Istiadat Pemeriksaan Pembarisan oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipetuan Agong |
Tugu Peringatan Perang Askar Melayu Diraja telah dirasmikan oleh Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Hisham'uddin Alam Shah Ibni Almarhum Sultan Ala'uddin Suleiman Shah di Pusat Latihan Askar Melayu Port Dickson pada 2 Julai 1960.
Turut hadir di upacara perasmian tersebut ialah KDYMM Sultan Pahang, KDYMM Sultan Terengganu, KDYMM Sultan Kedah, DYMM Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, DYTM Raja Muda Selangor, DYMM Raja Perlis, DYTM Raja Bandahara Perak, TYT Gabenor Melaka, TYT Gabenor Pulau Pinang, YTM Undang Negeri Sembilan, YAB Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak merangkap Menteri Pertahanan, Ketua Turus Tentera, YDH Leftenan Jeneral Sir Rodney Moore, YAB Menteri-Menteri Besar dan perwakilan-perwakilan asing.
Tugu seberat 14 tan ini dan berharga RM17,000 adalah diperbuat dari batu marmar yang bermutu tinggi. la dibina bagi mengenang jasa-jasa Rejimen Askar Melayu Diraja yang telah terkorban dalam Perang Dunia Kedua, 1942-1945 dan semasa Darurat, tahun 1948-1960.
Sempena dengan upacara perasmian ini, satu perbarisan oleh 1000 orang tentera telah diadakan.
Di samping itu juga 3 buah pingat Guard of Honour dan pingat Long Service telah dikurniakan kepada 3 orang pegawai dan 100 orang perajurit dari Batalion ke-7 oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
Kemuncak perasmian ialah pelaburan bunga rampai dari udara oleh sebuah helikopter yang melambangkan kewangian jasa-jasa perajurit tanah air.
Dengan penubuhan dan perasmian Tugu Pahlawan pada hari ini dalam tahun 1960, jasa-jasa perajurit tetap akan dikenang dan diabadikan.
No comments:
Post a Comment