27 June 2011

KUNJUNGAN WARISAN DIRAJA PERAK

Jun 2011, patek bersama Yang Amat Mulia Raja Shahruzzaman Ibni Almarhum Sultan Idris Shah dan Yang Mulia Raja Kobat Salehuddin Ibni Almarhum Raja Muda Musa telah berkunjung ke Teratak Atuk di Kampung Klah Baru, Sungkai.

Kunjungan silaturahim Warisan Diraja dalam memperkukuhkan hubungan kemesraan dan memartabatkan Institusi kekeluargaaan.

unjungan silaturahim Warisan Diraja telah di sambut oleh Bapa Saudara Patek yakni bersama Opah Banon Jamaliah Jahor yang juga merupakan Cicit kepada Almarhum Sultan Sir' Abdul Samad Ibni Ungku Panglima Raja Abdullah (Dari Sebelah Ibu dan Bapa - Ayah kepada Bapanya merupakan Pawang DiRaja Selangor) dan Anakanda angkat kepada Raja Dato Seri Arif Shah Ibni Raja Kechil Sulong Raja Harun Al-Rashid.

Pertemua silaturahim atuk patek yakni Ramli @ Raja Mohamzan bersama YAM dan YM boleh dijadikan tapak perhubungan mesra kekeluargaan yang terputus sejak peristiwa huru hara Negeri Perak suatu ketika dahulu. Atuk bukanlah dari Sungkai, kerna Sungkai ini adalah tempat asal Mak kepada atuk yang merupakan penduduk asal Sungkai di Tiang Bertarah, Sungkai.

Namun asal benih warisan atuk adalah dari Batak Rabit, Teluk Intan dan moyang kepada atuk Bergelar Pawang Besar yang jurai benih dari Warisan Diraja Bugis Perak.

Semoga dengan silaturahim ini akan terus mengalir sebagaimana sungai yang mengalir dan moga Allah SWT memberkati dan merahmati pertemuan silaturahim ini…

23 June 2011

PENTAS DUNIA PERANTAUAN MERASAI KEHIDUPAN SEMENTARA INI.

Di Timur Di Barat Cuba Mencapai,
Keindahan Langit Sering Di Intai,
Panaroma Alam Tak Dapat Dipertikai,
Bukti Kekuasan Ciptaan Ilahi.

Langit Dan Bumi Tak Terperi,
Ciptaan Ilahi Maha Menguasai,
Syukur Atas Kurnia Diberi,
Merasai Kehidupan Sementara Ini.

Ilmu Dunia Timur Dan Darat,
Dengan Ilmu Pengukur Darjat,
Banyak Ilmu Tinggilah Pangkat,
Tanpa Ilmu Hidup Berkarat.

Miskin Dan Kaya Itulah Bahagia,
Kurniaan Ilahi Menguji Diri,
Pengukur Jasa Setiap Manusia,
Keikhlasan Diri Rahmat Diberi.

Pentas Dunia Perantauan Ini,
Hidup Hanya Cuma Sekali,
Segala Suruhan Usah Di Ingkari,
Larangan Ilahi Di Jauhi.

Hitam Putih Pentas Dunia,
Baik Buruk Ada Timbangannya,
Sebesar Zarah Akan Dikira,
Penentu Segala Ganjarannya.

Dunia Hanya Pentas Sementara,
Akhirat Jua Pindahnya Semua,
Dengan Bekalan Andainya Ada,
Insyallah Kekal Kita Di Sana.





Nurkilan : Ku Alam

15 June 2011

YANG MAHA MULIA RAJA ZARITH SOFIAH BINTI ALMARHUM SULTAN IDRIS SHAH


9-12 Sept 1983 -Istiadat Perkahwinan Diraja Perak
antara Raja Zarith Sofiah dengan Tunku Mahkota Johor Tunku Ibrahim Ismail
di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, Perak.

Yang Maha Mulia Raja Zarith Sofiah Binti Almarhum Sultan Idris Shah Al Mutawakkil Alallahi Shah, diputerikan pada 14hb. Ogos 1959 di Hospital Batu Gajah, Perak.

Merupakan puteri kedua dan anakanda yang ketiga kepada D.Y.M.M. Paduka Seri Sultan Perak Ke 33 dan D.Y.M.M. Raja Perempuan Perak yakni Almarhum Paduka Seri Sultan Idris al-Mutawakkil Alallahi Shah Ibni Almarhum Sultan Iskandar Shah Kadasallah dan Raja Perempuan Muzwin Binti Almarhum Raja Dato' Sri Ariff Shah.

Mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Datin Khadijah Kuala Kangsar hingga darjah enam. Setelah tamat pengajian di sekolah rendah, meneruskan pelajaran ke tingkatan satu di Sekolah Jenis Kebangsaan Raja Perempuan Kalsom Kuala Kangsar.

Dalam bulan September 1972, Yang Maha Mulia Raja Zarith Sofiah telah melanjutkan pelajaran di Chaltenham Ladies College, di England hingga tingkatan enam. Meneruskan pelajaran di Davies's College, London bulan September 1977 dan tahun berikutnya diterima masuk ke Somerville College, di Universiti Oxford setelah lulus peperiksaan Oxford Entrance Examination.

Menamat pengajian di Universiti Oxford dengan mendapat Ijazah Bachelors of Arts dalam bulan Jun 1983 dan mengikut tradisi Universiti Oxford, dan telah menerima Ijazah Master of Arts selepas tiga tahun iaitu dalam tahun 1986.

Dalam tahun 1980 telah berpeluang melawati Turki dan Mekah untuk menunaikan umrah bersama Paduka ayahanda dan bonda serta keluarga.
Pada tahun 1985, Yang Maha Mulia telah menunaikan Haji bersama D.Y.M.M. Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan dan Yang DiPertuan bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta'zim.

Seperti juga Paduka Ayahandanya, yang merupakan seorang yang kaya dengan bakat seni terutama sekali seni lukisan dan lukisan-lukisannya pernah menjadi hiasan buku cenderamata Pesta Lukisan Kanak-Kanak.

Mempunyai persamaan sebagaimana sifat terpimpin Paduka Ayahandanya yang merupakan seorang yang peramah dan jiwa rakyat dan sentiasa menyedari dan menghargai segala pengorbanan anggota-anggota Pasukan Keselamatan.

Pada bulan Mac 1983, Paduka ayahandanya D.Y.M.M. Sultan Perak telah berkenan menganugerahkan Darjah Kebesaran 'Seri Paduka Cura DiManjakini (S.P.C.M.) kepada Yang Maha Mulia Raja Zarith Sofiah.

11 June 2011

PANJI-PANJI DIRAJA PERAK DAN WARNA ORANG BESAR PERAK

Panji adalah kata Melayu klasik, mungkin berasal dari bahasa Sanskrit, yang bererti bendera. Kata yang lebih umum untuk bendera dalam bahasa Melayu adalah bendera.

Sistem Pewarisan Tangga dalam Kesultanan Perak, yakni Muda Raja akan menggantikan Sultan dan Raja Di Hilir akan menggantikan Raja Muda.

Sultan mempunyai Panji sendiri demikian jua Raja Muda, namun Raja Bendahara dan Raja Di Hilir berkongsi panji sama. (...) Sebelum 1959, Pada tahun 1959, Raja Bendahara terakhir mangkat dan kerajaan bersetuju untuk menghapuskan gelaran Raja Bendahara dan kembali kepada Gelaran biasa yakni Bendahara Seri Maharaja.

Susunan keutamaan adalah seperti berikut :-

Paduka Seri Sultan

Raja Muda


Raja Di Hilir

Pada tahun 1959, gelaran Raja Bendahara dihapuskan. Oleh kerana itu, bendera sekarang digunakan oleh Raja Di Hilir.

Untuk warna putih bagi kepada Paduka Sri Sultan, kuning kepada Raja Muda dan hitam untuk Raja Bendahara dan Raja Di Hilir. Warna-warna yang digunakan untuk pakaian istiadat.
Selain itu, warna Ungu untuk Raja-Raja Bergelar ataupun Waris Negeri dan Kerabat.
Ada empat kedudukan yakni Raja Kechil Bongsu, Raja Kechil Tengah, Raja Kechil Sulong dan Raja Kechil Besar dan taraf sistem kedudukan ini akan bergilir-gilir menaiki tangga sehingga ke peringkat Raja Di Hilir.

Sedangkan untuk ketua orang besar adalah warna hijau yang dicadangkan untuk Orang Besar Empat atau dan biru langit adalah untuk Orang Besar Lapan.

Orang Besar Delapan Perak

Bagi Raja-Raja Bergelar atau Pembesar tidak mempunyai Bendera dan hanya mempunyai identiti lambang berdasarkan warna dan hanya digunakan pada pakaian upacara, payung dll
Sedangkan untuk Waris dan Kerabat, mereka tidak mempunyai bendera.
Hanya warna ungu disediakan untuk mereka misalnya pada majlis-majlis rasmi dan tetamu tidak dibenarkan untuk memakai warna-warna seperti putih, kuning, hitam ataupun ungu.

Raja-Raja Bergelar ketika istiadat Diraja

Sedangkan untuk Kepala, para Orang Besar Empat (Empat), tidak ada bendera yang digunakan tetapi mereka mempunyai hak untuk berjalan di bawah payung hijau (kecuali untuk Bendahara - payung hitam).
Sejak tahun 1959, gelaran Raja Bendahara ditukar menjadi gelaran biasa Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja yang paling senior di antara empat kepala. Bendahara merupakan Ketua yang satu-satunya yang boleh menggunakan hijau ataupun Payung Hitam.

Orang Kaya-Kaya Seri Agar DiRaja


Sumber : Pejabat Sultan Perak dan lain-lain sumber.
Foto : YM Raja Puan Sri Dato' Noora Ashikin Binti Raja Abdullah & Pejabat Sultan Perak

PADUKA SERI SULTAN IDRIS AL-MUTAWAKKIL ALALLAHI SHAH IBNI AL-MARHUM SULTAN ISKANDAR SHAH KADASALLAH

Paduka Seri Sultan Idris Al-Mutawakkil Alallahi Shah Ibni Al-Marhum Sultan Iskandar Shah Kadasallah (31 Januari 1924 - 31 Januari 1984) ialah Sultan Perak yang memerintah selama 21 tahun antara 4 Januari 1963 hingga 31 Januari 1984.

Almarhum Paduka Seri merupakan putera kedua kepada Paduka Seri Sultan Iskandar Shah dan Raja Perempuan Umi Kalsom Binti Raja Kulop Muhammad Kramat. Kekanda sulungnya meninggal dunia ketika hanya berusia 40 hari.

Pada 3 Januari 1931, Idris menyertai Sekolah Melayu Bukit Chandan dan kemudiannya pada 1932, bersekolah di Sekolah Inggeris Clifford, Kuala Kangsar.

Almarhum dilantik sebagai Raja Di Hilir Perak pada tahun 1934 ketika berumur 10 tahun setelah kemangkatan DYAM Almarhum Raja Sir Chulan Ibni Almarhum Sultan Abdullah Muhammad Shah II dengan permintaan dan kehendak Orang-orang Besar Perak.
Pada 17 Oktober 1938, Raja Idris diangkat sebagai Raja Bendahara Perak selepas kemangkatan Paduka Seri Ayahanda baginda. Ketika itu, Sultan Perak ialah Paduka Seri Sultan Abdul Aziz Ibni Raja Muda Musa.

Raja Idris melanjutkan pendidikannya di Maktab Melayu Kuala Kangsar pada 12 Disember 1938 tetapi pelajarannya terganggu apabila Jepun menyerang Tanah Melayu pada 1941 semasa Perang Dunia II. Beliau menyertai pasukan Giyutai, sebuah pasukan pertahanan yang ditaja oleh tentera Jepun tetapi secara sulit, berhubung dengan pasukan gerila Force 136 yang dipimpin oleh Kolonel Dobree untuk menentangnya.

Pada tahun 1943 semasa pendudukan Jepun, Almarhum Berkahwin dengan Raja Muzwin Btt Raja Ariff Shah yang merupakan sepupu almarhum sendiri dan dikurniakan dua orang putera dan 2 orang puteri.

Almarhum bertugas di Pejabat Tanah, Kuala Kangsar sebagai Penolong Pemungut Cukai Hasil Tanah antara tahun 1943-1945, dan seterusnya ditempatkan di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak.

Apabila Kemangkatan Paduka Seri Sultan Abdul Aziz Ibni Almarhum Raja Muda Musa pada tahun 1948, Raja Yusuff Shah yang pada ketika itu menjadi Raja Muda Perak ditabal menjadi Sultan Perak. maka Almarhum diangkat sebagai Raja Muda Perak yang bersemayam di Teluk Intan.

Pada tahun 1949, atas saran dari Dato' Panglima Bukit Gantang Wahab, yang ketika itu Menteri Besar Perak, dan Sir Henry Gurney yang merupaka Persuruhjaya Tinggi Persekutuan Malaya, almarhum telah meneruskan pengajiannya di England untuk menyertai kursus Kerajaan Tempatan, Kebajikan Masyarakat dan Ekonomi Agraria di Universiti London.
Sekembalinya Almarhum ke Perak pada tahun 1951, Almarhum telah menyertai pasukan Angkatan Sukarela Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dan ditauliah pangkat Leftenan. Almarhum jua turut menerima latihan ketenteraan di Port Dickson, bersama-sama pasukan Askar Melayu dan kemudiannya, dinaikkan pangkat menjadi Mejar.
Almarhum ketika menjadi Raja Muda Perak telah turut serta memberi semangat kepada seluruh rakyat di Hulu Perak agar tidak tertipu dengan dakyah komunis.

Alamrhum jua telah dilantik sebagai pemangku Sultan Perak antara tahun 1954-1956, tatkala Sultan Yussuff Izzudin Shah berangkat ke England untuk mengunjungi seluruh Eropah.
Pada 4 Januari 1963, Paduka Seri Sultan Yussuff Izzuddin Shah telah mangkat di Bukit Chandan ketika berumur 73 tahun, dan Almarhum pada ketika itu sebagai Raja Muda Perak, telah diisytiharkan sebagai Paduka Seri Sultan Perak ke-33 oleh Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja Perak, Dato' Che Mohamad Yusof Bin Syeikh Abdul Rahman.

Pada 6 Januari 1963 ketika berusia 39 tahun, dengan gelaran Paduka Seri Sultan Idris al-Mutawakkil Alallah Shah ibni al-Marhum Sultan Iskandar Shah Kadasallah. Raja Muzwin Bt Raja Ariff Shah dijadikan Suri Singgahsana Negeri sebagai Raja Perempuan Perak.

Almarhum amat minat akan muzik dan telah menghidupkan RIS Combo dan meminati akan memelihara pokok bunga, seni foto, sejarah negeri Perak dan sukan lumba kuda.
Sumber Rujukan :

↑ "Sultan Idris Iskandar Shah II". Sultan-Sultan Perak. Pejabat D.Y.M.M. Sultan Perak Darul Ridzuan. 2005. http://sultan.perak.gov.my/bahasa/idris_iskandar.htm. Diambil 13 Januari 2010.
↑ "Makam 7 Orang Sultan di Bukit Chandan". Seni Lama Melayu. Radzi Sapiee. 2010. http://artmelayu.blogspot.com/2010/05/makam-7-orang-sultan-di-bukit-chandan.html. Diambil 30 Oktober 2010.


03 June 2011

MASJID ISTANA DIRAJA SELANGOR PUSAT BAGI MENYATUPADUKAN WARIS DAN KERABAT DIRAJA SELANGOR

KLANG: Paduka Sri Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah Masjid Istana Diraja yang dibina di dalam kawasan Istana Alam Shah di sini dijadikan pusat bagi menyatupadukan Waris dan Kerabat Diraja Selangor.

Titah baginda, difahamkan kira-kira 1,000 waris dan kerabat Diraja Selangor yang masih hidup masing-masing mungkin mempunyai fahaman dan pemikiran berbeza serta ada yang berkecil hati antara satu sama lain.

"Maka beta berharap masjid ini akan menjadi satu pusat yang paling sesuai bagi mengeratkan silaturrahim dan mengukuhkan persaudaraan waris-waris dan kerabat-kerabat Diraja Selangor," titah Sultan Selangor semasa merasmikan Masjid Istana Diraja bernilai RM9 juta, yang diilhamkan dan dibiayai sepenuhnya oleh baginda hari ini.

Turut berangkat ke majlis perasmian masjid, yang mampu menampung 1,000 jemaah, ialah Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah

Sultan Selangor turut mengalu-alukan waris dan kerabat Diraja Selangor serta warga kerja istana menggunakan kemudahan di Masjid Istana Diraja bagi mengadakan majlis keagamaan seperti kenduri kesyukuran, doa selamat, pengurusan jenazah dan majlis akad nikah.

"Beta difahamkan ada kerabat yang akan mendirikan rumahtangga dan ada juga yang ingin berkahwin lebih daripada satu. Bagaimanapun, beta ingatkan kepada mereka yang hendak kahwin lebih daripada satu perlulah mengikuti Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003," titah baginda, membuatkan hadirin tertawa.

Sultan Selangor bertitah fungsi Masjid Istana Diraja adalah sama dengan masjid lain dan boleh digunakan tetamu yang menghadiri majlis atau istiadat di Istana Alam Shah.
Namun, solat Jumaat tidak dilakukan di Masjid Istana Diraja berikutan lokasinya yang terlalu hampir dengan Masjid Diraja Sultan Suleiman, yang dibina lebih 100 tahun lalu, titah baginda.

Sultan Sharafuddin sekali lagi mengingatkan bahawa setiap majlis ilmu yang diadakan di masjid itu sama ada ceramah, syarahan, kursus atau seminar mestilah bebas daripada unsur politik.

Baginda menitahkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) memantau setiap aktiviti majlis ilmu agar para jemaah dapat meningkatkan pengetahuan khusus kepada perkara berfaedah dan bermanfaat.

"Masjid Istana Diraja ini menjadi sebahagian daripada Istana Alam Shah, justeru beta menitahkan supaya ia dijaga dan dipelihara sebaik-baiknya sama seperti penjagaan ke atas istana," titah baginda.

Pembinaan Masjid Istana Diraja seluas 2,159.9 meter persegi di atas tapak Balai Musolla dan Balai Nobat, Istana Alam Shah, mengambil masa dua tahun bermula Januari 2009 dan siap dibina pada Mei lalu.

Selain mempunyai ruang untuk majlis akad nikah dan perkahwinan, masjid tiga tingkat yang mempunyai reka bentuk bercirikan masjid-masjid lama di Kaherah, Mesir, turut mengeluarkan Watikah Perakuan Nikah yang akan disahkan oleh Imam dilantik Sultan Selangor selaku jurunikah bertauliah.

Masjid Istana Diraja mempunyai satu menara setinggi kira-kira 36 meter dan empat buah pintu gerbang, dengan pintu gerbang utamanya menghadap Istana Alam Shah yang dihiasi dengan jubin-jubin seni tangan dari Turki, yang dipilih sendiri Sultan Selangor.

Masjid itu direka bentuk sebagai masjid terbuka dengan ruangan dalam bangunan kebanyakannya tidak berdinding bagi menambahkan pengudaraan sekaligus mengurangkan penggunaan alat pendingin hawa. - BERNAMA

Translate