02 June 2013

Merafak Sembah Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XIV


Daulat Tuanku...Daulat Tuanku... Daulat Tuanku... 

Merafak Sembah Sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Al-Mu'tasim Billahi Tuanku al-Haj Abdul Halim Mu'azzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah - Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XIV Negara Malaysia – 2 Jun 2013 Bersamaan 12 Rejab 1433 Hijrah. 

Patek Merafakkan sembah penuh taat penuh setia, bertekad memelihara kemuliaan pemerintahan Beraja, memperkukuhkan tradisi negeri bersultan rakyat beraja; tradisi diwarisi turun temurun, agar terus subur dan segar kekal sepanjang zaman, merentas peredaran waktu merentas peralihan masa. 

Semoga dibawah Payung Kedaulatan Tuanku Al-Mu'tasim Billahi Tuanku al-Haj Abdul Halim Mu'azzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah, dikurniakan segala keberkatan, dianugerahkan kebesaran, memerintah Negara Malaysia dalam keadaan aman dan sentosa, makmur dan sejahtera. 

Akhirul Kalam, Patek  memohon doa kehadrat Ilahi, Semoga Tuanku dan Raja Permaisuri Agong dilanjutkan usia dalam keafiatan dan senantiasa berada dalam lindungan ILAHI, hidup dengan penuh kebahagiaan dan kerukunan serta dianugerahkan segala taufik dan hidayah, kewibawaan dan kebesaran, kehormatan dan kemuliaan, darjat dan daulat, bersemayam di atas takhta singgahsana sebagai Amirulmukminin dengan penuh keberkatan fid-dunia wal-akhirat. Aamiin.... 

Sembah Takzim : 
Editor Payung Mahkota Dirgahayu Raja Melayu 
 2 Jun 2013 

Biar apa jua sistem Raja itu dilandaskan peranan Raja bukanlah semata-mata sekadar menjadi simbol untuk melaksanakan tugas-tugas keraian dan istiadat. Raja bukanlah monumen hiasan yang kaku - tanpa nyawa - tanpa jiwa. 
Raja mampu menyatukan warga, membina sebuah negara bangsa berdaulat. Persepakatan Raja dan rakyat perlu dimartabatkan kerana Payung yang dipayungkan oleh rakyat bagi memastikan payung itu menjadi Penyuluh Seri di dalam Negeri dan Negara agar permuafakatan yang telah lama terpahat di antara Sang Sapurba dan Demang Lebar Daun di julang untuk melestarikan kesinambungan tamadun, malah meletakkan identiti negara bangsa, lambang Kedaulatan Negara..

Translate