UTAMA

25 December 2012

ENGKU MUDA ORANG KAYA-KAYA MAHAKURNIA INDIRA DIRAJA PERAK

Raja Razman B Raja Abdul Hamid
Foto : Dengan Izin Sembangkuala
Batang tubuh ini bukanlah searif insan untuk menghuraikan dan merungkai berhubung perihal hal ehwal sejarah, namun didalam kekurangan yang ada, dipohon pertunjuk dari Ilahi, agar dikurniakan petunjuk, berpandukan pengetahuan yang sedikit, bersandarkan pengalaman yang singkat. Insyallah dengan izin Ilahi jua memungkinkan Wangsa Mahkota Selangor memberikan huraian didalam menyuarakan pandangan, menghuraikan pendapat, mudah-mudahan barang di awasikan ILAHI. 

Engku Muda Orang Kaya-kaya Mahakurnia Indira DiRaja merupakan satu gelaran yang dibentuk dan diberikan kepada anakanda Raja Bendahara Abdul Hamid ibni Almarhum Sultan Idris Murshidul-Azzam Shah ketika pemerintahan Paduka Seri Sultan Alang Iskandar Shah Ibni Almarhum Sultan Idris Murshidul-Azzam Shah. Secara realitinya tidak pernah berlaku didalam negeri perak yang mempunyai gelaran lain yang disandang oleh Waris Negeri Perak selain Raja Bergelar yang akan membawa kepada bakal-bakal Sultan Perak. 

Paduka Seri Sultan Alang Iskandar telah memberi gelar kepada Raja Shahriman sebagai Engku Orang Kaya-kaya Mahakurnia Indira DiRaja dan Raja Razman sebagai Engku Muda Orang Kaya-kaya Mahakurnia Indira DiRaja pada 1 Julai 1929. Namun hakikatnya gelaran ini mempunyai peranan yang sangat bernilai khususnya negeri perak dan amnya negara. Terutama Engku Muda Orang Kaya-kaya Mahakurnia Indira DiRaja yang telah memungkinkan penghargaan yang amat ketara takkala Ucapan penghargaan pada Raja Razman Bin Raja Abdul Hamid di dalam Cenderamata sempena Pertabalan Almarhum Sultan Idris Al-Mutawakkil Alallahi Shah ibni Almarhum Sultan Iskandar Shah Kaddasallah, Oktober 1963. 

Sesungguhnya gelaran yang dibentuk dan dikurniakan kepada Raja Razman merupakan satu lembaran sejarah yang baru didalam negeri perak didalam mengumpul hal ehwal sejarah Adat Lembaga Orang-orang Melayu di dalam Negeri Perak Darul Ridzuan daripada Zaman Purbakala. Sesungguhnya Almarhum Paduka Seri Sultan Alang Shah telah memenuhi watak didalam pengisian amanah yang mana Raja perlu memiliki hikmah merangkai yang lama dengan yang baru membawa pembaharuan di samping memelihara tradisi agar Raja bersedia membolehkan berlakunya perubahan dalam rangka kesinambungan budaya modenasi tanpa melupus kekayaan adat yang kekal diwarisi kerna itu jua segala hal ehwal sejarah Adat Lembaga Orang-orang Melayu di Dalam Negeri Perak Darul Ridzuan daripada Zaman Purbakala dikumpul dan diteliti, serta bukukan agar dapat dikongsikan kepada sekalian rakyat didalam negeri perak agar tak lapuk di hujan, tak lekang di panas iaitu Adat yang tidak berubah; sesuatu yang tetap utuh. Almarhum Sultan Alang Iskandar jua merupakan seorang Raja Yang Dipertuan yang amat meminati sejarah. 

Contoh yang paling jelas takkala batang tubuh yang bernama Raja Razman dipanggil nama timbang-timbangan sebagai Ku Nick yang lebih menjurus untuk meletakkan identiti seseorang empunya diri dengan amanah didalam pengisian gelaran KURNIA. 
Maka adalah tepat diberi jolokkan tersebut kerna sesungguhnya Raja Razman telah banyak menyumbangkan KURNIA didalam merungkai dan mengumpul perihal-perihal isi negeri yang melibatkan seni warisan budaya. Sesungguhnya tidak ternilai dan dapat di nilai apa jua sumbangan yang telah diberikan oleh Raja Razman Bin Raja Abdul Hamid kepada negeri mahupun negara. 

Takkala terdirinya Sembangkuala maka secara tidak langsung telah memenuhi amanah gelaran yang diterima oleh Raja Razman sebagai Engku Muda Orang Kaya-Kaya Mahakurnia Indira Diraja didalam memelihara kemuliaan tradisi negeri bersultan rakyat beraja; tradisi yang telah diwarisi turun temurun, merentas peredaran waktu merentas peralihan masa agar ilmu yang dikumpul dapat di sebarluas, baik melalui pendidikan formal dan nonformal, seperti perbincangan, ceramah, dakwah, dan sebagainya termasuk dalam kategori menulis buku yang berguna. Insyallah...