16 April 2011

ISTANA SULTAN ALAUDIN SULEIMAN SHAH-JUGRA



Almarhum Sultan Alauddin Sulaiman Shah mendirikan sebuah istana pada awal zaman pemerintahannya iaitu pada 1899 di Kampung Bandar lebih kurang 13 kilometer dari pekan Banting, Selangor yang juga terletak berhampiran dengan Masjid Bandar.

Tapak bangunan ini berhampiran dengan sungai dan jalan raya yang menghubungkan Bandar Temasya dengan Jugra dan Klang. Setelah kawasan ini dibuka dan dibangunkan, ramai pendatang dari luar seperti orang orang Jawa datang bertapak dan memajukan kawasan ini.

*Sejarah dan asal-usul pembinaan

Menurut sejarah, istana ini dibina semasa berlakunya krisis dalam istana tersebut berkenaan peristiwa ketidaksefahaman yang berlaku antara isteri Sultan Alauddin iaitu Tengku Ampuan Mahrum dan isteri baginda dari kalangan orang kebanyakan. Namun begitu pada dua hingga tiga tahun pertama, istana ini digunakan sebagai tempat bersemayam baginda sultan bersama isteri baginda iaitu dari keturunan orang kebanyakan sehingga isteri baginda mangkat pada tahun 1920-an.

Keseluruhan bangunan istana ini direka bentuk dan dibiayai oleh Sultan Alauddin dan baginda bersemayam di istana ini lebih kurang 35 tahun sehinggalah baginda mangkat pada 1938.

*Perancangan dan konsep reka bentuk

Reka bentuk bangunan Istana Alauddin ini adalah campuran di antara seni bina tempatan dan kolonial. Bumbung limasnya menggambarkan elemen seni bina Aceh dan fasadnya berbentuk simetrikal menurut ciri kolonial seperti juga pada tiang-tiang yang digunakan dipengaruhi reka bentuk seni bina Rome dan Gothik serta penggunaan dinding bata yang tebal.
Terdapat juga pengaruh dari seni bina Asia Barat terutamanya dari segi pahat dan seni ukir yang ada pada bahagian tingkap dan pintu.

Istana ini dibahagikan kepada tiga hierarki ruang yang utama iaitu ruang umum bagi kegunaan rakyat, ruang separa umum untuk pekerja istana dan ruang persendirian yang dikhaskan bagi kerabat dan golongan diraja. Ruang yang terletak di tingkat pertama lebih bercirikan kepada ruang umum dan separa umum manakala ruang di tingkat bawah terdiri daripada bilik-bilik. Istana ini mempunyai 40 bilik kesemuanya.

*Elemen reka bentuk dan bahan binaan

Keseluruhan bangunan ini dibina daripada batu-bata dan konkrit. Dindingnya terdiri daripada dinding tanggung beban dan dinding dari jenis tiang dan alang. Bahagian koridor dan bahagian ruang yang luas di tingkat atas menggunakan sistem struktur rentangan. Lantai bagi ruang tingkat bawah dibina daripada lantai konkrit berjubin manakala ruang atas keseluruhan istana menggunakan lantai kayu cengal.

Terdapat banyak tangga yang digunakan untuk ke dalam dan keluar istana dan di antaranya ialah tangga utama pada bahagian hadapan di mana ia berbentuk melengkung dan diperbuat daripada konkrit serta dihiasi dengan kekisi dan minaret pada bahagian atasnya.

Tangga yang berdekatan bilik beradu pula dikhaskan untuk golongan kerabat diraja sahaja. Terdapat juga tangga kayu yang digunakan dan diperbuat daripada kayu cengal.

Istana ini mempunyai 27 bukaan tingkap yang mengunakan panel kayu iaitu kayu ram boleh laras dan saiznya bergantung kepada fungsinya samaada untuk bukaan di ruang utama awam atau ruang peribadi. Pintunya pula kebanyakannya dibina daripada kayu dan ia juga bergantung kepada fungsi dan kegunaannya.

Struktur tiang bahagian bawah dibina daripada batu bata dan dipenuhi dengan ukiran dan motif tumbuhan, manakala struktur tiang di bahagian atas agak lebih kecil iaitu berukuran 400 m x 400 mm. Keseluruhan istana ini ditutupi dengan bumbung limas, namun aras bumbung limas ini berbeza-beza ketinggiannya kerana dikatakan untuk menggambarkan struktur hierarki pentadbiran dalam istana.

Bumbung bertingkat pula dibina untuk menutupi ruang utama yang dikhususkan untuk keluarga diraja, ruang dapur dan balai nobat manakala bumbung rata ditambah pada awal 1900 semasa istana ini diubahsuai.

*Kesimpulan

Istana Sultan Alaudin ini menggambarkan seni bina yang dianggap unik bukan sahaja dari aspek kronologi sejarahnya tetapi juga dari aspek reka bentuk terutamanya dari aspek penggabungan senibina pelbagai bahasa iaitu kolonial dan bahasa tempatan tetapi disesuaikan mengikut konteks kehidupan dengan elemen bahan binaan dan keupayaan teknologi moden.
Ia memaparkan hasil karya seni bina yang berbeza dan merupakan hasil warisan seni bina yang terunggul di rantau Asia Tenggara ini.

------------------
Pembentangan:
- Prof. Dr. Mohamad Tajuddin Mohamad Rasdi ialah Pengarah Pusat Kajian Alam
Bina Dunia Melayu (Kalam), Fakulti Alam Bina Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor.

No comments:

Translate