sekadar Gambar Hiasan.

16 July 2014

Adat Istiadat Pertabalan Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan

D.Y.M.M Pemangku Raja Perak sedang menandatangani Surat Perlantikkan sebagai D.Y.M.M Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan

Artikel ini menerangkan akan hal ehwal yang berkaitan dengan Adat Istiadat Pertabalan Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan. Adat Istiadat Pertabalan melibatkan beberapa peringkat iaitu peringkat Adat Tabal Kerajaan, Istiadat Tabal Adat dan Istiadat Tabal Pusaka. Didalam Istiadat Tabal Pusaka terdapat beberapa fasa istiadat iaitu Istiadat Memasak Tiang Seri Panca Persada, Istiadat Mengambil Air Bersiram Tabal Di Tujuh Kuala Sungai Perak, Istiadat Pemulihan Perkakas-perkakas Kerajaan, Istiadat Bersiram Tabal dan Istiadat Menyantap Nasi Berastakona.

D.Y.M.M Paduka Seri Sultan Sedang Membaca Lafaz Sumpah sebagai Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan
Pengumuman perlantikkan telah dibuat oleh Orang Kaya-Kaya Seri Maharaja, Tan Sri Jen (B) Mohd Zahidi Zainuddin sekitar jam 3.15 petang pada  29 Mei 2014 di Balai Rongseri Istana Iskandariah. Kuala Kangsar.

Dalam lafaz sumpah.
"Bismillahirrahmanirrahim...

Adalah kita, Raja Nazrin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Shah bersumpah dengan 
Wallahi Wabillahi Watallahi 
bahawa kita mengaku memerintah Negeri Perak Darul Ridzuan dan sekalian jajahan takluknya menurut perlembagaan negeri Perak dengan adil mengikut hukum Allah." 
Titah Raja Dr Nazrin Shah, 

Kemudian baginda meletakkan tangan kanan atas keranda jenazah Almarhum Sultan Azlan Shah sebagai tanda menerim Amanah sebagai Sultan Perak yang baru.


Laungan Daulat Tuanku dilaungkan sebanyak 3 kali. 
Kemudian di akhiri bacaan Doa Selamat oleh Mufti Negeri Tan Sri Harussani Zakaria. 

Istiadat Tabal Kerajaan - Pemasyhuran Sebagai Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan

Istiadat Tabal Kerajaan disempurnakan setelah Raja Pemerintah baru dipilih dan dilantik oleh Dewan Negara Perak sebelum permakaman Almarhum Paduka Seri Sultan. sebelum itu Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja mengumumkan perlantikan Raja Pemerintah baru itu di khalayak orang besar-besar dan orang kenamaan yang hadir di balai rong seri Istana Iskandariah, Kuala Kangsar. Selepas pengumuman itu, para hadirin menyeru tiga kali 'Daulat Tuanku'. Raja Pemerintah baru meletakkan tangan kanannya pada keranda Almarhum sebagai tanda penerimaan perlantikan tersebut. [Gambar diatas memperlihatkan Istiadat Tabal Kerajaan yang telah disempurnakan pada 29 Mei 2014 yang lalu].

1. Tabal Adat

Istiadat Tabal Adat adalah upacara pertabalan rasmi di mana Raja Pemerintah baru akan ditabal secara rasmi mengikut adat resam yang turun-menurun dan dengan penuh gilang-gemilang. Istiadat ini dilangsungkan di dalam Balairong Seri, Istana Iskandariah dengan keberangkatan hadir wakil-wakil Sultan dan Raja Pemerintah Negeri yang lain dari Semenanjung Malaysia serta Negara Brunei Darussalam. Juga diundang hadir adalah Menteri Besar, orang besar-besar, wakil rakyat dan orang kenamaan. 
Pawang Diraja - Raja Chik Muda mempersembahkan Pedang Cura Si Manja Kini
Istiadat Pertabalan dimulakan dengan DATO' PENGELOLA BIJAYA DI-RAJA yang menatang AL-QURAN diiringi SAHIBUL SAMAHAH MUFTI KERAJAAN PERAK masuk ke Balairong Seri bersama PAWANG DI-RAJA PERAK - RAJA CHIK MUDA [ dahulunya dikenali sebagai Y.A.M Raja Kechil Muda ] yang menatang PEDANG CURA SI MANJA KINI [Asalnya Curik man Dakini] dan didahului oleh PANGLIMA DALAM yang diapit oleh PANGLIMA PERANG KANAN dan PANGLIMA PERANG KIRI dan BENTARA-BENTARA di kiri dan kanan.

Apabila tiba di hadapan Singgahsana Dato' Pengelola Bijaya di-Raja memohon perkenan PADUKA SERI SULTAN untuk meletakkan AL-QURAN di atas meja khas.

Setelah memberi hormat, dulang berisi PEDANG CURA SI MANJA KINI dibawa naik oleh PAWANG DI-RAJA - RAJA CHIK MUDA ke Singgahsana hingga ke tingkat dua, bertelut memohon perkenan PADUKA SERI SULTAN dan menyembahkan PEDANG CURA SI MANJA KINI ke bawah PADUKA SERI SULTAN.

PADUKA SERI SULTAN menerima pedang tersebut, menghunus mata pedang lalu mengucup. Selepas PAWANG DI-RAJA - RAJA CHIK MUDA mengundur diri dari Singgahsana, TOH SERI NARA DI-RAJA berjalan masuk ke Balairong Seri dan terus naik ke Singgahsana hingga ke tingkat dua dan mempersembahkan MASTIKA EMBUN dan menyunting CAP HALILINTAR ke telinga kanan PADUKA SERI SULTAN sambil membisikkan "RAHSIA NISAB SULTAN I". Kemudian diikuti pula dengan PENGISYTIHARAN PEMASYHURAN PERTABALAN DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI SULTAN yang dibaca oleh ORANG KAYA BENDAHARA SERI MAHARAJA.

Apabila selesai, ORANG KAYA TEMENGGONG PADUKA RAJA mengangkat sembah dan berseru tiga kali "DAULAT TUANKU" berturut-turut diikuti oleh sekelian yang hadir.

"Nobat Tabal" dipalu dan tembakan meriam dua puluh satu das dilepaskan. Selepas itu PADUKA SERI SULTAN menundukkan hulu Baginda membalas hormat yang diberikan oleh para hadirin.

Apabila semuanya mustaid ORANG KAYA TEMENGGONG PADUKA RAJA mengangkat sembah, bertinggul dan mengangkat sembah kepada PADUKA SERI SULTAN mohon izin perkenan untuk RAJA PERMAISURI mengadap. RAJA PERMAISURI bangun mengangkat sembah PADUKA SERI SULTAN, bertelut dan mengangkat sembah. TOK RAKNA SENARI mengadap dan menyembah "BUNGA PENCAWA PENCARA" kepada PADUKA SERI SULTAN. Baginda mengambil dan menyematkan ke hulu RAJA PERMAISURI. Selepas itu RAJA PERMAISURI mengadap, mengangkat sembah dan mengucup tangan PADUKA SERI SULTAN dan seterusnya PADUKA SERI SULTAN mempersilakan RAJA PERMAISURI bersemayam semula diikuti dengan Pemasyhuran Penganugerahan Gelaran DULI YANG MAHA MULIA RAJA PERMAISURI PERAK.

Apabila selesai, ORANG KAYA TEMENGGONG PADUKA RAJA mengangkat sembah lalu berseru tiga kali "DAULAT" berturut-turut diikuti oleh sekelian yang hadir. DULI YANG MAHA MULIA RAJA PERMAISURI PERAK menundukkan hulu Baginda membalas hormat yang diberikan oleh para hadirin.

Selepas Istiadat Pemasyhuran dijalankan, PAWANG DI-RAJA - RAJA CHIK MUDA  memulakan ISTIADAT MERENJIS AIR "PANCA BICARA" PADUKA SERI SULTAN dan  RAJA PERMAISURI.

Selesai sudah ISTIADAT MERINJIS AIR "PANCA BICARA", Istiadat diteruskan dengan penyembahan dan bacaan Ucapan Tahniah oleh DULI YANG TERAMAT MULIA RAJA MUDA bagi mewakili Raja-Raja dan Orang Besar Perak, dan Persembahan Ucapan Tahniah dan Taat Setia daripada YANG AMAT BERHORMAT MENTERI BESAR PERAK bagi pihak Kerajaan dan Rakyat Perak.
Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak
Istiadat Pertabalan diakhiri dengan TITAH UCAPAN PADUKA SERI SULTAN dan DOA SELAMAT oleh Sahibul Samahah Mufti Kerajaan Perak. Pakaian bagi istiadat ini adalah lengkap dengan bertengkolok. Bintang-bintang dan pingat-pingat kurniaan juga dipakai bersama.

2. Istiadat Tabal Pusaka 

Istiadat Tabal Pusaka mengandungi beberapa istiadat kecil termasuk Istiadat Memasak Tiang Seri Panca Persada, Istiadat Mengambil Air Bersiram Tabal Di Tujuh Kuala Sungai Perak, Istiadat Pemulihan Perkakas-perkakas Kerajaan, Istiadat Bersiram Tabal dan Istiadat Menyantap Nasi Berastakona.
Panca Persada Istiadat Bersiram
2.1 Istiadat Memasak Tiang Seri Panca Persada

Istiadat Memasak Tiang Seri Panca Persada merupakan adat yang dijalankan sebelum Tiang Utama Panca Persada daripada Kayu Khas bernama 'SUNGKAI' dipasakkan [Kayu Khas ini diceritakan akan dibawa oleh Orang Besar Jajahan Batang Padang]. Pada zaman dahulu, Panca Persada dibangunkan di pertengahan Sungai Perak, akan tetapi sekarang ianya didirikan di perkarangan Istana Iskandariah. Berbentuk empat persegi setinggi 9 atau 11 tingkat, ianya dikisar sekelilingnya dengan tangga. Di kemuncaknya terletaknya tempat bersemayam Paduka Seri Sultan dan Raja Perempuan yang berbumbung. Siling dan tiang dibalut dengan kain kuning. 

Di sekiling tingkat digantung dengan daun budi dan tingkat kemuncak diulas dengan kain keemasan. Lazimnya, istiadat ini cuma dihadiri oleh orang besar-besar, pawang-pawang, panglima-panglima dan bentara-bentara sahaja.

2.2 Istiadat Mengambil Air Bersiram Tabal Di Tujuh Kuala Sungai Perak

Istiadat Mengambil Air Bersiram Tabal Di Tujuh Kuala Sungai Perak juga merupakan salah satu adat yang unik. Istiadat ini dimulakan dengan perarakan berkereta yang memuatkan pasukan Nobat Diraja, panglima-panglima, Toh Seri Nara Diraja dan Raja Cik Muda (Pawang Diraja) bersama-sama dengan tujuh orang bomoh yang lain, bentara-bentara yang membawa perkakas istiadat, dan enam belas jejawat berlembing dari Istana Iskandariah hingga ke tebing Sungai Perak. Nobat akan dipalukan sepanjang istiadat ini. 

Di tebing sungai, perkakas istiadat dibawa naik ke atas bot. Raja Chik Muda, Toh Seri Nara Diraja dan bentara-bentara menaiki bot serta bermula mengambil air dari kuala Sungai Kangsar. 

Rombongan bergerak ke kuala-kuala sungai lain, iaitu Sungai Chepias, Sungai Sayong, Sungai Hitam, Sungai Chermin, Sungai Bunya dan Sungai Menora, untuk mengambil air serta dimasukkan ke dalam geluk.

2.3 Istiadat Tabal Pusaka

Istiadat Tabal Pusaka, yang dahulunya dikenali sebagai Istiadat Tabal Jin, berlangsung di dalam Balairong Seri dan di Panca Persada. Istiadat ini disempurnakan pada waktu malam dan disaksikan oleh kerabat-kerabat diraja rapat, orang besar-besar serta pemimpin-pemimpin negeri. 

Pakaian majlis ini adalah baju Melayu hitam, bertengkolok hitam dan bersamping kain benang emas tetapi tidak memakai bintang-bintang kurniaan.
Istiadat Bersiram Tabal
Istiadat ini bermula di Balairong Seri, dan para undangan dipandu ke tempat duduk di Balairong Seri. Istiadat dimulakan dengan paluan nobat. Antara perkakas kerajaan yang dibawa masuk ke dalam Balairong Seri ialah pedang 'Cura Si Manja Kini', Pontoh Bernaga dan Pontoh Ular Lidi yang dipersembahkan kepada Sultan. 
Istiadat ini diikuti dengan Istiadat Memulih Perkakas Kerajaan dan Perkakas Nobat, dan selepas itu, 

Istiadat Bersiram Tabal disempurnakan di atas Panca Persada di perkarangan istana. Apabila Paduka Seri Sultan dan Raja Perempuan berangkat tiba di kawasan Panca Persada, Raja Chik Muda akan memulakan Istiadat Mengelilingi Balai Panca Persada sebanyak tujuh kali bersama-sama dengan para bomoh dan bentara yang membawa perkakas merenjis. Baginda Paduka Seri Sultan dan Raja Perempuan menaiki Panca Persada, diiringi oleh Raja Muda dan Raja Di Hilir serta isteri mereka, dan diikuti oleh orang besar-besar serta isteri. Sebaik sahaja Paduka Seri Sultan dan Raja Perempuan selamat bersemayam di atas kemuncak Panca Persada, Raja Chik Muda memulakan Istiadat Bersiram Tabal. Air siram adalah air daripada tujuh kuala Sungai Perak yang telah dibekaskan pada Istiadat Mengambil Air Bersiram Tabal dua atau tiga hari terlebih dahulu. Selesai sudah istiadat ini, baginda berdua berangkat turun dari Panca Persada berselimut dengan kain benang emas serta dipandu berangkat balik ke istana diringi dengan paluan nobat. Setelah menyalinkan pakaian, Paduka Seri Sultan dan Raja Perempuan berangkat masuk ke dalam Balairong Seri semula, dan bersemayam di atas petarakna singgahsana. Istiadat Merenjis Air Panca Bicara dilangsungkan, dan setelah selesai istiadat itu diikuti pula Istiadat Santapan Nasi Berastakona. 

2.4 Tabal Menziarahi Makam-Makam Diraja

Istiadat Menziarah Makam
Istiadat Menziarahi Makam-makam Diraja bermula dengan kegunaan kenderaan dari bahagian hulu Sungai Perak berangkat menziarahi makam-makam Almarhum Sultan-Sultan yang terdahulu yang terletak di sepanjang Sungai Perak sehingga ke Pemakaman Diraja Kuala Kangsar. Setelah itu, Paduka Seri Sultan dan Raja Perempuan diiringi oleh para orang besar-besar akan berangkat menaiki sebuah bot khas atau Balai Gambang bernama Cempaka Sari, untuk menghilir serta menziarahi makam-makam diraja. Semasa keberangkatan menziarahi, doa selamat dan kenduri arwah diadakan. 

Balai Gambang CEMPAKA SARI
2.5 Tabal Beting Beras Basah

Di Teluk Intan, Paduka Seri Sultan berangkat ke Beting Beras Basah, iaitu bumi Perak yang pertama dipijak oleh Almarhum Sultan Muzaffar Shah, Sultan Perak yang pertama takkala Almarhum berangkat tiba dari Kampar, Sumatera. Kaum wanita tidak boleh menyertai adat ini. 

Istiadat Beting Beras Basah
Di sini, Paduka Seri Sultan mencelup kakinya ke beting dan seterusnya membasuh muka sebagai tanda baginda telah selamat berangkat sampai, dan diikuti dengan bacaan doa selamat. 

Foto yang dipaparkan adalah sekadar hiasa bagi memperlihatkan adat istiadat pertabalan sultan.

Sumber Rujukan :
- Buku Adat Lembaga Orang-Orang Melayu Didalam Negeri Perak Darul Ridzuan Daripada Zaman Purbakala,
- Artikel Pertabalan Sultan Idris Affifullah,
- Biografi Pertabalan Sultan Azlan Shah,
- Portal Raja Kita Negeri Perak,
- Pejabat D.Y.M.M Sultan Perak,
- Perceritaan turun-turun

Foto :
Wan Hashim Wan Teh. DYMM Sultan Azlan Shah: Biografi Bergambar. Dewan Bahasa dan Pustaka; 1990

Translate