21 October 2012

BENDAHARA WAN AHAMAD BERGELAR SULTAN PAHANG


Bendahara Wan Ahamad telah dilantik sebagai pemerintah Negeri Pahang secara rasminya oleh Orang-orang Besar Pahang. 

Baginda memakai gelaran Sultan Ahmad Mu’azzam Shah dan merupakan Sultan Pahang yang pertama dalam keturunan Bendahara yang mengunakan gelaran Sultan bagi mewujudkan Kesultanan yang sebelum ini dibawah Raja Bendahara Pahang. 

Bendahara Wan Ahmad berjaya memperolehi takhta pemerintahan negeri Pahang melalui penentangan terhadap kekandanya Raja Bendahara Tun Mutahir yang memerintah negeri Pahang pada ketika itu. Peperangan saudara yang meletus di antara kedua-dua belah pihak ini telah memihak kepada Bendahara Wan Ahmad yang telah mendapat bantuan daripada Sultan Mahmud bekas Sultan Riau-Lingga dan Sultan Umar, Sultan Terengganu. 

Bendahara Wan Ahmad telah berjaya menguasai negeri Pahang pada 10 Jun 1863, berikutan itu baginda telah dilantik sebagai Bendahara Pemerintah negeri Pahang dengan gelaran Bendahara Seri Wak Raja oleh Orang-orang Besar Pahang. 

Kesultanan yang dibentuk baginda telah diiktiraf oleh Inggeris sebagai pemerintah Pahang pada 1 September 1868, dan satu perjanjian mengenai sempadan yang telah ditandatangani di antara Temenggong Abu Bakar dengan Bendahara Wan Ahmad disaksikan oleh Gabenor Sir Harry Ord.

PERJANJIAN ANTARA PADUKA SERI SULTAN PERAK BERSAMA BAGINDA TUANKU SULTAN KEDAH


Perjanjian Paduka Seri Sultan Perak bersama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Baginda Tuanku Sultan Kedah pada 4 Mac 1912 ianya mengenai sempadan antara Negeri Kedah dan Negeri Perak iaitu di Daerah Baling dan Tasek dan pembinaan sebatang jalanraya dari Baling ke Padang Serai di Negeri Kedah. 

Antara persetujuan yang dicapai di dalam perjanjian tersebut ialah Sultan Perak bersetuju membina sebatang jalanraya kelas satu dari Baling hingga ke Kuala Ketil sepanjjang 22 batu. jalan yang akan dibina ini akan menyambungkan Klian Intan di Hulu Perak dengan Baling hingga ke Kuala Ketil. 


Perjanjian telah ditandatangani di hadapan Pemangku Residen British di Perak, Oliver Marks dan Encik Md. Ariffin, Setiausaha kepada Baginda Tuanku Sultan Kedah.

PERLANTIKAN KDYMM BAGINDA SULTAN SIR' ABDUL HAMID HALIM SHAH SEBAGAI SULTAN KEDAH


Kebawah Duli Yang Maha Mulia Baginda Tuanku Sultan Sir' Abdul Hamid Halim Shah Ibni Almarhum Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah telah disahkan perlantikannya sebagai pemerintah Kedah oleh Raja Siam pada 23 Mac 1882.

Pengesahan ini adalah ekoran perbalahan yang timbul mengenai pewarisan takhta Kerajaan Kedah setelah kemangkatan Almarhum Sultan Zainal Rashid Muazzam Shah Ibni Almarhum Sultan Ahmad Tajuddin Mukaram Shah. Perbalahan bermula apabila Tunku Dhiauddin (Tunku Kudin) yang pada ketika itu bergelar Raja Muda mengepalai perwakilan Kedah ke Bangkok untuk memujuk Raja Siam bagi melantiknya sebagai Sultan Kedah.

Ianya telah ditentang dengan kerasnya oleh Tunku Yaakub, Wan Muhammad Saman dan Wan Hajar di mana berkehendakkan Tunku Abdul Hamid Halim Shah dilantik sebagai pemerintah Kedah. Oleh kerna peranan Tunku Dhiauddin semasa perang saudara di Selangor dan hubungan yang rapat dengan Inggeris, maka Raja Siam telah menolak permintaan Tunku Dhiauddin untuk menjadi Sultan Kedah.

Dengan kegagalan ini, Tunku Ziauddin cuba mencadangkan pula Tunku Kassim untuk tujuan perlantikan tersebut. Setelah perbincangan berjalan selama lima bulan, Rama IV iaitu pemerintah Negeri Siam pada masa itu, telah melantik Tunku Abdul Hamid Halim Shah sebagai waris takhta Kerajaan Negeri Kedah yang sah.

Dengan perlantikan Sultan Abdul Hamid Halim Shah Ibni Almarhum Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah, maka bermulalah satu era baru dalam sejarah pembangunan dan kemajuan negeri Kedah di mana baginda kemudiannya dikenali sebagai " PENGASAS KEDAH MODEN " dan " SULTAN BERDAULAT BERTARAF ULAMA ".

20 October 2012

ALAM BERAJA NEGERI BERPENGHULU;


Negeri sudah berpenghulu, namun Alam jua yang belum beraja. Oleh itu pada 29 April 1898 diadakanlah Majlis menandatangani perjanjian antara Yam Tuan Sri Menanti dengan Undang Yang Empat dan Inggeris mengakui Yam Tuan Sri Menanti menjadi Yam Tuan Besar Negeri Sembilan dan menerima seorang penasihat British sebagai Residen yang rasmi.

Perjanjian ini mengakui Tunku Muhamad ibni Almarhum Tunku Antah sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan yang pertama dan ditabalkan dengan penuh adat tabal dan peraturannya pada 7hb. Mei, 1898. E.W. Birch telah dilantik menjadi Residen, menggantikan Martin Lister,

Dengan pertabalan ini maka BERSATULAH SEMULA ALAM NEGERI SEMBILAN dengan berajakan Yang Dipertuan Besar - Tunku Muhamad ibni Almarhum Tunku Antah, setelah berlaku perpecahan tiga buah luak, Luak Sungai Ujung, Rembau dan Jelebu, menjadi sebuah Negeri yang meliputi semua Luak atau Daerah hingga ke hari ini.

Namun sebelum itu Pada 13.07.1889, Yam Tuan Besar Sri Menanti Tuanku Mohamad Ibni Almarhum Tuanku Antah bersama-sama pemerintah-pemerintah Johol (termasuk Gemenceh), Inas, Ulu Muar, Jempol, Gunung Pasir dan Terachi, Tunku Syed Hamid, Tampin dan Dato Setia Raja Rembau dengan rasminya bersetuju menerima perlindungan British dan bersetuju membentuk satu Konfiderasi yang dinamakan Negeri Sembilan. Persetujuan ini dibuat melalui satu perjanjian yang ditandatangani bersama oleh Gabenor Negeri-Negeri Selat, Sir Cecil C. Smith.

Konfiderasi ini mengandungi negeri-negeri dalam konfiderasi Sri Menanti iaitu Johol (termasuk Gemenceh), Inas, Ulu Muar, Jempol, Gunung Pasir, dan Terachi; negeri-negeri Rembau dan Tampin. Seorang Residen British dipersetujui akan dilantik untuk membantu pentadbiran Kerajaan Konfiderasi ini. Dalam konfiderasi ini tidak seorang pun pemerintah yang melebihi kuasanya dari pemerintah yang lain.

Dengan penubuhan Konfiderasi ini pada tahun 1889 maka kawasan Negeri Sembilan terbahagi kepada dua unit pentadbiran yang diakui oleh Inggeris.
Yang pertama ialah kawasan bahagian Timur yang mengandungi Sungai Ujung (termasuk Jelebu) di bawah Residen Sungai Ujung, W.F.B. Paul, dan
yang kedua ialah bahagian Barat dengan nama Negeri Sembilan di bawah Residen Negeri Sembilan, Martin Lister.

Keadaan ini berkekalan hingga ke tahun 1895 apabila pada 8hb. Ogos, 1895, sekali lagi Yam Tuan Besar Sri Menanti bersama-sama Dato' Sedia Raja Rembau Sirun dan Dato' Tampin disertai pula oleh Dato' Bandar Ahmad Sungai Ujung, Dato' Jelebu Syed Ali, dan Dato' Johol telah menandatangani perjanjian di hadapan Gabenor Negeri-Negeri Selat, Sir Charlis Bullen Hugh Mitchell, menyatakan menerima perlindungan Kerajaan British dan bersetuju untuk menubuhkan Konfiderasi Negeri Sembilan yang lebih besar.

Mereka jua bersetuju supaya dilantik seorang Residen dan bersedia menurut nasihat-nasihatnya dalam semua perkara mengenai pentadbiran negeri kecuali yang berkaitan dengan agama Islam dan adat istiadat orang-orang Melayu.
Dengan termaktubnya perjanjian ini maka tertubuhlah Konfiderasi Negeri Sembilan yang wujud hingga sekarang. Martin Lister telah dilantik sebagai Residennya yang pertama.

13 October 2012

ISTIADAT PAKAIAN BAGI NEGERI PERAK


Pakaian ini boleh di lihat ketika melibatkan acara rasmi yang melibatkan Institusi Diraja di Negeri Perak khususnya Pakaian Bagi Menghadiri Istiadat dan Majlis Istiadat Pertabalan seperti Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat-Pingat...

Bagi Anak-Anak Sultan mengenakan pakaian warna Kuning ataupun Ungu.











Setiap Pakaian menunjukkan taraf dan identiti...

01 October 2012

TENGKU ARIS TEMENGGONG SELANGOR DI KURNIAKAN DARJAH KERABAT SELANGOR D.K.II


Pada 11 Disember 2011, Bersempena Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor - Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj yang ke-66, Nenda Saudara baginda Yang Amat Mulia Tengku Dato' Setia Muhammad Yusof Shah Ibni Almarhum Sultan Alauddin Suleiman Shah yang merupakan Tengku Aris Temenggong Selangor telah mengetuai senarai penerima darjah dan pingat kebesaran negeri Selangor pada tahun 2011. 

Yang Amat Mulia Tengku Dato' Setia Muhammad Yusof Shah telah diberi gelar sebagai Tengku Aris Temenggong Selangor pada tahun 1936 pada usia 10 tahun oleh Ayahandanya Duli Yang Maha Mulia Paduka Sri Sultan Sir' Alauddin Suleiman Shah Ibni Almarhum Raja Muda Musa didalam satu istiadat di Istana Mahkota Puri, Klang. 

Pernah menerima Darjah Kebesaran Dato' Setia - Sultan Sharafuddin Idris Shah (S.S.I.S) pada 2002. Merupakan Waris Negeri Selangor antara yang tertua kerna didalam 44 orang adik-beradik serta antara anak raja yang paling lama memegang gelaran. Yang Amat Mulia Tengku Dato' Setia Muhammad Yusof Shah bertemu jodoh pada tahun 1953 dengan Y.M Raja Saidatul-Ezam Binti Raja Kechil Besar Perak - Raja Datuk Sri Lope Nur Rashid.

Patik merafak sembah tanhiah kepada Atah @ Tengku Aris Temenggong Selangor - Yang Amat Mulia Tengku Dato' Setia Muhamad Yusof Shah Ibni Almarhum Sultan Alauddin Suleiman Shah atas penganugerahan Darjah Kerabat Selangor Kedua (D.K.II). D.K.II merupakan darjah kebesaran tertinggi kedua negeri Selangor yang dizahirkan pada 1977 mengandungi seutas Kalung, Lencana Kalung, Bintang Darjah, Selempang dan Lencana Selempang. 

Darjah Kerabat Selangor Kedua (D.K.II) dikurniakan kepada kaum Kerabat Diraja di Malaysia dan ianya juga diberikan kepada Putera-Putera Raja Negara Asing sebagai tanda penghormatan dan hubungan silaturrahim dengan baginda Sultan. 
D.K.II ini juga dipertimbangkan untuk dianugerahkan kepada penyandang-penyandang jawatan tertinggi yang telah menyumbang jasa dan bakti cemerlang kepada baginda Sultan atau Kerajaan Negeri Selangor. 

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bersama Ahli Dewan Diraja Selangor bergambar bersama Yang Di Pertuan Agong semasa lawatan rasmi di Negeri Selangor. 
Tiga Ahli Ex-Officio Dewan Diraja Selangor ialah Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim; Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa dan Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid.

Empat ahli waris itu ialah Tengku Aris Temenggong Selangor - Tengku Muhamad Yusof Shah, Tengku Panglima Diraja Selangor - Tengku Sulaiman Shah, Tengku Indera Setia Selangor - Tengku Ahmad Shah dan Tengku Besar Putra Selangor - Tengku Ismail Shah. 
Orang-Orang Besar Tengku Seri Wangsa Diraja Selangor - Tengku Datuk Setia Ramli, Engku Setia Lela Bestari - Raja Tan Sri Arshad dan Tengku Indera Pahlawan Diraja Selangor - Tengku Datuk Paduka Putra Tengku Azman Shah. 
Orang Tua-Tua termasuk Datuk Setia Abdul Halim Abdul Rauf dan Tan Sri Ambrin Buang. 

Sumber : Bernama, Laman Darjah Kebesaran Selangor dll sumber. Foto : Ihsan Aunty Gee @ YM Tengku Soraya dan laman Google.

Translate