07 December 2010

YANG BERBAHGIA MULIA TEUKU ZAKARIA BIN TEUKU NYAK PUTEH (TAN SRI P. RAMLEE) WARISAN TUN SRI LANANG, RAJA PERTAMA SAMALANGA, ACHEH (1615-1659),



Yang Berbahgia Mulia Teuku Zakaria Bin Teuku Nyak Puteh ataupun lebih dikenali dengan panggilan Tan Sri P. Ramlee merupakan seorang pelakon, penyanyi, pengarah, pemain muzik dan penulis lagu terkenal di Malaysia dan Singapura.

Dilahirkan di Pulau Pinang pada pagi Hari Raya Aidilfitri 22 Mac 1929 anakanda kepada pasangan Teuku Nyak Puteh Bin Teuku Karim (1902 - 1955) dan Che Mah Hussein (1904 - 1967).
Bapanya yang berasal dari Lhokseumawe, Acheh, telah mendirikan rumahtangga dengan Che Mah Hussein pada tahun 1925 di Kubang Buaya, Butterworth. P. Ramlee juga mempunyai seorang adik-beradik tiri, Syeikh Ali, yang sama ibu dengannya.

Beliau menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Kampung Jawa dan kemudian ke Sekolah Francis Light. Seterusnya beliau menyambung pelajaran di Penang Free School sehingga meletusnya Perang Dunia Kedua. Ketika pendudukan tentera Jepun di Tanah Melayu, beliau belajar di Sekolah Tentera Laut Jepun sebelum kembali ke Penang Free School apabila tamat perang.

Bermula dengan bermain ukele, P. Ramlee beralih kepada gitar dan biola di bawah bimbingan Encik Kamaruddin (pemimpin brass band di Penang Free School). Beliau menyertai Orkes Teruna Sekampung dan kemudian Sinaran Bintang Sore. Beliau pernah menjadi juara nyanyian anjuran Radio Pulau Pinang pada tahun 1947 dan terpilih sebagai Bintang Penyanyi Utama Malaya. Dalam pertandingan itu, beliau menggunakan huruf "P" (bagi Puteh) di awal namanya dan kekallah nama P. Ramlee itu hingga ke akhir hayatnya.

Filem pertama lakonan P.Ramlee adalah "Chinta" pada tahun 1948. Beliau memegang peranan sebagai penjahat dan nyanyian latar. Kejayaannya terus berkembang dan telah berjaya berlakon di dalam 27 buah filem di antara tahun 1948 hingga 1955. Salah seorang pendorong dan guru P. Ramlee dalam dunia perfileman Melayu adalah Datuk L. Krishnan (Pengarah filem Melayu tahun 50-an dan 60-an yang terkenal). Gaya lakonan P. Ramlee yang amat berjaya itu adalah hasil inspirasi P. Ramlee daripada dua pelakon terkenal India Selatan iaitu MGR dan Sivaji Ganesan. Filem terakhir lakonan beliau ialah "Laksamana Do Re Mi" pada tahun 1972 dan lagu dan lirik terakhirnya adalah "Ayer Mata Di Kuala Lumpur" pada tahun 1973 sebelum beliau menghembuskan nafas terakhirnya.

P. Ramlee pernah berkahwin tiga kali. Kali pertama beliau berkahwin dengan Junaidah Daeng Harris pada 1950 tetapi perkahwinan hanya bertahan selama empat tahun. Perkahwinan kedua P. Ramlee adalah dengan Noorizan Mohd Noor pada 6 Februari 1955, merupakan Permaisuri Sultan Perak - Sultan Yusuf Izzuddin Shah.
Walau bagaimanapun, Norizan mengharapkan sesuatu yang lebih dari perkahwinan mereka tetapi P. Ramlee lebih menumpukan hidupnya kepada kerjaya seninya yang menyebabkan perkahwinan mereka retak. Kali terakhir adalah dengan Salmah Ismail (Saloma) pada 21 November 1961 dalam satu majlis yang sangat sederhana bersama rakan-rakan terdekatnya.

Wanita dalam hidup P. Ramlee menyintai beliau atas sebab-sebab yang berbeza. Isteri pertama beliau, Junaidah, menyintai P. Ramlee ketika beliau masih belum ternama manakala Norizan menyintai P. Ramlee sebagai seorang seniman dan pembikin filem yang terkenal. Walau bagaimanapun, Saloma menyintai P. Ramlee seadanya iaitu sebagai seorang seniman dan sebagai seorang yang biasa yang menyebabkan Saloma menjadi teman hidup sehati sejiwa beliau sehingga ke akhir hayat.

P. Ramlee mempunyai ramai anak yang dijaga beliau dan tetapi hanya dua orang sahaja yang merupakan anak kandungnya hasil perkahwinan beliau dengan Junaidah. Anak-anak beliau banyak membantu beliau dalam kerja seperti menjadi penyanyi latar kanak-kanak (contohnya lagu Tolong Kami Bantu Kami dari filem 3 Abdul) dan pelakon kanak-kanak tambahan (contoh Sazali yang berlakon sebagai anak pekerja ladang dalam Anak Bapak). Berikut merupakan anak-anak yang pernah dijaga beliau:

1. Mohd Nasir : Anak kandung bersama Junaidah (1953-2008)
2. Arfan : Anak kandung bersama Junaidah (1954-1998)
3. Sazali : Anak angkat (lahir 1958)
4. Abdul Rahman : Anak tiri (anak Junaidah)
5. Norma : Anak tiri (anak Noorizan)
6. Armali : Anak tiri (anak Saloma dan A.R.Tompel)
7. Betty : Anak angkat
8. Zakiah @ Zazaloma : Anak angkat (lahir 1963)
9. Sabaruddin @ Badin : Anak angkat (1966-2007)
10. Salfarina @ Dian : Anak angkat (keturunan Cina)

P. Ramlee telah kembali ke Rahmatullah pada pagi Selasa 29 Mei 1973 ketika berusia 44 tahun dan jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang Kuala Lumpur. Bagi mengenang jasa dan sumbangannya, Allahyarham telah dianugerahkan Bintang Kebesaran Darjah Panglima Setia Mahkota oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada tahun 1990 yang membawa gelaran Tan Sri. Selain itu rumah terakhir beliau di Jalan Dedap, Setapak telah diubahsuai dan dijadikan sebagai "Pustaka Peringatan P Ramlee" pada tahun 1986. Manakala di tengah pusat bandar raya Kuala Lumpur namanya turut diabadikan pada sebatang jalan iaitu Jalan P.Ramlee (dahulunya Jalan Parry) pada tahun 1982. Di Kuching juga ada sebatang jalan yg dinamakan Jalan P.Ramlee. Beliau turut mendapat penghargaan doktor falsafah dalam bidang seni persembahan pada tahun 2005 yang membawa gelaran "doktor". Beliau juga diberi penghormatan oleh Kerajaan Negeri Sarawak,dengan penganugerahan Darjah Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang Sarawak "Datuk Amar Bintang Kenyalang" (Posthumous) (DA (P)).Anugerah tersebut telah disampaikan kepada anak angkat beliau,iaitu Dian P.Ramlee.

Kemudian, sempena 50 tahun kemerdekaan Malaysia iaitu pada tahun 2007, P. Ramlee telah terpilih sebagai 10 calon terakhir bagi program "Anak Gemilang Malaysia" yang mengiktiraf rakyat Malaysia yang banyak memberi sumbangan kepada negara dan kejayaannya menaikkan nama negara di mata dunia.

Pada tahun yang sama, kisah hidup beliau juga telah dipentaskan dalam satu pementasan teater muzikal dengan tajuk "P. Ramlee the Musical... Hidup, Cinta and Inspirasi"

Berikut merupakan senarai anugerah yang terlibat dengan beliau dan karya beliau sepanjang hidup beliau.

1945

* Pertandingan Nyanyian Radio Pulau Pinang Malaya
"Tempat ke-3" - P. Ramlee

1946

* Pertandingan Nyanyian Keroncong Pulau Pinang
"Tempat Pertama" - P.Ramlee dan Pancaragam Keroncong Pemuda Indonesia

* Pertandingan Nyanyian Radio Pulau Pinang Malaya
"Tempat ke-2" - P.Ramlee

1947

* Pertandingan Nyanyian Radio Pulau Pinang Malaya
"Tempat pertama" - P.Ramlee

1951

* Majalah Filem Raya Malaya
"Bintang Pujaan Malaya and Indonesia" - P.Ramlee

1952

* Majalah Filem Raya Malaya
"Pelakon Terbaik" - P.Ramlee
"Filem Terbaik" - Antara Senyum Dan Tangis
"Filem Kegemaran" - Juwita

1953

* Majalah Filem Raya Malaya
"Filem Terbaik" - Hujan Panas
"Pelakon Terbaik" - P.Ramlee
"Filem Kegemaran Malaya" - Antara Senyum Dan Tangis
"Filem Kegemaran Malaya dan Indonesia" - Antara Senyum Dan Tangis
"Pelakon Kegemaran Malaya dan Indonesia" - P.Ramlee

* Majalah Filem dan Sukan Utusan Malaya
"Artis Tahunan 1953" - P.Ramlee
"Filem Terbaik" - Hujan Panas

* Radio Malaya
"Penyanyi Lelaki Terbaik" - P.Ramlee

1956

* Festival Filem Asia ke-3 Hong Kong
"Skor Muzik Terbaik" - P.Ramlee
"Pelakon Pembantu Wanita Terbaik" - Zaiton bagi Hang Tuah

* Majalah Bintang Singapura
"Seniman Terbaik" - P.Ramlee
"Pengarah Terbaik" - P.Ramlee
"Penggubah Terbaik" - P.Ramlee
"Penyanyi Terbaik" - P.Ramlee
"Filem Terbaik" - Semerah Padi
"Filem Kedua Terbaik" - Anakku Sazali
"Pengarah Kedua Terbaik" - Phani Majumdar bagi Anakku Sazali
"Pelakon Wanita Terbaik" - Saadiah Baharom bagi Semerah Padi

* Majalah Filem dan Sukan Utusan Malaya
"Filem Melayu Terbaik" - Penarik Beca
"Pengarah Terbaik" - P.Ramlee
"Seniman Terbaik" - P.Ramlee
"Lagu Terbaik" - Inang Baru dari Penarik Beca

1957

* Festival Filem Antarabangsa Berlin
Terpilih untuk Tayangan - Hang Tuah

* Festival Filem Asia ke-4 Tokyo
"Pelakon Lelaki Terbaik" - P.Ramlee
"Pelakon Kanak-kanak Terbaik" - Tony Castillo bagi Anakku Sazali

1958

* Festival Filem Asia ke-5 Manila
"Fotografi Hitam Putih Terbaik" - Abu Bakar Ali bagi Sumpah Orang Minyak

* Majalah Kisah Bintang Dan Filem Malaya
"Seniman Terbaik" - P.Ramlee
"Filem Terbaik" - Sumpah Orang Minyak
"Lagu Kedua Terbaik" - Tudung Periuk dari Sumpah Orang Minyak

1959

* Festival Filem Asia ke-6 Kuala Lumpur
"Filem Komedi Terbaik" - Pendekar Bujang Lapok

1960

* Majalah Gelanggang Singapura
"Filem Paling Popular" - Pendekar Bujang Lapok
"Fotografi Hitam dan Putih Terbaik" - Nujum Pak Belalang

* Majalah Bintang Singapura
"Filem Kegemaran" - Pendekar Bujang Lapok
"Pengarah Kegemaran" - P.Ramlee
"Fotografi Hitam dan Putih Terbaik" - Abu Bakar Ali bagi Nujum Pak Belalang
"Seniman Teratas" - P.Ramlee
"Lagu Kegemaran" - Jangan Adik Angan-Angan dari Musang Berjanggut

* Festival Filem Asia ke-7 Tokyo
"Filem Komedi Terbaik" - Nujum Pak Belalang

1962

* Festival Filem Asia ke-9 Tokyo
Pencalonan bagi "Filem Komedi Terbaik" - Seniman Bujang Lapok

* Darjah Kurnia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong
Tuanku Syed Putra Jamalullail "Ahli Mangku Negara" - P. Ramlee A.M.N.

1963

* Festival Filem Asia ke-10 Tokyo
"Fotografi Hitam dan Putih Terbaik" - Abu Bakar Ali bagi Ibu Mertuaku
"Bakat Paling Pelbagai" - P.Ramlee

1964

* Festival Filem Asia ke-11 Taipei
"Filem Komedi Terbaik" - Madu Tiga

1965

* Festival Filem Dunia Paris
"Anugerah Khas" - Ibu Mertuaku

Sumber Rujukan :

* Pogadaev V. A., Pogadaeva P. V. P. Ramlee dan Leonid Utesov: Parallels of Creativity. P. Ramlee di Cakera Nusantara. Editor Awang Azman Awang Pawi, Khor Chooi Lian. Universiti Malaysia Sarawak, Kota Samarahan, 2005, p.239-249
* Pogadaev V. A., Pogadaeva P. V. P. Ramlee & Leonid Utesov: Kesejajaran Kreativiti Dua Seniman Dunia. In: “Pentas”, Jil. 3, Bil. 1, 26-29, 70.
* Pogadaev V. A., Pogadaeva P. V. The Great Actor of Malaysia. Aziya i Afrika segodnya (Asia and Africa Today). 2009, N 4, p. 71-74.

02 November 2010

YAM ALMARHUM TUNKU ABDUL RAHMAN PUTRA AL-HAJ IBNI ALMARHUM SULTAN ABDUL HAMID SHAH – BAPA KEMERDEKAAN





YAM Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Shah merupakan Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu dari 1955, dan Perdana Menteri pertama sejak kemerdekaan pada tahun 1957 sehingga 1970. Pembentukan Malaysia pada tahun 1963 merupakan salah satu daripada pencapaiannya yang teragung. lebih mesra dikenali sebagai "Tunku", almarhum juga dikenang sebagai "Bapa Kemerdekaan" dan "Bapa Malaysia".

Diputerakan di Istana Tiga Tingkat, Alor Setar, Kedah yang lebih dikenali sebagai Istana Pelamin, Tunku merupakan anak lelaki yang ketujuh dan anak yang kedua puluh kepada Sultan Abdul Hamid Halim Shah, Sultan Kedah yang ke-24. Bondanya Cik Menyelara, seorang isteri Sultan Abdul Hamid yang tidak berdarah gahara, ialah anak perempuan Luang Naraborirak (Kleb), seorang pegawai daerah Thailand. Kelahiran Tunku disambut secara biasa sahaja kerana beliau bukan bakal pengganti Sultan Kedah. Pengganti Sultan Kedah, Sultan Badlishah ibni Sultan Abdul Hamid, telah pun berumur 30 tahun ketika itu.

Semasa kecil, Tunku dipanggil Awang kerana rupa parasnya yang tidak sesegak adik-beradiknya yang lain. Beliau bebas bermain di luar istana dan pernah membentuk pasukan bola sepak kampung. Tunku biasa mengendap burung dan melastik, serta bermain lumpur sehingga menghidapi penyakit puru di kakinya.

Tunku bermula pendidikannya pada 1909 di sebuah sekolah rendah Melayu di Jalan Baharu, Alor Setar. Biasa berbahasa Siam di rumah, beliau belajar bahasa Melayu di sekolah itu. Seorang guru pula datang ke rumahnya untuk mengajar bahasa Inggeris. Tunku kemudian berpindah ke sebuah sekolah kerajaan bahasa Inggeris yang kini dinamakan Kolej Sultan Abdul Hamid. Di sini, beliau belajar di sekolah pada waktu siang dan membaca Al-Quran pada waktu petang.

Pada tahun 1913 sewaktu berumur 10 tahun, Tunku dihantar ke Bangkok untuk menetap bersama Tunku Yusuf ibni Sultan Abdul Hamid, abang sulungnya, dan belajar di Sekolah Thebsirintrawat (Debsirindir School). Pada tahun 1915, Tunku pulang dan meneruskan pendidikannya di Penang Free School. Antara gurunya ialah HR Cheeseman dan SM Zainal Abidin. Seorang yang aktif, beliau menyertai Pengakap dan Kor Kadet.

Pada tahun 1919 ketika berumur 16 tahun, Tunku menerima Biasiswa Negeri Kedah untuk melanjutkan pendidikannya di Kolej St Catharine di Universiti Cambridge. Beliau merupakan penuntut pertama untuk menerima pendidikan di United Kingdom dibawah tajaan Kerajaan Negeri Kedah. Ketika Tunku tidak dibenarkan tinggal di asrama St Catharine kerana dasar aparteid ('kulit berwarna') masih diamalkan, beliau membantah kepada William Peel, Penasihat British kepada Kedah. Akhirnya, pengetua sekolah itu terpaksa meminta maaf.

Dari segi berpakaian, Tunku agak kebaratan. Semasa beliau dihantar ke England, tiada sepasang pun baju Melayu yang dibawa. Tunku dan keluarganya hanya menempah pakaian Barat di kedai Pritchards di Pulau Pinang. Ketika di England, Tunku amat berlainan dengan Sultan Perak yang berbaju Melayu, siap dengan tengkolok.

Mula-mulanya, Tunku mengambil jurusan undang-undang bersama rakannya, Ivor Jenning (Sir), H.V. Davies dan George Brown, tetapi kemudian bertukar kepada jurusan sastera (Sejarah). Beliau suka bersiar-siar dengan motosikal Riley Sport dan kereta mewah, dan melakukan 28 kesalahan trafik jalan raya semasa berada di Cambridge. Tunku tidak dapat menduduki peperiksaan akhir Ijazah Sarjana Muda Sastera kerana terlupa jadual waktu peperiksaan. Dengan bantuan dan kerjasama daripada sahabatnya, Taib Andak, beliau memperolehi ijazahnya pada tahun 1925.

Pada tahun 1927, Tunku dihantar semula ke England untuk belajar undang-undang di Universiti Cambridge kerana keluarganya tidak berpuas hati dengan keputusannya yang lalu. Beliau lulus semester pertama dalam jurusan undang-undang di Inner Temple pada tahun 1930. Selepas pemulangannya, Tunku bertugas sebagai Pegawai Latihan di Pejabat Penasihat Undang-Undang Kedah pada tahun 1931, dan dilantik sebagai Pegawai Jajahan untuk Kuala Nerang pada tahun berikutnya. Beliau dipindahkan ke Pulau Langkawi pada tahun 1935 oleh Clayton, Penasihat British sewaktu itu. Pada tahun 1937, Tunku bertugas sebagai Pegawai Jajahan di Sungai Petani bersamping bertindak sebagai hakim daerah dan Pengerusi Lembaga Kebersihan Sungai Petani. Sebuah masjid di Sungai Petani telah dinamakan Masjid Rahmaniah sempena nama Tunku.

Pada tahun 1938, Tunku pergi semula ke England buat kali yang ketiga untuk menyambung pelajaran undang-undangnya. Antara temannya ialah Sardon Haji Jubir. Beliau kembali ke Kedah pada tahun 1939 kerana terdapatnya berita bahawa perang akan meletus di Eropah. Pada 1940, beliau dilantik sebagai Timbalan Pengarah Perkhidmatan Pasukan Kawalan Am Selatan Kedah.

Pada 9 Disember 1941, Tunku menyorokkan Sultan Abdul Hamid Halim Syah, ayahandanya yang ketika itu berumur 80 tahun, sewaktu pegawai British hendak membawanya ke India. Bagi beliau, tidak wajarlah seseorang sultan melarikan diri daripada tanah airnya sewaktu peperangan. Berpakaian Tentera Utara Australia, Tunku menculik ayahandanya yang ketika itu bersama dengan Syed Abu Bakar al Idrus, seorang Merinyu Kesihatan Kedah dan menyembunyikannya di Sedim, dekat dengan Kulim, di bawah jagaan Penghulu Wahab. Tunku Badlishah, Pemangku Raja Kedah, tidak berpuas hati dengan tindakan Tunku yang membelakangkannya sebagai bakal pengganti Sultan Kedah.

Pada 19 Disember 1941, Sultan Abdul Hamid dibawa semula ke Alor Star. Jepun mengiktiraf baginda sebagai Sultan Kedah tetapi pentadbirannya diletakkan di bawah Gabernor dan Tentera Jepun. Sultan Abdul Hamid meninggal pada tahun 1943. Semasa Jepun memerintah, Tunku kekal sebagai Pegawai Jajahan Kulim tetapi ditemani oleh Ohata, seorang pegawai Jepun yang pernah menjadi tukang gunting di pekan Alor Star.

Tunku menyambung semula pendidikannya di Inner Temple pada tahun 1947. Sewaktu tempoh itu, Tunku bertemu dengan Abdul Razak Hussein. Beliau dipilih sebagai presiden untuk Persatuan Pelajar Melayu Britain, dan Abdul Razak, yang berumur 26 ketika itu, dipilih sebagai setiausaha. Semasa itu, Tunku menyertai "Persatuan Pelajar India Islam" yang menuntut kemerdekaan India. Beliau juga berkempen untuk Lyold George Jurith, seorang calon Parti Liberal. Tunku akhirnya dilayakkan menjadi peguam pada tahun 1949.

Seorang yang bersemangat kesukanan, Tunku memulakan pertandingan bola sepak antarabangsa yang digelar "Pesta Bola Merdeka" pada tahun 1957. Pada tahun berikutnya, beliau dipilih sebagai presiden pertama untuk Konfederasi Sepak Bola Asia (AFC), sebuah jawatan yang beliau memegang sehingga 1976.

Pada tahun 1933, Tunku berkahwin dengan Mariam, seorang wanita kacukan Cina-Siam yang merupakan anak perempuan tauke lombong di Alor Star. Beliau dikurniakan dengan dua cahaya mata, iaitu Tunku Ahmad Nerang Putra dan Tunku Khadijah. Mariam meninggal dunia pada tahun 1934 kerana menghidapi penyakit malaria di Kuala Nerang, Kedah.

Selepas kematian Mariam, Tunku berkahwin dengan Violet Coulson, bekas tuan rumahnya di England. Antara saksi perkahwinannya di Geylang Serai, Singapura ialah Syed Ahmad al Sagoff. Sebenarnya, kerabat diraja Kedah dilarang berkahwin dengan wanita Inggeris kerana peristiwa penipuan Pulau Pinang oleh Kapten Francis Light, seorang Inggeris.

Tunku mengalami nasib yang sama seperti Tunku Yusuf ibni Sultan Abdul Hamid. Dititahkan untuk menceraikan Violet oleh Pemangku Raja Kedah, Tunku kemudian berkahwin dengan Sharifah Rodziah Syed Alwi Barakbah, seorang saudara jauh yang juga merupakan adik Syed Omar Barakbah, rakan sekuliahnya di England, pada tahun 1939. Perkahwinan ini direstui kerana berketurunan Arab yang ternama dan kaya di Kedah (Islam disamakan dengan Arab). Oleh sebab perkahwinan ini tidak mendapat seorang anak pun, mereka mengambil tiga anak angkat iaitu Faridah, Sulaiman dan Mariam. Tunku juga telah mengahwini seorang yang berbangsa Cina pada tahun 1963 dengan rahsia dan telah mendapat dua orang cahaya mata perempuan yang diberi nama Tunku Noor Hayati dan Tunku Mastura.

Selepas pemulangannya ke Malaya pada tahun 1949, Tunku ditugaskan untuk bekerja di sebuah pejabat Pegawai Undang-undang di Alor Star. Beliau kemudian meminta perpindahan ke Kuala Lumpur di mana beliau menjadi Timbalan Pendakwa Raya dan selepas itu, dilantik sebagai Yang Dipertua Mahkamah Sesyen.

Pada tempoh itu, semangat nasionalisme bertambah hebat di kalangan kaum Melayu di tengah-tengah pengisytiharan penubuhan Malayan Union oleh Britain. Datuk Onn Jaafar mengetuai Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) untuk menentangi Malayan Union (sila lihat: Sejarah Malaysia) dan Tunku menyertai partinya. Pada Ogos 1951, suatu krisis di dalam UMNO memaksakan Datuk Onn meletakkan jawatan sebagai presiden parti dan Tunku dilantik sebagai presiden yang baru. Beliau memegang jawatan itu selama 20 tahun.

Pada tahun 1954, Tunku mengetuai sekumpulan perwakilan ke London untuk memperolehi kemerdekaan Malaya. Bagaimanapun, percubaan sulung itu tidak berjaya. Pada tahun yang berikut, pilihan raya persekutan yang pertama diadakan. Parti Perikatan yang pada saat itu merupakan parti campuran UMNO dengan MCA memenangi 51 daripada 52 kerusi yang ditandingi. Tunku dilantik sebagai Ketua Menteri Malaya yang pertama. MIC yang mewakili kaum India kemudian menyertai Parti Perikatan pada tahun 1955.

Pada tahun 1955, Tunku membuat lagi satu perjalanan ke London untuk berunding tentang kemerdekaan Malaya. Pada kali ini, beliau berjaya, dan 31 Ogos 1957 diputuskan sebagai tarikh kemerdekaan. Sewaktu bendera British diturun di Kuala Lumpur pada hari kemerdekaan, Tunku mengetuai orang ramai untuk menyorak "Merdeka!". Gambar-gambar Tunku dengan tangan yang diangkat naik, dan perakaman-perakaman suaranya yang penuh emosi tetapi berazam mengetuai sorakan, kini merupakan lambang kemerdekaan Malaysia yang biasa.

Selepas kemerdekaan, Tunku mendominasikan politik Malaya dan memimpin Parti Perikatan ke kemenangan besar dalam pilihan raya umum pada tahun 1959 dan 1964. Pembentukan Malaysia pada tahun 1963 merupakan salah satu daripada pencapaian Tunku yang teragung.

Tunku pertama sekali mencadangkan sebuah persekutuan Malaya, Singapura, Sabah, Sarawak, dan Brunei dalam ucapannya kepada "Persatuan Wartawan Asing Asia Tenggara" pada tahun 1961 di Singapura. Pada 16 September 1963, dengan persekutuan negeri-negeri tersebut kecuali Brunei, beliau menjadi Perdana Menteri Malaysia yang pertama.

Bagaimanapun, faktor-faktor perkauman bertambah buruk dengan pemasukan Singapura yang menaikkan bahagian kaum Cina sehingga hampir-hampir 40%. Kedua-dua UMNO dan MCA berasa tegang terhadap daya tarikan Parti Tindakan Rakyat (PAP pada waktu itu, diperlihatkan sebagai sebuah parti sosialis yang radikal) Lee Kwan Yew kepada pengundi-pengundi di Malaya. Untuk mengatasi kebimbangan itu, Parti Perikatan mencuba membentukkan sebuah parti di Singapura untuk mencabar kedudukan Lee di sana. Sebagai gerak balas, Lee mengancam bahawa PAP akan menyertai Pilihan Raya Persekutuan 1964 di Malaya, walaupun terdapatnya perjanjian awal bahawa beliau tidak akan berbuat demikian (sila lihat Hubungan PAP-UMNO. Ini membangkitkan kemarahan Tunku yang mendesak supaya Singapura meninggalkan Malaysia.

Pada 7 Ogos 1965, Tunku mengumumkan kepada Parlimen Malaysia di Kuala Lumpur bahawa Parliamen haruslah mengundi untuk menyokong peninggalan Singapura daripada Persekutuan. Dalam perkataannya, Parliamen harus memilih untuk "memutuskan semua pertalian dengan sebuah Kerajaan Negeri yang tidak mempertunjukkan sebarang kesetiaan kepada Kerajaan Pusat" berbanding kaedah yang tidak diingini untuk menindas tindakan PAP. Pemisahan dan kemerdekaan Singapura menjadi rasmi pada 9 Ogos 1965.

Pada tahun 1961, Tunku menubuhkan Pertubuhan Asia Tenggara (ASA) yang memperkumpulkan Malaya, Thailand dan Filipina Perkumpulan ini kemudian digantikan dengan perkumpulan yang lebih besar, iaitu Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN), pada 8 Ogos 1967.

Dalam Pilihan Raya Umum 1969, majoriti Parti Perikatan dikurangkan dengan hebat. Perhimpunan-perhimpunan tunjuk perasaan yang mengikuti pilihan raya itu mencetuskan rusuhan kaum pada 13 Mei di Kuala Lumpur. Sebahagian pemimpin-pemimpin UMNO yang diketuai oleh Tun Abdul Razak kritis terhadap cara pengendalian krisis itu oleh Tunku, dan MAGERAN, sebuah jawatan kuasa darurat, mengambil alih kuasa dan mengisytiharkan keadaan darurat.

Kuasa Tunku sebagai Perdana Menteri dibatasi secara besar, dan pada 22 September 1970, beliau terpaksa meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri. Tunku kemudian meletakkan jawatannya sebagai Presiden UMNO pada Jun 1971 di tengah-tengah penentangan hebat oleh 'Turki Muda' yang terdiri daripada penentang-penentang parti seperti Dr Mahathir dan Musa Hitam. Pasangan itu kemudian masing-masing menjadi Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.

Pada 1977, setelah memperolehi sebahagian besar hak milik The Star, sebuah syarikat surat khabar yang berasaskan di Pulau Pinang, Tunku menjadi pengerusinya. Ruang-ruangnya, "Mengenang kembali" ("Looking Back") dan "Sebagaimana yang Saya Perlihatkan" ("As I See It") kritis kepada kerajaan, dan pada tahun 1987, Perdana Menteri Dr Mahathir mengharamkan surat khabar itu. Ini menyebabkan perpecahan di dalam UMNO, dengan Tunku dan bekas Perdana Menteri, Tun Hussein Onn menubuhkan sebuah parti baru yang digelar "UMNO Malaysia", tetapi pendaftarannya dibatalkan oleh Dr Mahathir yang menubuhkan UMNO Baru. Tunku kemudian menyokong Semangat 46 yang merupakan kumpulan serpihan UMNO yang diketuai oleh Tengku Razaleigh Hamzah. Beliau berkempen dengan cergas untuk Semangat 46 dalam Pilihan Raya Umum 1990, tetapi sewaktu itu, kesihatannya telah merosot.

Dalam tahun-tahun terakhirnya, Tunku tinggal di sebuah rumah di Pulau Pinang. Beliau meninggal dunia pada 6 Disember 1990 sewaktu berumur 87, dan disemadikan di Makam Diraja Langgar, Alor Star.

Al-Fatihah buat Almarhum semoga Ruh nya di cucuri rahmat Ilahi...

RAJA PEMERINTAHAN - MELAYU ISLAM BERAJA


Pendekatan 'Melayu Islam Beraja' yang menjadi tunggak dan asas pemerintah Kerajaan, secara umum, latar belakang sejarah sistem dan negara beraja, faktor-faktor kejatuhan dan kebangkitan, kekhilafan yang mungkin berlaku, kekuatan serta peranan, kesinambungan sistem beraja dalam menghadapi cabaran dunia global semasa.

Takhta kerajaan dan Raja Pemerintah adalah satu rangkaian institusi dan individu, melambangkan jawatan dan kuasa dan merupakan pengisian watak serta bertanggungjawab memberi nafas dan mengisi roh kepada institusi Raja Pemerintah.

Peranan utama Raja adalah memberi kepimpinan agar menjadi contoh dan teladan untuk dijadikan pedoman agar dapat memberikan panduan bersandarkan harapan untuk memberi naungan kepada sekalian rakyat jelata.

Raja dimuliakan, dinobatkan dan didaulatkan, kerana Raja diiktiraf memiliki segala kelebihan dari segi akal bicara, Kebijaksaan, hikmah, kegagahan, sahsiah, keberanian dan keupayaan mengatasi cabaran. Raja berperanan menyatukan warga serta membina sebuah negara bangsa berdaulat.

Kelemahan watak dan salah laku individu, salah ramalan dan silap percatuan dikalangan sebahagian mereka, turut menjadi faktor pemangkin membawa kepada kejatuhan sesebuah institusi Raja.

Raja yang berada di atas politik, diiktiraf sebaik hakim, memenuhi fungsi sumber keadilan, berupaya mendamaikan persengketaan di antara puak-puak yang bertelingkah, konsep ini menjadi perintis kepada doktrin pemisahan dan perkongsian kuasa antara Raja dan rakyat di era pasca Perang Dunia Pertama dan Perang Dunia Kedua.

Sistem Raja diwujudkan di kalangan negara Islam susulan kejatuhan Empayar Otoman. Sistem kesultanan adalah satu penerusan tradisi sistem yang diwarisi berakarkan sistem khalifah, sistem yang tidak asing dalam budaya umat Islam berkerajaan dan bernegara.

sistem beraja untuk memberi kesahihan kepada kerajaan karisma dan kebijaksanaan, berpengaruh menyesuaikan peranan Raja mengharungi konflik semasa, walaupun berulang kali pula gagal menentukan arah haluan secara konsisten.

Insitusi Raja sebenarnya melalui ujian, menghadapi cabaran berhadapan dengan tentangan namun berupaya merentasi rintangan. Ada yang lupus namun masih ada yang terus dipertahankan, ada yang diberikan tafsiran baru, ada yang diberikan nafas semula, ada yang bertambah kukuh.

Insitusi Raja tidak terlepas mengadapi momokkan dengan istilah-istilah negatif, dikaitkan dengan feudalisme dan autokrasi. Istilah-istilah sedemikian dipelopori oleh mereka yang bersifat anti-Raja.

Budaya feudalisme dan budaya autokrasi bukan budaya yang boleh dikaitkan dengan insitusi. Budaya feudalisme dan budaya autokrasi berlaku kerana perbuatan individu, apabila individu menjadi mabuk kuasa. Budaya tersebut subur apabila manusia menjadi takjud kepada individu melakukan pendewaan terhadap individu hingga berasa takut yang melampau kepada individu. Tidak dinafikan budaya feudalisme dan budaya autokrasi pernah berlaku dalam istana, pernah berlaku di kalangan Raja tetapi budaya feudalisme dan budaya autokrasi turut dilakukan di kalangan mereka yang tidak berketurunan Raja dari kalangan rakyat biasa dan berlaku dalam sistem republik dalam pemerintahan berpaksikan tentera malah dalam sistem atas nama agama.

Banyak Kisah-kisah yang boleh dihuraikan wajar dijadikan iktibar dalam usaha memertabatkan institusi Raja. Masyarakat dunia sedang dan akan terus melalui proses evolusi yang semakin rancak. Era teknologi maklumat, era komunikasi telah menenbus sempadan negara. Kekebalan Raja turut terjejas kerana proses perundangan bersifat sejagat di tambah pula dengan gaya hidup Raja dan kerabat Diraja yang tidak lagi terkurung dalam lingkungan tembok istana.

01 November 2010

ULANG TAHUN KEPUTERAAN BAGINDA TUANKU SULTAN PAHANG KE 80.

Daulat Tuanku...
Daulat Tuanku...
Daulat Tuanku...

Patik Merafak Sembah Tahniah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah Al Musta’in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al- Mu’adzam Shah Sempena Ulang Tahun Keputeraan Baginda Tuanku Ke 80 Ulang Tahun Keputeraan Baginda Tuanku Ke 80 pada 24 Oktober 2010 yang lalu..


Merafakkan sembah penuh taat penuh setia, bertekad memelihara kemuliaan pemerintahan Beraja, memperkukuhkan tradisi negeri bersultan rakyat beraja, tradisi diwarisi turun temurun, agar terus subur dan segar, kekal sepanjang zaman, merentas peredaran waktu merentas peralihan masa.

Semoga Tuanku dilanjutkan usia dalam keafiatan dan senantiasa berada dalam lindungan ILAHI, Hidup dengan penuh kebahagiaan dan kerukunan serta dianugerahkan segala taufik dan hidayah, kewibawaan dan kebesaran, kehormatan dan kemuliaan, darjat dan daulat, bersemayam di atas takhta singgahsana sebagai Amirulmukminin dengan penuh keberkatan fid-dunia wal-akhirat.

Sembah Takzim daripada:
Seluruh Warga Pendokong Payung Mahkota Dirgahayu Raja Melayu

KONTRAK SOSIAL: MAJLIS RAJA-RAJA PANDANG BERAT TREND POLITIK SEMASA



KUALA LUMPUR, 30 Okt — Raja-Raja Melayu menitahkan seluruh rakyat Malaysia untuk memahami dan menghayati sejarah pembentukan negara dan Perlembagaan Persekutuan yang diasaskan kepada kontrak sosial iaitu semangat permuafakatan dan persefahaman antara kaum dan persetujuan Raja-Raja Melayu.

“Raja-Raja Melayu berpegang bahawa kontrak sosial yang telah dipersetujui ini merupakan watikah yang menjadi asas kepada keadilan sosial di negara ini yang merangkumi cita-cita bagi mencapai hasrat pembahagian ekonomi secara adil.
“Sikap tolak ansur antara kaum menunjukkan kematangan rakyat pelbagai kaum di negara ini,” demikian menurut kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja di sini hari ini.

Menurut kenyataan itu, mesyuarat Majlis Raja-Raja kali ke-222 yang berlangsung di Istana Negara pada 13 dan 14 Oktober lepas memandang berat mengenai trend politik semasa yang dilihat sedang meniup angin perkauman dan mencabar kedaulatan Perlembagaan negara.

Mesyuarat Majlis Raja-Raja mengambil maklum akan perkembangan semasa serta kebimbangan yang disuarakan oleh individu-individu dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan berhubung perkara-perkara menyentuh agama Islam, kedudukan Raja-Raja Melayu, orang Melayu dan bahasa Melayu.

Majlis Raja-Raja, menurut kenyataan itu memandang serius kewujudan jumlah jenayah yang dikategorikan sebagai jenayah berat, yang boleh mengancam keselamatan, ketenteraman dan imej negara.

Raja-Raja Melayu bersama Yang Dipertua-Yang Dipertua negeri memahami serta menghargai usaha-usaha kerajaan persekutuan menyatupadukan rakyat berlandaskan semangat yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Menurut kenyataan itu, Raja-Raja Melayu menitahkan setiap rakyat tanpa mengira kaum dan agama supaya terus bersatu serta setia kepada negara demi memelihara kedaulatan dan kemakmuran negara kerana setiap rakyat mempunyai peranan dalam pembangunan negara.

Setiap rakyat hendaklah terus menghormati dan akur kepada Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang dan mengelakkan tindak-tanduk yang membawa pertelingkahan, perselisihan faham dan syak wasangka antara kaum yang menjejaskan kemakmuran dan keharmonian negara, titah Raja-raja Melayu.

“Demi kedaulatan dan keharmonian negara yang kita kasihi ini, Raja-Raja Melayu berharap rakyat tidak akan memberi peluang untuk penglibatan dan campur tangan pihak luar dalam urusan negara,” menurut kenyataan itu.

Raja-Raja Melayu turut menyeru orang Melayu supaya bersatu padu dan tidak bertelingkah sesama sendiri berlandaskan semangat persaudaraan Islam, agar kedudukan orang Melayu tidak terpinggir dan terhakis dalam arus pembangunan negara.
“Pemimpin-pemimpin pertubuhan Melayu wajib mencari persamaan, bermuafakat menggunakan hikmah dan kebijaksanaan, melindungi dan membela nasib orang Melayu,” menurut kenyataan itu.

Raja-Raja Melayu menegaskan bahawa keutuhan bangsa Melayu serta nasib orang Melayu tidak akan terpelihara jika para pemimpin pertubuhan Melayu lebih cenderung untuk bertelagah dan memilih untuk berselisih faham.

“Raja-Raja Melayu berdoa agar Malaysia yang dikasihi ini sentiasa berada dalam keadaan aman damai dan rakyatnya yang berbilang kaum terus bersatu serta kekal makmur dan sejahtera.

“Semoga Malaysia terus mendapat perlindungan dan rahmat Allah Subhanahu Wata”ala,” menurut kenyataan itu. — Bernama –

20 October 2010

MERAFAK UCAPAN TAHNIAH BUAT YTM TENGKU MUHAMMAD FAIZ PETRA IBNI SULTAN ISMAIL PETRA ATAS PEMAHYURAN SEBAGAI TENGKU MAHKOTA KELANTAN.



Tengku Muhammad Fa-iz Petra ibni Sultan Ismail Petra, adinda kepada Sultan Kelantan Sultan Muhammad ke-V, yang juga Tengku Bendahara Kelantan dilantik sebagai Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Kelantan dan pewaris takhta kesultanan Kelantan berkutkuasa serta merta.

Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Mohd. Aiseri Alias berkata, keputusan itu dibuat oleh Majlis Perajaan Negeri (MPN) yang bermesyuarat hari ini dengan dipengerusikan oleh Yang Dipertuanya, YAM Tengku Abdul Halim Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Ibrahim.

Istiadat penyerahan watikah pelantikan gelaran Tengku Mahkota Kelantan berlangsung di Istana Negeri di Kubang Kerian pada 2 petang tadi. Mohd. Aiseri memberitahu satu sidang akhbar bahawa mesyuarat MPN itu dihadiri oleh 14 daripada 15 anggotanya kecuali Tengku Razaleigh Hamzah yang tergugur secara automatik sebagai anggota kerana tidak hadir mesyuarat sebelum ini tanpa keizinan majlis itu.

13 October 2010

GELARAN RASMI ADALAH SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG.


Yang di-Pertuan Agong sekarang ialah Sultan Mizan Zainal Abidin ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah Al-Haj

Yang di-Pertuan Agong ialah gelaran rasmi ketua negara Malaysia. Gelaran rasmi yang penuh adalah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
Oleh sebab Malaysia mengamalkan sistem raja berperlembagaan, peranan Yang di-Pertuan Agong kebanyakannya hanyalah sebagai istiadat. Perlembagaan menyatakan dengan jelas bahawa kuasa eksekutif, secara teorinya di bawah kuasa ketua negeri, dilaksanakan oleh (atau dengan nasihat) Kabinet atau Jemaah Menteri yang diketuai oleh Perdana Menteri.

Yang di-Pertuan Agong sekarang ialah Sultan Mizan Zainal Abidin ibni AlMarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah Al-Haj dari Terengganu.

Sejarah Jawatan Yang di-Pertuan Agong diwujudkan hasil daripada Suruhanjaya Reid yang merangka Perlembagaan Persekutuan.Cadangan jawatan Yang Dipertuan Agong timbul berikutan tentangan terhadap penubuhan Malayan Union yang dilihat ingin menghapuskan Institusi Raja-Raja Melayu.

Pada Ogos 1957, setelah memilih gelaran Yang di-Pertuan Agong dan menolak gelaran Yang di-Pertuan Besar yang dicadangkan sebelum itu, Majlis Raja-Raja telah bersidang untuk mengundi pemegang takhta yang pertama.

Jika menurut tempoh lama memerintah, Major-Jeneral Sultan Ibrahim ibni Sultan Abu Bakar (Sultan Johor), yang dilantik menjadi pada tahun 1895, merupakan sultan yang paling lama memerintah, tetapi baginda menolak perlantikan tersebut disebabkan telah lanjut usia (ketika itu baginda berusia 84 tahun).

Yang kedua dalam turutan, Sultan Sir Abu Bakar Riayatuddin Al-Muadzam Shah ibni Almarhum Sultan Abdullah Al-Mutassim Billah Shah (Sultan Pahang), yang memerintah pada tahun 1932, tidak mendapat mandat secukupnya untuk dilantik. Yang lama memerintah seterusnya, Tuanku Abdul Rahman ibni Almarhum Tuanku Muhammad dari Negeri Sembilan, yang menaiki takhta pada tahun 1933, kemudiannya telah dilantik.

Raja-raja yang hadir ketika pertabalan pertama adalah:

Sultan Sir Abu Bakar Riayatuddin Al-Muadzam Shah ibni Almarhum Sultan Abdullah Al-Mutassim Billah Shah (Sultan Pahang; 1932-1974)

Tuanku Abdul Rahman ibni Almarhum Tuanku Muhammad (Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan; 1933-1960)

Al-Marhum Sultan Hisamuddin Alam Shah Al-Haj ibni Almarhum Sultan Alaeddin Sulaiman Shah (Sultan Selangor; 1938-1942, 1945-1960)

Sultan Badlishah ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah (Sultan Kedah; 1943-1958)

Sultan Ibrahim Petra ibni Almarhum Sultan Muhammad IV (Al-Sultan Kelantan; 1944-1960)

Tuanku Syed Putra ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail (Raja Perlis; 1945-2000)

Sultan Ismail Nasiruddin Shah ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin III (Sultan Terengganu; 1945-1979)

Sultan Yusuf Izzudin Shah ibni Almarhum Sultan Abdul Jalil Nasruddin Shah (Sultan Perak; 1948-1963)

Tunku Ismail ibni Sultan Sir Ibrahim (Tunku Mahkota Johor; menjadi Sultan 1959-1981)

Ciri lantikan yang unik di seluruh dunia dalam sistem pemerintahan beraja Malaysia, jawatan ini digilirkan setiap lima tahun antara sembilan Pemerintah Negeri Melayu.
Apabila menjawat jawatan Yang di-Pertuan Agong, seorang kerabat diraja akan dilantik sebagai Pemangku dalam negeri tersebut.

Sistem penggiliran jawatan Yang di-Pertuan Agong setiap lima tahun dianggap unik. Ini kerana ia menggabungkan tradisi feudal berasaskan keturunan darah dengan konsep moden berasaskan perlembagaan.

Malaysia satu-satunya negara di dunia yang mengamalkan sistem penggiliran ketua negara. Sistem penggiliran hanya diberikan kepada Raja-Raja Melayu dari negeri yang dulunya dikenali Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dan Negeri Melayu Tidak Bersekutu.
Negeri Bersekutu terdiri daripada Perak, Negeri Sembilan, Selangor dan Pahang. Manakala Negeri Melayu tidak bersekutu Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor. Sementara itu Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak tidak berpeluang walaupun mereka menganggotai Majlis Raja-Raja.

Selepas kitaran pertama sembilan Yang di-Pertuan Agong (1957-1994), aturan menurut Pemerintah negeri adalah menurut kitaran yang telah digunakan sebelum itu, iaitu:

Negeri Sembilan
Selangor
Perlis
Terengganu
Kedah
Kelantan
Pahang
Johor
Perak

Yang di-Pertuan Agong akan melantik sebagai istiadat iaitu Yang di-Pertua Negeri, atau Gabenor, kepada 4 buah negeri Pulau Pinang, Melaka, Sabah and Sarawak. Yang di-Pertuan Agong yang ke-13 (sekarang) adalah Sultan Mizan Zainal Abidin ibni AlMarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah Al-Haj dari Terengganu

Faktor pemilihan Yang di-Pertuan Agong berdasarkan kepada sistem giliran yang telah ditetapkan dan terdapat beberapa faktor yang akan dipertimbangkan oleh Majlis Raja-Raja melalui undi rahsia bagi menentukan pengganti bagi jawatan Yang di-Pertuan Agong seterusnya.

Syarat yang akan diambil kira ialah:

- Kekananan di kalangan Sultan dan Raja;
- Baginda berkenan untuk menjadi Agong;
- Tidak mengalami kelemahan atau ketidak upayaan mental;
- Merupakan Raja yang berada di kedudukan teratas;
- Mendapat sokongan sekurang-kurangnya lima Raja lain;
Dan bukan seseorang yang telah memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong selama dua penggal berturut-turut.

Faktor lain ialah usia dan tempoh masa pemerintahan dan kalau kita lihat daripada aspek status atau peranan yang dimainkan oleh Yang Dipertua usia dan tempoh masa pemerintahan seseorang Raja di sesebuah negeri amat penting kerana apabila baginda telah menjalankan pemerintahan dalam tempoh yang lama ini dapat menggambarkan kematangannya terhadap cara pemerintahan.

Kebaikan sistem Hanya yang terpilih sahaja boleh dipilih iaitu menurut darah keturunan tetapi di dalamnya itu tersemat dan tersisip peraturan yang bercorak demokrasi moden iaitu pemilihan secara moden.

Keunikan tradisinya sejak 1957 , kuasa yang dimiliki oleh Yang di-Pertuan Agong mengatasi segala Raja-Raja Melayu sepanjang tempoh perlantikannya.
Jika dibandingkan dengan England, Ratu Elizabeth II, baginda tak seunik Malaysia kerana ia datang dari satu keluarga sahaja. Uniknya Malaysia adalah ketua negaranya datang di kalangan sembilan Sultan yang memerintah Negeri-Negeri Melayu.

Kuasa sebagai Raja Berperlembagaan Perkara 181 (1), Perlembagaan Persekutuan menjamin kedaulatan dan kuasa raja terus berkekalan. Perlembagaan telah memperuntukkan beberapa kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong. Antaranya ialah baginda diberi kuasa untuk memelihara adat istiadat orang Melayu dan pentadbiran agama Islam di negeri masing-masing. Baginda juga berperanan sebagai ketua agama Islam bagi negeri baginda sendiri, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, dan Wilayah-wilayah Persekutuan. Di samping itu, Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong juga adalah Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Negara[2].

Di samping itu, Yang di-Pertuan Agong mempunyai peranan penting yang lain dalam kerajaan termasuklah[3]:
- Melantik seorang Perdana Menteri
- Menangguhkan pembubaran parlimen
- Meminta supaya diadakan Mesyuarat Majlis Raja-Raja bagi tujuan membincangkan keistimewaan, kedudukan, kemuliaan, dan kebesaran raja-raja.

Raja-raja berikut pernah menjadi Yang di-Pertuan Agong sebelum ini:

Almarhum Tuanku Abdul Rahman ibni Almarhum Tuanku Muhammad dari Negeri Sembilan, diputerakan pada 1895, memerintah pada 1957-1960, mangkat ketika memerintah pada 1 April 1960.

Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah Al-Haj ibni Almarhum Sultan Alaeddin Sulaiman Shah dari Selangor, diputerakan pada 1898, memerintah pada 1960, mangkat ketika memerintah pada 1 September 1960.

Almarhum Tuanku Syed Putra ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail dari Perlis, diputerakan pada 1920, memerintah pada 1960-1965, mangkat pada 2000

Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin III dari Terengganu, diputerakan pada 1907, memerintah pada 1965-1970, mangkat pada 1979

Tuanku Al-Mutassimu Billahi Muhibbudin Sultan Abdul Halim Al-Muadzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah dari Kedah, diputerakan pada 1927, memerintah pada 1970-1975

Almarhum Sultan Yahya Petra ibni Almarhum Sultan Ibrahim Petra dari Kelantan, diputerakan 1917, memerintah pada 1975-1979, mangkat ketika memerintah pada 29 Mac 1979

Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Mustain Billah ibni Almarhum Sultan Sir Abu Bakar Riayatuddin Al-Muadzam Shah dari Pahang, diputerakan pada 1930, memerintah pada 1979-1984

Almarhum Baginda Almutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj ibni Almarhum Sultan Ismail dari Johor, diputerakan pada 1932, memerintah pada 1984-1989, mangkat pada 2010

Sultan Azlan Muhibbudin Shah ibni Almarhum Sultan Yusuff Izzudin Shah Ghafarullahu-lahu dari Perak, diputerakan pada 1928, memerintah pada 1989-1994

Almarhum Tuanku Jaafar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman dari Negeri Sembilan, diputerakan pada 1922, memerintah pada 1994-1999, mangkat pada 27 Disember 2008

Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah ibni Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah Al-Haj dari Selangor, diputerakan 1922, memerintah pada 1999-2001, mangkat ketika memerintah pada 4 Disember 2001

Tuanku Syed Sirajuddin ibni Almarhum Syed Putra Jamalullail dari Perlis, diputerakan 1943, memerintah pada 2001-2006

Sultan Mizan Zainal Abidin ibni AlMarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah Al-Haj dari Terengganu, diputerakan 1962, memerintah pada 2006-

25 September 2010

BUKIT JUGRA PUSAT PEMERINTAHAN SULTAN ABD SAMAD







Bukit Jugra terletak di Jugra Kuala Langat,Selangor.

Antara lokasi berhampiran ialah Pulau Carey, Kampung Chodoi, Banting, Jenjarom dan Sungai Buaya dan Bandar.

Jugra menghadap ke Selat Melaka dan berdekatan muara Sungai Langat. Jugra meliputi kawasan Bukit Jugra, Pantai Kelanang, Kampung Sungai Arak dan Kampung Chodoi.

Pada zaman pemerintahan Sultan Abdul Samad yang memerintah negeri Selangor dari tahun 1859-1898 Bukit Jugra telah dijadikan tempat bersemayam Sultan Selangor.
Rumah api Bukit Jugra dibina di puncak Bukit Jugra.
Sampan, perahu dan tongkang yang membawa bijih timah dari Kajang, Balakong, Hulu Langat, Semenyih dan lain-lain dibawa keluar melalui Sungai Langat dan membayar cukai di Jugra.

Bukit Jugra merupakan tempat strategi kerana berhampiran dengan laut, mengadap perairan Selat Melaka dan ingin dimajukan sebagai sebagai kota maritim. Bukit Jugra berasal dari sebuah perkampungan kecil Melayu yang bernama Tanjung Kera. Terdapat banyak kera di sini iaitu dari jenis primate hutan pantai. 'Kera tidak begitu sesuai dengan status baru kawasan istana lalu ditukar nama kepada Bandar Temasya.

Bukit Jugra ada 3 punca bukit yang menempatkan :
makam-makan diraja Jugra Waris Almarhum Sultan Abd Samad
Bangunan lama untuk pembesar dan kerabat diraja
Rumah api Bukit Jugra setinggi 146 meter dibina pada 1976 dan ditadbir oleh Jabatan Marin Malaysia.

1898 Istana Jugra menjadi tempat pertabalan Sultan Selangor ke-5 iaitu Almarhum Sultan Alaeddin Suleiman Shah Ibni Almarhum Raja Muda Musa (Sultan Selangor ke lima), telah menaiki takhta pada 17 hb Febuari 1898 mengantikan paduka Nenda baginda Almarmhum Sultan Abdul Samad.

Antara peninggalan bersejarah semasa pemerintahan baginda di Bandar Temasha ,Jugra , Kuala Langat ialah Istana Jugra (Bandar Temasha) yang dibina pada tahun 1905.
Istana ini juga dikenali sebagai Istana 40 bilik kerana di dalam nya terdapat 40 buah bilik. Istana dua tingkat ini di bina di atas tanah seluas 12.96 ekar. Di bahagian tengah nya terdapat dua tingkat Istana yang mengandungi 4 bilik iaitu bilik peraduan, bilik mengadap , bilik tetamu diraja dan persemayam baginda.

23 September 2010

PERMASYHURAN TENGKU MUHAMMAD FARIS PETRA SEBAGAI SULTAN KELANTAN YANG BARU BERGELAR SULTAN MUHAMMAD V


“Dengan izin Allah Tengku Muhammad Faris Petra, telah dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan yang baru pada hari Isnin 13 September 2010 Masihi bersamaan dengan 4 Syawal 1431 Hijrah.

Payung Mahkota Dirgahayu Raja Melayu.

Merafak Sembah mengucapkan Tahniah kepada KDYMM Tuanku Muhammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail Petra atas permasyhuran sebagai Sultan Kelantan yang baru berkuat kuasa 13 September 2010.

KDYMM Tuanku Muhamamad Faris Petra perkenan mengunakan Gelaran SULTAN MUHAMMAD V berkuatkuasa 23hb September 2010.

Semoga KDYMM Tuanku Muhammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail Petra dapat menjalankan Amanah dan amanat dalam memerintah Negeri Kelantan Darul Naim dengan penuh Adil dan Bijaksana... Daulat Tuanku Daulat Tuanku Daulat Tuanku...

"Pemasyhuran ini dibuat berdasarkan kepada peruntukan Perkara 23A yang telah dimasukkan ke dalam Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua) melalui Warta Kerajaan Kelantan bertarikh 22 Julai 2010,” menurut entri blog berkenaan pada Ahad.

Perkara 23A berkenaan berbunyi:“Kelucutan Takhta Kerajaan kerana kecacatan yang besar dan berat23A. Jika sekiranya setelah disiasat dengan sepenuhnya dan secukupnya, Majlis Perajaan Negeri berpendapat bahawa Raja ada mempunyai apa-apa kecacatan yang besar dan berat yang menyalahi sifat-sifat Raja, yang tidak dibenarkan oleh Hukum Syarak untuk menjadi Raja, maka seorang Pengganti hendaklah dipilih dan dilantik oleh Majlis Perajaan Negeri untuk menjadi Raja mengikut syarat-syarat di bawah Bahagian ini.

”Kemasukan Perkara 23A ke dalam Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua) ini pula adalah dibuat berdasarkan kepada Perkara 3(2) Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua),” katanya.

Ini termasuk, Perkara 3(2) ini berbunyi: “Syarat-syarat mengenai:

(a) naik Takhta Kerajaan dan pangkatkebesaran adat istiadat Melayu;

(b) pelantikan dan sifat seseorang bakal atau bakal-bakal Raja kepada Takhta Kerajaan, Raja Perempuan atau Pemangku Raja ataupun ahli-ahli Majlis Pangkuan Raja bagi Negeri;

(c) pembuangan, menarik balik atau menurunkan daripada Takhta Raja itu atau bakal Raja ataupun bakal-bakal Rajanya;

(d) pelantikan dan sifat Ketua-Ketua Pemerintah ataupun pangkat kebesaran adat istiadat Melayu yang serupa itu dan ahli-ahli Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu, Majlis Penasihat Raja ataupun badan-badan yang serupa itu; dan

e) penubuhan, aturan, pengesahan dan pelucutan pangkat-pangkat, gelaran, kehormatan, kebesaran adat istiadat Melayu dan pekurniaan serta sifat pemegang-pemegangnya dan kawalan bagi istana, balai-balai penghadapan dan istana-istana raja,bolehlah dipinda oleh Yang Maha Mulia dengan Perwawai yang dikeluarkan dengan persertaan dan persetujuan Majlis Penasihat Raja, tetapi tidaklah boleh dipinda dengan mana-mana jalan yang lain.”

Dengan perasaan kasih sayang yang mendalam Pemangku Raja kepada ayahanda dan bonda baginda, baginda telah memastikan bahawa taraf dan kedudukan mereka setelah pemasyhuran kekal terpelihara melalui satu lagi peruntukan yang telah turut dimasukkan ke dalam Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua).

Tengku Faris dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan bagi menggantikan ayahandanya, Tuanku Ismail Petra, yang gering sejak setahun lalu.

22 September 2010

KEPADA RAKYAT RAJA KASIHI DOA RAKYAT RAJA NEGERI


Bangsa Melayu Pernah Dijajah
Pelbagai Rintihan Pernah Ditohmah
Bangkit Melayu Kerana Tanah
Tempat Tanah Tumpah Darah

Dirgahayu Tuaku Raja Melayu
Payung Mahkota Bangsa Melayu
Saling Memerlu Setiap Waktu
Agar Negeri Makmur Selalu

Pada Rakyat Raja Sayangi
Pada Raja Rakyat Naungi
Bagaikan Jantung Dengan Hati
Tiada Berjwa Kehidupan Ini

Rintihan Rakyat Mengusar Hati
Bagai Terhiris Hati Naluri
Kepada Rakyat Raja Kasihi
Doa Rakyat Raja Negeri

Rakyat Dan Raja Berpisah Tiada
Rintihan Bangsa Membakar Rasa
Tiadalah Daulat Sebagai Raja
Jika Keharmonian Membara Jiwa

Sangat Mulia Budi Pekerti
Sungguh Memahami Saling Mengerti
Setiap Rintihan Diambil Peduli
Raja Melayu Itulah Duli

19 September 2010

SEJARAH RINGKAS PEMBESAR PAHANG

1. Nama sebenar Dato' Bahaman adalah Abdul Rahman. Ayahnya bernama Tuanku Imam Nuh berasal dari Bangkinang. Ibunya adalah Rokiah Abdul Rahman, anak Tok Setia Perkasa Semantan yang berketururnan Bugis dari Sulawesi Selatan. Beliau juga lebih dikenali sebagai Seman adalah seorang yang pandai bersilat dan juga mempunyai ilmu kebal . Kelebihan yang dimilikinya ini menyebabkan beliau digelar sebagai 'Seman Tahan' oleh penduduk di sekitar kawasan itu. Nama 'Seman Tahan' semakin hari semakin masyur di kalangan penduduk di sepanjang sungai yang tidak bernama ketika itu sehinggakan sungai itu diberi nama Sungai Seman Tahan dan seterusnya menjadi tempat persinggahan British. Perang Semantan ini dipimpin oleh seseorang pembesar bernama Dato' Bahaman. Punca utama pemberontakan ini ialah rasa tidak puas hati orang-orang Besar Pahang , terutamanya sekali Dato' Bahaman (Orang Kaya Semantan) terhadap campur tangan British ke atas kawasannya .


Sebenarnya ketegangan di antara Dato' Bahaman dengan pihak British telah bermula sejak tahun 1890 lagi tetapi ketegangan itu memuncak pada tahun 1891. Ketegangan itu bermula pada bulan Disember 1890 bilamana Dato' Bahaman dikatakan telah marah dan mengata E.A Wise (Pegawai Jajahan Temerloh) kerana E.A Wise hendak mendirikan sebuah balai polis di Lubuk Terua iaitu satu tempat yang termasuk dalam kawasan Dato' Bahaman, tanpa terlebih dahulu berunding dengannya . Apabila Hugh Clifford (Pemangku Residen British Pahang ketika itu) mengetahui hal tersebut, beliau telah menasihatkan Sultan dan baginda kemudiannya memanggil Dato' Bahaman supaya pergi ke Pekan agar perkara itu dapat disiasat. Oleh kerana Dato' Bahaman enggan ke Pekan, Sultan telah mengeluarkan surat perintah yang melucutkan pangkat dan tarafnya sebagai Orang Kaya Semantan.

Tindakan melucutkan pangkat dan taraf itu menyakitkan hati Dato' Bahaman . Keadaan ini menyebabkan Dato' Bahaman dan pengikut-pengikutnya menyerang hendap C.E.M Deaborough dan pengikut-pengikutnya pada 15 Disember 1891 ketika mereka sedang mudik Sungai Semantan. Serangan itu dilakukan oleh Dato' Bahaman kerana ia menyangka Desborough datang untuk menangkapnya dalam serangan yang mengejut itu , pihak Desborough telah kalah dan beliau melarikan diri ke Bandar Temerloh . Setelah mengetahui peristiwa di Semantan itu, pegawai-pegawai British di seluruuh Pahang mula sibuk mengatur tentera mereka untuk melawan orang-orang Melayu yang menentang British. Ekoran dari itu , pada 21 Disember 1891 , satu pasukan yang diketuai oleh Clifford dan Tengku Mahmud telah pergi ke Kampung Kelubi yang merupakan kubu kedua pertahanan Dato' Bahaman. Di sini berlaku sekali lagi pertempuran antara pihak British dengan Dato' Bahaman tetapi pihak British sekali lagi mengalami kekalahan.

2. Maharaja Indera Perba Jelai merupakan gelaran bagi salah seorang Orang Besar Berempat di negeri Pahang Darul Makmur. Gelaran ini digunakan oleh Sri Maharaja Purba yang berasal dari Minangkabau dan kemudiannya diturunkan kepada anak angkatnya Raja Muda. Raja Muda berkahwin dengan anak saudara Sri Maharaja Purba dan kemudian gelaran diturunkan kepada anaknya Wan Ismail dan seterusnya. Orang Kaya Indera Maharaja Perba Jelai Wan Muhammad bin Wan Idris atau lebih dikenali sebagai Tok Raja Wan Muhammad merupakan salah seorang pembesar negeri Pahang yang sangat berpengaruh satu ketika dahulu dan merupakan pengikut setia Bendahara Wan Ahmad yang kemudiannya menjadi Sultan Pahang dengan nama Sultan Ahmad Al-Muazzam Shah (memerintah:1863-1914).
Beliau menguasai kawasan dari Tanjong Lindong sepanjang Sungai Jelai (Sungai Pahang dan Sungai Jelai) hingga ke sempadan-sempadan negeri Perak dan negeri Kelantan (kecuali Sungai Lipis), dan dari Kuala Tembeling sampai ke Pasir Durian.
(SUMBER DARIPADA: SEJARAH PAHANG KARANGAN HAJI BUYONG BIN ADIL (1972) DAN WAN MUHAMMAD BIN WAN IDRIS: DATUK ORANG KAYA INDRA MAHARAJA PURBA JELAI KEENAM DAN PERANANNYA DALAM PERANG SAUDARA PAHANG)

Pada tahun 1803M (1224H), Wan Pahang bin Tun Wok ( Wan Muhammad b. Tun Abdul Latif, Maharaja Perba Jelai I ) telah dikahwinkan oleh Sultan Johor-Linggi (Sultan Abdul Jalil) dengan Tok Meriam (Nama sebenar beliau mungkin Tun Mariam iaitu anak Yam Dipertuan Daing Celak). Hasil perkahwinan tersebut, antara tahun 1804 dan 1805 lahirlah seorang anak lelaki yang diberi nama Wan Daud b. Wan Pahang. Tinggallah beliau di Pahang untuk beberapa ketika. Apabila beliau telah meningkat dewasa beliau telah dihantar ke Riau untuk mendalami ilmu agama daripada Imam Bonjor selama 20 tahun. Ini adalah sebagai persiapan menggantikan ayahanda beliau selaku Seri Maharaja Perba Jelai pemegang hukum syarak di samping Wan Ideris bin Tun Wok, Indera Mahajara Perba Jelai pemegang hukum adat. Pada penghujung tahun 1840-an atau awal tahun 1850-an, Wan Daud kembali dari Riau untuk menggantikan ayahanda beliau menjaga Kuala Kuantan.

Semasa beliau di Kuala Kuantan, beliau telah menjadi Kepala Perang kepada 70 kepala tentera, beliau turut dikenali sebagai “Tok Daud 7 Lapis”. Beliau hidup sederhana walaupun memiliki lombong emas di Bukit Selingsing. Justeru sifat pemurah dan dermawan beliau terutama kepada mereka yang akan berlepas ke Tanah Suci Mekah, beliau diberi gelaran Orang Kaya Haji. Di era 1850-an Pahang dilanda Perang Saudara antara Tun Ahmad dan Tun Mutahir atas pertelingkahan merebut jawatan Bendahara Siwa Raja selepas kemangkatan ayahanda mereka Bendahara Siwa Raja Tun Ali. Pada penghujung tahun 1850-an, Perang Saudara antara Wan Ahmad (Tun Ahmad) dengan Wan Mutahir (Tun Mutahir) masih berlarutan. Wan Daud pada awalnya tidak menyertai perang berkenaan. Beliau menganggap bahawa perebutan jawatan berkenaan telah diselesaikan bersama Sultan Abu Bakar Johor apabila jawatan Bendahara Siwa Raja diserahkan kepada Wan Mutahir dengan syarat dilantik Wan Ahmad sebagai Bendahara Muda selepas beliau.

Wan Daud hanya menyertai perang pada penghujung 1850-an atau awal 1860-an apabila berlaku pembunuhan terhadap bapa saudara sepupu beliau iaitu Wan Embung bin Tun Muhammad bin Tun Abdul Latif oleh salah seorang pengikut Tun Mutahir. Kepala jenazah Wan Embung telah dipancung dan diwar-warkan sebagai penderhaka. Di samping itu, rakyat di Tanah Hulu didenda 4 mayam emas atau anak isteri dirampas dan dijadikan tebusan. Rentetan itu, Wan Daud telah menyebelahi pasukan Wan Ahmad yang turut disertai oleh pasukan bapa saudara beliau Wan Ideris bin Wan Muhammad (Tun Wok) dan sepupu beliau Wan Muhammad bin Wan Ideris yang ketika itu bergelar Orang Kaya Setia Muda.

Pada tahun 1863, Perang Saudara pun tamat di mana pihak Tun Ahmad telah memenangi perang berkenaan. Atas sumbangan beliau dalam perang berkenaan, pada jam 2.00 petang hari Ahad 16 Rejab 1280H bersamaan 27 Disember 1863, Wan Daud bin Wan Pahang diberi gelaran Seri Maharaja Setia Raja dengan anugerah air Lipis cucur ke Lipis hingga ke puncak air meleleh melalui watikah kurnia Bendahara Siwa Raja. Perlantikan ini telah diperkenankan oleh Sultan Abu Bakar Johor. Sekitar tahun 1860-an hingga 1880-an, Pihak Inggeris telah datang ke Pahang bertemu pembesar Tanah Ulu bagi mengadakan mesyuarat dan perbincangan untuk mendapatkan persetujuan bersama kompeni Inggeris. Antara pertemuan yang penting adalah pertemuan pembesar tanah ulu bersama Sir Hugh Charles Clifford di sekitar tahun 1880-an.

Melalui mesyuarat tersebut, Wan Muhammad (bergelar Orang Kaya Setia Muda) yang mewakili bapa beliau Wan Ideris telah bersetuju menerima pencen setiap bulan. Manakala Wan Daud yang mewarisi pusaka ayahanda beliau tidak bersetuju menerima pencen tetapi menggantikannya dengan cukai. Inggeris membawa keputusan mesyuarat dan perbincangan ini ke England untuk pertimbangan dan persetujuan Inggeris. Atas perintah Inggeris, Wan Daud turut mendaftarkan tanah-tanah yang diperlukan beliau seperti lombong emas, sawah, ladang, rumah kediaman, kampung halaman dan sebagainya. Menurut maklumat yang diterima, sebanyak 10 kawasan telah didaftar oleh beliau dan digerankan oleh pemerintah Inggeris.

Beliau turut membina rumah kediaman baru di Budu bagi menggantikan tapak rumah beliau di Kuala Lipis yang dicadangkan untuk dijadikan kepala Negeri Pahang. Dimaklumkan bahawa sekiranya kepala negeri ditukarkan ke tempat lain, maka hak pusaka di Kuala Lipis hendaklah dikembalikan kepada pewarisnya masing-masing. Beliau membina sebuah rumah baru di Kampong Tanjung Tualang, Budu yang dikenali sebagai Rumah Gedang. Wan Daud juga dikatakan telah pergi bersama Tok Teh ke Johor menemui Sultan Abu Bakar di Istana Johor (Muzium Negeri Johor Sekarang) untuk menyerahkan surat persetujuan beliau dengan pihak Inggeris. Apabila rumah berkenaan siap, beliau pulang ke Kuala Lipis untuk membuat persiapan berpindah ke rumah baru tersebut. Beliau meminta penduduk kampung untuk membantu beliau membawa segala kelengkapan, peralatan dan barangan beliau berpindah ke Budu. Peristiwa ini berlaku di sekitar penghujung tahun 1888 atau awal tahun 1889.

Tindakan mengumpul penduduk kampung ini telah digunakan untuk memfitnah beliau yang kononnya sedang mengumpul tentera dan penduduk kampung untuk menyerang Pekan. Kesempatan ini telah digunakan untuk membunuh Wan Daud Seri Maharaja Setia Raja yang kononnya atas arahan Baginda Sultan. Beliau difitnah sebagai gila, hilang akal, mengamuk dan mesti ditembak mati. Inilah yang dirakam oleh buku sejarah kita seperti yang diungkap dalam buku Sejarah Pahang karangan Haji Buyong b. Adil. Gugurlah beliau dengan tiga das tembakan. Pertama di buku lali, kedua di peha dan ketiga di dahi. Kisah sebenar berhubung punca dan alasan pembunuhan beliau tetap menjadi simpanan dan kenangan pahit waris keturunan ini.

Sebaik sahaja rebah, Wan Muhammad menerpa dan memangku beliau. Sebelum menghembuskan nafas yang terakhir, beliau sempat berpesan kepada Wan Muhammad, “sekiranya aku meninggal, janganlah engkau kuburkan aku di Bukit Betong, kuburkanlah aku berdekatan kubur guruku di Tanjung Rambai”. Sesudah melafazkan kata-kata tersebut, beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir dalam usia lebih kurang 84 tahun. Gugurlah seorang pahlawan yang setia kepada Raja dan sentiasa sedia membela agama, bangsa dan tanah air. Bersemadilah beliau di sana sebagaimana amanat sebelum kemangkatan beliau

07 September 2010

PANGGILAN HORMAT ORANG-ORANG KENAMAAN SEBAGAI TANDA PENGHORMATAN KEPADA KEDUDUKAN

Penggilan hormat yang sesuai hendaklah digunakan terhadap orang-orang kenamaan sebagai tanda penghormatan kepada kedudukan mereka.

Amat mustahak bagi seorang yang mengedalikan sesuatu majlis.
Harus mengetahui dan menggunakan panggilan hormat dan gelaran yang betul mengikut protokol dalam sesuatu majlis yang dikendalikan.

Panggilan hormat bagi Yang di-Pertuan Agong, Sultan-Sultan dan Yang DiPertua Negeri adalah seperti berikut:

(a) Yang di-Pertuan Agong - DYMM Seri Paduka Baginda
(b) Raja Permaisuri Agong - DYMM Seri Paduka Baginda
(c) Raja Perlis - DYMM Tuanku
(d) Sultan Kedah - Ke Bawah DYMM Al-Sultan
(e) Sultanah Kedah - Ke Bawah DYMM Tuanku
(f) Sultan Selangor - DYMM Sultan
(g) Tengku Ampuan Selangor - DYMM Tengku Ampuan
(h) Yang Dipertuan Besar - DYMM Tuanku Negeri Sembilan
(i) Tunku Ampuan - DYMM Tuanku Negeri Sembilan
(j) Sultan Pahang - Ke Bawah DYMM Sultan
(k) Sultanah Pahang - DYMM Sultanah
(l) Sultan Terengganu - DYMM Sultan
(m) Tengku Ampuan Besar - DYMM Tengku Ampuan Terengganu
(n) Al-Sultan Kelantan - Ke Bawah DYMM Tuanku
(o) Raja Perempuan Kelantan - DYMM Tengku
(p) Sultan Johor - DYMM Baginda Sultan
(q) Sultanah Johor - DYMM Baginda Sultanah
(r) Paduka Seri Sultan Perak - DYMM Paduka Seri Sultan
(s) Raja Permaisuri Perak - DYMM Raja Permaisuri Darul Ridzuan
(t) Yang DiPertua Negeri Melaka, Sarawak, Sabah dan Pulau Pinang - Tuan Yang Terutama
(u) Isteri Yang DiPertua Melaka, Sarawak, Sabah dan Pulau Pinang - Yang Amat Berbahagia

Panggilan hormat bagi orang-orang kenamaan yang lain ialah:

(a) Perdana Menteri - Yang Amat Berhormat
(b) Isteri Perdana Menteri - Yang Amat Berbahagia
(c) Timbalan Perdana Menteri - Yang Amat Berhormat
(d) Isteri Timbalan Perdana Menteri - Yang Amat Berbahagia
(e) Menteri Besar/Ketua Menteri - Yang Amat Berhormat
(f) Isteri Menteri Besar/Ketua Menteri - Yang Amat Berbahagia
(g) Menteri, Timbalan Menteri - Yang Berhormat
(h) Isteri Menteri dan Timbalan - Yang Berbahagia
(i) Tun/isteri - Yang Amat Berbahagia
(j) Tan Sri/isteri - Yang Berbahagia
(k) Datuk selain negeri Johor - Yang Berbahagia
(l) Dato’ dari negeri Johor - Yang Berhormat
(m) Raja/Tengku - Yang Amat Mulia bagi Anakanda Sultan/Yang Mulia bagi Kerabat
(n) Isteri Raja/Tengku - Yang Berbahagia
(o) Panglima Angkatan Tentera/isteri - Yang Berbahagia
(p) Ketua Polis Negara/isteri Yang Berbahagia
(q) Ketua Hakim Negara - Yang Amat Arif
(r) Isteri Ketua Hakim Negara - Yang Amat Berbahagia
(s) Hakim Besar - Yang Arif
(t) Isteri Hakim Besar - Yang Berbahagia
(u) Hakim Mahkamah Agong/Tinggi - Yang Arif
(v) Isteri Hakim Mahkamah Agong/Tinggi - Yang Berbahagia
(w) Peguam Negara/isteri - Yang Berbahagia
(x) Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam/isteri - Yang Berbahagia
(y) Ketua-Ketua Setiausaha Kementerian dan Ketua-Ketua Jabatan Peringkat Persekutuan/isteri - Yang Berbahagia
(z) Ketua-Ketua Jabatan Negeri - Yang Berusaha/Yang Berbahagia

29 August 2010

SELAMAT MENYAMBUT HARI KEMERDEKAAN NEGARA KE 53



Di kesempatan ini kita ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan SELAMAT MENYAMBUT HARI KEMERDEKAAN NEGARA KE 53 kepada semua rakyat Malaysia.

Alhamdulilah sepatutnya kita sebagai sekalian rakyat harus mensyukuri nikmat dan pengorbanan yang telah dikorbankan oleh atuk nenek kita dalam mencapai kemerdekaan.

Sesungguhnya tanpa Rejimen Askar Melayu DiRaja mungkin jua tidak mungkin kita dapat menikmati kemakmuran yang di kecapi hari ini.


Sejak penjajahan oleh Kerajaan Kolonial British, pasukan-pasukan Tentera British dan juga Tentera British India (British Indian Army) seperti pasukan “Burma Rifles” telah ditugaskan untuk mengawal keselamatan. Ini melibatkan kos yang tinggi kerana pasukan-pasukan itu terpaksa dibawa daripaada Britain dan India untuk berkhidmat di Tanah Melayu.

Semenjak tahun 1902, Raja-Raja Melayu terutamanya Sultan Alang Iskandar Shah (Sultan Perak), Tuanku Muhamad Ibni Yam Tuan Antah (Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan), Raja Chulan (Kerabat DiRaja Perak) dan Dato Abdullah Haji Dahan (Undang Luak Rembau) telah menggesa Kerajaan Kolonial British di Malaya untuk menubuhkan satu rejimen tentera yang dianggotai oleh orang-orang tempatan.









Pada 23 November 1932, Jabatan Perang British memberikan persetujuan untuk penubuhan satu pasukan Askar Melayu sebagai satu rejimen tempatan dalam Angkatan Tentera British (Rejimen ini dilatih dan diurus oleh Rejimen Tentera British Malaya). Pada 23 Januari 1933, Majlis Perundingan Persekutuan (Federal Consultative Council) telah meluluskan Akta No. 11 yang dikenali dengan nama Akta Rejimen Askar Melayu dan meluluskan peruntukan $70,000 bagi pembelian Kong Sang Rubber Estate di Port Dickson untuk tapak bagi kegunaan sebagai Pusat Latihan Rekrut Askar Melayu.

Pasukan Askar Melayu bermula dengan penubuhan Kompeni Percubaan Pertama (1st Experimental Company) pada tahun 1933 dan merupakan titik permulaan pasukan tentera anak watan di Tanah Melayu.

Pada 1 Februari 1933, seramai 25 orang anak Melayu daripada 100 orang calon telah dipilih sebagai “sesuai untuk diambil menjadi rekrut” di dalam pasukan Askar Melayu.

Pasukan Askar Melayu ditubuhkan secara rasmi pada 1 Mac 1933 di Haig Lines, Port Dickson, Negeri Sembilan. Pasukan ini di letakkan di bawah perintah Mejar G. Mc Bruce , sementara Kapten K.G. Exham dilantik menjadi Adjutan. Sarjan Mejar A. E. McCarthy dilantik menjadi Sarjan Mejar Rejimen dan Sarjan Kuartermaster E. Oldfiled menjadi Sarjan Kuartermaster.

Pasukan ini dikira sebagai percubaan kerana pada peringkat itu, ia bertujuan untuk menilai kesesuaian orang-orang melayu sebagai anggota tentera, dan bagaimana mereka dapat menyesuaikan diri dengan disiplin tentera (Mejar Jeneral G. Mcl. S. Bruce, O.B.E. M.C. (bersara). (Petikan dari rencana "Trying it out with No. 1 Squad", Pahlawan, Vol. 1, Kuala Lumpur, 1952.)

21 August 2010

ORANG BESAR NEGERI PERAK



Dewan Negara, selain daripada menasihati Raja Pemerintah dalam perlantikan Bakal Sultan dan Raja-raja Bergelar, ianya juga menasihatkan Raja Pemerintah dalam perlantikan Orang Besar Negeri yang turut membantu Raja Pemerintah dalam menjalankan tugas-tugas hariannya.

Orang Besar Negeri yang dilantik oleh Raja Pemerintah adalah terdiri :-

• Orang Besar Empat yang mempunyai gelaran-gelaran dan fungsi-fungsi tersendiri dan orang-orang lelaki yang lain dengan gelaran Toh Muda Orang Kaya Bendahara diberi.

• Orang Besar Delapan yang mempunyai gelaran-gelaran dan fungsi-fungsi tersendiri dan orang-orang lelaki yang lain kecuali gelaran Orang Kaya-Kaya Imam Paduka Tuan dan Orang Kaya-Kaya Mahakurnia dengan syarat-syarat sebagaimana termaktub dalam Seksyen 38 (1) dan (2).

• Orang Besar Enam Belas dan memegang gelaran-gelaran tertentu dangan syarat-syarat sebagaimana termaktub di dalam Seksyen 47(2) Undang-undang Tubuh Kerajaan. Orang Besar Enam Belas yang dilantik hendaklah terdiri daripada orang lelaki yang berjasa kepada negeri.

• Orang Besar Tiga Puluh Dua memegang gelaran-gelaran yang telah ditetapkan oleh Raja Pemerintah dengan nasihat Dewan Negara dan Tertib kedudukan bagi Orang Besar kecuali Toh Muda hendaklah mengikut tertib kedudukan:-
• Orang Besar Negeri mengikut taraf tetapi disyaratkan bahawa Toh Puan bagi Orang Besar Negeri itu hendaklah mengambil tingkat kedudukannya yang hampir di bawahnya.

Orang Besar Enam Belas
• Toh Muda Orang Besar Negeri mengikut tertib kedudukan Orang Besar Negeri yang mengenainya.

• Gelaran-gelaran yang tiada ditentukan tertib kedudukan dalam bahagian ini mengikut tarikh lantikan bagi mana-mana gelaran yang demikian itu.
Selain daripada menjadi Ahli-ahli tetap Dewan Negara, Raja-raja Bergelar, Orang Besar Negeri, Orang Besar Enam Belas atau Toh Muda kepada Orang Besar Negeri, di atas nasihat Dewan Negara, Raja Pemerintah boleh melantik di antara mereka menjadi Orang-orang Besar Jajahan yang mempunyai fungsi-fungsi berikut:-

1. Menyempurnakan apa-apa tanggungan dan menggunakan apa-apa hak yang harus diamanahkan kepadanya oleh Raja Pemerintah atau oleh Raja Pemerintah dalam Dewan Negara;
2. Menyempurnakan apa-apa tanggungan dan menggunakan apa-apa hak yang diberikan kepada seseorang Orang Besar Jajahan oleh mana-mana undang-undang yang berjalan; dan
3. Menyempurnakan apa-apa tanggungan dan menggunakan apa-apa hak yang harus diberikan kepadanya oleh mana-mana undang-undang yang berjalan kuatkuasanya pada masa hadapan dalam negeri ini.

Orang-orang Besar Jajahan yang dilantik bertanggungjawab kepada Raja Pemerintah dalam Dewan Negara menerusi Raja Di Hilir bagi kesempurnaan apa-apa tanggungan yang diamanahkan kepadanya dan bagi kegunaan yang betul apa-apa hak yang diberi kepadanya.

ORANG BESAR EMPAT
1. Y.A Bhg. Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja
2. Y.A Bhg. Orang Kaya Besar Maharaja Di-Raja
3. Y.A Bhg. Orang Kaya Temenggong Paduka Raja
4. Y.A Bhg. Orang Kaya Menteri Paduka Tuan

ORANG BESAR DELAPAN
1. Y.Bhg. Orang Kaya Kaya Laksamana Raja Mahkota
2. Y.Bhg. Orang Kaya Kaya Seri Adika Raja Shahbandar Muda
3. Y.Bhg. Orang Kaya Kaya Panglima Kinta Seri Amar Bangsa di-Raja
4. Y.Bhg. Orang Kaya Kaya Seri Panglima Bukit Gantang Seri Amar di-Raja
5. Y.Bhg. Orang Kaya Kaya Shahbandar Paduka Indera
6. Y.Bhg. Orang Kaya Kaya Setia Bijaya di-Raja
7. Y.Bhg. Orang Kaya Kaya Imam Paduka Tuan
8. Y.Bhg. Orang Kaya Kaya Mahakurnia Indera di-Raja

ORANG BESAR ENAM BELAS
1. Y.D.H Toh Seri Maharaja Lela
2. Y.D.H Toh Paduka Indera
3. Y.D.H Toh Maharaja Dewa
4. Y.D.H Toh Maharaja Indera
5. Y.D.H Toh Shahbandar Ulu
6. Y.D.H Toh Tan Dewa Paduka
7. Y.D.H Toh Paduka Setia
8. Y.D.H Toh Sedewa Raja
9. Y.D.H Toh Paduka Raja
10. Y.D.H Toh Perdana Indera
11. Y.D.H Toh Indera Jaya
12. Y.D.H Toh Seri Bijaya
13. Y.D.H Toh Seri Lela Paduka
14. Y.D.H Toh Amar Seri di-Raja
15. Y.D.H Toh Raja di-Raja
16. Y.D.H Toh Seri Wangsa

TOH MUDA ORANG BESAR EMPAT
1. Y.D.H Toh Muda Orang Kaya Besar Maharaja di-Raja
2. Y.D.H Toh Muda Orang Kaya Temenggong Paduka Raja
3. Y.D.H Toh Muda Orang Kaya Menteri Paduka Tuan
4. Tidak ada Toh Muda Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja

TOH MUDA ORANG BESAR DELAPAN
1. Y.D.H Toh Muda Orang Kaya Kaya Laksmana Raja Mahkota
2. Y.D.H Toh Muda Orang Kaya Kaya Seri Adika Raja Shahbandar Muda
3. Y.D.H Toh Muda Orang Kaya Kaya Panglima Kinta Seri Amar Bangsa di-Raja
4. Y.D.H Toh Muda Orang Kaya Kaya Panglima Bukit Gantang Seri Amar di-Raja
5. Y.D.H Toh Muda Orang Kaya Kaya Shahbandar Paduka Indera
6. Y.D.H Toh Muda Orang Kaya Kaya Setia Bijaya di-Raja
7. Tidak ada Toh Muda Orang Kaya Kaya Mahakurnia
8. Tidak ada Toh Muda Orang Kaya Kaya Imam Paduka Tuan

ORANG BESAR TIGA PULUH DUA
1. Y.D.H Toh Tan Dewa Sakti
2. Y.D.H Toh Kamar Lela
3. Y.D.H Toh Seri Indera Lela
4. Y.D.H Toh Sakna Bongsu
5. Y.D.H Toh Tan Dewa Raja
6. Y.D.H Toh Rakna Sakti
7. Y.D.H Toh Purba di-Raja
8. Y.D.H Toh Jana Pahlawan
9. Y.D.H Toh Sa Indera Lela
10. Y.D.H Toh Bahagia Negara
11. Y.D.H Toh Amar Pahlawan
12. Y.D.H Toh Mangku di-Raja
13. Y.D.H Toh Dewa Mahkota
14. Y.D.H Toh Sakna Menteri
15. Y.D.H Toh Demang Perwira
16. Y.D.H Toh Indera Wangsa
17. Y.D.H Toh Mekong
18. Y.D.H Toh Lela Indera
19. Y.D.H Toh Mahkota Lela
20. Y.D.H Toh Amar Di Wangsa
21. Y.D.H Toh Pekerma Wati
22. Y.D.H Toh Johan Pahlawana
23. Y.D.H Toh Pendewa Sakti
24. Y.D.H Toh Kelana Perkasa
25. Y.D.H Toh Kelana di-Raja
26. Y.D.H Toh Kohor Alam
27. Y.D.H Sukar Di Lawan
28. Y.D.H Toh Pendekar Alam
29. Y.D.H Toh Bijaya Wati
30. Y.D.H Toh Puspa Wati
31. Y.D.H Toh Bahtera di-Raja
32. Y.D.H Toh Suri Wati

Sumber dari Pejabat DYMM Sultan Perak

07 August 2010

NOBAT



Terdapat banyak pendapat apabila memperkatakan mengenai asal usul dan titik mula kewujudan Nobat didalam Tanah Melayu. Namun masih belum ditemui lagi asal usul yang tepat. Ahli-ahli sejarah masing-masing mempunyai pendapat sendiri dalam pertikaian asal-usul Nobat ini. Tidak kurang juga yang menerapkan unsur dongeng di dalam pendapat mereka. Di dalam kajian ini, terdapat beberapa pendapat yang berbeza mengenai asal kewujudan Nobat.

Namun jika disingkap dari lipatan sejarah kemungkinan besar Nobat Berasal dari Benua Hindi kerna Raja-Raja Melayu itu sendiri titik permulaan dari Benua Hindi.. Waullah Wallam..

Perkataan Nobat berasal dari bahasa Parsi, “Naubat” iaitu “Nau” bermaksud sembilan dan “Bat” bermaksud bunyi-bunyian kerana pada asalnya Nobat itu mengandungi 9 jenis ragam bunyi-bunyian.

Nobat termasuk dalam alat muzik diraja yang dianggap kudus atau sakral berbanding alat-alat kerajaan yang lain bahkan hubungan antara Nobat dengan raja-raja Melayu khususnya Raja Pemerintah (Sultan) itu mempunyai pertalian yang amat erat sekali. terdapat 4 sebuah Negeri Melayu-Islam Beraja di Semenanjung Malaysia yang mempunyai Nobat DiRaja iaitu Negeri Kedah, Perak, Selangor dan Terengganu.
perkakas Nobat disimpan di Istana ataupun didalam Balai Nobat dengan beralaskan kain kuning bagi menunjukkan simbol kekuasaan dan kemuliaan Kesultanan.

Perkakas Nobat dipercayai dijaga oleh “Jin Kerajaan”. kerna itu, Nobat tidak boleh dipukul atau dimainkan begitu sahaja tanpa perkenan DYMM Paduka Seri Sultan. Bahkan sampai ke suatu tahap tidak boleh mengata-ngatakan sesuatu yang kurang baik mengenainya. Hal ini kerana Nobat itu dipercayai mempunyai daulat kebesaran dan barang siapa yang tidak mengendahkannya boleh ditimpa tulah!

SEKEPING TANAH MELAYU DI TENGAH BANDARAYA KUALA LUMPUR




Tanah Kampung Baru adalah milik dan anugerah Almarhum Moyang Nenda Sultan Alauddin Suleiman Shah Ibni Almarhum Raja Muda Musa kepada orang-orang Melayu di kuala Lumpur.

Kampung Baru sebuah perkampungan rizab Melayu tunggal di tengah-tengah metropolitan Kuala Lumpur adalah seluas 225.89 ekar dan dibentuk oleh tujuh buah kampung iaitu Kampung Periuk, Kampung Pindah, Kampung Hujung Pasir, Kampung Paya, Kampung Masjid, Kampung Atas A dan Kampung Atas B. Terdapat tiga kategori tanah milik Melayu wujud di Kampung Baru iaitu Tanah Simpanan Melayu, Tanah Simpanan Pertanian Melayu dan Tanah Melayu Diberi Milik. Kampung Baru mula dibuka pada tahun 1899 dan digazetkan setahun kemudian. Sebuah lembaga pentadbir khusus untuk Kampung Baru ditubuhkan serentak dengan pembukaannya sebagai Penempatan Tanah Pertanian Melayu atau Malay Agriculture Settlement (MAS) serta bertanggungjawab kepada Residen British ketika itu dalam menguruskan perkara mengenai pentadbiran kampung.

Kampung ini pada awalnya terbentuk apabila sekumpulan orang Melayu yang tinggal di kawasan Sungai Gombak dan Sungai Klang terpaksa berpindah untuk memberi ruang kepada pembangunan Kuala Lumpur. Bandar ini ketika itu sedang pesat membangun apabila beberapa projek yang kini menjadi ikon sejarah dan seni bina seperti Kelab Diraja Selangor, Bangunan Pejabat Pos Utama, Victoria Institution dan Bangunan Sultan Abdul Samad sedang dalam pembinaan. Oleh itu Sultan Selangor ketika itu, Sultan Sulaiman Shah @ Sultan Alauddin Sulaiman Shah Ibni Raja Muda Musa telah memperuntuk sebuah kawasan di tepi Sungai Kelang untuk orang Melayu berpindah dan MAS diwartakan pada 1 Jan 1900.

MAS diwujudkan untuk memindahkan orang Melayu yang menghuni pinggir Sungai Gombak dan Sungai Klang walaupun ketika itu mereka aktif dalam kegiatan perniagaan dan perlombongan. Ini kerana British berpendapat orang Melayu wajar bergiat dalam sektor pertanian dan dengan menempatkan orang Melayu di sebuah kampung khas akan memudahkan anak-anak Melayu menerima pendidikan dan mengambil bahagian dalam pentadbiran.
Ini sekali gus memberi peluang kepada penduduk Melayu untuk menikmati sebahagian daripada kemakmuran Kuala Lumpur ketika itu yang kaya dengan bijih timah.
MAS telah dipertanggungjawabkan untuk mentadbir kampung ini dengan kuasa yang luas antaranya melulus dan menetapkan perjanjian pemberian lot rumah dan pelan bangunan, menyimpan butiran pertukaran serta mengawalselia keselamatan dan kegiatan penduduk.
Selain itu MAS turut mempunyai kuasa untuk memberi kebenaran hanya kepada orang Melayu untuk tinggal di sini dengan luas kawasan kediaman tidak melebihi setengah ekar seorang.

MAS turut berkuasa mengusir penduduk yang tidak patuh dengan peraturan serta mereka yang mampu memberi ancaman dan dianggap berbahaya kepada penduduk.
Menurut Shamsuri, anggota lembaga MAS pada peringkat awal terdiri dari kalangan pegawai tinggi penjajah dan kerabat diraja (Raja Muda Selangor pada asalnya menjadi Yang Dipertua) sehinggalah selepas Perang Dunia Kedua.
Di bawah pemerintahan Jepun barulah beberapa orang penduduk Kampung Baru dilantik menganggotai lembaga itu.
Pada masa sekarang, tujuh orang wakil yang dipanggil ahli jemaah dari tujuh buah kampung di sini telah dilantik untuk menganggotai lembaga MAS. Ahli jemaah ini boleh dianggap sebagai penghulu di setiap kampung berkenaan.
Beberapa buah kampung kecil seperti Kampung Manggis dan Kampung Sungai Baru turut digabungkan ke dalam Kampung Baru selain beberapa kampung setinggan, iaitu Kampung Limau, Kampung Cendana dan Kampung Paya Baru.

Namun disebabkan semua urusan pentadbiran tanah adalah hak lembaga tadbir MAS, ia tidak dapat memenuhi harapan tuan tanah yang berhasrat membangunkan kawasan ini kerana mereka tidak memegang apa-apa surat hak milik yang boleh diurusniagakan hinggalah pada tahun 1960-an.
Bagaimanapun Menteri Besar Selangor ketika itu, Datuk Harun Idris yang menjadi pengerusi MAS telah berjaya mengusahakan geran hak milik tanah bagi penduduk kampung ini.
Sejarah Kampung Baru ini jika dihuraikan mungkin terlalu panjang apatah lagi pelbagai peristiwa dan cacatan yang amat bersejarah telah berlaku sejak dari awal penubuhannya.

Pada peringkat awal kebanyakan jalan-jalan yang terdapat di sini dinamakan dengan nama Inggeris dan pastinya ia dianggap sebagai pelik pada ketika itu apatah lagi Kampung Baru sendiri merupakan penempatan terbesar orang Melayu.
Sebagai contoh Jalan Raja Alang yang sangat terkenal dengan Bazar Ramadan sebelum ini dikenali sebagai Perkins Road. Hale Road yang dinamakan sempena seorang pentadbir British di zaman penjajah kini bernama Jalan Raja Abdullah, Jalan Raja Muda Abdul Aziz di tengah-tengah Kampung Baru dikenali sebagai Princess Road manakala Jalan Dewan Sultan Sulaiman pula pernah dikenali sebagai Stony Road.

Kelab Sultan Sulaiman yang terletak di Kampung Baru merupakan kelab orang Melayu tertua di Malaysia dan semenjak penubuhannya pada 1909, ia telah menyaksikan pelbagai catatan dan peristiwa penting negara. Pada peringkat awalnya penduduk Kampung Baru sering mengadakan perjumpaan di sebuah pondok di sini yang dibina secara gotong-royong.

SEJARAH KUALA LUMPUR



Era Pra-Kemerdekaan (1857-1957)

Dalam Bahasa Melayu, maksud namanya adalah "kuala berlumpur." Pendudukannya bermula apabila seorang ahli keluarga DiRaja Selangor yang bernama Raja Abdullah, membuka Lembah Klang untuk pelombongan biji timah. pada awalnya hanya 87 pencari gali Cina yang telah pergi ke sungai Klang dan memulakan prospek di daerah Ampang, pada masa itu kawasan tersebut adalah hutan belantara.
Walaupun 69 dari mereka meninggal dunia kerana keadaan penyakit wabak, pelombongan biji timah yang berkembang telah ditubuhkan.
Ini menarik perhatian banyak pedagang yang berdagang keperluan asas kepada pelombong-pelombong untuk mendapatkan sebahagian dari biji timah. Pedagang membina kedai di kuala sungai Klang dan Gombak. Oleh kerana itu, sebuah bandar telah dilahirkan.

Sejarah Kuala Lumpur juga amat berkait rapat dengan Haji Abdullah Hukum, yang merupakan salah seorang Panglima kepada kerajaan Negeri Selangor semasa dibawah Pemerintahan Almarhum Sultan Abd Samad.

Sementara pekan itu membesar, Inggeris, yang menjajah Malaya pada waktu itu, merasa mereka harus melantik (Kapitan Cina, atau Kapten kepada orang Cina) untuk mentadbirkan dan memastikan ada undang-undang dan peraturan.

Kuala Lumpur dari pekan lombongan kecil yang sunyi telah menjadi bandar yang terutama di Selangor. Pada awalnya, Kuala Lumpur adalah pusat Perang Saudara Selangor, di mana dua persengkatan dapat ditanggapkan; pergaduhan di antara putera-putera Selangor ke atas keuntungan lombongan biji timah, dan suatu dendam berdarah di antara Kapitan Yap dan Chong Chong, yang mahu menjadi Kapitan. Kapitan Yap dan tulang belakangnya, Tengku Kudin, berjaya dan sejak masa itu, terima kasih kepada pimpinan bagus Kapitan Yap, Kuala Lumpur menjadi bandar yang terbesar di Selangor.

Dia membina Kuala Lumpur, yang dihancurkan oleh Perang Saudara dan memenuhinya dengan pelombong Cina dari tempat lain di Selangor. Dia juga mengalakkan petani Melayu untuk tinggal dekat Kuala Lumpur untuk memudahkan bekalan sumber makanan.

Dataran Merdeka di pusat Kuala Lumpur, di mana kemerdekaan Malaya diumumkan pada tahun 1957 Ia telah menjadikan Kuala Lumpur Ibu Negeri Selangor.
Sir Frank Swettenham pada waktu itu diwakilkan Residen Selangor dan dia menjadi orang bertanggungjawab untuk membuat Kuala Lumpur kedudukan pentadbiran Selangor. Masa pentadbirannyalah Kuala Lumpur bersambung menjadi bandaraya kaya dan aman, selepas kematian Kapitan Yap. Apabila Negeri-negeri Melayu Bersekutu digabungkan dengan Swenttenham sebagai penjaganya pada tahun 1896, Kuala Lumpur menjadi ibu negerinya.

Pada Perang Dunia II tentera Jepun menakluki Kuala Lumpur pada 11 Januari, 1942 dan menguasai bandar itu selama 44 bulan.

Sumber : http://ms.wikipedia.org/wiki/Sejarah_Kuala_Lumpur

SELAMAT MENYAMBUT DAN MENJALANI IBADAT PUASA DIBULAN MULIA RAMADHAN AL MUBARAK 2010 (1431H)


Kite dengan hati yang hening menzahirkan setulus kalam dari pancaran mata hati melahir kesyukur atas rahmatMu jua Allah SWT yang telah memungkinkan kite dapat menyambut seterusnya menjalani Ibadah Puasa di Bulan yang penuh keberkatan Ramadhan Al Mubarak.

Di sini jua kite ingan mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Menyambut dan Menjalani Ibadah Puasa di Bulan Ramadhan Al Mubarak kepada rakan dan sekalian muslimin dan muslimat.

Semoga kite semua mendapat keberkatan di bulan yang Mulia ini...
Insyallah...



Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

إِذَا جَاءَ رَمَضَانُ فُتِحَتْ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ وَغُلِّقَتْ أَبْوَابُ النَّارِ وَصُفِّدَتِ الشَّيَاطِيْنُ

“Apabila datang Ramadhan pintu-pintu syurga dibuka pintu-pintu neraka ditutup dan setan-setan dibelenggu.”

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيْمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

“Siapa yg berpuasa pada bulan Ramadhan dlm keadaan iman dan mengharapkan pahala akan diampuni dosa-dosa yang telah lalu.”

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

أَتَاكُمْ رَمَضَانُ شَهْرٌ مُبَارَكٌ، فَرَضَ اللهُ عَزَّ وَجَلَّ عَلَيْكُمْ صِيَامَهُ، تُفْتَحُ فِيْهِ أَبْوَابُ السَّمَاءِ وَتُغْلَقُ فِيْهِ أَبْوَابُ الْجَحِيْمِ وَتُغَلُّ فِيْهِ مَرَدَةُ الشَّيَاطِيْنِ، لِلَّهِ فِيْهِ لَيْلَةٌ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ، مَنْ حُرِمَ خَيْرُهَا فَقَدْ حُرِمَ

“Telah datang pada kalian Ramadhan bulan yang diberkahi Allah Subhanahu Wa Ta’ala mewajibkan atas kalian untuk puasa di bulan ini. Pada bulan Ramadhan dibuka pintu-pintu langit dan ditutup pintu-pintu neraka serta dibelenggu setan-setan yg sangat jahat. Pada bulan ini Allah memiliki satu malam yg lebih baik dari seribu bulan. Siapa yang diharamkan untuk mendapatkan kebaikan malam itu maka sungguh ia telah diharamkan.”

Translate