25 September 2010

BUKIT JUGRA PUSAT PEMERINTAHAN SULTAN ABD SAMAD







Bukit Jugra terletak di Jugra Kuala Langat,Selangor.

Antara lokasi berhampiran ialah Pulau Carey, Kampung Chodoi, Banting, Jenjarom dan Sungai Buaya dan Bandar.

Jugra menghadap ke Selat Melaka dan berdekatan muara Sungai Langat. Jugra meliputi kawasan Bukit Jugra, Pantai Kelanang, Kampung Sungai Arak dan Kampung Chodoi.

Pada zaman pemerintahan Sultan Abdul Samad yang memerintah negeri Selangor dari tahun 1859-1898 Bukit Jugra telah dijadikan tempat bersemayam Sultan Selangor.
Rumah api Bukit Jugra dibina di puncak Bukit Jugra.
Sampan, perahu dan tongkang yang membawa bijih timah dari Kajang, Balakong, Hulu Langat, Semenyih dan lain-lain dibawa keluar melalui Sungai Langat dan membayar cukai di Jugra.

Bukit Jugra merupakan tempat strategi kerana berhampiran dengan laut, mengadap perairan Selat Melaka dan ingin dimajukan sebagai sebagai kota maritim. Bukit Jugra berasal dari sebuah perkampungan kecil Melayu yang bernama Tanjung Kera. Terdapat banyak kera di sini iaitu dari jenis primate hutan pantai. 'Kera tidak begitu sesuai dengan status baru kawasan istana lalu ditukar nama kepada Bandar Temasya.

Bukit Jugra ada 3 punca bukit yang menempatkan :
makam-makan diraja Jugra Waris Almarhum Sultan Abd Samad
Bangunan lama untuk pembesar dan kerabat diraja
Rumah api Bukit Jugra setinggi 146 meter dibina pada 1976 dan ditadbir oleh Jabatan Marin Malaysia.

1898 Istana Jugra menjadi tempat pertabalan Sultan Selangor ke-5 iaitu Almarhum Sultan Alaeddin Suleiman Shah Ibni Almarhum Raja Muda Musa (Sultan Selangor ke lima), telah menaiki takhta pada 17 hb Febuari 1898 mengantikan paduka Nenda baginda Almarmhum Sultan Abdul Samad.

Antara peninggalan bersejarah semasa pemerintahan baginda di Bandar Temasha ,Jugra , Kuala Langat ialah Istana Jugra (Bandar Temasha) yang dibina pada tahun 1905.
Istana ini juga dikenali sebagai Istana 40 bilik kerana di dalam nya terdapat 40 buah bilik. Istana dua tingkat ini di bina di atas tanah seluas 12.96 ekar. Di bahagian tengah nya terdapat dua tingkat Istana yang mengandungi 4 bilik iaitu bilik peraduan, bilik mengadap , bilik tetamu diraja dan persemayam baginda.

23 September 2010

PERMASYHURAN TENGKU MUHAMMAD FARIS PETRA SEBAGAI SULTAN KELANTAN YANG BARU BERGELAR SULTAN MUHAMMAD V


“Dengan izin Allah Tengku Muhammad Faris Petra, telah dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan yang baru pada hari Isnin 13 September 2010 Masihi bersamaan dengan 4 Syawal 1431 Hijrah.

Payung Mahkota Dirgahayu Raja Melayu.

Merafak Sembah mengucapkan Tahniah kepada KDYMM Tuanku Muhammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail Petra atas permasyhuran sebagai Sultan Kelantan yang baru berkuat kuasa 13 September 2010.

KDYMM Tuanku Muhamamad Faris Petra perkenan mengunakan Gelaran SULTAN MUHAMMAD V berkuatkuasa 23hb September 2010.

Semoga KDYMM Tuanku Muhammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail Petra dapat menjalankan Amanah dan amanat dalam memerintah Negeri Kelantan Darul Naim dengan penuh Adil dan Bijaksana... Daulat Tuanku Daulat Tuanku Daulat Tuanku...

"Pemasyhuran ini dibuat berdasarkan kepada peruntukan Perkara 23A yang telah dimasukkan ke dalam Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua) melalui Warta Kerajaan Kelantan bertarikh 22 Julai 2010,” menurut entri blog berkenaan pada Ahad.

Perkara 23A berkenaan berbunyi:“Kelucutan Takhta Kerajaan kerana kecacatan yang besar dan berat23A. Jika sekiranya setelah disiasat dengan sepenuhnya dan secukupnya, Majlis Perajaan Negeri berpendapat bahawa Raja ada mempunyai apa-apa kecacatan yang besar dan berat yang menyalahi sifat-sifat Raja, yang tidak dibenarkan oleh Hukum Syarak untuk menjadi Raja, maka seorang Pengganti hendaklah dipilih dan dilantik oleh Majlis Perajaan Negeri untuk menjadi Raja mengikut syarat-syarat di bawah Bahagian ini.

”Kemasukan Perkara 23A ke dalam Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua) ini pula adalah dibuat berdasarkan kepada Perkara 3(2) Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua),” katanya.

Ini termasuk, Perkara 3(2) ini berbunyi: “Syarat-syarat mengenai:

(a) naik Takhta Kerajaan dan pangkatkebesaran adat istiadat Melayu;

(b) pelantikan dan sifat seseorang bakal atau bakal-bakal Raja kepada Takhta Kerajaan, Raja Perempuan atau Pemangku Raja ataupun ahli-ahli Majlis Pangkuan Raja bagi Negeri;

(c) pembuangan, menarik balik atau menurunkan daripada Takhta Raja itu atau bakal Raja ataupun bakal-bakal Rajanya;

(d) pelantikan dan sifat Ketua-Ketua Pemerintah ataupun pangkat kebesaran adat istiadat Melayu yang serupa itu dan ahli-ahli Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu, Majlis Penasihat Raja ataupun badan-badan yang serupa itu; dan

e) penubuhan, aturan, pengesahan dan pelucutan pangkat-pangkat, gelaran, kehormatan, kebesaran adat istiadat Melayu dan pekurniaan serta sifat pemegang-pemegangnya dan kawalan bagi istana, balai-balai penghadapan dan istana-istana raja,bolehlah dipinda oleh Yang Maha Mulia dengan Perwawai yang dikeluarkan dengan persertaan dan persetujuan Majlis Penasihat Raja, tetapi tidaklah boleh dipinda dengan mana-mana jalan yang lain.”

Dengan perasaan kasih sayang yang mendalam Pemangku Raja kepada ayahanda dan bonda baginda, baginda telah memastikan bahawa taraf dan kedudukan mereka setelah pemasyhuran kekal terpelihara melalui satu lagi peruntukan yang telah turut dimasukkan ke dalam Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua).

Tengku Faris dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan bagi menggantikan ayahandanya, Tuanku Ismail Petra, yang gering sejak setahun lalu.

22 September 2010

KEPADA RAKYAT RAJA KASIHI DOA RAKYAT RAJA NEGERI


Bangsa Melayu Pernah Dijajah
Pelbagai Rintihan Pernah Ditohmah
Bangkit Melayu Kerana Tanah
Tempat Tanah Tumpah Darah

Dirgahayu Tuaku Raja Melayu
Payung Mahkota Bangsa Melayu
Saling Memerlu Setiap Waktu
Agar Negeri Makmur Selalu

Pada Rakyat Raja Sayangi
Pada Raja Rakyat Naungi
Bagaikan Jantung Dengan Hati
Tiada Berjwa Kehidupan Ini

Rintihan Rakyat Mengusar Hati
Bagai Terhiris Hati Naluri
Kepada Rakyat Raja Kasihi
Doa Rakyat Raja Negeri

Rakyat Dan Raja Berpisah Tiada
Rintihan Bangsa Membakar Rasa
Tiadalah Daulat Sebagai Raja
Jika Keharmonian Membara Jiwa

Sangat Mulia Budi Pekerti
Sungguh Memahami Saling Mengerti
Setiap Rintihan Diambil Peduli
Raja Melayu Itulah Duli

19 September 2010

SEJARAH RINGKAS PEMBESAR PAHANG

1. Nama sebenar Dato' Bahaman adalah Abdul Rahman. Ayahnya bernama Tuanku Imam Nuh berasal dari Bangkinang. Ibunya adalah Rokiah Abdul Rahman, anak Tok Setia Perkasa Semantan yang berketururnan Bugis dari Sulawesi Selatan. Beliau juga lebih dikenali sebagai Seman adalah seorang yang pandai bersilat dan juga mempunyai ilmu kebal . Kelebihan yang dimilikinya ini menyebabkan beliau digelar sebagai 'Seman Tahan' oleh penduduk di sekitar kawasan itu. Nama 'Seman Tahan' semakin hari semakin masyur di kalangan penduduk di sepanjang sungai yang tidak bernama ketika itu sehinggakan sungai itu diberi nama Sungai Seman Tahan dan seterusnya menjadi tempat persinggahan British. Perang Semantan ini dipimpin oleh seseorang pembesar bernama Dato' Bahaman. Punca utama pemberontakan ini ialah rasa tidak puas hati orang-orang Besar Pahang , terutamanya sekali Dato' Bahaman (Orang Kaya Semantan) terhadap campur tangan British ke atas kawasannya .


Sebenarnya ketegangan di antara Dato' Bahaman dengan pihak British telah bermula sejak tahun 1890 lagi tetapi ketegangan itu memuncak pada tahun 1891. Ketegangan itu bermula pada bulan Disember 1890 bilamana Dato' Bahaman dikatakan telah marah dan mengata E.A Wise (Pegawai Jajahan Temerloh) kerana E.A Wise hendak mendirikan sebuah balai polis di Lubuk Terua iaitu satu tempat yang termasuk dalam kawasan Dato' Bahaman, tanpa terlebih dahulu berunding dengannya . Apabila Hugh Clifford (Pemangku Residen British Pahang ketika itu) mengetahui hal tersebut, beliau telah menasihatkan Sultan dan baginda kemudiannya memanggil Dato' Bahaman supaya pergi ke Pekan agar perkara itu dapat disiasat. Oleh kerana Dato' Bahaman enggan ke Pekan, Sultan telah mengeluarkan surat perintah yang melucutkan pangkat dan tarafnya sebagai Orang Kaya Semantan.

Tindakan melucutkan pangkat dan taraf itu menyakitkan hati Dato' Bahaman . Keadaan ini menyebabkan Dato' Bahaman dan pengikut-pengikutnya menyerang hendap C.E.M Deaborough dan pengikut-pengikutnya pada 15 Disember 1891 ketika mereka sedang mudik Sungai Semantan. Serangan itu dilakukan oleh Dato' Bahaman kerana ia menyangka Desborough datang untuk menangkapnya dalam serangan yang mengejut itu , pihak Desborough telah kalah dan beliau melarikan diri ke Bandar Temerloh . Setelah mengetahui peristiwa di Semantan itu, pegawai-pegawai British di seluruuh Pahang mula sibuk mengatur tentera mereka untuk melawan orang-orang Melayu yang menentang British. Ekoran dari itu , pada 21 Disember 1891 , satu pasukan yang diketuai oleh Clifford dan Tengku Mahmud telah pergi ke Kampung Kelubi yang merupakan kubu kedua pertahanan Dato' Bahaman. Di sini berlaku sekali lagi pertempuran antara pihak British dengan Dato' Bahaman tetapi pihak British sekali lagi mengalami kekalahan.

2. Maharaja Indera Perba Jelai merupakan gelaran bagi salah seorang Orang Besar Berempat di negeri Pahang Darul Makmur. Gelaran ini digunakan oleh Sri Maharaja Purba yang berasal dari Minangkabau dan kemudiannya diturunkan kepada anak angkatnya Raja Muda. Raja Muda berkahwin dengan anak saudara Sri Maharaja Purba dan kemudian gelaran diturunkan kepada anaknya Wan Ismail dan seterusnya. Orang Kaya Indera Maharaja Perba Jelai Wan Muhammad bin Wan Idris atau lebih dikenali sebagai Tok Raja Wan Muhammad merupakan salah seorang pembesar negeri Pahang yang sangat berpengaruh satu ketika dahulu dan merupakan pengikut setia Bendahara Wan Ahmad yang kemudiannya menjadi Sultan Pahang dengan nama Sultan Ahmad Al-Muazzam Shah (memerintah:1863-1914).
Beliau menguasai kawasan dari Tanjong Lindong sepanjang Sungai Jelai (Sungai Pahang dan Sungai Jelai) hingga ke sempadan-sempadan negeri Perak dan negeri Kelantan (kecuali Sungai Lipis), dan dari Kuala Tembeling sampai ke Pasir Durian.
(SUMBER DARIPADA: SEJARAH PAHANG KARANGAN HAJI BUYONG BIN ADIL (1972) DAN WAN MUHAMMAD BIN WAN IDRIS: DATUK ORANG KAYA INDRA MAHARAJA PURBA JELAI KEENAM DAN PERANANNYA DALAM PERANG SAUDARA PAHANG)

Pada tahun 1803M (1224H), Wan Pahang bin Tun Wok ( Wan Muhammad b. Tun Abdul Latif, Maharaja Perba Jelai I ) telah dikahwinkan oleh Sultan Johor-Linggi (Sultan Abdul Jalil) dengan Tok Meriam (Nama sebenar beliau mungkin Tun Mariam iaitu anak Yam Dipertuan Daing Celak). Hasil perkahwinan tersebut, antara tahun 1804 dan 1805 lahirlah seorang anak lelaki yang diberi nama Wan Daud b. Wan Pahang. Tinggallah beliau di Pahang untuk beberapa ketika. Apabila beliau telah meningkat dewasa beliau telah dihantar ke Riau untuk mendalami ilmu agama daripada Imam Bonjor selama 20 tahun. Ini adalah sebagai persiapan menggantikan ayahanda beliau selaku Seri Maharaja Perba Jelai pemegang hukum syarak di samping Wan Ideris bin Tun Wok, Indera Mahajara Perba Jelai pemegang hukum adat. Pada penghujung tahun 1840-an atau awal tahun 1850-an, Wan Daud kembali dari Riau untuk menggantikan ayahanda beliau menjaga Kuala Kuantan.

Semasa beliau di Kuala Kuantan, beliau telah menjadi Kepala Perang kepada 70 kepala tentera, beliau turut dikenali sebagai “Tok Daud 7 Lapis”. Beliau hidup sederhana walaupun memiliki lombong emas di Bukit Selingsing. Justeru sifat pemurah dan dermawan beliau terutama kepada mereka yang akan berlepas ke Tanah Suci Mekah, beliau diberi gelaran Orang Kaya Haji. Di era 1850-an Pahang dilanda Perang Saudara antara Tun Ahmad dan Tun Mutahir atas pertelingkahan merebut jawatan Bendahara Siwa Raja selepas kemangkatan ayahanda mereka Bendahara Siwa Raja Tun Ali. Pada penghujung tahun 1850-an, Perang Saudara antara Wan Ahmad (Tun Ahmad) dengan Wan Mutahir (Tun Mutahir) masih berlarutan. Wan Daud pada awalnya tidak menyertai perang berkenaan. Beliau menganggap bahawa perebutan jawatan berkenaan telah diselesaikan bersama Sultan Abu Bakar Johor apabila jawatan Bendahara Siwa Raja diserahkan kepada Wan Mutahir dengan syarat dilantik Wan Ahmad sebagai Bendahara Muda selepas beliau.

Wan Daud hanya menyertai perang pada penghujung 1850-an atau awal 1860-an apabila berlaku pembunuhan terhadap bapa saudara sepupu beliau iaitu Wan Embung bin Tun Muhammad bin Tun Abdul Latif oleh salah seorang pengikut Tun Mutahir. Kepala jenazah Wan Embung telah dipancung dan diwar-warkan sebagai penderhaka. Di samping itu, rakyat di Tanah Hulu didenda 4 mayam emas atau anak isteri dirampas dan dijadikan tebusan. Rentetan itu, Wan Daud telah menyebelahi pasukan Wan Ahmad yang turut disertai oleh pasukan bapa saudara beliau Wan Ideris bin Wan Muhammad (Tun Wok) dan sepupu beliau Wan Muhammad bin Wan Ideris yang ketika itu bergelar Orang Kaya Setia Muda.

Pada tahun 1863, Perang Saudara pun tamat di mana pihak Tun Ahmad telah memenangi perang berkenaan. Atas sumbangan beliau dalam perang berkenaan, pada jam 2.00 petang hari Ahad 16 Rejab 1280H bersamaan 27 Disember 1863, Wan Daud bin Wan Pahang diberi gelaran Seri Maharaja Setia Raja dengan anugerah air Lipis cucur ke Lipis hingga ke puncak air meleleh melalui watikah kurnia Bendahara Siwa Raja. Perlantikan ini telah diperkenankan oleh Sultan Abu Bakar Johor. Sekitar tahun 1860-an hingga 1880-an, Pihak Inggeris telah datang ke Pahang bertemu pembesar Tanah Ulu bagi mengadakan mesyuarat dan perbincangan untuk mendapatkan persetujuan bersama kompeni Inggeris. Antara pertemuan yang penting adalah pertemuan pembesar tanah ulu bersama Sir Hugh Charles Clifford di sekitar tahun 1880-an.

Melalui mesyuarat tersebut, Wan Muhammad (bergelar Orang Kaya Setia Muda) yang mewakili bapa beliau Wan Ideris telah bersetuju menerima pencen setiap bulan. Manakala Wan Daud yang mewarisi pusaka ayahanda beliau tidak bersetuju menerima pencen tetapi menggantikannya dengan cukai. Inggeris membawa keputusan mesyuarat dan perbincangan ini ke England untuk pertimbangan dan persetujuan Inggeris. Atas perintah Inggeris, Wan Daud turut mendaftarkan tanah-tanah yang diperlukan beliau seperti lombong emas, sawah, ladang, rumah kediaman, kampung halaman dan sebagainya. Menurut maklumat yang diterima, sebanyak 10 kawasan telah didaftar oleh beliau dan digerankan oleh pemerintah Inggeris.

Beliau turut membina rumah kediaman baru di Budu bagi menggantikan tapak rumah beliau di Kuala Lipis yang dicadangkan untuk dijadikan kepala Negeri Pahang. Dimaklumkan bahawa sekiranya kepala negeri ditukarkan ke tempat lain, maka hak pusaka di Kuala Lipis hendaklah dikembalikan kepada pewarisnya masing-masing. Beliau membina sebuah rumah baru di Kampong Tanjung Tualang, Budu yang dikenali sebagai Rumah Gedang. Wan Daud juga dikatakan telah pergi bersama Tok Teh ke Johor menemui Sultan Abu Bakar di Istana Johor (Muzium Negeri Johor Sekarang) untuk menyerahkan surat persetujuan beliau dengan pihak Inggeris. Apabila rumah berkenaan siap, beliau pulang ke Kuala Lipis untuk membuat persiapan berpindah ke rumah baru tersebut. Beliau meminta penduduk kampung untuk membantu beliau membawa segala kelengkapan, peralatan dan barangan beliau berpindah ke Budu. Peristiwa ini berlaku di sekitar penghujung tahun 1888 atau awal tahun 1889.

Tindakan mengumpul penduduk kampung ini telah digunakan untuk memfitnah beliau yang kononnya sedang mengumpul tentera dan penduduk kampung untuk menyerang Pekan. Kesempatan ini telah digunakan untuk membunuh Wan Daud Seri Maharaja Setia Raja yang kononnya atas arahan Baginda Sultan. Beliau difitnah sebagai gila, hilang akal, mengamuk dan mesti ditembak mati. Inilah yang dirakam oleh buku sejarah kita seperti yang diungkap dalam buku Sejarah Pahang karangan Haji Buyong b. Adil. Gugurlah beliau dengan tiga das tembakan. Pertama di buku lali, kedua di peha dan ketiga di dahi. Kisah sebenar berhubung punca dan alasan pembunuhan beliau tetap menjadi simpanan dan kenangan pahit waris keturunan ini.

Sebaik sahaja rebah, Wan Muhammad menerpa dan memangku beliau. Sebelum menghembuskan nafas yang terakhir, beliau sempat berpesan kepada Wan Muhammad, “sekiranya aku meninggal, janganlah engkau kuburkan aku di Bukit Betong, kuburkanlah aku berdekatan kubur guruku di Tanjung Rambai”. Sesudah melafazkan kata-kata tersebut, beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir dalam usia lebih kurang 84 tahun. Gugurlah seorang pahlawan yang setia kepada Raja dan sentiasa sedia membela agama, bangsa dan tanah air. Bersemadilah beliau di sana sebagaimana amanat sebelum kemangkatan beliau

07 September 2010

PANGGILAN HORMAT ORANG-ORANG KENAMAAN SEBAGAI TANDA PENGHORMATAN KEPADA KEDUDUKAN

Penggilan hormat yang sesuai hendaklah digunakan terhadap orang-orang kenamaan sebagai tanda penghormatan kepada kedudukan mereka.

Amat mustahak bagi seorang yang mengedalikan sesuatu majlis.
Harus mengetahui dan menggunakan panggilan hormat dan gelaran yang betul mengikut protokol dalam sesuatu majlis yang dikendalikan.

Panggilan hormat bagi Yang di-Pertuan Agong, Sultan-Sultan dan Yang DiPertua Negeri adalah seperti berikut:

(a) Yang di-Pertuan Agong - DYMM Seri Paduka Baginda
(b) Raja Permaisuri Agong - DYMM Seri Paduka Baginda
(c) Raja Perlis - DYMM Tuanku
(d) Sultan Kedah - Ke Bawah DYMM Al-Sultan
(e) Sultanah Kedah - Ke Bawah DYMM Tuanku
(f) Sultan Selangor - DYMM Sultan
(g) Tengku Ampuan Selangor - DYMM Tengku Ampuan
(h) Yang Dipertuan Besar - DYMM Tuanku Negeri Sembilan
(i) Tunku Ampuan - DYMM Tuanku Negeri Sembilan
(j) Sultan Pahang - Ke Bawah DYMM Sultan
(k) Sultanah Pahang - DYMM Sultanah
(l) Sultan Terengganu - DYMM Sultan
(m) Tengku Ampuan Besar - DYMM Tengku Ampuan Terengganu
(n) Al-Sultan Kelantan - Ke Bawah DYMM Tuanku
(o) Raja Perempuan Kelantan - DYMM Tengku
(p) Sultan Johor - DYMM Baginda Sultan
(q) Sultanah Johor - DYMM Baginda Sultanah
(r) Paduka Seri Sultan Perak - DYMM Paduka Seri Sultan
(s) Raja Permaisuri Perak - DYMM Raja Permaisuri Darul Ridzuan
(t) Yang DiPertua Negeri Melaka, Sarawak, Sabah dan Pulau Pinang - Tuan Yang Terutama
(u) Isteri Yang DiPertua Melaka, Sarawak, Sabah dan Pulau Pinang - Yang Amat Berbahagia

Panggilan hormat bagi orang-orang kenamaan yang lain ialah:

(a) Perdana Menteri - Yang Amat Berhormat
(b) Isteri Perdana Menteri - Yang Amat Berbahagia
(c) Timbalan Perdana Menteri - Yang Amat Berhormat
(d) Isteri Timbalan Perdana Menteri - Yang Amat Berbahagia
(e) Menteri Besar/Ketua Menteri - Yang Amat Berhormat
(f) Isteri Menteri Besar/Ketua Menteri - Yang Amat Berbahagia
(g) Menteri, Timbalan Menteri - Yang Berhormat
(h) Isteri Menteri dan Timbalan - Yang Berbahagia
(i) Tun/isteri - Yang Amat Berbahagia
(j) Tan Sri/isteri - Yang Berbahagia
(k) Datuk selain negeri Johor - Yang Berbahagia
(l) Dato’ dari negeri Johor - Yang Berhormat
(m) Raja/Tengku - Yang Amat Mulia bagi Anakanda Sultan/Yang Mulia bagi Kerabat
(n) Isteri Raja/Tengku - Yang Berbahagia
(o) Panglima Angkatan Tentera/isteri - Yang Berbahagia
(p) Ketua Polis Negara/isteri Yang Berbahagia
(q) Ketua Hakim Negara - Yang Amat Arif
(r) Isteri Ketua Hakim Negara - Yang Amat Berbahagia
(s) Hakim Besar - Yang Arif
(t) Isteri Hakim Besar - Yang Berbahagia
(u) Hakim Mahkamah Agong/Tinggi - Yang Arif
(v) Isteri Hakim Mahkamah Agong/Tinggi - Yang Berbahagia
(w) Peguam Negara/isteri - Yang Berbahagia
(x) Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam/isteri - Yang Berbahagia
(y) Ketua-Ketua Setiausaha Kementerian dan Ketua-Ketua Jabatan Peringkat Persekutuan/isteri - Yang Berbahagia
(z) Ketua-Ketua Jabatan Negeri - Yang Berusaha/Yang Berbahagia

Translate