UTAMA

11 June 2011

PADUKA SERI SULTAN IDRIS AL-MUTAWAKKIL ALALLAHI SHAH IBNI AL-MARHUM SULTAN ISKANDAR SHAH KADASALLAH

Paduka Seri Sultan Idris Al-Mutawakkil Alallahi Shah Ibni Al-Marhum Sultan Iskandar Shah Kadasallah (31 Januari 1924 - 31 Januari 1984) ialah Sultan Perak yang memerintah selama 21 tahun antara 4 Januari 1963 hingga 31 Januari 1984.

Almarhum Paduka Seri merupakan putera kedua kepada Paduka Seri Sultan Iskandar Shah dan Raja Perempuan Umi Kalsom Binti Raja Kulop Muhammad Kramat. Kekanda sulungnya meninggal dunia ketika hanya berusia 40 hari.

Pada 3 Januari 1931, Idris menyertai Sekolah Melayu Bukit Chandan dan kemudiannya pada 1932, bersekolah di Sekolah Inggeris Clifford, Kuala Kangsar.

Almarhum dilantik sebagai Raja Di Hilir Perak pada tahun 1934 ketika berumur 10 tahun setelah kemangkatan DYAM Almarhum Raja Sir Chulan Ibni Almarhum Sultan Abdullah Muhammad Shah II dengan permintaan dan kehendak Orang-orang Besar Perak.
Pada 17 Oktober 1938, Raja Idris diangkat sebagai Raja Bendahara Perak selepas kemangkatan Paduka Seri Ayahanda baginda. Ketika itu, Sultan Perak ialah Paduka Seri Sultan Abdul Aziz Ibni Raja Muda Musa.

Raja Idris melanjutkan pendidikannya di Maktab Melayu Kuala Kangsar pada 12 Disember 1938 tetapi pelajarannya terganggu apabila Jepun menyerang Tanah Melayu pada 1941 semasa Perang Dunia II. Beliau menyertai pasukan Giyutai, sebuah pasukan pertahanan yang ditaja oleh tentera Jepun tetapi secara sulit, berhubung dengan pasukan gerila Force 136 yang dipimpin oleh Kolonel Dobree untuk menentangnya.

Pada tahun 1943 semasa pendudukan Jepun, Almarhum Berkahwin dengan Raja Muzwin Btt Raja Ariff Shah yang merupakan sepupu almarhum sendiri dan dikurniakan dua orang putera dan 2 orang puteri.

Almarhum bertugas di Pejabat Tanah, Kuala Kangsar sebagai Penolong Pemungut Cukai Hasil Tanah antara tahun 1943-1945, dan seterusnya ditempatkan di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak.

Apabila Kemangkatan Paduka Seri Sultan Abdul Aziz Ibni Almarhum Raja Muda Musa pada tahun 1948, Raja Yusuff Shah yang pada ketika itu menjadi Raja Muda Perak ditabal menjadi Sultan Perak. maka Almarhum diangkat sebagai Raja Muda Perak yang bersemayam di Teluk Intan.

Pada tahun 1949, atas saran dari Dato' Panglima Bukit Gantang Wahab, yang ketika itu Menteri Besar Perak, dan Sir Henry Gurney yang merupaka Persuruhjaya Tinggi Persekutuan Malaya, almarhum telah meneruskan pengajiannya di England untuk menyertai kursus Kerajaan Tempatan, Kebajikan Masyarakat dan Ekonomi Agraria di Universiti London.
Sekembalinya Almarhum ke Perak pada tahun 1951, Almarhum telah menyertai pasukan Angkatan Sukarela Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dan ditauliah pangkat Leftenan. Almarhum jua turut menerima latihan ketenteraan di Port Dickson, bersama-sama pasukan Askar Melayu dan kemudiannya, dinaikkan pangkat menjadi Mejar.
Almarhum ketika menjadi Raja Muda Perak telah turut serta memberi semangat kepada seluruh rakyat di Hulu Perak agar tidak tertipu dengan dakyah komunis.

Alamrhum jua telah dilantik sebagai pemangku Sultan Perak antara tahun 1954-1956, tatkala Sultan Yussuff Izzudin Shah berangkat ke England untuk mengunjungi seluruh Eropah.
Pada 4 Januari 1963, Paduka Seri Sultan Yussuff Izzuddin Shah telah mangkat di Bukit Chandan ketika berumur 73 tahun, dan Almarhum pada ketika itu sebagai Raja Muda Perak, telah diisytiharkan sebagai Paduka Seri Sultan Perak ke-33 oleh Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja Perak, Dato' Che Mohamad Yusof Bin Syeikh Abdul Rahman.

Pada 6 Januari 1963 ketika berusia 39 tahun, dengan gelaran Paduka Seri Sultan Idris al-Mutawakkil Alallah Shah ibni al-Marhum Sultan Iskandar Shah Kadasallah. Raja Muzwin Bt Raja Ariff Shah dijadikan Suri Singgahsana Negeri sebagai Raja Perempuan Perak.

Almarhum amat minat akan muzik dan telah menghidupkan RIS Combo dan meminati akan memelihara pokok bunga, seni foto, sejarah negeri Perak dan sukan lumba kuda.
Sumber Rujukan :

↑ "Sultan Idris Iskandar Shah II". Sultan-Sultan Perak. Pejabat D.Y.M.M. Sultan Perak Darul Ridzuan. 2005. http://sultan.perak.gov.my/bahasa/idris_iskandar.htm. Diambil 13 Januari 2010.
↑ "Makam 7 Orang Sultan di Bukit Chandan". Seni Lama Melayu. Radzi Sapiee. 2010. http://artmelayu.blogspot.com/2010/05/makam-7-orang-sultan-di-bukit-chandan.html. Diambil 30 Oktober 2010.