21 February 2011

JATA NEGARA MALAYSIA


MALAYSIA TAHUN 1963 - KINI


PERSEKUTUAN TANAH MELAYU TAHUN 1948 – TAHUN 1963


NEGERI MELAYU BERSEKUTU TAHUN 1895 - TAHUN 1946

YBM RAJA SIR TUN UDA BIN RAJA MUHAMMAD - YANG DIPERTUA NEGERI PULAU PINANG PERTAMA


Pada 10 Ogos 1957, Raja Sir Uda Bin Raja Muhammad, Speaker Majlis Mesyuarat Undangan Federal, yang pernah berkhidmat sebagai Pesuruhjaya Malaya di United Kingdom diumumkan sebagai Gabenor Pulau Pinang yang pertama dalam Persekutuan Tanah Melayu Merdeka.

Pelantikan Gabenor tersebut dibuat oleh Baginda Queen Elizabeth II dan Majlis Raja-raja Melayu selepas berunding dengan Ketua Menteri, YTM Tunku Abdul Rahman Putra.

Gabenor yang dilantik ini kemudiannya telah melepaskan semua jawatan yang dipegang dan mula menyandang jawatan tersebut selama dua tahun mulai Hari Merdeka, 31 Ogos 1957.

***
YBM Raja Sir Tun Uda Bin Raja Muhammad Bin Raja Othman Bin Raja Omar Bin Raja Hassan @ Raja Busu (Keramat Lukut) Ibni Almarhum Raja Muda Nala ibni Almarhum Sultan Salehuddin (Raja Lumu).
(894 - (17 Oktober 1976) ialah Gabenor Pulau Pinang yang pertama yang berkhidmat antara 31 Ogos 1957 sehingga 30 Ogos 1967.

Dilahirkan di Kuala Langat, Selangor, Raja Tun Uda belajar di Kolej Melayu Kuala Kangsar. Walaupun azamnya untuk berjaya, beliau tidak dapat mencapai kejayaannya dengan pantas kerana Tanah Melayu ketika itu masih diperintah oleh pihak British, dengan semua jawatan kanan dalam kerajaan dan perkhidmatan awam diperuntukkan kepada para ekspatriat British.

Walaupun demikian, beliau akhirnya mencipta sejarah apabila beliau menjadi orang Melayu yang pertama untuk memegang jawatan Setiausaha kepada Residen British Selangor dan kemudiannya Setiausaha Negeri Selangor yang pertama.

Raja Tun Uda ialah ahli Majlis Negeri Selangor dan Majlis Persekutuan sehingga serangan Jepun pada tahun 1941. Pada tahun 1946, beliau menjadi pegawai Kelas 1 B dalam Perkhidmatan Awam Malaya dan berkhidmat dalam berbagai-bagai lembaga dan jawatankuasa.

Apabila Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, Raja Tun Uda dilantik sebagai Gabenor Pulau Pinang yang pertama. Antara masa beliau memulakan kerjayanya sebagai pegawai awam sehingga menjadi Gabenor Pulau Pinang, beliau memegang banyak jawatan dan menerima banyak anugerah untuk perkhidmatannya.

Selepas persaraannya, Raja Tun Uda menyertai sektor perdagangan sebagai Pengarah Oversea- Chinese Banking Corp. Ltd (OCBC) dan kemudiannya Pengarah Great Eastern Life Asuurance Co. Ltd. serta banyak syarikat yang lain.

Raja Tun Uda adalah seorang peminat tenis dan emas, selain daripada suka berkebun.

1894: Dilahirkan di Kuala Langat, Selangor

1910 (umur 16 tahun): Menyertai perkhidmatan awam

1914 (umur 20 tahun): Diterima masuk ke dalam Perkhidmatan Perkhidmatan Melayu (M.A.S.)

1924 (umur 30 tahun): Dinaikkan pangkat ke Kelas V, Perkhidmatan Awam Malaya (M.C.S.)

1939 (umur 45 tahun): Dilantik sebagai Setiaushaha kepada Residen British, Selangor

1947 (umur 53 tahun): Dianugerahkan dengan pingat C.B.E.

Februari 1948 (umur 54 tahun): Dinaikkan pangkat ke Kelas 1A dalam Perkhidmatan Awam Malaya (M.C.S.)

Februari 1948: Dilantik sebagai Setiausaha Negeri Selangor pada perisytiharan Persetujuan Persekutuan Malaya

1 Julai 1949 (umur 55 tahun): Menjadi Menteri Besar Selangor

1951 (umur 57 tahun): Dianugerahkan dengan pingat C.M.G.

1953 (umur 59 tahun):Dianugerahkan dengan Honorary Knight Commander of the Most Excellent Order of the British Empire (K.B.E.).

Julai: Dilantik sebagai Pesuruhjaya Tinggi untuk Malaya di United Kingdom
November 1954 (umur 60 tahun): Dilantik semula sebagai Menteri Besar Selangor.

24 Ogos 1955 (umur 61 tahun): Dilantik sebagai Speaker Majlis Persekutuan

31 Ogos 1957 - 30 Ogos 1967 (umur 63-73 tahun): Dilantik sebagai Gabenor Pulau Pinang yang pertama. Sebagai Gabenor, beliau juga merupakan salah seorang ahli Persidangan Raja-raja.

30 Ogos 1967 (umur 73 tahun): Dianugerahkan dengan pingat Darjah Utama Pangkuan Negeri, pingkat negeri yang tertinggi.

17 Oktober 1976 (umur 82 tahun): Meninggal dunia selepas suatu tempoh tidak sihat dan dianugerahkan dengan pingat Darjah Kebesaran Kerabat Diraja oleh Sultan Selangor kerana perkhidmatannya kepada negeri dan negara.

Rujukan

- Laman web Gabenor Pulau Pinang
- Arkib Negara

15 February 2011

CARA-CARA MENGANGKAT SEMBAH



DYMM PADUKA SERI SULTAN PERAK DAN DYMM RAJA PERMAISURI

Kedua-dua tapak tangan hendaklah ditemukan, kemudian diangkat tangan hingga sama dengan paras dahi serta dirapatkan pangkal tangan ke dahi. Hujung jari lurus menghala ke atas dengan dicondong sedikit ke hadapan.

Apabila menurunkan semula tangan hendaklah dengan tertib, dengan menangkup kedua-dua tangan, direndahkan perlahan-lahan sehingga sampai ke siku ke bahagian riba.

Semasa menghadap, hendaklah tunduk sambil dan terus mengangkat sembah. Ketiga menyambut titah atau mendatangkan sembah, muka hendaklah memandang Raja.

Semasa hendak keluar, jangan terus memusing muka sama sekali. Ia hendaklah bermula dengan berundur tiga tapak ke belakang mulai kaki kiri dan kemudian barulah berpusing muka menuju ke tempat perjalannya.

DYTM RAJA MUDA PERAK


Pada umumnya cara mengangkat sembah kepada Raja Muda sama seperti di atas tetapi sedikit perbezaan iaitu dengan merendahkan tangan yang diangkat sehingga ke pangkal ibu jarinya diatas hidung sahaja.

DYAM RAJA DIHILIR PERAK

Mengangkat sembah di mana pangkal ibu jari terletak di atas mulut sahaja.

18 January 2011

MAKAM TOUHID


Bandar Kota Tinggi dan berhampiran dengan Sungai Pemandi yang mengalir ke Sungai Kota Tinggi.

Nama "Kota Makam Tauhid" pada asalnya bukanlah nama bagi makam tetapi merupakan nama ibu negeri kerajaan Johor suatu masa dahulu.

Kota Makam Tauhid merupakan ibu negeri Johor yang ke-8 dan bertempat di tanah besar serta menjadi pusat pemerintahan kerajaan Johor sebanyak dua kali.

Sejarah membuktikan Kota Makam Tauhid menjadi ibu negeri Johor buat kali pertama pada tahun 1623 iaitu semasa pemerintahan Sultan Abdul Jalil Shah III (1623-1677).

Kota ini kemudiannya dijadikan sebagai tanah perkuburan para pembesar Johor hingga menimbulkan kekeliruan tentang asal usulnya yang kemudiannya dikenali sebagai Kota Makam Touhid.

16 January 2011

SELAMAT MENYAMBUT HARI KEPUTERAAN KDYMM TUANKU SULTAN KEDAH YANG KE 83



Daulat Tuanku...Daulat Tuanku... Daulat Tuanku...

Patik Merafak Sembah Tahniah Kebawah Duli Yang Maha Mulia al-Mu'tasim Billahi Tuanku al-Haj Abdul Halim Mu'azzam Shah ibn Almarhum Sultan Badlishah Sempena hari ulang tahun Keputeraan Tuanku yang ke 83.

Merafakkan sembah penuh taat penuh setia, bertekad memelihara kemuliaan pemerintahan Beraja, memperkukuhkan tradisi negeri bersultan rakyat beraja; tradisi diwarisi turun temurun, agar terus subur dan segar kekal sepanjang zaman, merentas peredaran waktu merentas peralihan masa.

Semoga Tuanku dilanjutkan usia dalam keafiatan dan senantiasa berada dalam lindungan ILAHI, Hidup dengan penuh kebahagiaan dan kerukunan serta dianugerahkan segala taufik dan hidayah, kewibawaan dan kebesaran, kehormatan dan kemuliaan, darjat dan daulat, bersemayam di atas takhta singgahsana sebagai Amirulmukminin dengan penuh keberkatan fid-dunia wal-akhirat.

Sembah Takzim daripada:
Seluruh Warga Pendokong Payung Mahkota Dirgahayu Raja Melayu
16 Januari 2011

SELAMAT MENYAMBUT HARI KEPUTERAAN DYMM YANG DI-PERTUAN BESAR NEGERI SEMBILAN YANG KE 63


Daulat Tuanku...Daulat Tuanku... Daulat Tuanku...

Patik Merafak Sembah Tahniah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir Sempena Hari Keputeraan Tuanku ke 63.

Merafakkan sembah penuh taat penuh setia, bertekad memelihara kemuliaan pemerintahan Beraja, memperku...kuhkan tradisi negeri bersultan rakyat beraja; tradisi diwarisi turun temurun, agar terus subur dan segar kekal sepanjang zaman, merentas peredaran waktu merentas peralihan masa.

Semoga Tuanku dilanjutkan usia dalam keafiatan dan senantiasa berada dalam lindungan ILAHI, Hidup dengan penuh kebahagiaan dan kerukunan serta dianugerahkan segala taufik dan hidayah, kewibawaan dan kebesaran, kehormatan dan kemuliaan, darjat dan daulat, bersemayam di atas takhta singgahsana sebagai Amirulmukminin dengan penuh keberkatan fid-dunia wal-akhirat.

Sembah Takzim daripada:
Pengelola Blog Payung Mahkota Dirgahayu Raja Melayu
14 Januari 2011

07 December 2010

YANG BERBAHGIA MULIA TEUKU ZAKARIA BIN TEUKU NYAK PUTEH (TAN SRI P. RAMLEE) WARISAN TUN SRI LANANG, RAJA PERTAMA SAMALANGA, ACHEH (1615-1659),



Yang Berbahgia Mulia Teuku Zakaria Bin Teuku Nyak Puteh ataupun lebih dikenali dengan panggilan Tan Sri P. Ramlee merupakan seorang pelakon, penyanyi, pengarah, pemain muzik dan penulis lagu terkenal di Malaysia dan Singapura.

Dilahirkan di Pulau Pinang pada pagi Hari Raya Aidilfitri 22 Mac 1929 anakanda kepada pasangan Teuku Nyak Puteh Bin Teuku Karim (1902 - 1955) dan Che Mah Hussein (1904 - 1967).
Bapanya yang berasal dari Lhokseumawe, Acheh, telah mendirikan rumahtangga dengan Che Mah Hussein pada tahun 1925 di Kubang Buaya, Butterworth. P. Ramlee juga mempunyai seorang adik-beradik tiri, Syeikh Ali, yang sama ibu dengannya.

Beliau menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Kampung Jawa dan kemudian ke Sekolah Francis Light. Seterusnya beliau menyambung pelajaran di Penang Free School sehingga meletusnya Perang Dunia Kedua. Ketika pendudukan tentera Jepun di Tanah Melayu, beliau belajar di Sekolah Tentera Laut Jepun sebelum kembali ke Penang Free School apabila tamat perang.

Bermula dengan bermain ukele, P. Ramlee beralih kepada gitar dan biola di bawah bimbingan Encik Kamaruddin (pemimpin brass band di Penang Free School). Beliau menyertai Orkes Teruna Sekampung dan kemudian Sinaran Bintang Sore. Beliau pernah menjadi juara nyanyian anjuran Radio Pulau Pinang pada tahun 1947 dan terpilih sebagai Bintang Penyanyi Utama Malaya. Dalam pertandingan itu, beliau menggunakan huruf "P" (bagi Puteh) di awal namanya dan kekallah nama P. Ramlee itu hingga ke akhir hayatnya.

Filem pertama lakonan P.Ramlee adalah "Chinta" pada tahun 1948. Beliau memegang peranan sebagai penjahat dan nyanyian latar. Kejayaannya terus berkembang dan telah berjaya berlakon di dalam 27 buah filem di antara tahun 1948 hingga 1955. Salah seorang pendorong dan guru P. Ramlee dalam dunia perfileman Melayu adalah Datuk L. Krishnan (Pengarah filem Melayu tahun 50-an dan 60-an yang terkenal). Gaya lakonan P. Ramlee yang amat berjaya itu adalah hasil inspirasi P. Ramlee daripada dua pelakon terkenal India Selatan iaitu MGR dan Sivaji Ganesan. Filem terakhir lakonan beliau ialah "Laksamana Do Re Mi" pada tahun 1972 dan lagu dan lirik terakhirnya adalah "Ayer Mata Di Kuala Lumpur" pada tahun 1973 sebelum beliau menghembuskan nafas terakhirnya.

P. Ramlee pernah berkahwin tiga kali. Kali pertama beliau berkahwin dengan Junaidah Daeng Harris pada 1950 tetapi perkahwinan hanya bertahan selama empat tahun. Perkahwinan kedua P. Ramlee adalah dengan Noorizan Mohd Noor pada 6 Februari 1955, merupakan Permaisuri Sultan Perak - Sultan Yusuf Izzuddin Shah.
Walau bagaimanapun, Norizan mengharapkan sesuatu yang lebih dari perkahwinan mereka tetapi P. Ramlee lebih menumpukan hidupnya kepada kerjaya seninya yang menyebabkan perkahwinan mereka retak. Kali terakhir adalah dengan Salmah Ismail (Saloma) pada 21 November 1961 dalam satu majlis yang sangat sederhana bersama rakan-rakan terdekatnya.

Wanita dalam hidup P. Ramlee menyintai beliau atas sebab-sebab yang berbeza. Isteri pertama beliau, Junaidah, menyintai P. Ramlee ketika beliau masih belum ternama manakala Norizan menyintai P. Ramlee sebagai seorang seniman dan pembikin filem yang terkenal. Walau bagaimanapun, Saloma menyintai P. Ramlee seadanya iaitu sebagai seorang seniman dan sebagai seorang yang biasa yang menyebabkan Saloma menjadi teman hidup sehati sejiwa beliau sehingga ke akhir hayat.

P. Ramlee mempunyai ramai anak yang dijaga beliau dan tetapi hanya dua orang sahaja yang merupakan anak kandungnya hasil perkahwinan beliau dengan Junaidah. Anak-anak beliau banyak membantu beliau dalam kerja seperti menjadi penyanyi latar kanak-kanak (contohnya lagu Tolong Kami Bantu Kami dari filem 3 Abdul) dan pelakon kanak-kanak tambahan (contoh Sazali yang berlakon sebagai anak pekerja ladang dalam Anak Bapak). Berikut merupakan anak-anak yang pernah dijaga beliau:

1. Mohd Nasir : Anak kandung bersama Junaidah (1953-2008)
2. Arfan : Anak kandung bersama Junaidah (1954-1998)
3. Sazali : Anak angkat (lahir 1958)
4. Abdul Rahman : Anak tiri (anak Junaidah)
5. Norma : Anak tiri (anak Noorizan)
6. Armali : Anak tiri (anak Saloma dan A.R.Tompel)
7. Betty : Anak angkat
8. Zakiah @ Zazaloma : Anak angkat (lahir 1963)
9. Sabaruddin @ Badin : Anak angkat (1966-2007)
10. Salfarina @ Dian : Anak angkat (keturunan Cina)

P. Ramlee telah kembali ke Rahmatullah pada pagi Selasa 29 Mei 1973 ketika berusia 44 tahun dan jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang Kuala Lumpur. Bagi mengenang jasa dan sumbangannya, Allahyarham telah dianugerahkan Bintang Kebesaran Darjah Panglima Setia Mahkota oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada tahun 1990 yang membawa gelaran Tan Sri. Selain itu rumah terakhir beliau di Jalan Dedap, Setapak telah diubahsuai dan dijadikan sebagai "Pustaka Peringatan P Ramlee" pada tahun 1986. Manakala di tengah pusat bandar raya Kuala Lumpur namanya turut diabadikan pada sebatang jalan iaitu Jalan P.Ramlee (dahulunya Jalan Parry) pada tahun 1982. Di Kuching juga ada sebatang jalan yg dinamakan Jalan P.Ramlee. Beliau turut mendapat penghargaan doktor falsafah dalam bidang seni persembahan pada tahun 2005 yang membawa gelaran "doktor". Beliau juga diberi penghormatan oleh Kerajaan Negeri Sarawak,dengan penganugerahan Darjah Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang Sarawak "Datuk Amar Bintang Kenyalang" (Posthumous) (DA (P)).Anugerah tersebut telah disampaikan kepada anak angkat beliau,iaitu Dian P.Ramlee.

Kemudian, sempena 50 tahun kemerdekaan Malaysia iaitu pada tahun 2007, P. Ramlee telah terpilih sebagai 10 calon terakhir bagi program "Anak Gemilang Malaysia" yang mengiktiraf rakyat Malaysia yang banyak memberi sumbangan kepada negara dan kejayaannya menaikkan nama negara di mata dunia.

Pada tahun yang sama, kisah hidup beliau juga telah dipentaskan dalam satu pementasan teater muzikal dengan tajuk "P. Ramlee the Musical... Hidup, Cinta and Inspirasi"

Berikut merupakan senarai anugerah yang terlibat dengan beliau dan karya beliau sepanjang hidup beliau.

1945

* Pertandingan Nyanyian Radio Pulau Pinang Malaya
"Tempat ke-3" - P. Ramlee

1946

* Pertandingan Nyanyian Keroncong Pulau Pinang
"Tempat Pertama" - P.Ramlee dan Pancaragam Keroncong Pemuda Indonesia

* Pertandingan Nyanyian Radio Pulau Pinang Malaya
"Tempat ke-2" - P.Ramlee

1947

* Pertandingan Nyanyian Radio Pulau Pinang Malaya
"Tempat pertama" - P.Ramlee

1951

* Majalah Filem Raya Malaya
"Bintang Pujaan Malaya and Indonesia" - P.Ramlee

1952

* Majalah Filem Raya Malaya
"Pelakon Terbaik" - P.Ramlee
"Filem Terbaik" - Antara Senyum Dan Tangis
"Filem Kegemaran" - Juwita

1953

* Majalah Filem Raya Malaya
"Filem Terbaik" - Hujan Panas
"Pelakon Terbaik" - P.Ramlee
"Filem Kegemaran Malaya" - Antara Senyum Dan Tangis
"Filem Kegemaran Malaya dan Indonesia" - Antara Senyum Dan Tangis
"Pelakon Kegemaran Malaya dan Indonesia" - P.Ramlee

* Majalah Filem dan Sukan Utusan Malaya
"Artis Tahunan 1953" - P.Ramlee
"Filem Terbaik" - Hujan Panas

* Radio Malaya
"Penyanyi Lelaki Terbaik" - P.Ramlee

1956

* Festival Filem Asia ke-3 Hong Kong
"Skor Muzik Terbaik" - P.Ramlee
"Pelakon Pembantu Wanita Terbaik" - Zaiton bagi Hang Tuah

* Majalah Bintang Singapura
"Seniman Terbaik" - P.Ramlee
"Pengarah Terbaik" - P.Ramlee
"Penggubah Terbaik" - P.Ramlee
"Penyanyi Terbaik" - P.Ramlee
"Filem Terbaik" - Semerah Padi
"Filem Kedua Terbaik" - Anakku Sazali
"Pengarah Kedua Terbaik" - Phani Majumdar bagi Anakku Sazali
"Pelakon Wanita Terbaik" - Saadiah Baharom bagi Semerah Padi

* Majalah Filem dan Sukan Utusan Malaya
"Filem Melayu Terbaik" - Penarik Beca
"Pengarah Terbaik" - P.Ramlee
"Seniman Terbaik" - P.Ramlee
"Lagu Terbaik" - Inang Baru dari Penarik Beca

1957

* Festival Filem Antarabangsa Berlin
Terpilih untuk Tayangan - Hang Tuah

* Festival Filem Asia ke-4 Tokyo
"Pelakon Lelaki Terbaik" - P.Ramlee
"Pelakon Kanak-kanak Terbaik" - Tony Castillo bagi Anakku Sazali

1958

* Festival Filem Asia ke-5 Manila
"Fotografi Hitam Putih Terbaik" - Abu Bakar Ali bagi Sumpah Orang Minyak

* Majalah Kisah Bintang Dan Filem Malaya
"Seniman Terbaik" - P.Ramlee
"Filem Terbaik" - Sumpah Orang Minyak
"Lagu Kedua Terbaik" - Tudung Periuk dari Sumpah Orang Minyak

1959

* Festival Filem Asia ke-6 Kuala Lumpur
"Filem Komedi Terbaik" - Pendekar Bujang Lapok

1960

* Majalah Gelanggang Singapura
"Filem Paling Popular" - Pendekar Bujang Lapok
"Fotografi Hitam dan Putih Terbaik" - Nujum Pak Belalang

* Majalah Bintang Singapura
"Filem Kegemaran" - Pendekar Bujang Lapok
"Pengarah Kegemaran" - P.Ramlee
"Fotografi Hitam dan Putih Terbaik" - Abu Bakar Ali bagi Nujum Pak Belalang
"Seniman Teratas" - P.Ramlee
"Lagu Kegemaran" - Jangan Adik Angan-Angan dari Musang Berjanggut

* Festival Filem Asia ke-7 Tokyo
"Filem Komedi Terbaik" - Nujum Pak Belalang

1962

* Festival Filem Asia ke-9 Tokyo
Pencalonan bagi "Filem Komedi Terbaik" - Seniman Bujang Lapok

* Darjah Kurnia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong
Tuanku Syed Putra Jamalullail "Ahli Mangku Negara" - P. Ramlee A.M.N.

1963

* Festival Filem Asia ke-10 Tokyo
"Fotografi Hitam dan Putih Terbaik" - Abu Bakar Ali bagi Ibu Mertuaku
"Bakat Paling Pelbagai" - P.Ramlee

1964

* Festival Filem Asia ke-11 Taipei
"Filem Komedi Terbaik" - Madu Tiga

1965

* Festival Filem Dunia Paris
"Anugerah Khas" - Ibu Mertuaku

Sumber Rujukan :

* Pogadaev V. A., Pogadaeva P. V. P. Ramlee dan Leonid Utesov: Parallels of Creativity. P. Ramlee di Cakera Nusantara. Editor Awang Azman Awang Pawi, Khor Chooi Lian. Universiti Malaysia Sarawak, Kota Samarahan, 2005, p.239-249
* Pogadaev V. A., Pogadaeva P. V. P. Ramlee & Leonid Utesov: Kesejajaran Kreativiti Dua Seniman Dunia. In: “Pentas”, Jil. 3, Bil. 1, 26-29, 70.
* Pogadaev V. A., Pogadaeva P. V. The Great Actor of Malaysia. Aziya i Afrika segodnya (Asia and Africa Today). 2009, N 4, p. 71-74.

Translate