PERSINGGAHAN D’RAJA Kelantan terkandung dalam satu ikatan Raja-Raja yang bersemayam di beberapa bahagian daerah dan jajahan yang berpecah-pecah mengikut persemayam masing-masing.
Dalam TH. 814 (TM. 1411), Baginda Raja Kumar menjadi pemerintah Kelantan. Baginda telah membuat perhubungan muhibbah dengan Maharaja China dalam tahun itu dan kemudian dalam TM. 1412 Baginda telah menerima persembahan balas yang merupakan kain-kain sutera serta surat kepujian.
Di akhir kurun yang kelima belas iaitu dalam TH. 868 (TM. 1465) Kelantan lebih berseri dari Patani dan Raja yang memerintahnya ialah Sultan Mansor Shah yang mengganti paduka ayahandanya Sultan Iskandar Shah. Kemasyhuran Negeri Kelantan terdengar ke Melaka. Dalam TM. 1506, Baginda Sultan Mahmud, Sultan Melaka yang akhir, telah mengirim balatentera, pahlawan-pahlawan diketuai oleh Bendahara Seri Maharaja dengan maksud hendak menaklokkan Negeri Kelantan. Hasilnya seorang puteri Baginda Sultan Mansor Shah yang bernama Onang Kening dikahwinkan dengan Sultan Mahmud, Melaka, yang kemudian menjadi bonda kepada Sultan Muzaffar Shah pemerintah Perak yang pertama (TM. 1513).
Manakala Sultan Mansor Shah mangkat, maka dilantik puteranya yang bernama Raja Gombak menjadi Sultan Negeri Kelantan dalam TH. 928 (TM. 1526). Baginda Sultan Gombak mengambil cucunya yang bernama Raja Ahmad sebagai putera angkatnya. Apabila Baginda mangkat, cucundanya ditabal menjadi Sultan Kelantan dalam TH. 992 (TM. 1584) dan Baginda berkahwin dengan Cik Banun puteri Seri Nara D’Raja yang menjadi sepupu kepada Raja Hussin disebelah isteri putera Lela Wangsa Pahang. Tiga tahun kemudian Baginda telah dikurniakan seorang puteri yang dinamakan Cik Wan Kembang. Setelah empat tahun kemudian Baginda Raja Ahmad mangkat.
Che Wan Kembang pada masa kemangkatan paduka ayahandanya, baru berumur empat tahun, oleh sebab itu dilantik Raja Hussin dari Johor menjadi Pemangku Raja pemerintah Kelantan. Enam belas tahun kemudian Baginda mangkat. Dalam TH. 1018 (TM. 1610) ditabalkan Che Wan Kembang menjadi Raja yang bersemayam di Gunung Cinta Wangsa, Ulu Kelantan.
Pusat Kerajaan ini menjadi masyhur dan dilawati oleh dagang sentry termasuk orang-orang Arab. Orang-orang Arab memanggil Che Wan Kembang dengan nama “Paduka Che Siti”. Seekor kijang telah disembahkan oleh rakyat-rakyat Baginda dari Gunung Ayam. Baginda sangat suka dan gemar kepada kijang tersebut sehingga diterapkan gambar kijang itu diatas wang mas perbelanjaan negeri dan kemudian dijadikan gambar kijang itu sebahagian Lambang Kerajaan Kelantan sehingga sekarang.
Pada masa Baginda Paduka Che Siti memerintah Kerajaan yang berpusat di Gunung Cinta Wangsa maka disebelah Timur Laut negeri ini, ada sebuah kerajaan yang berpusat di Jembal, dan Raja yang memerintahnya bernama Raja Sakti, mangkat dan dilantik puteranya Raja Loyar menjadi pemerintah gantinya dalam TH. 1059 (TM 1649). Baginda beroleh seorang putera bernama Raja Sakti yang mangkat kecil lagi, dan seorang puteri bernama Puteri Sadong.
Perkhabaran baik Kerajaan Jembal terdengar kepada Kerajaan Gunung Cinta Wangsa, lalu berangkatlah Paduka Che Siti Wan Kembang mengadap Raja Loyar. Perjanjian muhibbah telah dibuat, buktinya Puteri Sadong dijadikan anak angkat Paduka Che Siti Wang Kembang.
Puteri Sadong semakin besar semakin cantik parasnya sehingga rakyat-rakyat di Cinta Wangsa menggelarkan Puteri Sadong dengan nama timbang-timbangan Puteri Wijaya Mala. Kecantikan Puteri Sadong terdengar kepada Raja Maha Besar Siam, lalu menghantar pinangannya tetapi pinangan itu ditolak. Kerana hendak menyelamatkan pertalian D’Raja, maka Puteri Sadong dikahwinkan dengan sepupunya Raja Abdullah. Dan kerana desakan Raja Maha Besar Siam, yang dipandang merbahaya kepada negeri, maka Raja Abdullah telah mengizinkan permaisurinya, Puteri Sadong berangkat ke Bangkok. Sekembalinya Puteri Sadong berbangkitlah perbalahan yang akhirnya Raja Abdullah mangkat tertikam dengan pemacak sanggol Puteri Sadong.
Dengan kehendak Puteri Sadong, Raja Abdul Rahim, saudara Raja Abdullah yang muda telah dilantik menjadi Sultan TH. 1082 (TM. 1671) dan dikahwinkan dengan janda Raja Abdullah. Selepas itu Puteri Sadong berangkat ke Gunung Cinta Wangsa melalui Bukit Marak dan dari situ tidak terlihat lagi. Selepas itu Sultan Abdul Rahim pun mangkat ditikam orang ditepi Tasik Lelayang Mandi dan dengan kemangkatan itu putuslah Kerajaan Mahaligai dan wujud kembali Kerajaan Jembal dibawah pemerintahan Raja Omar yang bergelar Sultan Omar dalam TH. 1086 (TM. 1675).
Shahadan, maka tersebutlah putera-putera Raja Selawasi yang berangkat ke Johor dalam TH. 1042 (TM. 1633). Tidak lama kemudian putera Raja Selawasi dijodohkan dengan puteri Laksamana yang bernama Wang Teja. Dalam TH. 1049 (TM. 1640) Baginda dan isterinya Wan Teja berangkat ke Patani. Baginda telah dikurnia gelaran Endek Pakoh Ali dan dikahwinkan dengan Puteri Seri Biji D’Raja Patani. Seorang daripada putera dari isteri yang bernama Seri Paduka Che Dewi yang bernama Wan Dai’im bergelar Dato’ Pengkalan Tua.
Seorang daripada putera Wan Dai’im bernama Tuan Besar (Long Bahar) berkahwin dengan puteri Sultan Omar bernama Raja Pah dan telah dilantik menjadi raja di Bukit Jarum Legeh, serta menjadi utusan Baginda ke Bangkok. Baginda Sultan di Jembal atas kehendak kekandanya Raja Kechil Sulung.
Dalam TH. 1146 (TM. 1733) Baginda Long Bahar mangkat dan ditabalkan puteranya yang bernama Long Sulaiman menjadi Raja pemerintah Kelantan. Seorang daripada puteranya bernama Long Yunus. Serangan rebutan takhta berlaku beberapa kali dalam TH. 1169 (TM. 1756) pada akhirnya mangkatlah Long Sulaiman. Kemudian dilantik adik iparnya Long Pandak menjadi Sultan dan Long Muhamad adiknya menjadi Raja Muda, bersemayam di Kok Keranji. Nyalalah api peperangan di Kubang Labu setelah Baginda Long Pandak menikam Engku Pasir Mas isterinya, kerana cemburu kepada sepupunya Long Gaffar. Kematian isterinya diketahui oleh Long Derahman. Angkatan Long Gaffar tiba dan memasuki Kota serta menikam Long Pandak sehingga membawa maut.
Long Gaffar mangkat Long Muhamad ganti Long Pandak menjadi Raja dengan pesanan “rentahlah baik-baik, jika tidak ia akan datang kali kedua”.
Dalam TH. 1176 (TM. 1762) Long Gaffar bersama-sama Long Yunus berangkat ke Terengganu dengan membawa seekor ayam sabongan yang bernama “Bakas Racun”, kerana melawan ayam orang-orang Bugis. Setelah mendapat kemenangan dan mendapat harta pertaruhan yang mengandungi tujuh buah jong lalu dipersembahkannya kepada Sultan Mansor Shah, Terengganu. Pada masa itu Long Yunus berkahwin dengan Tuan Che Jumat putera kepada Engku Tenang Wangsa.
Lima bulan kemudian, perkhabaran Long Muhamad yang memerintah di Kubang Labu berlaku zalim, maka Long Yunus berserta Long Gaffar berangkat balik ke Kelantan bersama-sama beberapa orang pahlawan yang dikurniakan oleh Sultan Mansor Shah, Terengganu. Angkatan Baginda tiba di Pasir Puteh, dan ditempatkan Long Gaffar di Jeram. Baginda berangkat kerumah Che Bu isteri Che Leh dan menemui pahlawan-pahlawannya yang bernama Penghulu Adas, Tok Sek dan Tok’ Mek yang telah sedia menunggunya. Maka pada malam hari, Long Yunus dan Long Gaffar dengan pasukannya serang Kubang Labu kali yang kedua. Serangan itu membawa maut. Long Muhamad dan jenazahnya dimakamkan di permakaman Gong Chepa disebelah hilir lorong Gajah mati sekarang. Pada akhir TH. 1176 (TM. 1762) Baginda Long Yunus ditabal menjadi Sultan pemerintah Kelantan dan Long Gaffar dikurniakan gelaran “Engku Maharaja Perdana Menteri” yang memerintah di kawasan Jeram sehingga ke sungai Pasir Tumboh.
Baginda Long Yunus telah beroleh beberapa orang putera dan puteri, dan puterinya yang bernama Che Ku Tuan Nawi dikahwinkan dengan putera Yang di Pertuan Terengganu bernama Tengku Muhamad. Dalam masa itu Long Gaffar mangkat dan dimakam di Limbat. Setahun kemudian iaitu pada 27 Zulhijjah, 1209 (TM. 1798) Baginda Long Yunus mangkat dan dimakam di Langgar, Kota Bharu. Oleh sebab Baginda tiada melantik bakal serta tiada meninggal apa-apa wasiat, maka dilantik menantunya Tengku Muhammad Ibni Sultan Mansor, Terengganu menjadi Yang Di Pertuan Kelantan, bagi sementara. Dua tahun kemudian maka Long Muhamad putera sulong Long Yunus dengan bantuan saudaranya terpaksa menggunakan sedaya upaya untuk merebut balik takhta Kerajaan Kelantan dari tangan Tengku Muhamad kerana Baginda enggan menyerah balik.
Beberapa bulan kemudian Baginda Long Muhamad ditabal menjadi Sultan Kelantan dengan gelaran Sultan Muhamad I pada TH. 1221 (TM. 1801) Baginda menghantar Pa’ Wan Muhmud sebagai utusan mengadap Raja Maha Besar Siam. Sebagai tanda perhubungan setia, diperbuat sejenis bunga emas yang dihantar tiga tahun sekali. Baginda Sultan Muhamad I tidak ada mempunyai putera dan puteri, maka Baginda telah mengambil anak saudaranya bernama Long Senik Putera Long Tan (Temenggong Aria Pahlawan) dijadikan putera angkatnya. Baginda mangkat pada TH. 1251 (TM. 1835). Pada masa itu Long Jenal, yang bergelar Raja Bendahara Banggol, dilantik menjadi pemerintah Negeri Kelantan atas kehendaknya. Wasiat Baginda hendaklah ditabalkan Long Senik putera angkatnya menjadi Sultan setelah Baginda mangkat.
Lebih kurang tujuh bulan Baginda Long Jenal memerintah Kelantan, berlakulah perang saudara dalam Negeri. Setelah selesai, maka Raja Maha Besar Siam bersukacita sehingga Raja Maha Besar itu menyembahkan Baginda Long Senik dengan persembahan alatan-alatan kebesaran Kerajaan termasuk persalinan dan pakaian kebesaran Negeri pada masa itu. Pada TH. 1253 (TM. 1837) Baginda Long Senik telah ditabal menjadi Sultan Kelantan dengan gelaran Sultan Muhamad II yang dikenali dengan nama Sultan Mulut Merah.
Baginda mangkat dalam TH. 1304 (TM. 1886) dan ditabalkan puteranya bernama Long Sulong menjadi Sultan dengan gelaran Sultan Ahmad. Baginda mangkat dalam TH. 1307 (TM. 1889) dan ditabal puteranya bernama Long Kundor menjadi Sultan Kelantan bergelar Sultan Muhamad III yang dikenal dengan nama Raja Bendahara. Pada TH. 1308 (TM. 1890) mangkatlah Baginda dengan meninggal empat orang putera dan empat puteri. Oleh sebab puteranya yang bernama Long Senik, bakal Sultan masih muda, maka ditabalkan saudaranya yang bernama Long Mansor menjadi Sultan bergelar Sultan Mansor. Baginda mangkat pada hari Khamis 8 Syawal 1317 (TM. 1899) dengan tidak meninggal putera dan puteri. Tengku Long Senik (Raja Kelantan) menjalankan pemerintah negeri, dan pada 25 Jamadil-Akhir, 1329 (TM. 22 June, 1911) Baginda ditabalkan menjadi Sultan dengan gelaran Sultan Muhamad IV. Baginda telah mengadakan surat setia dengan Kerajaan Maha Besar Siam dalam TM. 1902 dan menerima seorang Inggeris menjadi penasihat Kerajaan bagi pihak Raja Maha Besar Siam bernama Mr. W.H. Graham dan dikembarkan dengan seorang pengawal Inggeris bernama Mr. H.W. Thomsom dari Kerajaan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu. Pada tahun 1909 satu surat persetiaan dengan Kerajaan Inggeris telah ditandatangan, dan tamatlah persetiaan dengan Kerajaan Siam.
Baginda Sultan Muhamad IV mangkat pada malam Khamis 12 Rabi’ul-Akhir 1339 bersamaan 23 Disember, 1920, dan ditabal Tengku Ismail (Raja Kelantan), menjadi Sultan, serta dimahkotakan pada hari Khamis 20 haribulan Sha’ban bersamaan 28 haribulan April, 1921. Dua puluh empat tahun Baginda memerintah dengan membawa kemajuan yang tidak berputus-putus, maka pada jam 7.10 minit malam Rabu 3 haribulan Jamadil-Akhir, 1363, bersamaan 20 haribulan June, 1944, mangkatlah Baginda di Istana Jahar, Kota Bharu dan dimakamkan di Langgar.
Baginda Al-Marhum Sultan Ismail tiada mempunyai putera dan puteri, maka paduka adindanya Tengku Ibrahim (Raja Kelantan) dimasyhur manjadi Sultan dengan gelaran Sultan Ibrahim pada hari Rabu 21 haribulan June, 1944, dan dimahkotakan pada hari Selasa 15 Zulkai’dah, 1363, bersamaan dengan 31 haribulan (Tulakum, 2487). Oktober, 1944. Baginda telah mengatasi beberapa kesukaran dari ancaman pengganas yang berlaku dalam masa pemerintahannya Baginda telah mengurniakan Perlembagaan Tubuh kepada rakyat dan dalam pemerintah Baginda Negeri-Negeri Melayu telah mencapai kemerdekaan. Negeri Kelantan telah sampai ke suatu tingkat kemajuan yang boleh dipuji. Baginda mangkat di Istana Seri Chemeriang pada jam 2.30 petang hari Sabtu 13 Muharram, 1380, bersamaan 9 haribulan July, 1960. Baginda telah meninggalkan 11 putera dan 13 puteri.
Pada jam 2.45 petang Ahad 16 Muharram, 1380, bersamaan dengan 10 haribulan July, 1960 didalam suasana yang bertafakur, pemasyhuran perlantikan diisytiharkan dihadapan jenazah paduka ayahandanya di hadapan Singgahsana yang turun temurun bagi Kerajaan Yahya Petra, D.K., S.P.M.K., S.J.M.K., S.M.N., Ibni Al-Marhum Sultan Ibrahim, menjadi Sultan dan Yang Di Pertuan bagi Negeri Kelantan Darulnaim dan Jajahan Takluknya dengan gelaran Sultan Yahya Petra, pada mengganti Seri Paduka Ayahandanya Al-Marhum Sultan Ibrahim Ibni Al-Marhum Sultan Muhamad IV. Perayaan memuja umur Baginda yang pertama telah diadakan pada 21 Jamadil Akhir, 1380, bersamaan 10 haribulan Disember, 1960, dan Baginda telah dimahkotakan bersekali dengan Raja Perempuan pada hari Isnin 4 haribulan Safar, 1381, bersamaan dengan 17 haribulan July, 1961, di Istana yang bersejarah iaitu Istana Balai Besar.
Baginda memerintah negeri Kelantan selama 19 tahun dengan aman dan sentosa. Baginda telah dilantik menjawat jawatan Timbalan Yang Di Pertuan Agong pada 22hb. Julai 1970. Dalam persidangan Majlis Raja-Raja pada 21hb. September, 1975, Baginda telah dipilih memegang teraju Pemerintahan Negara Malaysia sebagai Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong yang ke-enam. Dalam usia zaman pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong, negara Malaysia telah menempuh zaman kemajuan yang cemerlang dan pembangunan yang amat pesat.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong mangkat pada 2 Jamadil-Awal 1399 bersamaan dengan 29hb. Mac, 1979 di Istana Negara, Kuala Lumpur. Al-Marhum telah dikebumikan di Makan D’Raja Langgar, Kota Bharu, Kelantan.
GELARAN-GELARAN KEBESARAN LAIN
Disamping itu Gelaran-Gelaran Kebesaran Negeri ada juga dianugerahkan kepada orang-orang lain yang berjasa sama ada Kerabat DiRaja atau bukan Kerabat DiRaja. Nama Gelaran-Gelaran Kebesaran ini sudah wujud sejak turun temurun lagi. Walaupun begitu, Baginda Sultan adalah berkuasa mewujudkan nama Gelaran-Gelaran Kebesaran sekiranya Baginda perkenankan. Biasanya Gelaran-Gelaran berikut dianugerahkan kepada Kerabat DiRaja iaitu:-
* TENGKU BESAR INDERA RAJA
* SRI MAHARAJA
* SRI UTAMA RAJA
* SRI MARA RAJA
* SERIWA RAJA
* SRI WANGSA
* SRI KELANA DIRAJA
* SRI ISMARA RAJA
* SRI WANGSA RAJA
* SRI INDERA MAHKOTA
* SRI PEKERMA RAJA
* SRI AKAR RAJA
* TEMENGGONG ARIA PAHLAWAN
* KAYA PAHLAWAN
* KAYA PERKASA
* SRI JAYA RAJA
* SELIA RAJA
* TENGKU PETRA SEMERAK
* MAHARANI PUTRI
* MAHARANI
* KESO’MA MASTIKA
Sementara Gelaran-Gelaran Kebesaran yang dikurniakan kepada yang tidak daripada Kerabat DiRaja iaitu ”Orang Keluaran” adalah:-
* SRI PADUKA RAJA
* SRI SETIA RAJA
* SRI AMAR DIRAJA
* SRI DIRAJA
* SRI NARA DIRAJA
* SRI NIRMALA
* SRI RATNA DIRAJA
* SRI DERMA
* AMAR DIRAJA
* ARIA DIRAJA
* BENTARA SETIA
* WIRA JAYA
* ISTIADAT MAHKOTA
* BENTARA KANAN
* BENTARA KIRI
* BENTARA DALAM
* BENTARA LUAR
* KAYA MUDA
* BENTARA MUDA
* BENTARA JAYA
* BIJI SURA
* LELA DIRAJA
* ADIKA RAJA
* BENTARA KANAN
* KAYA SETIA
* LELA NEGARA
* LELA JASA
* KAYA BAKTI
* KAYA NARA
* KAYA RATNA
* KAYA PATI
* KAYA PERBA
* PERWIRA RAJA
* KAYA DERMA
* KAYA BUDI
* MEGAT LELA DIRAJA
* DATO’ BANDAR
* PANGLIMA LAUT
* PANGLIMA PERANG
* LELA MUDA
* BENTARA GUNA
* PENGHULU BALAI
* KAYA HULUBALANG
* KAYA PERWARA
* BIJI WANGSA
* BENTARA SAKTI
* BENTARA RATNA
* MEGAT MUDA
* LELA PERKASA
* PANGLIMA DALAM
* MEGAT MAHKOTA
* RATNA NILA
SUNGGUHPUN nama-nama Gelaran ini diperkenankan khusus di antara Kerabat DiRaja dan Orang-Orang Keluaran, kadangkala ada juga antaranya yang biasa dianugerahkan kepada seorang Kerabat DiRaja itu, dianugerahkan juga kepada seorang keluaran. Hal ini adalah semata dilakukan atas perkenan tilik pandangan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan sendiri, tanpa disertai oleh ketandaan-ketandaan lain seperti Bintang Lencana Kebesaran lain yang boleh dipakai atau seumpanya.
JIKA penerima anugerah Gelaran Kebesaran ini ialah seorang keluaran, maka ia berhak mengguna Gelaran “Dato’” sebelum nama Gelaran Kebesarannya. Umpanya manakala Tuan Haji Yaacob bin Awang dikurniakan Gelaran “Bentara Dalam” maka isterinya dikenali sebagai “Datin Bentara Dalam”.
JIKA seseorang Kerabat DiRaja wanita dianugerahkan satu Gelaran Kebesaran maka namanya menjadi” Tengku ……..” (nama Gelaran yang dianugerahkan). Umpamanya jika Gelaran itu ialah “Kes’ma Mastika” maka Kerabat DiRaja ini akan bergelar “Tengku Keso’ma Mastika”. Sekiranya wanita Orang Keluaran menerima Anugerah Gelaran Kebesaran ini, maka ia akan dikenali sebagai “Toh Puan……..”. Suami bagi seorang wanita yang dianugerahkan Gelaran Kebesaran tidak boleh memakai nama Gelaran isterinya, bahkan ia hendaklah terus dengan nama tubuhnya jua.
GELARAN-GELARAN Kebesaran dianugerahkan juga mengikut nama tubuh seseorang penerima itu sendiri dengan tidak dikurniakan nama Gelaran yang khususnya. Umpanya manakala Encik Ar. A. Nachaippan dianugerahkan Gelaran Kebesaran Negeri, maka ianya akan bergelar Dato’ Ar. A. Nachaippan dan isterinya boleh menggunakan Gelaran “Datin” sebelum namanya, menggantikan “isteri kepada” atau “Mrs”.
SUSUNAN KEUTAMAAN DIANTARA ORANG-ORANG BESAR NEGERI YANG “BERGELAR” ADALAH :-
Gelaran Kebesaran Khusus yang termaktub didalam Undang-Undang Tubuh Perlembagaan Negeri.
* Kerabat Diraja yang dikurniakan dengan Gelaran “Sri”
* Kerabat Diraja yang dikurniakan Gelaran lain.
* Orang Keluaran yang dikurnikan Gelaran “Sri”
* Orang Keluaran yang dikurniakan Gelaran lain.
* Dan susunan Kekananan masing-masing adalah berdasarkan kepada tarikh pengurniaan itu dianugerahkan
No comments:
Post a Comment