12 June 2010

CEBISAN RIWAYAT ALMARHUM RAJA MUDA MUSA IBNI SULTAN ABD SAMAD YANG DI GERUNI INGGERIS




Nama penuh almarhum ialah Raja Musa Ibni Sultan Abdul Samad.
Almarhum lebih dikenali dengan gelaran rasminya Raja Muda Musa.

Belum ada sumber yang sahih, bertulis menerangkan tarikh lahir almarhum dengan tepat melainkan mengatakan bahawa sewaktu ayahandanya menaiki takhta kerajaan Selangor dalam tahun 1857, Raja Musa berumur belasan tahun.

Captain Macpherson selaku Resident Councillor Melaka melawat Selangor dalam tahun 1860 dan dalam laporannya menulis bahawa di kala itu almarhum berusia lebih kurang 15 tahun. Berasaskan kenyataan ini dapatlah dianggarkan bahawa almarhum telah diputerakan lebih kurang dalam tahun 1845.

Pada l6 Mei 1875, Almarhum Sultan Abdul Samad telah melantik putera baginda Raja Musa menjadi Raja Muda Selangor. Sejak itu almarhum lebih dikenali sebagal Raja Muda Musa. Beliau memegang jawatan sehingga kemangkat pada 7 Julai 1884 bersamaan 13 Ramadan 1301 Hijrah.

YTM Raja Muda Musa ialah putera sulung Sultan Abdul Samad. Almarhum adalah Putera Gahara. Saudara-saudara lelakinya yang bukan s’eibu iaiah Raja Kahar, Raja Yaakob dan Raja Ibnushah. Tiga orang puteranya yang dikenali ialah Raja Sulaiman (yang dilantik oleh Sultan Abdul Samad menjadi Raja Muda Selangor pada 10.12.1887), Raja Tahir dan Raja Abdul Murad. Raja Muda Musa adalah putera Bugis sejati. Salasilah di bawah jelas akan ianya.

Bonda : Tengku Ampuan, Raja Atfah (Engku Anjang) Binti Almarhum Sultan Muhammad Shah Ibni Almarhum Sultan Ibrahim Shah Ibni Almarhum Raja Lumu (Sultan Salehuddin Shah-Sultan Selangor yang pertama) Ibni Almarhum Upu Daeng Celak@ Raja Tua (Yamtuan Muda Riau yang kedua) Ibni Opu Ten Ri Burang Daeng Rilaga Ibni Opu La Madusalat (La Madu Saleh) (‘Datu Of LUWU’ La Patiware’ Daeng Parebung) Bin Letta Lenderang @ Lenderang Letok Bin Paduka Sawari Gading, Datu Of Luwu, Opu na Ware (Yang Dipertuan Diware) Bin Batara Lettu Ibni Batara Guru I.

Ayahanda : Paduka Sri Sultan Sir Abdul Samad Shah Ibni Almarhum Tengku Panglima Besar,Tengku ‘Abdu’llah Ibni Almarhum Sultan Ibrahim Shah Ibni Almarhum Raja Lumu (Sultan Salehuddin Shah-Sultan Selangor yang pertama) Ibni Almarhum Upu Daeng Celak@ Raja Tua (Yamtuan Muda Riau yang kedua) Ibni Opu Ten Ri Burang Daeng Rilaga Ibni Opu La Madusalat (La Madu Saleh) (‘Datu Of LUWU’ La Patiware’ Daeng Parebung) Bin Letta Lenderang @ Lenderang Letok Bin Paduka Sawari Gading, Datu Of Luwu, Opu na Ware (Yang Dipertuan Diware) Bin Batara Lettu Ibni Batara Guru I.

Raja Muda Musa dikatakan oleh Inggeris seorang yang degil dan keras hati. Tidak hairanlah mereka berpendapat demikian kerana almarhum bukan boleh dipengaruhi oleh mereka. Beliau juga digeruni oleh pihak penjajah kerana memiliki perwatakan yang agak bengis. Tetapi hampir kesemua mereka mengakul Raja Muda Musa seorang Muslim yang alim dan tegas. Almarhum Beliau juga seorang yang rajin dan ada membuka kebun kelapa di Bandar Temasha, Kuala Langat.

Gambaran yang amat jelas mengenai keperibadian almarhum hasil dari coretan seorang pengembara (wanita) Inggeris yang pernah bersua dan berbual dengannya dalam bulan Feb 1879 lnilah kata-katanya mengenai almarhum:-

(Raja Musa, seorang Melayu yang kelihatan sangat ganjil, seorang muslim yang tegas, yang dikenali, kata Resident, pernah mengatakan iaitu apabila menjadi Sultan, akan mengusir orang-orang putih ke dalam laut”. Raja Musa bekerja keras, sebagal contoh kepada orang-orangnya, sewaktu bekerja berpakaian seperti seorang buruh.

Raja Musa sangat gemar menyabung ayam dan lain-lain hiburan Melayu, seorang yang ingin membawa pembaharuan dan seorang yang keras kepala, seorang yang sangat berazam dan kata-katanya itu nampaknya agak digeruni oleh Resident, sebagai yang diagakkan iaitu beliau akan menjadi lebih daripada hanya seorang raja boneka.

Beliau ialah seorang Haji dan memakai serban yang dibuat dengan berela-ela kain khasah yang sangat mahal dan bersulam dengan sutera, berbaju putih, berkain putih panjang dan seluar putih - pakaian yang sungguh cantik bagi seorang orang Timur. Raja Musa berjabat tangan denganku )

Sumber :
Sumber-sumber yang boleh di percayai
SMK Raja Muda Musa

CEBISAN RIWAYAT ALMARHUM SULTAN ABD SAMAD BERJIWA KENTAL



Almarhum diberi nama sebagai Raja Abd Samad Bin Raja Abdullah
Dengan kehendak ilahi yang maha Esa, almarhum di angkat darjatnya untuk menjadi pemerintah di Negeri Selangor.

Maka almarhum dikenali dengan DYMM Paduka Sri Sultan Sir Abdul Samad Ibni Almarhum Ungku Panglima Besar Raja Abdullah Ibni Almarhum Sultan Ibrahim Shah Ibni Almarhum Raja Lumu (Sultan Salehuddin Shah-Sultan Selangor yang pertama) Ibni Almarhum Upu Daeng Celak@ Raja Tua (Yamtuan Muda Riau yang kedua) Ibni Opu Ten Ri Burang Daeng Rilaga Ibni Opu La Madusalat (La Madu Saleh) (‘Datu Of LUWU’ La Patiware’ Daeng Parebung) Bin Letta Lenderang @ Lenderang Letok Bin Paduka Sawari Gading, Datu Of Luwu, Opu na Ware (Yang Dipertuan Diware) Bin Batara Lettu Ibni Batara Guru I.

Almarhum di puterakan di sekitar 1811, di Bukit Melawati, Kuala Selangor tetapi sebaliknya berpindah ke Jugra, Kuala Langat. Almarhum mangkat 6 Februari 1898 pada usia 93 tahun selepas memerintah Negeri Selangor selama 41 tahun dan di makamkan di Makam DiRaja Jugra. Kuala Langat.

Warisan susur galur almarhum dari keturunan sebelah ayah baginda adalah keturunan anak Raja Bugis yang berasal dari Luwuk, Sulawesi.

Almarhum mempunyai 4 orang adinda iaitu Y.M. Raja Ali Afshar, Y.M. Raja Muhammad, Y.M. Raja Mahmud dan Y.M. Raja Ngah Abdu’l Rahman.

Sebelum menaiki takhta Selangor, almarhum memegang gelaran Tengku Panglima Raja dan berkuasa di Kuala Langat. menaiki takhta kerajaan Selangor selepas kemangkatan Paduka Ayahanda Saudara jua mertuanya iaitu Almarhum Sultan Muhammad Shah, Sultan Selangor yang ke-3.

Perlantikan almarhum sebagai Sultan Selangor Ke 4, adalah hasil dari desakan dan sokongan Raja YAM Raja Juma’at ibni al-Marhum Sultan Ja’afar ‘Ala uddin dari Lukut dan Raja abdullah dengan mendapat persetujuan dari 4 orang pembesar negeri yang lain memandangkan almarhum merupakan warisan terdekat kepada Sultan ketiga Selangor iaitu Sultan Muhammad Shah yang mangkat tanpa mewasiatkan siapa bakal waris kepada kesultanan Selangor Seterusnya. Maka berlaku pertikaian antara istana dan pegawai untuk memilih sultan berikutnya. Raja Muda Mahmud, Putera Gahara Almarhum Sultan Muhammad pada masa itu terlalu muda untuk di angkat menjadi Sultan.

Almarhum almarhum mempunyai 3 isteri dan 12 anakanda iaitu 6 putera dan 6 puteri.
namun dari sumber yang lain mengatakan bahawa almarhum Cuma mempunyai 2 orang isteri dan mempunyai 9 orang andakanda … wallah wallam.

Isteri pertama almarhum Raja Atfah binti al-Marhum Sultan Muhammad Shah,
Isteri kedua almarhum Raja Buntal binti Raja Berkat.
Isteri ketiga almarhum Raja Rabeah binti Raja Sulaiman.

Antara Warisan Almarhum Sultan Sulaiman Shah yang telah memungkinkan berkembangnya warisan diraja selangor di pelusuk negeri hasil perkahwinan anakanda, cucuanda

1. Y.A.M. Raja Musa Ibni Almarhum Sultan Sir ‘Abdu’l Samad Shah,
2. Y.A.M. Tunku Abdu’l Kahar [Tahir] Ibni Almarhum Sultan Sir ‘Abdu’l Samad Shah
3. Y.A.M. Tunku Yakub Ibni Almarhum Sultan Sir ‘Abdu’l Samad Shah,
4. Y.A.M. Tunku Daud Ibni Almarhum Sultan Sir ‘Abdu’l Samad Shah
5. Y.A.M. Tunku Mahmud Ibni Almarhum Sultan Sir ‘Abdu’l Samad Shah
6. Y.A.M. Tunku Ibnu Shah [Abu Nusah] Ibni Almarhum Sultan Sir ‘Abdu’l Samad
7. Y.A.M. Tunku Arfah Binti Almarhum Sultan Sir ‘Abdu’l Samad Shah
8. Y.A.M. Tunku Tipa Binti Almarhum Sultan Sir ‘Abdu’l Samad Shah
9. Y.A.M. Tunku Muna Binti Almarhum Sultan Sir ‘Abdu’l Samad Shah
10. Y.A.M. Tunku Muteh Binti Almarhum Sultan Sir ‘Abdu’l Samad Shah
11. Y.A.M. Tunku Nongsha Binti Almarhum Sultan Sir ‘Abdu’l Samad Shah
12. Y.A.M. Tunku Alfah Binti Almarhum Sultan Sir ‘Abdu’l Samad Shah

Zaman pemerintahan Baginda merupakan zaman pergolakan perang saudara, merebut takhta kerajaan dan kawasan oleh anakanda raja bergelar.

Semasa pemerintahan Baginda telah melantik menantunya iaitu Tengku Dhiauddin atau dikenali sebagai Tengku Kudin menjadi ‘Wakil Mutlaknya’ memerintah Negeri Selangor. Kuasa Tengku Dhiauddin ini tidak diakui oleh pembesar-pembesar negeri terutama Raja Mahadi yang menganggap Tengku Kudin sebagai orang dagang.

• Almarhum dianugerahkan Order of St Michael dan St George (KCMG) yang membawa gelaran Sir.
• Sultan Abdul Samad adalah ahli Durbar pertama, yang diadakan pada 1897 di Kuala Kangsar,
Perak.
• Semasa pemerintahan beliau, Semenyih dan Beranang serta Broga dimasukkan ke dalam sempadan
negeri Selangor. Sementara Lukut dikeluarkan dari jajahan negeri Selangor, diserahkan kepada
Negeri Sembilan. Waris Sungai Ujong Dato ‘Kelana Sungai Ujong pada 30 Julai 1880 namun tidak
mempersetujui akan ianya, akan tetapi tidak dapat berbuat apa-apa.
• Dalam masa pemerintahan almarhum perusahaan bijih telah menjadikan Kuala Lumpur sebagai
bandar pemiagaan yang penting hingga telah menarik orang-orang Cina untuk membuka lombong
bijih bersama-sama dengan orang Melayu. Pada zaman itu juga, Kerajaan Inggeris telah
campurtangan di dalam Negeri Selangor dan telah meletakkan seorang Residen British iaitu J.G.
Davidson di selangor
• Almarhum jua telah memperkenalkan bendera dan jata negeri selangor serta membentuk Majlis
Mesyuarat Negeri pada tahun 1877 berdasarkan kaedah barat dan mengikut panduan Residen
Inggeris pada masa itu iaitu Bloomfield Douglas. Yang Di Pertua Majlis Mesyuarat Negeri yang
pertama ialah Tunku Kudin dan ahli-ahlinya iaitu:-

1. Kaptain Bloomfield Douglas
2. Raja Kahar, Putera Sultan Abdul Samad (Raja yang menjaga Kajang)
3. Raja Berkat Tengku Panglima Raja (Raja yang menjaga Kanchong)
4. James Innes (Pemungut cukai tanah dan Majistret Langat)
5. Taukeh Yap Ah Loy (Kapitan Cina di Kuala Lumpur)
6. Saiyid Zain (Wakil dan Pengurus Kebun-kebun Tengku Kudin)

Majlis Mesyuarat Negeri bersidang buat pertama kalinya di Klang pada 11 Jun, 1877 dan persidangan kali kedua telah diadakan pada 25 Jun, 1877.

Almarhum Sultan Abd Samad, yang dapat dikategorikan sebagai seorang Sultan yang berdaulat, Berjiwa Rakyat dan berjiwa kental dalam menyelesaikan sesuatu kepincangan yang melanda Negeri Selangor

Sultan Abdul Samad suka mencemar duli untuk bersua secara terbuka dengan rakyatnya dan menonton sabung ayam.

Sumber :-
Lain-lain sumber yang berhubung kait…
Keputeraan DYMM Sultan Selangor, 10 Mac 1970 - Rengkasan Tawarikh Selangor.
Sejarah Selangor oleh Hj. Buyong Adil, hal 49 -50
Op-Cit, hal 135 -136.
Haji Buyong Adil, Sejarah Selangor, Kuala Lumpur DBP, 1971 h. 75.
Mohamed Amin Hassan, Perang Kelang; A Study of Malay Politics and Personalities in Selangor 1867-1898. (Tisis M. A. Univ. Malaya), Kuala Lumpui-. 197 1, h. 119.
The Journals of J. W. W. Birch, First British Resident To Perak 1874-1876, (ed. P. L. Bums), Kuala Lumpur, Oxford University Press 1976, h. * J M Gullick (2004). A History of Selangor, The Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society. ISBN 9679948102.
“Makna Bendera Negeri Selangor”. Selangor State Government. 2008. http://www.selangor.gov.my/main.php?Content=vertsections&SubVertSectionID=87&VertSectionID=5&CurLocation=86&IID=&Page=1. Retrieved 2009-06-25.
“Kemangkatan Sultan Muhammad Shah Selangor”. National Archives of Malaysia. 10 April 2009. http://www.arkib.gov.my/hids/readarticle.php?article_id=3811&y=2009&m=4. Retrieved 2009-06-26.
Kemangkatan Sultan Abdul Samad Selangor”. National Archives of Malaysia. 8 November 2008. http://www.arkib.gov.my/hids/readarticle.php?article_id=2260. Retrieved 2009-06-26.
“The History of Yap Ah Loy - The Death of Sultan Muhammad”. Kongsi NetWorks. Tripod. September 12, 2000. http://yapahloy.tripod.com/the_death_of_sultan_muhammad.htm. Retrieved 2009-06-26.
“Perlantikan Sultan Abdul Samad sebagai Sultan Selangor”. National Archives of Malaysia. 7 November 2008. http://www.arkib.gov.my/hids/readarticle.php?article_id=2229. Retrieved 2009-06-26.
“Salasilah kesultanan Selangor mulai 1756″. Selangor state government website. 2008. http://www.selangor.gov.my/main.php?Content=vertsectiondetails&VsItemID=4&VertSectionID=5&CurLocation=44&Page=1. Retrieved 2009-06-25.
“Sultan Abdul Samad memberi kuasa kepada menantunya Tengku Kudin”. National Archives of Malaysia. 15 October 2008. http://www.arkib.gov.my/hids/readarticle.php?article_id=1441. Retrieved 2009-06-25.
“Surat persetujuan penyerahan Lukut kepada Sungai Ujong”. National Archives of Malaysia. 7 October 2008. http://www.arkib.gov.my/hids/readarticle.php?article_id=1140. Retrieved 2009-06-29.
Suntharalingam, R. (28 March 1962). “A Short History of the Victoria Institution 1893-1961″. http://www.viweb.freehosting.net/vir_Suntha.htm. Retrieved 2009-06-25.

GENDANG DI PALU SUARA BERPADU - RAJA MELAYU MAHKOTA NEGERI

Lambang Kedaulatan Raja Melayu
Mengiringi Langkah Nobat Di Palu
Penuh Istiadat Penuh Beradat
Tanda Melayu Raja Berdaulat

Pantang Melayu Mengundur Pasti
Raja Melayu Mahkota Negeri
Agaman Islam Tiang Seri
Tonggak Negeri Agama Rasmi

Adil Saksama Memerintah Negeri
Melayar Bahtera Menuju Destinasi
Andai Diri Tak Seteguh Hati
Tumbangnya Layarnya Tergadai Negeri

Tanda Beradat Bangsa Melayu
Raja Di Sanjung Menjunjung Duli
Kebawah Duli Memanyungi Negeri
Rakyat Sejahtera Memberi Bakti

Gendang Di Palu Suara Berpadu
Serumpun Kite Bangsa Melayu
Memartabat Budaya Bahasa Melayu
Walau Peredaran Masa Berlalu

Raja Adil Raja Disembah
Sumpah Laksaman Raja Bentan
Jadi Renungan Kedaulatan Raja
Tujuh Keturunan Bala Menimpa

Melayu Itu Pusaka Ku
Tanah Bertuah Bumi Ku
Penuh Berliku Dari Dahulu
Tanah Melayu Dirgahayu Tuanku

Tulus : Ku Alam @ Tengku Adha

CEBISAN RIWAYAT ALMARHUM SULTAN ABDULLAH MUHAMMAD SHAH II RELA KEHILANGAN TAKHTA DEMI MEMPERTAHANKAN KESULTANAN MELAYU



Almarhum diberi nama Raja Abdullah, Di Puterakan pada 21 September 1842, diangkat sebagai Raja Di Hilir, Kemudian Di angkat sebagai Pewaris dengan Gelaran Wakil us-Sultan, Wazir ul-Azam – DYTM Tuanku Raja Muda pada tahun 1865 dan bersemayam di Batak Rabit.

Almarhum merupakan putera sulung Almarhum Sri Paduka Tuanku Sultan Jaafar Safiuddin Muazhzham Waliu’llah Shah Ibni Almarhum Sultan Ahmad Shah Johan Berdaulat Khalifatu’llah, Sultan dan Yang di-Pertuan Negeri Perak,
Bonda Almarhum adalah Wan Ngah Mahtra Binti Dato Wan Muda Abdul Rahman Bin Maharaja Lela Ngah Hasan, Orang Suku Laksamana Batu Bahara.

Almarhum sepatutnya di angkat menjadi DYMM Sri Paduka Sultan Perak Ke 25 setelah kemangkatan Sultan Ali Al-Mukammal Inayat Shah namun Almarhum tidak berkenan untuk mundik ke istiadat permakaman dan mengetuai pengelolaan istiadat kemangkatan tersebut hingga jenazah baginda tergendala dan tidak dapat disemadikan selama (40) empat puluh hari.

Di sebab akan perkara tersebut, Orang besar Perak telah sebulat suara dan mengambil keputusan memakamkan jenazah Almarhum Sultan Ali Al-Mukammal Inayat Shah di Sayong pada 28 Jun 1871 di gelaran ‘Marhum Nabi Allah’. Setelah sempurnanya istiadat permakaman, Raja Bendahara Raja Ismail telah dilantik oleh orang besar-besar Perak menjadi Sultan Perak yang ke-25 dengan gelaran Sultan Ismail Mu’abidin Riayat Shah. Baginda Sultan Ismail adalah putera Raja Nandak Binti Almarhum Sultan Ahmaddin Shah hasil perkahwinan dengan Sayyid Shaikh Al-Khairat, Raja dari Siak, dan telah diambil menjadi Raja Bendahara semasa pemerintahan Almarhum Sultan Jaafar Mua’azzam Shah (Sultan Perak ke-23).

Antara Faktor Almarhum tidak mudik ke Sayong adalah. :-

Perselisihan Almarhum dengan Tengku Menteri Ngah Ibrahim, Pemerintah Daerah Larut.
Perselisihan Almarhum dengan Raja Yusuf ibni Almarhum Sultan Abdullah Muhammad Shah yang bersemayam di Senggang

Perselisihan antara Kerabat DiRaja telah membawa kepada kepincangan ke atas Negeri Perak, terutamanya di antara :-
Sultan Ismail Mu’abidin Riayat Shah (yang bersemayam di Belanja),
Raja Muda Raja Abdullah (Di Batak Rabit),
Raja Yusuf (Di Senggang) dan
Tengku Menteri Ngah Ibrahim (Di Larut).

Pada 30 Disember 1873 Almarhum telah mengutuskan sepucuk surat kepada Gabenor Negeri-Negeri Selat meminta bantuan untuk menghantar “seorang yang boleh membina satu sistem kerajaan yang baik di Negeri Perak”.

Satu perjumpaan di antara Raja Muda Raja Abdullah, Sir Andrew Clarke dan beberapa orang besar-besar Perak tanpa keberangkatan Sultan Ismail Mu’abidin Riayat Shah dan Raja Bendahara Raja Yusuf ibni Almarhum Sultan Abdullah Muhammad Shah I di Pulau Pangkor Pada 20 Januari 1874 telah menghasilkan Perjanjian Pangkor dan antara syarat-syaratnya adalah seperti berikut:-

“Raja Muda Raja Abdullah diangkat menjadi Sultan Perak, Raja Bendahara Raja Ismail sebagai bekas Sultan itu dibenarkan memakai gelaran Sultan Muda. Sultan Perak hendaklah mewujudkan jawatan baru Residen British dan nasihat Residen British hendaklah diikuti kecuali perkara-perkara yang tersangkut dengan agama dan adat istiadat orang-orang Melayu. Kaedah memungut segala cukai dan hasil negeri hendaklah dilaksanakan mengikut Perintah Am yang ditetapkan dengan nasihat Residen British.”

Tanggal 20 Januari 1874, Almarhum telah dilantik menjadi Sultan Perak ke 26 bergelar Sri Paduka Tuanku Sultan Abdu’llah Muhammad Shah II Habibu’llah hasil Perjanjian Pengkor, namun perselisihan di antara Raja-Raja dan orang besar-besar Perak sesama sendiri sejak tahun 1871 masih belum terhenti.

Namun Orang besar-besar yang menyebelahi bekas Sultan Ismail Mu’abidin Riayat Shah berpendapat bahawa pelantikan baginda menjadi Sultan Perak adalah sah.

Mereka juga menganggap pelantikan Almarhum hanya dilaku dan diiktirafkan oleh pihak Kerajaan British sahaja.

Pada 5 Januari 1875, Residen British Birch cuba membawa Almarhum ke Belanja, berjumpa dengan bekas Sultan iaitu Sultan MudaIsmail, untuk meminta menyerahkan Alat Kebesaran Kerajaan Perak didalam sebuah majlis khas yang dihadiri oleh Raja Bendahara Raja Yusuf dan beberapa Orang-orang Besar tetapi Menteri Ngah Ibrahim, Temenggong dan Maharaja Lela tidak hadir.

Pada awal bulan Februari 1875 sekali lagi Residen British Birch telah cuba meminta Almarhum menandatangani Surat-surat Perisytiharan bagi melancarkan rancangan memungut cukai dan hasil negeri, tetapi permintaan tidak diperkenankan Almarhum dengan memberikan alasan bahawa perlu berunding dengan orang besar-besar terlebih dahulu mengenai perkara ini.

Pada 22 April 1875, Gabenor Negeri-Negeri Selat Clarke telah mengirimkan sepucuk surat kepada Almarhum dan mengatakan bahawa Almarhum telah memungkiri syarat-syarat yang telah dipersetujui di dalam Perjanjian Pangkor.

Pada 26 April 1875, Almarhum telah menghantar sepucuk surat kepada Gabenor Clarke membantah perbuatan Birch. Surat bantahan baginda disokong oleh orang besar-besar Perak dan dibawa ke Singapura oleh rombongan perwakilan yang terdiri daripada Raja Idris ibni Almarhum Raja Bendahara Alang Iskandar, Laksamana Muhammad Amin dan Che Muhammad Arshad. Bantahan baginda terhadap Residen British Birch itu tidak disetujui oleh Gabenor Clarke.

Almarhum telah di desak oleh Residen British Birch sekiranya perisytiharan-perisytihara
n tidak ditandatangani sehingga 21 Julai 1875, Kerajaan Inggeris akan menurunkan Almarhum dari takhta kerajaan Negeri Perak.

Pada 21 Mei 1875, suatu persidangan diadakan di Durian Sebatang yang dihadiri oleh Raja Idris, Laksamana, Seri Agar Diraja, Shahbandar, Maharaja Lela, Tengku Menteri, Temenggung dan orang besar-besar yang lain. Raja Bendahara Raja Yusuf tidak berangkat menghadiri persidangan tersebut.

Dalam persidangan tersebut Almarhum telah membacakan surat daripada Sultan Muda Ismail yang menyatakan bersetuju atas sebarang rancangan bagi menghalaukan orang Inggeris dari Negeri Perak.

Pada awal bulan September 1875, Gabenor Jervois yang baru dilantik telah melawat Perak diringi oleh pegawai-pegawai Inggeris dari Singapura dan Pulau Pinang. Jervois mengadakan perbincangan dengan beberapa orang kerabat diraja dan orang besar-besar.
Jervois memaklumkan kedua-dua kerabat DiRaja Perak iaitu Almarhum dan Sultan Muda Ismail sebenarnya tidak layak menjadi Sultan dan yang patut menjadi Sultan ialah Raja Bendahara Raja Yusuf.

Pada 24 September 1875, Almarhum bersetuju dalam suratnya atas cadangan Gabenor Jervois yang menyatakan pemerintahan Negeri Perak diserah kepada Kerajaan British. Lepas itu, baginda menitahkan semua orang besar-besar berkumpul di Pasir Panjang kerana berhasrat menyampaikan persetujuan baginda menyerahkan Negeri Perak kepada Kerajaan British.

Pada 1 Oktober 1875, Residen British Birch meminta Almarhum menandatangani dua jenis surat perisytiharan Kerajaan British memerintah Negeri Perak, yang akan disiarkan kepada orang ramai.

Almarhum yang bersemanyam di Batak Rabit telah memberi surat pengakuan membenarkan Maharaja Lela membunuh Residen British Birch dan Sultan Muda ismail yang berada di Belanja telah mengumpul Orang-orang Besarnya untuk menghadiri mesyuarat untuk mendapat ketetapan surat daripada Laksamana Muhammad Amin, menyatakan Sultan Abdullah telah memberi kuasa kepada Maharaja Lela membunuh Residen British Birch.

Bekas Sultan Ismail yang bersemayam di Belanja telah bersatu dengan Maharaja Lela dan orangnya berundur membawa Perkakas Kerajaan Negeri Perak ke Kinta, Kemudian ke Ulu Perak dari di rampas oleh pihak Inggeris selepas pembunuhan Residen Perak

Mereka diburu masuk ke Kedah dan akhirnya bekas Sultan Ismail menyerah diri kepada Sultan Kedah lalu dibawa ke Pulau Pinang, kemudian diserahkan kepada Naib Gabenor Pulau Pinang. Baginda kemudian telah diasingkan ke Johor dan Perkakas Kerajaan Negeri Perak telah dihantar ke England untuk simpanan.

Almarhum telah ditawan dan diasingkan ke Pulau Seychelles bersama Orang Kaya Menteri, Orang Kaya-kaya Laksamana dan Shahbandar. Maharaja Lela dan Dato’ Seri Agar di-Raja dan lain-lain dibicarakan di Matang. Keputusannya mereka dihukum gantung sampai mati di Taiping.

Lahirnya pejuang bangsa Melayu di Perak seperti Dato’ Maharaja Lela, Dato’ Sagor, Si Puntum, Pandak Endut, Laksamana Mohamad Amin, Ngah Ibrahim dan Almarhum sendiri berlaku setelah Perjanjian Pangkor ditandatangani pada 20 Januari 1874.

Rentetan daripada peristiwa itu, sebanyak 7 kali mesyuarat sulit telah diadakan oleh Almarhum dengan orang-orang besar bagi membincangkan perihal pembunuhan J.W.W Birch yang diadakan dari bulan Mac hingga September 1875.Dalam mesyuarat sulit tersebut, sebanyak 5 cara telah dicadangkan.

Laksamana Mohamad Amin telah mencadangkan Birch diracun, Dato’ Maharaja Lela pula mencadangkan Birch ditikam, Dato’ Sagor pula mencadangkan menyerang Bandar Baru dan membunuh Birch, dan Almarhum sendiri mencadangkan agar Birch disihir.

Almarhum berada dalam buangan di Pulau Seychelles kira-kira 17 tahun. Atas desakan Paduka Sultan Alang Iskandar (Sumber dari YAM Kanda Kushah), Pada tahun 1894, Kerajaan British telah membenarkan Almarhum balik ke Tanah Melayu dan bersemayam di Singapura bersama dengan Tengku Menteri, Laksamana dan Shahbandar. Kemudiannya Almarhum pindah ke Pulau Pinang dan pada tahun 1922, dibenarkan balik ke Kuala Kangsar. Tidak lama kemudian, Almarhum mangkat pada 22 Disember 1922 dan dimakamkan di Permakaman Diraja Bukit Chandan, Kuala Kangsar dengan gelaran ‘Marhum Habibullah’.

Sumber berdasarkan fakta yang terdapat didalam buku-buku sejarah, pemerhatian daripada bacaan dan rujukan buku sejarah serta internet.

Walaupun Almarhum terpaksa kehilangan Takhta namun Almarhum lebih rela menempuhnya demi rakyat dan sebagai penebus maruah bangsa Melayu dalam mempertahankan kedaulatan tanah air dan hak mutlak Kesultanan Melayu.

*********************

Sekian Riwayat Almarhum Sultan Abdullah Muhammad Shah II yang Rela Kehilangan Takhta Demi Hak Mutlak Kesultanan Melayu, yang dapat kite kongsikan akan ianya. andai huraian yang kurang bijak, susun kata yang kurang arif, bahasa yang kurang sempurna. Jika ada sepatah kalam, sebaris ayat yang boleh dijadikan ilmu, kepada Kanda, Adinda, Kerabat Serumpun dan Handai Taulanlah jua pendeta yang arif lagi bijaksana dalam perkongsian ilmu.

HATI DUKA MENJADI SEJARAH, MENYERAH SEGALA HATI NAN GUNDAH.

Ucapan Salam Aduhai Taulan
Nurkilan Ku Ini Sebagai Santapan
Kisah Lalu Adalah Cubaan
Membentuk Semangat Meniti Kehidupan,

Awam Mendung Di Tengahari
Hati Gundah Saban Hari
Setiap Insan Pasti Merasai
Ujian Ilahi Menguji Diri,

Dalam Suratan Tertakdir Sudah
Menyerah Segala Hati Nan Gundah
Hati Duka Menjadi Sejarah
Pada Ilahi Mohon Berserah,

Kebangkitan Semula Hati Nurani
Mewarnai Kehidupan Alam Duniawi
Bertambah Seri Bagai Pelangi
Turun Meluas Rahmat Ilahi,

Pasti Meniti Kehidupan Nan Hebat
Bukukan Saja Kisah Dan Riwayat
Sampai Masanya Mendapat Rahmat
Di Pikul Dengan Penuh Semangat,

Jangan Mudah Berputus Asa
Walau Kuasa Tinggal Sisa
Hakikat Kehidupan Kembali Ceria
Pulihkan Semangat Kecapi Bahgia,

Semoga Tenang Hati Nan Gundah
Semoga Mendapat Ibral Faedah
Nurkilan Panjang Tamatlah Sudah
Sekian Dahulu Kite Bermadah,

Nurkilan :- Ku Alam

AZAM DAN SEMANGAT MENJADI KENANGAN - MENYUSURI KEMBALI PENJUANGAN SILAM


Raja Melayu Bangsawan Mulia
Iskandar Zulkairnan Asal Jurainya
Musafir Kelana Serata Dunia
Bukit Siguntang Munculnya Ia.

Pelihara Syariat Mendapat Rahmat
Bangsa Melayu Menjunjung Adat
Raja Pembesar Saling Muafakat
Raja Melayu Terbilang Riwayat.

Tanah Melayu Binasa Adat
Sampai Sudah Saat Tersurat
Bangsa Melayu Hilang Hakikat
Raja Melayu Hilang Daulat.

Sultan Abdullah Dalam Buangan
Tetap Menabur Benih Perjuangan
Azam Dan Semangat Menjadi Kenangan
Segala Jasa Masih Di Kenang.

Sekalian Rakyat Membawa Diri
Waris Berganti Terpaksa Lari
Tempat Berlindung Harus Di Cari
Menyusuri Kembali Penjuangan Ini.

Raja Adil Raja Di Sembah
Sumpah Di Buat Jangan Di Sanggah
Nescaya Kite Mendapat Padah
Pohon Ingati Tradisi Dan Sumpah.

Raja Melayu Saling Bermuafakat
Tujuh (7) Wasiat Sudah Dibuat
Sekalian Rakyat Harus Di Ingat
Semoga Hidup Mendapat Rahmat.

Adat Melayu Telah Disanggah
Jadi Mainan Dalam Siasah
Bangsa Melayu Hilang Maruah
Jika Derhaka Mendapat Tulah.

Marilah Semua Warisan Bangsa
Memartabat Adat Pusaka Bangsa
Mencari Muafakat Dengan Setara
Budi Dicurah Untuk Agama Dan Bangsa.

Nurkilan Tulus : Ku Alam

25 August 2009

7 WASIAT RAJA-RAJA MELAYU

Raja Muda Perak, DYTM Raja Dr. Nazrin Shah hari ini mengingatkan rakyat khususnya orang Melayu mengenai tujuh wasiat raja-raja Melayu yang menjanjikan kesejahteraan, kedamaian dan keamanan jika mereka bersatu dan berpegang teguh kepadanya.

Wasiat yang disampaikan semasa raja-raja Melayu menurunkan tandatangan persetujuan pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu pada 5 Ogos 1957 itu ialah:

Kami namakan dan kami panggil akan dia, bumi yang kamu pijak dan langit yang kamu junjung Persekutuan Tanah Melayu (sekarang di kenali dengan nama Malaysia).

Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung-ganang, tasik dan hutan simpan, Tanah simpanan Melayu sehingga nisbah 50 peratus, selebihnya kamu rebutlah bersama-sama kaum lain.

Bagi menjaga kamu dan bagi melindungi anak cucu kami serta harta milik kamu, kami tubuhkan Rejiman Askar Melayu selain untuk membanteras kekacauan dalam negara dan ancaman dari luar negara.

Kami kekalkan dan kami jamin kerajaan dan kedaulatan raja-raja Melayu memerintah negara ini.

Kami isytiharkan Islam adalah agama Persekutuan.

Kami tetapkan bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu.

Kami amanahkan dan kami pertanggungjawabkan kepada Raja-Raja Melayu untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum lain (kemudian ditambah kedudukan istimewa anak negeri Sabah dan Sarawak).

Translate