UTAMA

18 October 2007

PENGURNIAAN SURAT KETERANGAN MEMUNGUT CUKAI DI ULU PAHANG DALAM TAHUN 1859

Tarikh Siaran: 30.12.2000
Tarikh Peristiwa: 30.12.1859

Pada hari ini 30.12.1859, Sultan Pahang, Sultan Mahmud Al-Muzaffar Shah telah mengurniakan "Surat Keterangan" kepada Mandara Lubuk Setia Raja atau Tok Lubuk dari daerah Gali.

Surat Keterangan ini merupakan surat kuasa untuk memungut cukai di daerah Gali. Surat ini telah disampaikan oleh Wakil Sultan, Tengku Embong ibni al-Marhum Sultan Mahmud Shah dan En. Wan Long ibni Dato Bendahara Seri Maharaja kepada Mandara Lubuk Setia Raja.

Dengan adanya Surat Keterangan ini membolehkan Mandara Lubuk Setia Raja memungut cukai di daerahnya. Cukai yang dipungut dari daerah ini akan diserahkan kepada Sultan melalui Orang Kaya Maharaja Perba Jelai.

Sistem pungutan cukai ini merupakan sistem yang diikuti oleh Kerajaan Negeri Pahang sejak lama dahulu. Tetapi setelah British campurtangan di Pahang pada tahun 1888 sistem pungutan cukai oleh pembesar-pembesar Pahang cuba dihapuskan. Sebaliknya mereka perlu membayar cukai kepada Kerajaan British melalui Pemungut cukai dan Majestrit (Collector and Magistrate) yang berkuasa sebagai Pegawai daerah. Kerajaan British telah mendapat tentangan hebat dari pembesar-pembesar Pahang seperti Datuk Bahaman, Tok Gajah dan beberapa orang lagi.

Sesungguhnya pengurniaan Surat Keterangan oleh Sultan kepada pembesar-pembesar adalah merupakan satu penghormatan dan pemberian kuasa ke atas daerah-daerah tertentu untuk memungut hasil mahsul negeri. Segala hasil cukai akan diserahkan kepada orang-orang Besar Pahang dan seterusnya diserahkan kepada Sultan Pahang.

Skrip: Diolah semula oleh Abu Bakar Zakaria
Sumber: Skrip HIDS Siaran 1991

CAMPURTANGAN INGGERIS DI PAHANG

Tarikh Siaran: 24.08.1980
Tarikh Peristiwa: 24.08.1888
24_08_1888_1980.gif (48767 bytes)

Pada hari ini dalam tahun 18881, Sultan Pahang, Sultan Ahmad di dalam keadaan serba salah telah terpaksa menandatangani sepucuk surat meminta Inggeris memberi perlindungan ke atas Negeri Pahang seperti mana Inggeris memberi perlindungan ke atas Negeri Perak, Selangor dan Sungai Ujong. Akibat dari surat ini John P. Rodger telah dilantik menjadi Residen Inggeris di negeri Pahang.

Kekayaan hasil bumi Pahang telah menarik minat penjajah Inggeris, tetapi telah beberapa kali gagal dalam usahanya untuk menakluki negeri itu. Pada tahun 1885 Frank Swettenham telah diutuskan oleh Gabenor Negeri-Negeri Selat untuk mengadakan perjanjian dengan Sultan Ahmad, tetapi gagal. Pada tahun 1887 Hugh Clifford pula telah diutuskan untuk mengikat Perjanjian Pertahanan tetapi telah juga ditolak oleh Sultan Ahmad. Akhirnya Sir Fredrick Weld, Gabenor Negeri-Negeri Selat sendiri telah pergi ke Pahang mengadap Sultan Ahmad dan telah mendesak baginda menandatangani perjanjian dengan Inggeris. Sultan Ahmad yang telah dipengaruhi oleh Sultan Johor, Sultan Abu Bakar, akhirnya terpaksa menandatangani perjanjian menerima seorang wakil Inggeris di negeri Pahang.

Inggeris masih belum puashati terhadap penglibatannya dalam negeri Pahang. Pada bulan Februari 1888 telah berlaku satu peristiwa yang tidak disangka-sangka berhampiran dengan istana di Pekan iaitu pembunuhan ke atas Goh Hui, seorang berbangsa Cina. Pihak Inggeris telah memberikan perhatian yang sungguh serius terhadap peristiwa ini dan mendakwa bahawa mangsa pembunuhan itu adalah seorang rakyat Inggeris, dan telah menuntut gantirugi dan mendakwa Sultan Ahmad bertanggungjawab di atas pembunuhannya. Inggeris juga telah meminta supaya wakil Inggeris di Pahang dinaikkan tarafnya sebagai Residen untuk menjaga dan menjamin keselamatan rakyat Inggeris di Pahang. Tuntutan-tuntutan ini dibuat sendiri oleh Gabenor Negeri-Negeri Selat, Cecil Smith yang datang bersama-sama dengan Frank Swettenham dan Pickering ke Pahang pada bulan Jun 1888. Sultan Ahmad telah diberi tempoh oleh Cecil Smith selama 10 hari untuk memberi kata putus. Dalam masa yang sama Inggeris telah meminta jasa baik Sultan Johor, Sultan Abu Bakar, supaya campurtangan di atas perselisihan ini. Sultan Abu Bakar sendiri telah berangkat ke Negeri Pahang mengadap Sultan Ahmad. Sultan Abu Bakar menasihatkan Sultan Ahmad supaya menerima Residen Inggeris dan memberitahu bahawa untuk berperang dengan Inggeris adalah merupakan pekerjaan yang sia-sia saja.

Sultan Ahmad sebagaimana kebiasaannya terlebih dahulu terpaksa mendapatkan pandangan dari pembesar-pembesar baginda sebelum membuat keputusan. Pembesar-pembesar Pahang seperti Datuk Bahaman, Maharaja Perba Jelai, Datuk Kaya Chenor, Imam Perang Indera Gajah telah meminta Sultan menolak permintaan Inggeris dan mereka bersedia berperang dengan Inggeris.

Akhirnya, dalam keadaan yang serba salah pada hari ini dalam tahun 1888 Sultan Ahmad terpaksa menandatangani sepueuk surat menerima perlindungan dan bantuan Inggeris di dalam urusan pentadbiran dan menjalankan sistem yang sama ke atas negeri Pahang seperti mana yang telah dijalankan ke atas negeri-negeri Melayu yang lain iaitu Negeri Perak, Selangor dan Sungai Ujong. Sultan Ahmad juga telah mengakui bertanggungjawab ke atas pembunuhan Goh Hui. Dengan surat ini bermakna negeri Pahang terpaksa menerima seorang Residen Inggeris. Pada bulan Oktober, 1888, John P. Rodger telah dilantik menjadi Residen Inggeris yang pertama di negeri Pahang dan bermulalah campurtangan Inggeris secara langsung di dalam hal-hal pentadbiran, politik dan ekonomi negeri Pahang.

1. W. G. Maxwell dan W. S. Gibson, Treaties and Engagement, m.s. 68.
2. Lihat E. Thio, "Tbe Extension of British Control to Pahang", JMBRAS, XXX, Pt. 1, 1957, m.s. 46-74.

No comments:

Post a Comment

Andai penulisan ini kurang sempurna, susun kata yang kurang arif, bahasa yang kurang sempurna. Jika ada sepatah kalam, sebaris ayat yang boleh dijadikan ilmu, kepada tuan jualah pendeta yang arif lagi bijaksana dalam perkongsian ilmu.