03 June 2016

TEKS SULALATUS SALATIN SEJARAH MELAYU - ADAT ISTIADAT DAN PANTANG LARANG DALAM

ADAT ISTIADAT KETINGGIAN RAJA-RAJA MELAYU 

Gambar sekadar hiasan Panca Persada

Adat mengadap raja di balairung,

Para pembesar akan disusun mengikut pangkat kebesaran masing-masing. Bendahara, Penghulu Bendahari dan Temenggung akan duduk di seri balai. Anak-anak raja akan duduk dibahagian serambi balai sebelah kiri dankanan. Sida-sida yang muda-muda akan duduk berselang seli  dengan Bentara dan hulubalang  yang berdiri di ketapakan balai.

Istiadat raja ke istana,

Gendang adi dipalu sebanyak tujuh ragam, nafiri dibunyikan.  Sampai kali ke tujuh, maka raja pun keluar bergajah di arak ke istana.   Mereka yang hadir akan duduk di tanah.

Adat menjunjung duli,

Empat lima orang kepala bentara yang terdiri daripada sida-sida akan duduk di Seri balai.  Segala perkakas diraja seperti ketur,kendi.kipas,dan barang sebagainya diselang selang kedudukannya. Sementara puan dan pedang berada dikelekan kiri dan kanan.  Pedang kerajaan akan dipikul oleh Laksamana atau Seri Bija DiRaja.

Adat menyambut kedatangan Utusan Kerajaan dari Iuar,

Sambutan terhadap kedalangan utusan adalah berbeza mengikut tahap kebesaran kerajaan tersebut. Apabila utusan dari kerajaan yang besar seperti Pasai dan Haru, sambutannya menggunakan selengkap alat kerajaan seperti gendang, serunai bcergajah dan lain-lain. Sekiranya utusan datang dari negeri yang kurang kebesarannya, alat kelengkapan keraiaan untuk sambutan akan dikurangkan, cukup sekadar gendang, serunai sahaja, atau berpayung kuning atau bergajah.  Walau bagaimanapun sepersalinan tetap akan diberikan.

Adat penganugerahan gelaran,

Adat ini dimulakan dengan menjemput mereka yang menerima gelaran ke istana. Jemputan penganugerahan adalah mengikut pangkat dan gelaran yang akan diterima. Jika "Perserian" orang besar-besar akan menjemputnya. 
Jika "Persangan",orang kecil menjemputnya. Jika "Pertuanan", orang sedang menjemputnya. Orang yang menerima anugerah akan dijemput dengan menggunakan gajah atau kuda. 
Di istana, riwayat mereka akan dibaca dan diberi persalinan mengikut gelaran yang diberikan. Untuk Bendahara diberi lima ceper persalinan, anak raja dan menteri empat ceper persalinan, dan ada yang tiada berceper sekadar diampu oleh hamba raja.

Adat istiadat perkahwinan di Raja,

Adat ini dimulakan dengan adat meminang dan adat berjaga-jaga selama empat puluh hari empat puluh malam. Setelah selesai adat berjaga-jaga itu barulah diadakan majlis akad nikah.  Misalnya perkahwinan antara Raja Omar dengan Raja Fatimah, bermula dengan menghantar sirih pinang dan emas belanja, perarakan dengan gajah dan akad nikah oleh kadi.

Adat menyambut malam tujuh likur atau malam dua puluh tujuh,

Pada waktu siangnya sejadah akan diarak ke masjid. Temenggung akan gajah, puan serta segala alat kerajaan dan gendang akan dibawa terlebih dulu kemasjid.  Keesokannya, laksamana akan mengarakkan serban. Raia-raja Melayu akan berangkat ke masjid bertengkolok dan berbaju sarung.

Adat Raja Berangkat pada hari raya secara berusungan,

Raja akan berangkat dengan usungan.  Kepala usungan kanan akan dipegang oleh Penghulu Bendahari dan sebelah kiri oleh Laksamana. Di sebelah belakang pula Menteri Kedua. Hulubalang berjalan di hadapan raja dengan membawa alat kerajaan di kiri dan kanan, sementara Bentara memikul pedang. Bendahara berjalan di belakang raja dengan kadi, pakeh segala orang besar dan segala menteri yang tua.

Adat menyambut hari raya.

Bendahara dan segala Orang Besar-besar akan duduk berkampung dan usungan akan diarak oleh Penghulu Bendahari. Apabila usungan tiba, segala orang yang duduk dibalai turun berdiri, beratur bersaf-saf gendang akan dipalu tujuh ragam, diiringi nafiri. selepas tujuh kali, raja berangkat menaiki gajah dan diarak ke masjid dan barulah ke istana.

PANTANG LARANG/ LARANGAN & HUKUMAN

Larangan memakai barangan berwarna kuning,

Orang-orang kebanyakan dilarang memakai sapu Langan, tepi tabir dan bantal besar yang berwarna kuning. Kain baju, destar yang berwarna kuning boleh dipakai sekiranya dianugerahkan oleh raja.

Larangan berbuat rumah bermanjungan bertiang gantung,

Rakyat dilarang membina rumah yang bertiang gantung dan tidak terletak ke tanah atau bertiang terus dari atap .

Larangan memakai penduk dan teterapan keris,

Orang kebanyakan dilarang bergelang kaki emas dan berkeroncong emas berkepala perak kecuali yang dianugerahkan oleh raja.

Larangan bertengkolok dan berbaju sarung,

Rakyat biasa tidak dibenarkan memakai baju sarung dan bertengkolok pada hari perkahwinan kecuali dikurniakan oleh raja. Sekiranya adat ini tidak dipatuhi, akandikenakan hukuman denda

Larangan berbaju keling,

Rakyat tidak dibenarkan memakai pakaian ini kecuali disediakan oleh orang-orang Besar.  Sekiranya adat ini tidak dipatuhi akan dikenakan hukuman denda.

Larangan berkelakuan biadap terhadap raja pembesar,

Rakyat mesti menghormati raja dan pembesar,  sekiranya engkar akan dijatuhkan hukuman bunuh. Contohnya Perpatih Hitam cuba dibunuh oleh Laksamana kerana menguis tikar di hadapan Bendahara.

Larangan menyebarkan fitnah,

Perbuatan menyebarkan fitnah adalah berdosa besar. Malah menyebabkan orang yang tidak bersalah teraniaya. Hukuman bunuh terhadap orang yang menyebar fitnah. Contohnya, Raja Mandaliar dan Kitul dijatuhkan hukuman bunuh kerana mereka yang bertanggungjawab menyebarkan fitnah.

Larangan tidak mengikut perintah raja,

Rakyat atau pembesar mesti mematuhi perintah kerana jika ingkar akan dikenakan hukuman bunuh. Contohnya,  Seri Bija Diraja diperintahkan bunuh oleh Sultan Mahmud Syah kerana tidak datang menghadap pada hari raya.

Larangan memakai sesuatu yang menjadi hak seperti isteri dan gundik raja,

Sesuatu yang menjadi hak raja tidak boleh diganggu kerana akan dijatuhkan hukuman bunuh. Contoh hukumah bunuh yang dijatuhkan kepada Hang Tuah yang dikatakan telah bermesra dengan salah seorang gundik raja.

Larangan menderhaka,

Rakyat tidak boleh sesekali menderhaka kepada raja.  Sekiranya menderhaka, mereka akan dikenakan hukuman bunuh. Contohnya hukuman bunuh ke atas Bendahara Seri Maharaja serta seluruh ahli keluarganya kecuali Tun Fatimah kerana dikatakan Bendahara sedang merancang untuk merampas kuasa atau cuba mencabar hak dan kedudukan raja.

Larangan menggunakan payung putih dan kuning,

Payung kuning untuk anak-anak raja dan orang-orang Besar. Manakala payung putih untuk raja. Sekiranya tidak dipatuhi akan dikenakan didenda pati, yakni sekati lima.

Larangan bersekedudukan dengan isteri orang atau merampas isteri orang,

Hukuman bunuh boleh dilakukan oleh si suami.  Contohnya Tun Biajid menimang-nimang lembingnya pada sultan kerana perbuatan Sultan Mahmud Syah berkendakdengan isterinya. Pengiring sultan cuba membunuh Tun Biajid kerana berkelakuan biadap depan sultan tetapi baginda melarang kerana tindakan Tun Biajid betul dari segi undang-undang.

Larangan mencuri dan mengambil harta orang atau barang orang yang tercicir,

Hukuman kepada pencuri ialah hukuman bunuh. Sesiapa yang terjumpa harta mesti dihantar ke balai yang disediakan.  Contohnya, semasa pemerintahan Sultan Alauddin Riayat Syah, baginda bertindak membunuh pencuri-­pencuri yang ditemuinya pada malam baginda menyamar keluar untuk membanteras kegiatan kecurian yang terlalu berleluasa.

Larangan menyembah pembesar sebelum menyembah raja atau di hadapan raja,

Perbuatan menyembah pembesar sebelum menyembah raja akan dihukum cerca.  Contohnya, Bendahara Seri Maharaja telah mencerca Raja Mandeliar kerana hendak menyembah Bendahara Seri Maharaja di balai raja.

Larangan mengambil tunangan atau anak dara orang,

Hukuman bunuh akan dikenakan. Contohnya, Sultan Abdul Jamal berusaha membunuh Hang Nadim kerana telah melarikan tunangannya Tun Teja. Tetapi gagal kerana Hang Nadim sempat berlepas menyelamatkan diri dengan kembali ke Melaka.

Larangan-larangan diraja mengenai perhiasan, pakaian dan peralatan diraja,

Larangan-larangan memakai kain kuning, membuat rumah dengan bentuk tertentu,  membuat perahu dengan kelengkapan tertentu, memakai perhiasan emas,  memakai keris tertentu dan lain-lain akan dikenakan hukuman sekati lima.

KEPENTINGAN ADAT ISTIADAT & PANTANG LARANG

1. Menggambarkan keagungan dan kebesaran raja

Kedudukan raja yang tinggi dalam struktur pemerintahan dapat dilihat melalui segala adat istiadat dan juga pantang larang yang menunjukkan perbezaan ketara dengan golngan rakyat.  Sebagai contoh, kedudukan raja semasa dalam balai penghadapan.  Begitu juga dari segi pemakaian emas adalah barangan yang amat berharga adalah khusus untuk untuk golongan raja sahaja.  Ini menunjukkan kedudukan dan ketinggian martabat raja di kalangan rakyat.

2. Menggambarkan Keagungan Kerajaan Melayu Melaka.

Adat istiadat yang disusun dan diperkenalkan oleh Sultan Muhammad Syah menunjukkan Kerajaan Melayu Melaka sebagai sebuah kerajaan yang agung, besar dan berdaulat.  Sistem pentadbiran yang tersusun di mana raja sebagai pemerintah dibantu oleh pembesar-pembesar yang berwibawa bagi melancarkan perjalanan pentadbiran negeri. 

3. Menggambarkan kesetiaan Rakyat.

Melalui adat istiadat dan pantang larang dapat menggambarkan masyarakat Melayu yang taat dan patuh serta sanggup menjunjung segala perintah dan peraturan yang dikenakan oleh golongan pemerintah.  Mereka beranggapan bahawa golongan raja adalah berdaulat dan wajib ditaati dengan berpegang teguh prinsip :Pantang Melayu Derhaka Kepada Raja”.

4.Mengukuhkan Institusi Istana dan Pembesar Melayu

Melalui adat istiadat dan pantang larang dapat menggambarkan institusi istana dan kuasa pembesar dilindungi daripada ancaman jahat yang cuba untuk menjatuhkan mereka kerana melalui adat dan pantang larang, rakyat seolah-olah dinafikan hak mereka.  Secara tidak langsung golongan istana dan pembesar akan dipandang tinggi dan mulia dan rakyat tidak berpeluang untuk mencabar institusi beraja.


No comments:

Translate