UTAMA

SEJARAH KESULTANAN PERAK

Berbagai-bagai tafsiran telah dibuat mengenai pengambilan nama "PERAK" sebagai sebuah negeri yang besar.

Menurut satu cerita yang  sebagaimana yang dititahkan sendiri oleh Almarhum Paduka Seri Sultan Idris A'fifullah Shah (Sultan Perak ke-33) mengatakan di zaman kerajaan Melayu Melaka sebelum wujudnya nama NEGERI PERAK, Negeri Perak terbahagi kepada tiga daerah iaitu Beruas, Manjung dan Janin (Hulu Perak di bawah pemerintahan Tun Saban). Manjung dan Beruas dibawah takluk Melaka. Penghulu Manjung ketika itu ialah Tok Mahsuka.  

Dikatakan ketiga-tiga Ketua Daerah telah bermesyuarat untuk menyatukan daerah-daerah mereka menjadi satu negeri dengan memakai nama yang khusus. Mereka bercadang untuk menamakan MELAKA tetapi didapati tidak begitu sesuai kerana Negeri Melaka masih wujud walaupun dibawah kekuasaan Portugis. Lantas mereka teringatkan pula bahawa salah satu punca utama yang membawa kepada keunggulan, kebesaran dan keharuman nama Melaka ialah peranan dan tanggung jawab Bendahara Tun Perak. Maka ketiga-tiga Ketua Daerah tersebut bersetuju untuk menamakan negeri baru ini sebagai Negeri Perak. Oleh sebab pada ketika itu Negeri Perak belum mempunyai Raja lalu Tok Mahsuka berkehendakkan supaya Negeri baru ini mempunyai Raja yang berdaulat.

Hikayat Merong Mahawangsa pula mengatakan bahawa nama Negeri Perak ini ada kaitannya dengan cerita putera Raja Marong Mahapudi Sat yang di katakan telah pergi meneroka untuk membuka sebuah negeri baru, Putera tersebut telah sampai sebuah sungai besar dan terdapat pula bertasik, melingkungi tiga atau empat buah pulau. Putera tersebut telah berkata.. " Tempat ini elok dijadikan sebuah negeri...", lalu baginda pun memanah ke udara dengan menggunakan sebilah anak panah yang diperbuat daripada 'perak' dan busarnya dinamakan 'Indera Sakti'. Apabila anak panah tersebut jatuh terjunam ke atas sebuah daripada pulau-pulau yang berkenaan maka dinamakanlah tempat itu sebagai Pulau Indera Sakti dan negerinya dinamakan Negeri Perak.


Dalam cerita-cerita yang lain terdapat juga kisah-kisah saperti : seekor ikan Haruan besar mengicah-ngicah anaknya hingga air sungai menjadi keruh putih berkilat seperti perak.
Warna bijih timah yang putih berkilat apabila dipanah cahaya matahari dan berbagai-bagai cerita lagi.

Adunan daripada fakta sejarah dan unsur lagenda hingga terciptanya nama 'Negeri Perak' itu menggambarkan bahawa pemilihan nama "PERAK" itu sangat bertetapan dengan kekayaan khazanah yang dikandungi oleh bumi Perak itu sendiri. Justeru kekayaan ini lah pergolakan sejarah Negeri Perak semakin bergelora satelah empayar Kerajaan Melayu Melaka berpecah pada tahun 1511 dan munculnya kuasa-kuasa Portugis, Acheh, Bugis, Siam, Minangkabau, Belanda dan akhir sekali Inggeris di merata perairan Nusantara ini.
[sunting]Kerajaan Purba

Menoleh kembali ke zaman silam Negeri Perak akan terjelmalah berbagai-bagai gambaran cetusan sejarahnya yang menjadi mutiara pusaka bumi Perak yang tiada ternilai harganya. Sebagai salah sebuah Negeri Melayu yang tertua, Negeri Perak telah melalui liku-liku zamannya sejak sebelum menjelangnya tahun masehi lagi.

Sebelum munculnya nama "Negeri Perak" Kitab "Sejarah Melayu" ada menceritakan nama-nama kerajaan atau negeri seperti Gangga Negara yang sekarangnya terletak di jajahan Dinding, Beruas dan Manjung yang masih kekal namanya hingga sekarang. Penemuan monumen-monumen bersejarah peninggalan zaman tersebut telah menggambarkan kegemilangan sejarahnya tersendiri yang masih tersembunyi dari penglihatan dan pengamatan generasi di zaman moden ini.

Lanjutan Kesultanan Melaka

Gambaran sejarah Negeri Perak bertambah jelas lagi apabila Melaka jatuh ke tangan Portugis dalam tahun 1511 dan Sultan Mahmud Shah melarikan diri dan akhirnya menetap di Kampar (Sumatera) dan ditabalkan sebagai Sultan Kampar.

Kewibawaan Raja-Raja Melayu Melaka serta struktur pentadbiran Kesultanan Melayu Melaka yang begitu sesuai dan berpengaruh di kalangan Negeri-negeri Melayu ketika itu telah mendorongkan orang-orang Perak untuk mengutuskan Tun Saban yang memerintah kawasan Hulu Sungai Perak hingga ke Kuala Temong, bersama-sama Nakhoda Kassim pergi mengadap Sultan Mahmud Shah di negeri Kampar untuk memohonkan agar seorang daripada putera baginda menjadi Sultan Perak. Permohonan itu telah diperkenankan oleh Sultan Mahmud Shah dan baginda telah menitahkan putera baginda, Raja Muzzafar supaya berangkat ke Perak dengan di kurniakan segala alat kebesaran warisan kerajaan Negeri Melaka untuk menjadi Raja di Perak.

Maka belayar lah Rombongan DiRaja menyeberangi Selat Melaka dan apabila sampai di Kuala Sungai Perak di suatu tempat bernama 'Beting Beras Basah', bahtera Raja Muzzafar Shah telah terdampar di atas sebuah beting dan tidak dapat di mudik. Tiba-tiba angin ribut datang dengan laut yang bergelora. Berbagai ikhtiar dibuat namun bahtera baginda tetap tidak berganjak. Maka di situlah baginda berseru dengan melafazkan kata-kata :-

Selilit Tanah Minangkabau, Selengkung Pulau Perca, Dilengkung ular Saktimuna, Sebenarnya Aku keturunan Raja, Jauhkan segala malapetaka, Perpisahan Aku di Selat Melaka....'
Sebaik sahaja baginda habis melafazkan kata-kata itu, tiba-tiba muncul 'JIN' yang sangat besar sahingga mencecah awan yang tinggi. Jin tersebut telah berkata kepada baginda.... Sekiranya Tuanku hendak bersemayam dan memerintah Negeri Perak ini, hendaklah Tuanku buangkan Mahkota Tuanku kedalam laut......

Maka Raja Muzzaffar pun mengambil Mahkota baginda dan dibuangkan kedalam laut. Secara tiba-tiba laut yang bergelora menjadi tenang dan beting yang timbul hilang dari pandangan. Satelah itu barulah bahtera baginda boleh belayar semula dan mudik ke Air Mati. Disana lah baginda di tabalkan dan tempat baginda bersemayam itu dinamakan Tanah Abang.

Daripada keturunan Sultan Muzzaffar Shah inilah wujudnya jurai keturunan Kesultanan Negeri Perak yang terus menerus memerintah hingga ke zaman sekarang. Pusat-pusat pemerintahan Sultan-Sultan Negeri Perak tidak menetap di suatu tempat sahaja bahkan sering bertukar dari suatu tempat ke suatu tempat jika keadaan memaksa atau ada tempat-tempat lain yang lebih sesuai.

Pusat pemerintahan

Pusat pemerintahan Sultan Perak adalah juga istana Sultan Perak. Istana sultan berubah-ubah dari Hilir Perak hingga ke Kuala Kangsar. Kebanyakan tempat-tempat ini terletak di tebing sebelah kanan Sungai Perak. Di sekitar Kampung Gajah memang banyak sekali makam-makam Sultan Perak.

Di antara pusat-pusat pemerintahan yang ada tercatat di dalam sejarah ialah :-


Tanah Abang - iaitu ditepi Sungai Perak yang sekarang di panggil Air Mati ,di dalam Mukim Bota, Makam Sultan Muzzaffar Shah 1 (Sultan Perak Pertama)
Kota Lama Kanan
Geronggong dalam Mukim Pulau Tiga,Kampung Gajah
Semat dalam Mukim Senggang,
Bota Kanan atau disebut juga sebagai Brahman Indera
Pulau Tiga, Kampung Gajah
Pulau Cempaka Sari di Parit
Pulau Indera Sakti di kuala Sungai Kinta , Kampung Gajah
Pasir Pulai Indera Mulia , Kampung Gajah
Bandar Baharu , Kampung Gajah - pejabat JWW Birch , British
Pasir Panjang, Kampung Gajah
Durian Sebatang, Teluk Intan - Sultan Abdullah Muhamad Shah 1874
Sayong, Kuala Kangsar
Batak Rabit, Teluk Intan

dan akhir sekali di Bukit Chandan, Kuala Kangsar iaitu semasa zaman Sultan Idris Murshidul Adzam Shah di tabalkan menjadi Sultan Perak yang ke 28.

Sistem Pemerintahan

Di zaman pemerintahan silam, sistem pemerintahan Kesultanan Negeri Perak masih meneruskan konsep ketradisionalan Kesultanan Melayu Melaka dengan sedikit perubahan dan penyesuaian dengan keadaan negeri dan masyarakat. Sistem gelaran Orang-Besar-Besar Negeri masih mewarisi Kesultanan Melaka tetapi terdapat sedikit perubahan iaitu dengan mengwujudkan gelaran-gelaran baharu saperti Orang Besar Lapan, Enam Belas dan Tiga Puluh Dua disamping mengekalkan konsep gelaran dan fungsi Orang Besar Empat Kesultanan Melaka. Tetapi gelaran Orang Besar Empat ini juga telah di ubah mengikut kesesuaian zaman dan masyarakat dan sekarang gelaran ini di kenali sebagai :-

Tengku Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja wakil al Sultan Wazir Kabir.
Tengku Orang Kaya Besar Maharaja Di Raja.
Tengku Orang Kaya Temenggung Paduka Raja.
Tengku Orang Kaya Menteri Paduka Tuan.

Di zaman pemerintahan Sultan Muzzaffar Shah I, jawatan Bendahara Paduka Raja bagi Negeri Perak yang pertama telah disandang oleh Tun Mahmud iaitu Sri Akar Diraja Selagor iaitu anakanda kepada Bendahara Paduka Raja Tun Ishak Barakah.

Di zaman pemerintahan Sultan Iskandar Zulkarnain (1756-1770) Negeri Perak menempuh kegemilangan sejarahnya. Zaman ini lah disifatkan oleh ahli-ahli sejarah sebagai zaman keemasan. Hakikat ini dapat dilihat daripada catatan yang terdapat didalam Hikayat Misa Melayu yang menceritakan dengan jelas khusus mengenai zaman tersebut dan perihal kebijaksanaan kepimpinan dan kegagahan baginda memerintah negeri. Syair "Sultan Perak Melawat Jajahan Takluknya" sebagaimana yang terdapat didalam hikayat ini adalah satu contoh yang begitu terkenal lagi menggambarkan keadaan pemerintahan dan masyarakat di zaman tersebut.

Campurtangan Inggeris di Perak

Percampuran dasar Inggeris terhadap Negeri-negeri Melayu di akhir kurun ke 19 telah mendorongkan pihak British untuk mengubah sikap berdagang dan campurtangan dalam urusan politik dan pertadbiran - iaitu penjajahan secara langsung atau tidak langsung terhadap kesemua Negeri Melayu di Semenanjung. Seperti helang kelaparan mereka hanya menunggu peluang dan ketika yang sesuai untuk menyambar terus kemakmuran Negeri Perak. Inggeris yang telah lama mengkaji sistem pentadbiran, struktur, sosial, ekonomi dan politik bumiputera di Negeri-Negeri Selat dan di negara-negara yang dijajahnya telah berjaya menyingkap segala aspek kehidupan masyarakat Melayu dan menggunakan kelemahan-kelemahan yang terdapat untuk menguasai terus Negeri Perak dengan memperalatkan institusi-institusi traditional. Peluang ini tercapai apabila berlaku perselisihan merebut takhta kerajaan semasa Sultan Ali Al-Mukamal Inayat Shah, Sultan Perak ke 24 mangkat di Sayong pada tahun 1871. Raja Muda Abdullah yang bersemayam di batak Rabit sepatutnya mudik ke Sayong untuk ditabalkan sebagai Sultan tetapi beliau enggan berbuat demikian. Ini telah mengakibatkan jenazah Almarhum tidak dapat dimakamkan selama sebulan, dan bagi menyelesaikan masaalah ini Raja Bendahara Ismail telah ditabalkan sebagai Sultan.

Maka berlakulah perselisihan yang berlarutan diantara Raja Muda Abdullah dengan Sultan Ismail. Di samping ini terdapat pula pergaduhan besar dan sikap bermusuhan diantara dua kongsi gelap pelombong-pelombong Cina, Ghee Hin dan Hai San disekitar Kelian Puah dan Kelian Baharu dan berlarutan hingga ke negeri-negeri lain. Peperangan telah berlaku disepanjang tahun 1861- 1862 dan 1871-1874.

Pergaduhan-pergaduhan dan perselisihan merebut takhta kerajaan ini telah di pergunakan sepenuhnya oleh pihak Inggeris untuk mencampuri urusan dalam Negeri Perak supaya kepentingan mereka tidak terjejas dan kekayaan Negeri Perak dapat di eksplotasikan sepenuhnya bagi menampung keperluan ekonomi negara ibunda mereka. Dengan kepintaran siasah dan ilmu penjajahan yang telah berkurun dipelajari, Inggeris telah berjaya memerangkap Raja Abdullah dan beberapa orang Orang Besar-Besar Perak untuk berunding di Pulau Pangkor. Wakil-wakil kongsi gelap Ghee Hin dan Hai San juga turut hadir bagi membalas jasa Inggeris yang telah banyak berbudi kepada mereka. Maka pada 20 Februari 1874 berlakulah satu detik sejarah yang tidak akan dilupakan oleh orang-orang Melayu Perak dan seluruh Semenanjung Tanah Melayu dengan termeterinya satu perjanjian yang di namakan Perjanjian Pangkor.

Kejayaan Inggeris dalam babak pertama dalam siri penjajahan mereka di Tanah Melayu ini telah menjatuhkan mertabat kuasa mutlak Raja Melayu terhadap tanah air mereka sendiri dengan hanya menjadi Sultan sebagai ketua agama Islam dan adat istiadat Melayu sahaja. Urusan pentadbiran dan ekonomi dalam negeri terserah bulat-bulat kepada budibicara Residen Inggeris yang secara langsung di pertanggung jawabkan oleh Gabenor Negeri Selat untuk melaksanakan rancangan pembangunan raksaksa - Sistem Residen.

Perjanjian Pangkor dan perlaksanaan sistem Residen ini pada dasarnya telah dapat meredakan seketika persengketaan di antara golongan-golongan yang bersengketa dalam Negeri Perak. Dengan bersenjatakan Perjanjian Pangkor yang pada anggapan Inggeris akan di patuhi oleh semua pihak dan tidak akan di tentang oleh orang-orang Melayu yang selama ini dianggap mudah di pergaul-gaulkan, J.W.W.Birch, Residen Inggeris yang pertama telah memulakan tugasnya tanpa menaruh sebarang buruk sangka atau perasaan curiga.

Orang Besar-Besar Perak dan Sultan Abdullah sendiri akhirnya menyedari akan kesilapan mereka menandatangani Perjanjian Pangkor yang secara langsung mengetepikan hak tradisi mereka dalam urusan kutipan cukai dan menguasai hasil mahsul dalam jajahan masing-masing telah menghadapi jalan buntu bagi menghadapi kekuatan kuasa penjajah Inggeris ini. Akhirnya mereka telah mengambil jalan singkat dengan membunuh J.W.W. Birch dan pengiring-pengiringnya di Pasir Salak pada 2 November 1875.

Berikutan daripada peistiwa berdarah ini Inggeris telah melancarkan perang besar-besaran terhadap orang-orang Melayu Perak dengan tujuan untuk menangkap pembunuh J.W.W. Birch. Pasukan-pasukan polis, tentera dan tentera laut Inggeris dibawah pimpinan Kapten Speedy telah mengepung perairan Perak. Rumah-rumah orang-orang Melayu yang di syaki telah di bakar, kota pertahanan orang-orang Melayu di Batak Rabit telah di serang habis-habisan dan akhirnya ditawan. Inggeris terus mara di sepanjang Sungai Perak dan membunuh tanpa belas kasihan. Sungguh pun kekurangan senjata dan tektik peperangan oarng-orang Melayu Perak masih mampu melawan serangan Inggeris saperti yang di lakukan di Kota Lama. Peperangan Perak ini telah berlanjutan hingga ke tahun 1876 dan akhirnya kesemua yang terlibat dalam peristiwa pembunuhan J.W.W. birch ditangkap dan dibicarakan peperangan ini ditamatkan.

Nasionalisme di negeri Perak

Maka tercatatlah dalam sejarah bangsa Melayu dan Negeri Perak nama-nama saperti Dato' Maharaja Lela, Dato' Sagor, Si Puntum, Pandak Endut, Che' Gondah, Ngah Ahmad, Laksamana Tun Mohamad Amin, Syahbandar, Che' Ngah Ibrahim dan lain-lain lagi disamping Sultan Abdullah sendiri sebagai penebus maruah bangsa Melayu dalam mempertahankan kedaulatan tanah air dan hak mutlak Kesultanan Melayu. Ramai diantara mereka yang dihukum gantung dan di buang negeri di asingkan di Pulau Seychelles di Lautan Hindi tetapi perjuangan mereka akan terus menjadi aspirasi generasi kini.
Peristiwa tersebut telah memberikan pengajaran yang berguna kepada Inggeris dalam merancanakan rancangan penjajahan mereka yang selanjutnya. Raja Yusuf telah diangkat sebagai Sultan Perak yang ke 27 (1877-1887) bergelar Sultan Yusuf Sharifuddin Muzzaffar Shah dan Raja Idris yang menghakimkan perbicaraan kes pembunuhan J.W.W.Birch telah diangkat menjadi Raja Muda. Sistem pertadbiran negeri telah diperkemaskan lagi dan dipersesuaikan dengan dasar Inggeris. Pembesar-pembesar negeri yang tidak sesuai telah di pencenkan dan yang berkebolehan serta masih taat kepada pemerintah telah dijadikanpegawai bergaji tetap dan mesti bekerja untuk Inggeris atas nama titah perintah Sultan.

Semasa Negeri Perak

Pembangunan ekonomi telah di lipatgandakan dengan pembukaan lombong-lombong baru yang lebih moden dan ladang-ladang getah dan ini telah menyebabkan munculnya bandar-bandar bary disekitar kawasan perekonomian. Bagi menghubungkan rangkaian bandar-bandar baru saperti Taiping dan Ipoh, jalan-jalan raya dan perkhidmatan keretapi telah diwujudkan. Bandar-bandar traditional Melayu telah ditinggalkan kesepian kerana segala kepentingan ekonomi dan urusan perniagaan telah tertumpu di sekitar kawasan yang baru di bangunkan oleh Inggeris. Maka terasinglah orang Melayu dan tinggal lah mereka kesepian dengan corak penghidupan lama mereka di kawasan pertanian, di kuala-kuala sungai dan bandar tradisional warisan mereka.

Penduduk-penduduk Perak telah berkembang pesat dengan penghijrahan beramai-ramai buruh-buruh kaum Cina dan India untuk mengusahakan sektor perlombongan bijih dan ladang getah. Maka daripada sinilah wujudnya masyarakat majmuk yang dapat dikenali daripada identiti kegiatan ekonomi masing-masing.

Negeri Perak sungguh beruntung kerana golongan-golongan Kerabat Di Raja saperti Sultan Idris Murshidul Aadzam Shah, Sultan Iskandar Shah dan Raja Sir Chulan masih lantang bersuara dan memperjuangkan nasib rakyat yang di kekang penjajah.

Dalam menghadapi aliran perkembangan politik moden di pertengahan tahun 1940an hinggalah Tanah Melayu mengalami bahana Perang Dunia ke2, seterusnya detik-detik kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, sejarah Negeri Perak berkait rapat dengan sejarah Tanah Melayu pada umumnya. Dalam hal ini negeri Perak telah melahirkan ramai tokoh-tokoh dan pejuang kemerdekaan yang masih harum namanya menjadi kebanggaan generasi sekarang. Sehingga kini payungan di raja Kesultanan Perak masih utuh menaungi kemakmuran negeri dan menjadi lambang kedaulatan dan kekuatan Negeri Perak Darul Ridzuan.

Secara dasarnya ada beberapa perkara yang perlukan huraian berhubung sejarah negeri perak ini...