16 July 2014

Adat Istiadat Pertabalan Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan

D.Y.M.M Pemangku Raja Perak sedang menandatangani Surat Perlantikkan sebagai D.Y.M.M Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan

Artikel ini menerangkan akan hal ehwal yang berkaitan dengan Adat Istiadat Pertabalan Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan. Adat Istiadat Pertabalan melibatkan beberapa peringkat iaitu peringkat Adat Tabal Kerajaan, Istiadat Tabal Adat dan Istiadat Tabal Pusaka. Didalam Istiadat Tabal Pusaka terdapat beberapa fasa istiadat iaitu Istiadat Memasak Tiang Seri Panca Persada, Istiadat Mengambil Air Bersiram Tabal Di Tujuh Kuala Sungai Perak, Istiadat Pemulihan Perkakas-perkakas Kerajaan, Istiadat Bersiram Tabal dan Istiadat Menyantap Nasi Berastakona.

D.Y.M.M Paduka Seri Sultan Sedang Membaca Lafaz Sumpah sebagai Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan
Pengumuman perlantikkan telah dibuat oleh Orang Kaya-Kaya Seri Maharaja, Tan Sri Jen (B) Mohd Zahidi Zainuddin sekitar jam 3.15 petang pada  29 Mei 2014 di Balai Rongseri Istana Iskandariah. Kuala Kangsar.

Dalam lafaz sumpah.
"Bismillahirrahmanirrahim...

Adalah kita, Raja Nazrin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Shah bersumpah dengan 
Wallahi Wabillahi Watallahi 
bahawa kita mengaku memerintah Negeri Perak Darul Ridzuan dan sekalian jajahan takluknya menurut perlembagaan negeri Perak dengan adil mengikut hukum Allah." 
Titah Raja Dr Nazrin Shah, 

Kemudian baginda meletakkan tangan kanan atas keranda jenazah Almarhum Sultan Azlan Shah sebagai tanda menerim Amanah sebagai Sultan Perak yang baru.


Laungan Daulat Tuanku dilaungkan sebanyak 3 kali. 
Kemudian di akhiri bacaan Doa Selamat oleh Mufti Negeri Tan Sri Harussani Zakaria. 

Istiadat Tabal Kerajaan - Pemasyhuran Sebagai Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan

Istiadat Tabal Kerajaan disempurnakan setelah Raja Pemerintah baru dipilih dan dilantik oleh Dewan Negara Perak sebelum permakaman Almarhum Paduka Seri Sultan. sebelum itu Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja mengumumkan perlantikan Raja Pemerintah baru itu di khalayak orang besar-besar dan orang kenamaan yang hadir di balai rong seri Istana Iskandariah, Kuala Kangsar. Selepas pengumuman itu, para hadirin menyeru tiga kali 'Daulat Tuanku'. Raja Pemerintah baru meletakkan tangan kanannya pada keranda Almarhum sebagai tanda penerimaan perlantikan tersebut. [Gambar diatas memperlihatkan Istiadat Tabal Kerajaan yang telah disempurnakan pada 29 Mei 2014 yang lalu].

1. Tabal Adat

Istiadat Tabal Adat adalah upacara pertabalan rasmi di mana Raja Pemerintah baru akan ditabal secara rasmi mengikut adat resam yang turun-menurun dan dengan penuh gilang-gemilang. Istiadat ini dilangsungkan di dalam Balairong Seri, Istana Iskandariah dengan keberangkatan hadir wakil-wakil Sultan dan Raja Pemerintah Negeri yang lain dari Semenanjung Malaysia serta Negara Brunei Darussalam. Juga diundang hadir adalah Menteri Besar, orang besar-besar, wakil rakyat dan orang kenamaan. 
Pawang Diraja - Raja Chik Muda mempersembahkan Pedang Cura Si Manja Kini
Istiadat Pertabalan dimulakan dengan DATO' PENGELOLA BIJAYA DI-RAJA yang menatang AL-QURAN diiringi SAHIBUL SAMAHAH MUFTI KERAJAAN PERAK masuk ke Balairong Seri bersama PAWANG DI-RAJA PERAK - RAJA CHIK MUDA [ dahulunya dikenali sebagai Y.A.M Raja Kechil Muda ] yang menatang PEDANG CURA SI MANJA KINI [Asalnya Curik man Dakini] dan didahului oleh PANGLIMA DALAM yang diapit oleh PANGLIMA PERANG KANAN dan PANGLIMA PERANG KIRI dan BENTARA-BENTARA di kiri dan kanan.

Apabila tiba di hadapan Singgahsana Dato' Pengelola Bijaya di-Raja memohon perkenan PADUKA SERI SULTAN untuk meletakkan AL-QURAN di atas meja khas.

Setelah memberi hormat, dulang berisi PEDANG CURA SI MANJA KINI dibawa naik oleh PAWANG DI-RAJA - RAJA CHIK MUDA ke Singgahsana hingga ke tingkat dua, bertelut memohon perkenan PADUKA SERI SULTAN dan menyembahkan PEDANG CURA SI MANJA KINI ke bawah PADUKA SERI SULTAN.

PADUKA SERI SULTAN menerima pedang tersebut, menghunus mata pedang lalu mengucup. Selepas PAWANG DI-RAJA - RAJA CHIK MUDA mengundur diri dari Singgahsana, TOH SERI NARA DI-RAJA berjalan masuk ke Balairong Seri dan terus naik ke Singgahsana hingga ke tingkat dua dan mempersembahkan MASTIKA EMBUN dan menyunting CAP HALILINTAR ke telinga kanan PADUKA SERI SULTAN sambil membisikkan "RAHSIA NISAB SULTAN I". Kemudian diikuti pula dengan PENGISYTIHARAN PEMASYHURAN PERTABALAN DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI SULTAN yang dibaca oleh ORANG KAYA BENDAHARA SERI MAHARAJA.

Apabila selesai, ORANG KAYA TEMENGGONG PADUKA RAJA mengangkat sembah dan berseru tiga kali "DAULAT TUANKU" berturut-turut diikuti oleh sekelian yang hadir.

"Nobat Tabal" dipalu dan tembakan meriam dua puluh satu das dilepaskan. Selepas itu PADUKA SERI SULTAN menundukkan hulu Baginda membalas hormat yang diberikan oleh para hadirin.

Apabila semuanya mustaid ORANG KAYA TEMENGGONG PADUKA RAJA mengangkat sembah, bertinggul dan mengangkat sembah kepada PADUKA SERI SULTAN mohon izin perkenan untuk RAJA PERMAISURI mengadap. RAJA PERMAISURI bangun mengangkat sembah PADUKA SERI SULTAN, bertelut dan mengangkat sembah. TOK RAKNA SENARI mengadap dan menyembah "BUNGA PENCAWA PENCARA" kepada PADUKA SERI SULTAN. Baginda mengambil dan menyematkan ke hulu RAJA PERMAISURI. Selepas itu RAJA PERMAISURI mengadap, mengangkat sembah dan mengucup tangan PADUKA SERI SULTAN dan seterusnya PADUKA SERI SULTAN mempersilakan RAJA PERMAISURI bersemayam semula diikuti dengan Pemasyhuran Penganugerahan Gelaran DULI YANG MAHA MULIA RAJA PERMAISURI PERAK.

Apabila selesai, ORANG KAYA TEMENGGONG PADUKA RAJA mengangkat sembah lalu berseru tiga kali "DAULAT" berturut-turut diikuti oleh sekelian yang hadir. DULI YANG MAHA MULIA RAJA PERMAISURI PERAK menundukkan hulu Baginda membalas hormat yang diberikan oleh para hadirin.

Selepas Istiadat Pemasyhuran dijalankan, PAWANG DI-RAJA - RAJA CHIK MUDA  memulakan ISTIADAT MERENJIS AIR "PANCA BICARA" PADUKA SERI SULTAN dan  RAJA PERMAISURI.

Selesai sudah ISTIADAT MERINJIS AIR "PANCA BICARA", Istiadat diteruskan dengan penyembahan dan bacaan Ucapan Tahniah oleh DULI YANG TERAMAT MULIA RAJA MUDA bagi mewakili Raja-Raja dan Orang Besar Perak, dan Persembahan Ucapan Tahniah dan Taat Setia daripada YANG AMAT BERHORMAT MENTERI BESAR PERAK bagi pihak Kerajaan dan Rakyat Perak.
Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak
Istiadat Pertabalan diakhiri dengan TITAH UCAPAN PADUKA SERI SULTAN dan DOA SELAMAT oleh Sahibul Samahah Mufti Kerajaan Perak. Pakaian bagi istiadat ini adalah lengkap dengan bertengkolok. Bintang-bintang dan pingat-pingat kurniaan juga dipakai bersama.

2. Istiadat Tabal Pusaka 

Istiadat Tabal Pusaka mengandungi beberapa istiadat kecil termasuk Istiadat Memasak Tiang Seri Panca Persada, Istiadat Mengambil Air Bersiram Tabal Di Tujuh Kuala Sungai Perak, Istiadat Pemulihan Perkakas-perkakas Kerajaan, Istiadat Bersiram Tabal dan Istiadat Menyantap Nasi Berastakona.
Panca Persada Istiadat Bersiram
2.1 Istiadat Memasak Tiang Seri Panca Persada

Istiadat Memasak Tiang Seri Panca Persada merupakan adat yang dijalankan sebelum Tiang Utama Panca Persada daripada Kayu Khas bernama 'SUNGKAI' dipasakkan [Kayu Khas ini diceritakan akan dibawa oleh Orang Besar Jajahan Batang Padang]. Pada zaman dahulu, Panca Persada dibangunkan di pertengahan Sungai Perak, akan tetapi sekarang ianya didirikan di perkarangan Istana Iskandariah. Berbentuk empat persegi setinggi 9 atau 11 tingkat, ianya dikisar sekelilingnya dengan tangga. Di kemuncaknya terletaknya tempat bersemayam Paduka Seri Sultan dan Raja Perempuan yang berbumbung. Siling dan tiang dibalut dengan kain kuning. 

Di sekiling tingkat digantung dengan daun budi dan tingkat kemuncak diulas dengan kain keemasan. Lazimnya, istiadat ini cuma dihadiri oleh orang besar-besar, pawang-pawang, panglima-panglima dan bentara-bentara sahaja.

2.2 Istiadat Mengambil Air Bersiram Tabal Di Tujuh Kuala Sungai Perak

Istiadat Mengambil Air Bersiram Tabal Di Tujuh Kuala Sungai Perak juga merupakan salah satu adat yang unik. Istiadat ini dimulakan dengan perarakan berkereta yang memuatkan pasukan Nobat Diraja, panglima-panglima, Toh Seri Nara Diraja dan Raja Cik Muda (Pawang Diraja) bersama-sama dengan tujuh orang bomoh yang lain, bentara-bentara yang membawa perkakas istiadat, dan enam belas jejawat berlembing dari Istana Iskandariah hingga ke tebing Sungai Perak. Nobat akan dipalukan sepanjang istiadat ini. 

Di tebing sungai, perkakas istiadat dibawa naik ke atas bot. Raja Chik Muda, Toh Seri Nara Diraja dan bentara-bentara menaiki bot serta bermula mengambil air dari kuala Sungai Kangsar. 

Rombongan bergerak ke kuala-kuala sungai lain, iaitu Sungai Chepias, Sungai Sayong, Sungai Hitam, Sungai Chermin, Sungai Bunya dan Sungai Menora, untuk mengambil air serta dimasukkan ke dalam geluk.

2.3 Istiadat Tabal Pusaka

Istiadat Tabal Pusaka, yang dahulunya dikenali sebagai Istiadat Tabal Jin, berlangsung di dalam Balairong Seri dan di Panca Persada. Istiadat ini disempurnakan pada waktu malam dan disaksikan oleh kerabat-kerabat diraja rapat, orang besar-besar serta pemimpin-pemimpin negeri. 

Pakaian majlis ini adalah baju Melayu hitam, bertengkolok hitam dan bersamping kain benang emas tetapi tidak memakai bintang-bintang kurniaan.
Istiadat Bersiram Tabal
Istiadat ini bermula di Balairong Seri, dan para undangan dipandu ke tempat duduk di Balairong Seri. Istiadat dimulakan dengan paluan nobat. Antara perkakas kerajaan yang dibawa masuk ke dalam Balairong Seri ialah pedang 'Cura Si Manja Kini', Pontoh Bernaga dan Pontoh Ular Lidi yang dipersembahkan kepada Sultan. 
Istiadat ini diikuti dengan Istiadat Memulih Perkakas Kerajaan dan Perkakas Nobat, dan selepas itu, 

Istiadat Bersiram Tabal disempurnakan di atas Panca Persada di perkarangan istana. Apabila Paduka Seri Sultan dan Raja Perempuan berangkat tiba di kawasan Panca Persada, Raja Chik Muda akan memulakan Istiadat Mengelilingi Balai Panca Persada sebanyak tujuh kali bersama-sama dengan para bomoh dan bentara yang membawa perkakas merenjis. Baginda Paduka Seri Sultan dan Raja Perempuan menaiki Panca Persada, diiringi oleh Raja Muda dan Raja Di Hilir serta isteri mereka, dan diikuti oleh orang besar-besar serta isteri. Sebaik sahaja Paduka Seri Sultan dan Raja Perempuan selamat bersemayam di atas kemuncak Panca Persada, Raja Chik Muda memulakan Istiadat Bersiram Tabal. Air siram adalah air daripada tujuh kuala Sungai Perak yang telah dibekaskan pada Istiadat Mengambil Air Bersiram Tabal dua atau tiga hari terlebih dahulu. Selesai sudah istiadat ini, baginda berdua berangkat turun dari Panca Persada berselimut dengan kain benang emas serta dipandu berangkat balik ke istana diringi dengan paluan nobat. Setelah menyalinkan pakaian, Paduka Seri Sultan dan Raja Perempuan berangkat masuk ke dalam Balairong Seri semula, dan bersemayam di atas petarakna singgahsana. Istiadat Merenjis Air Panca Bicara dilangsungkan, dan setelah selesai istiadat itu diikuti pula Istiadat Santapan Nasi Berastakona. 

2.4 Tabal Menziarahi Makam-Makam Diraja

Istiadat Menziarah Makam
Istiadat Menziarahi Makam-makam Diraja bermula dengan kegunaan kenderaan dari bahagian hulu Sungai Perak berangkat menziarahi makam-makam Almarhum Sultan-Sultan yang terdahulu yang terletak di sepanjang Sungai Perak sehingga ke Pemakaman Diraja Kuala Kangsar. Setelah itu, Paduka Seri Sultan dan Raja Perempuan diiringi oleh para orang besar-besar akan berangkat menaiki sebuah bot khas atau Balai Gambang bernama Cempaka Sari, untuk menghilir serta menziarahi makam-makam diraja. Semasa keberangkatan menziarahi, doa selamat dan kenduri arwah diadakan. 

Balai Gambang CEMPAKA SARI
2.5 Tabal Beting Beras Basah

Di Teluk Intan, Paduka Seri Sultan berangkat ke Beting Beras Basah, iaitu bumi Perak yang pertama dipijak oleh Almarhum Sultan Muzaffar Shah, Sultan Perak yang pertama takkala Almarhum berangkat tiba dari Kampar, Sumatera. Kaum wanita tidak boleh menyertai adat ini. 

Istiadat Beting Beras Basah
Di sini, Paduka Seri Sultan mencelup kakinya ke beting dan seterusnya membasuh muka sebagai tanda baginda telah selamat berangkat sampai, dan diikuti dengan bacaan doa selamat. 

Foto yang dipaparkan adalah sekadar hiasa bagi memperlihatkan adat istiadat pertabalan sultan.

Sumber Rujukan :
- Buku Adat Lembaga Orang-Orang Melayu Didalam Negeri Perak Darul Ridzuan Daripada Zaman Purbakala,
- Artikel Pertabalan Sultan Idris Affifullah,
- Biografi Pertabalan Sultan Azlan Shah,
- Portal Raja Kita Negeri Perak,
- Pejabat D.Y.M.M Sultan Perak,
- Perceritaan turun-turun

Foto :
Wan Hashim Wan Teh. DYMM Sultan Azlan Shah: Biografi Bergambar. Dewan Bahasa dan Pustaka; 1990

1 comment:

Anonymous said...

Terimakasih kerana meyebar perincian tentang pertabalan. Maka kami maklum dengan jelas,5 negeri berkait belum sempurna sekian istiadat tabal, sekian kerabat menderita, sekian pusaka berantakan. MOHON DISEMPURNAKAN< MOHON PULIHKAN.

Translate