UTAMA

08 April 2012

SERI PADUKA BAGINDA YANG DIPERTUA AGONG KE 14

Pada 11 April 2012 maka tercatatlah sejarah baru bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah mengalas tanggungjawab sebagai Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong buat kali kedua.



12 Disember 2011 yang lalu Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah berkenan melantik Jemaah Pemangku Sultan Kedah dalam istiadat yang berlangsung di Istana Anak Bukit. Pelantikan jemaah itu diadakan ekoran keberangkatan Tuanku Abdul Halim yang melaksanakan tugas sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 selama lima tahun. 

Ia membabitkan tiga adinda baginda iaitu Tunku Bendahara Kedah, Duli Yang Teramat Mulia Tunku Datuk Seri Annuar Sultan Badlishah; Tunku Temenggong Kedah, Yang Teramat Mulia Tunku Tan Sri Sallehuddin Sultan Badlishah; Tunku Laksamana Kedah, Yang Teramat Mulia Tunku Datuk Seri Abdul Hamid Thani Sultan Badlishah dan anakanda baginda, Tunku Panglima Besar Kedah, Yang Teramat mulia Datuk Seri Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim. Tunku Annuar turut dilantik sebagai Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah. 

Pelantikan Jemaah Pemangku Sultan Kedah itu selaras dengan Perkara 18(2)(a) Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah Bahagian Yang Kedua yang memperuntukkan bahawa seorang Pemangku Sultan atau Jemaah Pemangku Sultan dilantik bagi menjalankan kewajipan baginda sebagai raja dalam negeri. Ia diikuti bacaan watikah pemasyhuran perisytiharan Jemaah Pemangku Sultan oleh Datuk Seraja Setia, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Rasli Basir. 

 Keempat-empat anggota jemaah mengangkat sumpah di hadapan singgahsana Tuanku Abdul Halim dan Tuanku Haminah dengan disaksikan oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd. Azman Husin dan Ketua Hakim Syarie Kedah, Datuk Sheikh Yahya Jusoh. Istiadat berakhir dengan tembakan meriam sembilan das diikuti bacaan doa oleh Mufti Kedah, Datuk Syeikh Muhamad Baderudin Ahmad. 
Ini adalah kali kedua baginda dipilih melaksanakan tugas sebagai Yang di-Pertuan Agong. 
Kali pertama ialah pada 1970 iaitu dari 21 September 1970 sehingga 20 September 1975.

No comments:

Post a Comment

Andai penulisan ini kurang sempurna, susun kata yang kurang arif, bahasa yang kurang sempurna. Jika ada sepatah kalam, sebaris ayat yang boleh dijadikan ilmu, kepada tuan jualah pendeta yang arif lagi bijaksana dalam perkongsian ilmu.