07 November 2012

DI MANA LETAKKAN TARAF BANGSA MELAYU TAKKALA PENGHINAAN TERHADAP RAJA PEMERINTAH DAN TAKHTA KERAJAAN



Raja Yang Dipertuan dan Takhta kerajaan merupakan rangkaian institusi dan individu, melambangkan jawatan dan kuasa. Peranan utama Raja menjadi Penyuluh Seri, agar dapat dijadikan teladan untuk dijadikan pedoman - untuk memberikan panduan - untuk disandarkan harapan dan naungan. Ianya jelas memberi pengertian yang sangat mendalam sebagai Paduka Seri " pemberi Seri " kepada " Keindahan sesebuah Negeri ". 

Sistem Beraja adalah penerus tradisi sistem warisan yang diwarisi berakarkan sistem khalifah, sistem yang tidak asing dalam budaya umat Islam berkerajaan dan bernegara. sebagaimana yang terkandung didalam kalimah 'Bismillahi Rahmani Rahim," Allah itu Maha Pemurah - Maha Mengasihani, itulah pengertian Raja dimartabatkan sebagai Dewata, sekali gus memenuhi tanggungjawab keagamaan; lantas Raja dikaitkan dengan kesaktian sebagai keistimewaan anugerah Tuhan. 

Takkala itu jua Raja berperanan mutlak sebagai penggubal, pentafsir, pelindung dan pelaksana undang-undang, di samping diiktiraf sebagai ketua agama. Kepercayaan dan penghormatan yang diberikan kepada Raja mampu menyatukan warga, membina sebuah negara bangsa berdaulat. 
Persepakatan Raja dan rakyat perlu dimartabatkan kerana Payung yang dipayungkan oleh rakyat bagi memastikan Payung itu menjadi Penyuluh Seri di dalam negeri agar permuafakatan yang telah lama terpahat di antara Sang Sapurba dan Demang Lebar Daun di julang untuk melestarikan kesinambungan tamadun, malah meletakkan identiti negara bangsa, lambang mengekalkan warisan sejarah Raja-Raja rumpun Melayu :- 

 "Maka sembah Demang Lebar Daun. 'Adapun Tuanku segala anak cucu patik sedia akan jadi hamba ke bawah Duli Yang Di Pertuan; hendaklah ia diperbaiki oleh anak cucu duli Tuanku. Dan jika ia berdosa, sebesar-besar dosanya pun, jangan difadihatkan, dinista dengan kata-kata yang jahat; jikalau besar dosanya dibunuh, itu pun jikalau berlaku pada hukum syarak' 

Maka di persetujui oleh Sang Sapurba akan perjanjian itu dengan Demang Lebar Daun ( Merupakan Bendahara ) yang mewakili rakyat terbanyak berbangsa Melayu. Maka Sang Sapurba pula meminta satu janji dengan Demang Lebar Daun.

Maka sembah Demang Lebar Daun, 'Janji yang mana itu, Tuanku?' 

Maka titah Sang Sapurba, 'Hendaklah pada akhir zaman kelak anak cucu bapa hamba jangan durhaka pada anak cucu kita, jikalau ia zalim dan jahat pekerti sekalipun' 

Maka sembah Demang Lebar Daun, Baiklah, Tuanku. Tetapi jikalau anak buah Tuanku dahulu mengubahkan dia, maka anak cucu patik pun mengubahkanlah' 

Maka titah Sang Sapurba, 'Baiklah, kabullah hamba akan waadat (perjanjian) itu' Maka baginda pun bersumpah-sumpahan barang siapa mengubah perjanjian itu dibalikkan Allah SWT bumbungnya ke bawah, kaki tiangnya ke atas. 

Kerna itu di anugerahkan Allah subhanahu Wataala pada segala raja-raja Melayu, tiada pernah memberi aib pada segala hamba Melayu; jikalau sebagaimana sekali pun besar dosanya, tiada diikat dan digantung dan difadihatkan dengan kata-kata yang jahat. Jikalau ada seorang raja memberi aib seorang hamba Melayu, alamatnya negerinya akan binasa. 

Syahadan, segala anak Melayu pun di anugerahkan Allah subhanahu Wataala tiada pernah durhaka dan memalingkan muka pada rajanya, jikalau jahat sekali pun serta aniaya" 

Raja perlu memiliki hikmah merangkai yang lama dengan yang baru membawa pembaharuan di samping memelihara tradisi. Raja harus bersedia membolehkan berlakunya perubahan dalam rangka kesinambungan budaya Raja berkewajipan mengizinkan modenasi tanpa melupus kekayaan adat yang kekal diwarisi. 
Biar apa pun sistem Raja itu dilandaskan peranan Raja bukanlah semata-mata sekadar menjadi simbol untuk melaksanakan tugas keraian dan istiadat. Raja bukanlah monumen hiasan yang kaku - tanpa nyawa - tanpa jiwa. Sewajarnya Raja berpegang kepada prinsip utama untuk menentukan kesetiaan. Bahawa jawatan berkembar dengan kuasa, dan kuasa disertai dengan tanggungjawab. 

Kedudukan dan kuasa adalah anugerah dan amanah dari ALLAH SUBAHANAHU WATAALA.  

Amalan muafakat adalah budaya berkerajaan dalam sistem beraja dan budaya bernegara menurut amalan Islam. Khalifah Islam mengamalkan syura dan Raja Melayu melakukan muafakat Ini telah dijadikan amanat penting kepada pewaris takhta seperti terkandung dalam wasiat Sultan Alauddin Shah kepada putera Baginda Sultan Mahmud Shah.

"Hai anak ku, ketahui oleh mu bahawa dunia ini tiada akan kekal adanya melainkan iman adanya peninggalan ku ini hendaklah anak ku berbuat ibadat sangat-sangat, jangan tiada sebenarnya, kerana segala hamba Allah semuanya terserah kepada mu. Jikalau kesukaran baginya hendaklah segera engkau tolong, jikalau teraniaya ia hendaklah segera engkau periksa baik-baik supaya di akhirat jangan diberatkan Allah atasnya leher mu. Syahadan hendaklah engkau muafakat dengan segala perdana menteri dan segala orang besar-besar, kerana raja-raja itu jikalau bagaimana sekalipun bijaksananya dan tahunya sekalipun, jikalau tiada ia muafakat dengan segala pegawai, tiada akan sentosa adanya, dan tiada akan dapat ia melakukan adilnya, rakyat itu umpama akar raja itu umpama pohonnya, jikalau tiada akar nescaya tiada akan dapat berdiri.“

(Petikan dari Sulalat al-Salatin)


Sistem Raja berpelembagan adalah perkongsian kuasa antara Raja dan Rakyat. Raja menjadi sumber rujukan ketika berlakuanya krisis di kalangan rakyat. Raja memastikan bahawa berlakunya keadilan mekanisme semak dan imbang antara cabang-cabang perundangan eksekutif dan kehakiman sekali gus memperkukuhkan institusi demokrasi di dalam negara. 

Kekuatan serta kelemahan, citra dan daulat Institusi Raja bergantung pada citra serta keutuhan sifat perilaku batang tubuh seseorang Raja. Perhubungan rakyat dan Raja tidak lagi terbatas kepada sekumpulan pembesar istana. 

Raja perlu membuktikan tahap pencapaian, memenuhi harapan rakyat, mempamerkan perilaku dan keperibadian sejajar dengan kemuliaan dan penghormatan yang diberikan. Kekuatan dan kelemahan seseorang Raja dipengaruhi oleh kekuatan atau kelemahan terutama di kalangan mereka yang diberi amanah menjadi pembesar dan penasihat Raja. Hubungan Raja, pembesar, pemimpin dan rakyat perlu dibina secara sihat, disuburkan melalui saluran komunikasi yang berkesan. 

Barisan yang diberikan kepercayaan dan tanggungjawab menasihati Raja, wajib bersifat ikhlas, arif lagi berilmu, berkata benar betapa pahit sekalipun, supaya Raja tidak dibuai dalam khayalan - tidak diulit gurindam pujian. Kuasa Raja dan kuasa rakyat digabung dan diimbang, dalam semangat mengekal yang di kendong sementara berusaha mencipta yang baru.

Kesimpulannya : Siapa yang mengubah janji terdahulu... Kaji sejarah dahulu kemudian baru takrifkan akan ianya.!!!

No comments:

Translate