RINGKASAN BIOGRAFI
YANG AMAT MULIA
TENGKU ARIS TEMENGGONG
SELANGOR DARUL
EHSAN
Potret Yang Amat
Mulia Tengku Dato’ Setia Muhammad Yusof Shah di Istana Alam Shah
sebagai Anak Raja
Bergelar
1. Pengenalan
Yang Amat Mulia Tengku Dato’ Setia Muhammad Yusof Shah
merupakan Temenggong Pertama (I) dalam Institusi DiRaja Negeri Selangor
semenjak terdirinya Kesultanan Negeri Selangor sekitar tahun 1743. Sebelum
tahun 1937 belum pernah wujud gelaran Tengku Aris Temenggong. Yang Amat Mulia
Tengku Dato’ Setia Muhammad Yusof Shah berpangkat Nenda kepada Duli Yang Maha
Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin
Abdul Aziz Shah Al-Haj.
Yang Amat Mulia Tengku Dato’ Setia Muhammad Yusof Shah
pernah diberikan kepercayaan dan amanah dibawah Jemaah Pemangku Raja Selangor
ketika dibawah Pemerintahan Paduka Sri Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah
apakala DTYM Raja Muda Selangor - Tengku Idris Shah telah memulakan pelayaran mengelilingi
dunia menggunakan kapal layar. Jemaah Pemangku Raja Selangor itu terdiri
daripada Y.A.M Tengku Bendahara Selangor – Tengku Azman Shah, Yang Amat Mulia
Tengku Dato’ Setia Muhammad Yusof Shah, Y.D.M Engku Orang Kaya Maha Bijaya
Sepang – Raja Redzwa, Y.D.H Orang Kaya To’ Engku Maha Bijaya Hulu Langat, dan
Mufti Kerajaan Negeri Selangor bagi menjalankan tugas-tugas Sultan Selangor yang
mendapatkan rawatan jantung di Orlando Amerika Syarikat.
Mengimbau kembali penglibatan Yang Amat Mulia Tengku
Dato’ Setia Muhammad Yusof Shah dalam majlis yang melibatkan Institusi DiRaja
Selangor bermula sekitar 1937 semasa Istiadat Menjunjung Duli Keberangkatan
Pulang Paduka Ayahandanya; Paduka Sri Sultan Sir Ala’uddin Suleiman Shah Ibni
Almarhum Raja Muda Musa dari England. Semasa Istiadat Kemahkotaan kekandanya;
Paduka Sri Sultan Musa Ghiat’Uddin Riayat Shah, Yang Amat Mulia Tengku Dato’
Setia Muhammad Yusof Shah terlibat dalam membawa Mahkota bersama kekandanya;
Y.A.M Tengku Seri Perdana. Demikian jua ketika Istiadat Pertabalan dan
Kemahkotaan Anakanda saudaranya; Paduka Sri Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah,
Yang Amat Mulia Tengku Dato’ Setia Muhammad Yusof Shah telah
dipertanggungjawabkan sebagai Aide de camp [A.D.C.] @ Pengiring rapat yang mana
pada ketika itu berkhidmat dalam Angkatan Udara Diraja Persekutuan.
Pada ketika istiadat pemasyhuran cucunda saudaranya;
Paduka Sri Sultan Sharafuddin Idris Shah, Yang Amat Mulia Tengku Dato’ Setia
Muhammad Yusof Shah telah memainkan peranan yang penting dalam menyembahkan
Keris Panjang Beruk Berayun.
Penglibatan secara langsung Yang Amat Mulia Tengku Dato’ Setia Muhammad
Yusof Shah dalam hal ehwal keistanaan, adalah ketika pemerintahan Anakanda
saudaranya; Paduka Sri Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah sebagai D.Y.M.M. Sultan
Selangor.
2. Latarbelakang
Yang Amat Mulia Tengku Dato’ Setia Muhammad Yusof Shah
telah diputerakan pada 28 April 1926. Hasil perkongsian hidup Paduka Ayahandanya;
Paduka Sri Sultan Sir Ala’uddin Suleiman Shah Ibni Almarhum Raja Muda Musa
bersama suri negeri baginda iaitu Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Fatimah
binti Almarhum Sultan Sir Idris Murshid al-Azzam Rahmatu’llah Shah. Kekanda dan
adinda seibu yang lain adalah;
Y.A.M. Tengku To’ Puan Nur Sa’adah – 7 November 1922
Y.A.M. Tengku Nur Anwar – 16 February 1924
Y.A.M. Tengku Nur Asikhin @ Khaladiah – 1925
Y.A.M. Tengku Abdul Rahman – 5 September 1927
YAM Tengku Dato' Setia Muhamad Yusof Shah ibni Almarhum Sultan Sir
Ala'eddin Suleiman Shah (YAM Tengku Aris Temenggong Selangor), YAM Tengku Nor
Anuar, Almarhumah Tengku Puan Nor Sa'adah, Almarhumah Tengku Khaladiah,
Almarhum Tengku Abdul Rahman
Yang Amat Mulia Tengku Dato’ Setia Muhammad Yusof Shah
juga merupakan cucunda kepada Almarhum Paduka Seri Sultan Sir Idris Murshid
al-Azzam Rahmatu’llah Shah Ibni Almarhum Raja Bendahara Alang Iskandar
3. Pendidikan
Yang Amat Mulia Tengku Dato’ Setia Muhammad Yusof Shah
telah mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Klang kemudian mendapat
pendidikan di Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK) dan seterusnya melanjutkan
pelajaran di Oxford, England. Rakan-rakan Yang Amat Mulia Tengku Dato’
Setia Muhammad Yusof Shah semasa di England adalah Almarhum Sultan Idris al-Mutawakkil
Alallahi Shah II Ibni al-Marhum Sultan Alang Iskandar Shah Kaddasullah ,
Almarhum Tuanku Jaafar Ibni Almarhum Abdul Rahman, K.D.Y.M.M Sultan Haji Ahmad
Shah Al-Musta'in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Riayatuddin Al-Muadzam
Shah, Allahyarham Tun Abdul Razak bin Dato’ Hussein.
4. Keperibadian
Yang Amat Mulia Tengku Dato’ Setia Muhammad Yusof Shah
dibesarkan dalam perkarangan Istana Mahkota Puri, Klang dan apakala kemangkatan
Paduka Ayahandanya, Yang Amat Mulia Tengku Dato’ Setia Muhammad Yusof Shah
mengikuti bondanya Tengku Ampuan Fatimah pulang ke Istana Selangor, Kuala Kangsar,
Perak. Namun pun begitu Yang Amat Mulia Tengku Dato’ Setia Muhammad Yusof Shah
akan berangkat ke Klang seandainya ada majlis-majlis yang melibatkan hal ehwal
keistanaan Selangor. Ketika kemangkatan Paduka Ayahandanya, Yang Amat Mulia
Tengku Dato’ Setia Muhammad Yusof Shah berusia 12 tahun.
Yang Amat Mulia Tengku Dato’ Setia Muhammad Yusof Shah
merupakan salah seorang yang mempunyai pengetahuan yang amat luas berhubung
Adat Istiadat DiRaja Negeri Selangor dan mewarisi beberapa keperibadian serta
kebolehan yang dimiliki oleh dari Almarhum Paduka Ayahandanya khususnya yang
melibatkan kesenian.
Yang Amat Mulia Tengku Dato’ Setia Muhammad Yusof Shah
ketika di zaman pendudukan Jepun di tanah Melayu telah menerima latihan
ketenteraan yang ditaja oleh tentera Jepun dalam pasukan Giyutai.
5. Pengurniaan
Gelaran
Yang Amat Mulia Tengku Dato’ Setia Muhammad Yusof Shah
telah dikurniakan gelaran Yang Amat Mulia Tengku Aris Temenggong Selangor pada
tahun 1937 di usia 11 tahun oleh Paduka Ayahanda; Duli Yang Maha Mulia Paduka
Sri Sultan Sir’ Alauddin Suleiman Shah Ibni Almarhum Raja Muda Musa dalam
satu istiadat yang berlangsung di Istana Mahkota Puri, Klang dan Istiadat
ini disertai dengan kekanda dan adindanya yang lain serta Dato’ Kehormat..
Mengimbau sejarah pengurniaan gelaran Tengku Aris
Temenggong Selangor ini telah dipilih dan dicadangkan sendiri oleh kekandanya
iaitu Yang Teramat Mulia Tengku Kelana Jaya Putra - Tengku Musa Uddin (
D.Y.M.M. Paduka Sri Sultan Musa Ghiat’Uddin Riayat Shah, 1942 – 1945 ) selaku
Ketua Adat Istiadat Diraja Selangor pada ketika itu. Sebelum penganugerahan
gelaran ini berikan, Paduka kekandanya telah mengadap kebawah Duli Yang Maha
Mulia Tengku Ampuan Fatimah untuk memohon limpah perkenan bagi mengurniakan
gelaran ini kepada Yang Amat Mulia Tengku Dato’ Setia Muhammad Yusof Shah.
6. Jawatan
Yang Amat Mulia Tengku Dato’ Setia Muhammad Yusof Shah
telah diberikan amanah dan tanggungjawab untuk menyandang beberapa jawatan
penting di dalam dalam hal ehwal yang melibatkan keistanaan mahupun
pentadbiran.
Penasihat Adat Istiadat DiRaja Selangor
Ahli Dewan DiRaja – Waris Lain
Anak Raja Bergelar
7. Kerjaya
Yang Amat Mulia Tengku Dato’ Setia Muhammad Yusof Shah
telah memulakan kerjaya pada tahun 1953 di Pejabat Setiausaha Negeri Selangor dan
pada tahun 1957 telah menyandang jawatan Sergeant At Arms Di Dewan Mesyuarat
Undangan Persekutuan sehingga Tanah Melayu mencapai Kemerdekaan pada 31 Ogos
1957. Kemudian dilantik menjadi Juruiring Pertama dan Setiausaha Sulit kepada
Gabenor Negeri Pulau Pinang Y.B.M. Raja Sir Tun Uda bin Raja Muhammad.
Y.A.M Tengku Aris
Temenggong Selangor - Tengku Muhammad Yusuf Shah Ibni Almarhum Sultan Sir'
Ala'uddin Suleiman Shah ketika menjawatan Sergeant At Arms Di Dewan Mesyuarat
Undangan Persekutuan
Minat yang mendalam dalam pasukan keselamatan telah
membawa Yang Amat Mulia Tengku Dato’ Setia Muhammad Yusof Shah menyertai Pasukan
Udara Sukarela Malaya di Pulau Pinang setelah lulus dalam Peperiksaan Kecekapan
untuk latihan sebagai Juruterbang dan dilantik sebagai Pegawai interligence
dalam pasukan tersebut. Kesungguhan yang mendalam membawa hasil apabila ditauliah
sebagai salah seorang daripada 136 orang yang menerima Tauliah sebagai
Juruterbang Angkatan Udara Diraja Persekutuan Tanah Melayu sekitar tahun 1958.
Mengimbau cita-cita untuk menjadi seorang Juruterbang
Kapal Terbang Perang dalam tahun 1947 dan kemudian ingin pergi ke England untuk
masuk berkhidmat dengan Angakatan Udara Diraja di sana. Namun tidak mendapat
perkenan dari bonda. Namun cita-cita tersebut menjadi nyata apabila Angkatan
Udara DiRaja Persekutuan Tanah Melayu membuka pemohonan pegawai baru. Maka
peluang tersebut segera direbut dan memujuk bondanya dan menerangkan
cita-citanya dan pujukan tersebut telah diperkenankan. Yang Amat Mulia Tengku
Dato’ Setia Muhammad Yusof Shah telah meletakkan jawatan dari perkhidmatan
sebagai Setiausaha Sulit kepada Gabenor Pulau Pinang dan masuk berkhidmat dalam
Angkatan Udara Diraja Persekutuan Tanah Melayu. Semasa didalam perkhidmatan
telah dilantik menjadi Juruiring kepada Pegawai Pemerintah Angkatan Udara
Diraja Persekutuan Tanah Melayu, Air Commodore N C Hyde (30 May 1958:
Air Force Member Armed Forces Council, Malaya).
8. Perkahwinan
Yang Amat Mulia Tengku Dato’ Setia Muhammad Yusof Shah
telah bersurikan Yang Mulia Tengku Puan Temenggong - Raja Datin Setia
Saidatul-Ezam Binti Raja Kechil Besar Brigadier General [B] Raja Dato’ Seri
Lope Nur Rashid pada tahun 1953 dengan diberikan geran sebanyak 1,000.00 dari
Kerajaan Negeri sejajar dengan hak-hak sebagai putera Sultan.
Yang Amat Mulia
Tengku Dato’ Setia Muhammad Yusof Shah bersama surinya Yang Mulia Tengku Puan
Temenggong - Raja Datin Setia Saidatul-Ezam Binti Raja Kechil Besar Brigadier
General [B] Raja Dato’ Seri Lope Nur Rashid
Majlis Perkahwinan Diraja telah berlangsung gilang-gemilang
di Istana Negara dan dihadiri oleh para kenamaan dan diketuai sendiri oleh
kekandanya iaitu Paduka Sri Sultan Sir Hisham’uddin Alam Shah Ibni
Almarhum Sultan Sir Ala’uddin Suleiman Shah. Hasil perkongsian hidup Yang Amat
Mulia Tengku Dato’ Setia Muhammad Yusof Shah bersama surinya dikurniakan 10 putera
puteri iaitu 2 putera dan 8 puteri iaitu;
1. Tengku Nariman
2. Tengku Molfi
3. Tengku Yasmin
4. Tengku Soraya
5. Tengku Zarinah
6. Raja Molek Nazarian
7. Tengku Zera
8. Tengku Farah
9. Tengku Mohd Sharifuddin
10. Tengku Mohd Yaacob
Pada 16 Oktober 2014, suri Yang Amat Mulia Tengku Dato’
Setia Muhammad Yusof Shah iaitu Yang Mulia Tengku Puan Temenggong - Raja Datin
Setia Saidatul-Ezam Binti Raja Kechil Besar Brigadier General [B] Raja Dato’
Seri Lope Nur Rashid telah kembali kerahmatullah pada usia 78 tahun dan telah di
sempurnakan pemakaman di Makam DiRaja Selangor, Shah Alam.
Foto keluarga Yang Amat Mulia Tengku Dato’ Setia Muhammad Yusof Shah
9. Darjah
Kebesaran
Sepanjang menabur bakti dan taat setia pada Institusi
DiRaja dan juga Negeri mahupun Negara, Yang Amat Mulia Tengku Dato’ Setia
Muhammad Yusof Shah telah dikurniakan pingat dan darjah kebesaran Negeri seperti
;
- Darjah Kerabat Selangor Kedua (D.K.II),
- Darjah Seri Sultan Sharafudddin Idris Shah
(S.S.I.S.),
- Darjah Setia Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah
(S.S.A.),
- Pingat Jasa Kebaktian (P.J.K.).
10. Sumbangan
Ketokohan Yang Amat Mulia Tengku Dato’ Setia Muhammad
Yusof Shah dalam hal ehwal keistanaan khususnya yang melibatkan adat istiadat
dan sejarah negeri sering dijadikan tempat rujukan oleh pengamat sejarah dan
pelajar-pelajar. Yang Amat Mulia Tengku Dato’ Setia Muhammad Yusof Shah amat
menekankan bahawa sejarah itu perlu diceritakan tanpa perlu dipadam dan di
manipulasi mahupun di tokok tambah. Sejarah tetap sejarah dan ianya perlu
dibukukan tanpa rasa getar walaupun ianya sukar untuk ditelan mahupun diterima.
11. Kesimpulan
Yang Amat Mulia Tengku Dato’ Setia Muhammad Yusof Shah
telah mengalas gelaran selama 80 Tahun yang mana sepanjang tempoh tersebut
telah banyak sumbangan yang diberikan baik kepada Negeri mahupun Institusi
Diraja Selangor. Merupakan antara Anak Raja Bergelar yang paling lama
memegang gelaran Temenggong di dalam Negara. Mengikut adat kedudukan Temenggong
dalam adat Istiadat kerajaan Melayu Johor, Pahang, Riau, Lingga di bawah Seri
Paduka Sultan Badrul Alam Shah memerintah, hanya Sultan, Yang Dipertuan Muda,
Raja Muda, Bendahara dan Temenggong sahaja layak di palu Nobat. Ini mengambarkan
bahawa kedudukan Temenggong adalah berada dalam hieraki yang tinggi.
Ketokohan Yang Amat Mulia Tengku Dato’ Setia Muhammad
Yusof Shah dalam hal ehwal Adat Istiadat Selangor tidak dapat dinilai, bahkan
tidak dapat diandaikan namun ianya semestinya terlalu luas sejak ianya memberikan
khidmat dibawah dan menjaga kemuliaan Kebawah Duli-Duli Sultan, Yang di-Pertuan
Negeri dan wilayah tanggungan Selangor di atas singgahsana takhta Kerajaan
Negeri iaitu; Paduka Sri Sultan Sir Ala’uddin Suleiman Shah Ibni Almarhum Raja
Muda Musa, Paduka Sri Sultan Musa Ghiat’Uddin Riayat Shah, Paduka Sri Sultan
Salahuddin Abdul Aziz Shah dan Paduka Sri Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Keperibadian yang dimuliki
oleh Yang Amat Mulia Tengku Dato’ Setia Muhammad Yusof Shah banyak mempunyai
ciri-ciri dan jiwa almarhum paduka ayahandanya iaitu Paduka Sri Sultan Sir
Ala’uddin Suleiman Shah Ibni Almarhum Raja Muda Musa khususnya yang melibatkan
kesenian dan ketegasan dalam hal ehwal yang melibatkan adat istiadat.
No comments:
Post a Comment
Andai penulisan ini kurang sempurna, susun kata yang kurang arif, bahasa yang kurang sempurna. Jika ada sepatah kalam, sebaris ayat yang boleh dijadikan ilmu, kepada tuan jualah pendeta yang arif lagi bijaksana dalam perkongsian ilmu.