UTAMA

13 April 2012

Tertib Adat Istiadat Pemakaman Diraja Perak

Mengikut catatan Naskhah Susunan Yang Pertama Adat Lembaga Orang-Orang Melayu di Dalam Negeri Perak Darul Ridzuan Zaman Purbakala yang di susun oleh Duli Yang Amat Mulia Raja Bendahara Abdul Rashid, Yang Mulia Raja Kecil Sulung Raja Harun Al Rashid, Yang Mulia Raja Kamarul Bahrin, Yang Mulia Raja Aman Shah dan Orang Kaya Besar Maharaja DiRaja telah menjelaskan perihal Istiadat Perkabungan” (hlm. 37)sebagaimana yang diperincikan di bawah:- 

  • 100 hari bagi kemangkatan Sultan, 
  • 40 hari bagi kemangkatan Raja Muda, 
  • 14 hari bagi kemangkatan Raja Bendahara (Telah dimansuhkan kini), 
  • 7 hari bagi Raja Di Hilir dan, 
  • 5 hari bagi Raja-Raja Yang Bergelar lainnya. 
Tempoh perkabungan adalah suatu jangka masa bagi kerabat istana dan rakyat jelata menghormati kemangkatan sultan dengan menghadkan kegiatan-kegiatan yang tiada sepatutnya dilakukan oleh mereka. Lazimnya, selepas selesai upacara pemakaman, kenduri arwah akan diadakan di istana selama tiga malam berturut-turut, diikuti pada hari-hari yang telah ditetapkan kemudiannya. 

Dalam majlis ini, bacaan Quran dan tahlil akan diadakan oleh kerabat raja, pembesar dan rakyat jelata. Masjid Ubudiah, masjid dan surau seluruh Negeri Perak akan turut mengadakan majlis tahlil dan bacaan Quran bagi memperingati Sultan yang mangkat. 

Oleh sebab pada zaman ini rakyat Paduka Seri Sultan Perak mengandungi pelbagai kaum dan agama dan sebilangan besar pula yang terpaksa memakai pakaian seragam maka diadakan satu peraturan yang tertentu bagi mereka. (Bab X Istiadat Berkabung-hlm 42) 

Mengikut Adat Cara berpakaian ketika istiadat Kemangkatan Diraja Perak adalah sebagaimana yang dijelaskan di bawah. 

Putera Sultan dan Ahli keluarga terdekat akan memakai baju Melayu Putih samping putih dan bertongkolok putih. 
Waris Negeri dan Kerabat akan memakai Baju Melayu hitam bersamping hitam dan bertongkolok Putih ikat Solek serta berbengkong Putih. 

Orang perempuan – Berbaju dan berkain hitam, bertudung putih. 
Raja-Raja Melayu akan berpakaian Baju Melayu Putih dan Samping putih dan bersongkok dengan kain putih berbelit dengan kain putih selebar 2.5 cm di tengah-tengah songkok. 
Orang Besar dan Orang kebanyakan : Baju Melayu hitam bersamping hitam dan bersongkok yang berbelit dengan kain putih selebar 2.5 cm di tengah-tengah songkok. 
Berpakaian lounge suit hitam dan bersongkok dengan kain putih berbelit dengan kain putih selebar 2.5 cm di tengah-tengah songkok.
Jika berpakaian cara barat hendaklah memakai tali leher hitam. 
Jika berpakaian seragam, tidak kira agama, kalau memakai kot hendaklah bertali leher hitam dan berlilit kain hitam selebar tiga inci di lengan baju sebelah kiri. 
Jikalau berkemeja sahaja pakailah lilit kain hitam sahaja di lengan baju sebelah kiri Mengikut adat terdahulu

Apabila berlaku kemangkatan seseorang sultan maka hendaklah seiri negeri berkabung menunjukkan dukacita kerana kehilangan raja itu, maka peraturannya pada zaman dulu hendaklah tiap-tiap seorang lelaki didalam istana bercukur, perempuan-perempuan dalam istana berkerat rambut.

Pesaka Bukan Untuk Di Bangga, 
Tapi Itulah Perjanjian Lama, 
Rakyat Jelata Mengangkat Raja, 
Pada Rakyat Janji Di Kota, 
Penghulu Adat Membentuk Bangsa,

Adat Melayu Rakyat Jelata, 
Pesaka Melayu Adat Beraja, 
Mercu Tanda Pembentukan Bangsa, 
Andai Hilang Tak Berguna,

Kerna Alasan Peredaran Masa, 
Andai Itu Alasan Bangsa, 
Akan Hilang Tanah Pusaka, 
Andai Gugur Melayu Beraja, 
Hilang Pesaka Warisan Bangsa...

No comments:

Post a Comment

Andai penulisan ini kurang sempurna, susun kata yang kurang arif, bahasa yang kurang sempurna. Jika ada sepatah kalam, sebaris ayat yang boleh dijadikan ilmu, kepada tuan jualah pendeta yang arif lagi bijaksana dalam perkongsian ilmu.