UTAMA

16 October 2017

KENYATAAN BALAS PENASIHAT PERSATUAN MELAYU BUGIS SELANGOR DAERAH SEPANGBERHUBUNG KENYATAAN TUN DR. MAHATHIR MOHAMAD

KENYATAAN BALAS 
PENASIHAT PERSATUAN MELAYU BUGIS SELANGOR DAERAH SEPANG, 
Y.D.M TENGKU DATO’ PROF. DR. JAMALUDDIN BIN TENGKU MAHMUD SHAH AL-HAJ, 
BERHUBUNG 
KENYATAAN TUN DR. MAHATHIR MOHAMAD 
"DI MANA PERDANA MENTERI ADALAH SEORANG PEROMPAK, 
IALAH MUNGKIN KERANA DIA BERASAL DARI LANUN BUGIS, 
ENTAH MACAM MANA DIA SESAT SAMPAI KE MALAYSIA". 

Kenyataan yang dibuat oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad yang merupakan bekas Perdana Menteri Malaysia ke 4 dalam ucapannya pada 14 Oktober 2017 di lihat bersifat serangan peribadi dan merendahkan ilmu pengetahuannya yang membawa kepada keruntuhan sifat-sifat sebagai seorang pemimpin yang berwibawa di Himpunan Anti-Kleptokrasi;

“ DI MANA PERDANA MENTERI ADALAH SEORANG PEROMPAK, IALAH MUNGKIN KERANA DIA BERASAL DARI LANUN BUGIS, ENTAH MACAM MANA DIA SESAT SAMPAI KE MALAYSIA, PERGI BALIKLAH KE BUGIS, KAMI TAK NAK KAMU, KERANA KAMU ADALAH PENYANGAK DAN PENCURI ”.

Tun Dr. Mahathir Mohamed apabila menyebut “DI MANA PERDANA MENTERI ADALAH SEORANG PEROMPAK”, itu adalah haknya dan boleh dianggap sebagai serangan peribadi ataupun mengkritik kepimpinan di bawah pentadbiran Dato’ Sri Najib Tun Razak, pada hemat saya, namun bila sebutan “IALAH MUNGKIN KERANA DIA BERASAL DARI LANUN BUGIS, ENTAH MACAM MANA DIA SESAT SAMPAI KE MALAYSIA, PERGI BALIKLAH KE BUGIS, KAMI TAK NAK KAMU, KERANA KAMU ADALAH PENYANGAK DAN PENCURI” adalah satu penghinaan kepada bangsa Bugis itu sendiri. Secara tidak langsung memperlihatkan Tun Dr. Mahathir Mohamad telah menjatuhkan kredibilitinya sebagai seorang pemimpin yang unggul dan tokoh negarawan. Penghinaan ini tidak boleh diterima sama sekali dan tidak boleh sama sekali mengaitkan kepimpinan itu atas faktor keturunan.

Saya percaya Tun Dr. Mahathir Mohamad itu sendiri sedar, kalau tidak kerna kehadiran dan penglibatan Opu Bugis Lima Bersaudara yang Gagah Perkasa iaitu; Daeng Parani, Daeng Marewah, Daeng Chelak, Daeng Menambung dan Daeng Kemasi dalam kancah politik Melayu di Johor, Linggi (Negeri Sembilan), Selangor, Perak, Kedah (Semenanjung Tanah Melayu), Matan, Sambas dan Mempawah (Kalimantan Barat) sekitar 1721 takkan wujud sebuah Empayar Kerajaan Melayu Johor-Riau-Lingga. 
Contoh yang boleh dilihat mengenai sejarah bangsa Bugis iaitu Raja Lumu (Sultan Sallehuddin – Sultan Selangor pertama) putera kepada Yang di-Pertuan Muda Johor-Riau-Lingga (II) Paduka Sri Raja Chelak Ibni Upu Tenderi Burong Daing Rilaga yang merupakan dari benih Bangsawan Bugis yang telah berupaya membentuk sebuah Kesultanan Selangor yang Berdaulat, demikian jua Yang di-Pertuan Muda Johor-Riau-Lingga IV - Raja Haji Ibni Paduka Sri Raja Chelak yang terkorban dan gugur sebagai syuhada syahid Fi Sabilillah kerana melawan penjajah Belanda di Melaka. Almarhum-almarhum tersebut sanggup berkorban apa saja, termasuk harta dan nyawa, demi berjuang mengusir penjajah Portugis mahupun Belanda. Raja Haji diperakui ketokohannya apakala dianugerahi gelaran Pahlawan Nasional Indonesia oleh Presiden Republik Indonesia di Jakarta pada 11 Ogos 1997.

Sebagai mana yang diketahui umum, Dato’ Sri Najib Tun Razak merupakan penyandang gelaran Orang Kaya Indera Syahbandar Pahang iaitu gelaran di antara satu daripada Orang Besar Berempat negeri Pahang, jawatan yang disandang secara turun temurun.

Orang Kaya Indera Syahbandar XI - Dato Seri Najib Bin Orang Kaya Indera Syahbandar X - Tun Hj Abdul Razak Bin Orang Kaya Indera Syahbandar IX - Dato Hussain Bin Muhammad Taib Bin Dato Haji Andak (Tuan Hakim) Bin Orang Kaya Indera Syahbandar VI - Hussain Bin Orang Kaya Indera Syahbandar V – Jahidin @ Chalidin Bin Orang Kaya Indera Syahbandar III - Bediman Bin Orang Kaya Indera Syahbandar I - Tondek. Keturunan ini jua ada kaitan dengan raja-raja bugis di Gowa dan Luwuk Sulawesi iaitu dari perkahwinan antara Orang Kaya Indera Syahbandar V - Jahidin @ Chalidin dengan Che Embong Binti Orang Kaya Indera Syahbandar II - Jenal, ibu kepada Che Embong ialah Che Mas Binti Tok Pondoh Bin Tok Pongkeng Bin Tok Tuan Karaeng Aji yang datang ke Pahang pada tahun 1722.

Saya ingin menjelaskan kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa dalam masyarakat bangsa Bugis. Belayar, mengembara, berdagang dan merantau merupakan tradisi utuh dalam kehidupan mereka. Sebagai suku bangsa yang terkenal dalam aktiviti pelayaran, pelaut Bugis telah mengembangkan suatu kebudayaan maritim sejak beberapa abad yang lalu. Selain itu, mereka juga cukup terkenal sebagai pahlawan yang berani sehinggakan digelar sebagai ‘Lanun’ yang digeruni oleh Belanda dan Inggeris. Bagaimanapun, persepsi segelintir masyarakat yang melabelkan orang Bugis sebagai lanun tercetus hasil daripada teknik propaganda Belanda dan Inggeris sedangkan ia tidak benar. Orang Belanda cukup anti dengan bangsa Bugis, sehingga menggelarkan bangsa Bugis sebagai lanun kerana mereka banyak terlibat dalam penentangan dengan penjajah dan merampas kembali hak, khazanah dan hasil negara yang hendak dibawa ke negara mereka. Namun kita sebagai bangsa Melayu perlu mengetahui mengapa dan sebab apa pihak menjajah melakukan propaganda tersebut!.

Maka, saya dengan tegasnya menyarankan Tun Dr. Mahathir Mohamad menarik balik kenyataan yang dibuat dan memperakui kesilapannya berhubung masyarakat bangsa Bugis dan kepada Ahli-Ahli Politik diluar sana sukacita saya memperingatkan kembali agar tidak sesekali membuat kenyataan yang melibatkan hal ehwal keturunan seandainya tidak mengetahui sejarah pembentukan Negeri-Negeri Melayu di gugusan Tanah Melayu.

Saya jua sebelum ini pernah menegur dan meminta Affifuddin menarik balik kenyataan yang dibuat dan memohon maaf kepada seluruh masyarakat Bugis di atas keceluparan mulut dan keterlanjuran kata-katanya di dalam forum Mencari Pemimpin Baru Malaysia di Dewan Sivik MBPJ pada 23 Mei 2015 yang lalu.

Taat setia saya hanya pada Raja, Yang di-Pertuan Negeri dan
Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Ketua Utama Negara.

Kenyataan saya menjurus kepada Bangsa Bugis dan bukan kepada Politik.

Sekian,

Y.D.M Tengku Dato’ Prof. Dr. Jamaluddin Bin Tengku Mahmud Shah Al-Haj,
Penasihat Persatuan Melayu Bugis Selangor Daerah Sepang,

16 Oktober 2017

No comments:

Post a Comment

Andai penulisan ini kurang sempurna, susun kata yang kurang arif, bahasa yang kurang sempurna. Jika ada sepatah kalam, sebaris ayat yang boleh dijadikan ilmu, kepada tuan jualah pendeta yang arif lagi bijaksana dalam perkongsian ilmu.